Isnin, 17 Ogos 2015

Mengapa Harus Ada Rasa Ragu Dengan Sirah Nabi?


Ulama' berselisih pendapat tentang usia sebenar 'Aisyah (رضي الله عنها) ketika berkahwin dan mula tinggal bersama Rasulullah صلى الله عليه وسلم)). 

Apa yang pasti, umur Aisyah jauh lebih muda daripada umur Baginda ketika itu. Suatu jarak usia yang kelihatannya mustahil terjadi di zaman ini.

Perbezaan ini adalah antara hujah yang digunakan oleh orientalis dan pemikir-pemikir Barat untuk menyerang Islam dan menanamkan keraguan ke dalam jiwa umat Islam. Bahkan, tidak kurang umat Islam sendiri dari pelbagai aliran turut terpengaruh dengan serangan ini.

Mereka sebenarnya mungkin terlepas pandang atau buat-buat tidak nampak akan 'critical point' dalam isu ini, iaitu adat setempat pada zaman tersebut.

Kita sedia maklum yang kaum Musyirikin Mekah, puak Munafiq Madinah dan kaum Yahudi adalah penentang utama kepada Rasul dan sahabat-sahabat Baginda. Namun, pernahkah kita mendengar mereka menggunakan hujah jarak umur Nabi dengan isteri Baginda sebagai senjata untuk menyerang Nabi dan menanamkan keraguan kepada pengikut Baginda?

Tidak pernah.

Mereka adalah golongan yang paling membenci Nabi dan lebih mengenali Nabi. Jika 'point' itu cukup kuat untuk mencacatkan peribadi Nabi, mereka pasti lebih awal menggunakannya seperti mana mereka mengatakan Nabi menggunakan sihir, mahukan kekuasaan dan dakwaan-dakwaan lain.

Mereka tidak gunakan 'point' tersebut kerana perkahwinan dalam jarak usia tersebut adalah normal bagi masyarakat Arab ketika itu. Kita juga boleh melihat jarak usia sesetengah Sahabat dengan isteri-isteri mereka yang juga mempunyai jurang usia yang besar. Contohnya, Umar al Khattab رضي الله  عنه)) telah berkahwin dengan anak perempuan Ali bin Abi Tolib (رضي الله  عنه) yang bernama Umm Kalthum sedangkan kita sedia maklum bahawa jarak umur Ali jauh lagi muda dengan Umar, apatah lagi umur Umm Kalthum yang merupakan anak kepada Ali. Jaraknya pasti lebih jauh.  

Adat setempat boleh berubah-ubah mengikut tempat, zaman dan keadaan. Islam meraikan adat setempat selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariat.

Kita tidak pernah menyangkal mahupun pelik apabila mendengar cerita yang nenek moyang kita berkahwin dan bersalin pada usia awal belasan tahun dan menjadi datuk atau nenek pada usia seawal 20an, namun kita juga mengakui situasi tersebut mungkin sudah tidak sesuai di zaman ini.

Jika jarak masa beberapa generasi sahaja telah menghasilkan adat dan gaya hidup yang sangat berbeza, bagaimana dengan jarak ribuan tahun yang memisahkan zaman kita dan zaman tersebut?

Mengapa perlu ada rasa ragu dengan kisah Nabi yang jarak zamannya beribu tahun jauh dari zaman kita?

Sabtu, 15 Ogos 2015

Beberapa Hujah Akal Yang Menafikan Al-Qur'an Adalah Hanya Ciptaan & Rekaan Rasulullah (صلى اللـه عليه وسلم)


Antara beberapa hujah akal yang menunjukkan bahawa Al-Quran bukan direka dan bukan hanya dari buah fikiran Baginda (صلى اللـه عليه وسلم) adalah seperti berikut:

1. Terdapat ayat-ayat yang menegur perbuatan Nabi (صلى الله عليه وسلم) seperti ayat-ayat di awal surah 'Abasa. Mustahil untuk seseorang mencipta satu ayat yang menegur perbuatannya sendiri serta dibacakan dan diperdengarkan kepada orang ramai.

2. Terdapat ayat-ayat yang menceritakan perihal umat terdahulu dengan sangat terperinci seperti bilangan hari dan tahun pemuda Kahfi ditidurkan dalam surah Al-Kahfi.

3. Ayat-ayat yang menceritakan tentang perkara-perkara masa hadapan dan penemuan-penemuan sains yang hanya mampu dibuktikan oleh umat terkemudian seperti peringkat-peringkat kejadian manusia yang telah diceritakan di awal surah al-Hajj, awal surah al-Mu'minun dan di beberapa tempat lain dalam Al-Quran.

4. Nabi صلى الله عليه وسلم)) sangat berhajat kepada penurunan wahyu dalam beberapa peristiwa tetapi wahyu tidak turun sehingga beberapa ketika yang telah ditetapkan oleh Allah seperti dalam peristiwa tuduhan terhadap 'Aisyah yang akhirnya dijawab oleh Allah dalam surah an-Nuur.

*Antara kitab yang baik untuk dibaca bagi menjawab segala syubahat yang ditimbulkan mengenai Al-Quran:

 - النباء العظيم نظرات جديدة في القرآن لشيخ محمد عبد الله دراز رحمه الله
 - قضايا قرآنية في الموسوعة البريطانية نقد مطاعن، ورد شبهات لشيخ الأستاذ
 الدكتور فضل حسن عباس رحمه الله

(Pengajian Ulum Al-Quran oleh Dr. Redha al-Hawari Hafizahullah, Universiti Yarmuk, Irbid, Jordan)


Khamis, 13 Ogos 2015

Suhail bin 'Amru رضي الله عنه


Suhail bin 'Amru رضي الله عنه adalah seorang pemidato kaum Quraisy yang sangat fasih dalam berhujah. Beliau merupakan antara penentang utama Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan para Sahabat di awal kebangkitan Islam.

Beliau telah ditangkap dan ditahan dalam peperangan Badar oleh tentera Muslimin. Setelah itu, beliau dibebaskan dan kembali ke Mekah. Beliau juga telah menjadi wakil yang dihantar oleh kaum Musyirikin untuk berbincang dengan kaum Muslimin dalam perjanjian Hudaibiyah kerana kebolehan beliau dalam berhujah dan membuat rundingan.

Beliau memeluk Islam pada hari pembukaan Kota Mekah dan setelah itu, beliau menggunakan kelebihan yang dikurniakan kepadanya dan menjadi seorang pemidato yang lantang berhujah dalam membela dan mempertahankan Islam. Beliau terlibat dalam beberapa siri peperangan di zaman Khulafa' ar-Rasyidin. 

Dua orang anak lelaki beliau, iaitu Abdullah dan Abu Jundal telah memeluk Islam sebelumnya (sebelum hijrah Baginda) dan seorang lagi anak lelaki beliau, 'Utbah/ 'Inabah telah memeluk Islam bersamanya pada hari pembukaan Kota Mekah.

Maha Suci Tuhan yang telah mengurniakan Hidayah kepada insan yang dikehendaki-Nya walaupun pada sebelumnya, insan tersebut sangat membenci agama-Nya dan mengubah kekuatan yang digunakan di zaman Jahiliyah kepada kekuatan yang dimanfaatkan sebaiknya untuk mempertahankan Islam.

Selasa, 11 Ogos 2015

Keimanan Anak-Anak 'Utbah bin Rabi'ah


'Utbah bin Rabi'ah adalah antara ketua Kaum Musyirikin Mekah yang sangat memusuhi kerja-kerja dakwah Nabi صلى الله عليه وسلم)) dan para pengikut Baginda di awal kebangkitan Islam. 'Utbah telah mati terbunuh dalam peperangan Badar. Sebahagian besar daripada anaknya memeluk Islam dan menjadi antara pembela agama Allah. Antaranya ialah:

1. Abu Huzaifah. Beliau merupakan antara sahabat Baginda yang awal memeluk agama Islam di saat ayahnya adalah penentang utama Baginda. Beliau telah berhijrah bersama isterinya ke Habsyah dan Madinah akibat tekanan daripada ahli keluarga. Beliau telah syahid dalam peperangan Yamamah menentang Musailimah al-Kazzab.

2. Ummu Aban. Beliau merupakan isteri kepada sahabat Baginda, Aban bin Sa'id bin al-'As.

3. Hindun. Beliau merupakan isteri kepada Abu Sufyan bin Harb dan ibu kepada Mu'awiyah. Menyertai kaum Musyirikin dalam peperangan menentang kaum Muslimin sebelum pengislamannya selepas pembukaan kota Mekah. Selepas pengislamannya, Hindun menyertai kaum Muslimin dalam peperangan memerangi kaum Kuffar seperti dalam peperangan Yarmuk.

4. Fatimah. Memeluk agama Islam bersama Hindun selepas pembukaan kota Mekah. Antara suami beliau adalah sepupu Baginda, 'Aqil bin Abi Tolib.

5. Abu Hasyim. Memeluk agama Islam pada pembukaan kota Mekah. Meriwayatkan beberapa hadith dari Baginda.

Maha Suci Tuhan Yang Maha Berkuasa  yang telah mengurniakan hidayah kepada insan-insan yang dikehendakiNya. Walaupun ayahnya seorang yang tegar menentang Islam, ia tidak menghalang cahaya Islam menembusi rumah-rumah mereka dan menusuk ke dalam jiwa anak-anak mereka.

Ahad, 9 Ogos 2015

انتقل إلى رحمة الله تعالى فضيلة الشيخ الأستاذ الدكتور وهبة بن مصطفى الزهيلي

"إن الله لا يقبض العلم انتزاعا ينتزعه من الناس، ولكن يقبض العلم بقبض العلماء حتى إذا لم يترك عالما اتخذ الناس رءوسا جهالا فسئلوا فأفتوا بغير علم فضلوا وأضلوا" - متفق عليه 
انتقل إلى رحمة الله تعالى فضيلة الشيخ الأستاذ الدكتورالعالم الفقيه المفسر وهبة بن مصطفى الزهيلي في دمشق˓سوريا في هذا اليوم.
إنا لله وإنا إليه راجعون. 
"اللهم اغفر له وارحمه واعف عنه وعافه وأكرم نزله ووسع مدخله، واغسله بماء وثلج وبَرَد، ونَقِّهِ من الخطايا كما ينقى الثوب الأبيض من الدنس، وأبدله داراً خيراً من داره، وأهلاً خيراً من أهله، وزوجاً خيراً من زوجه، وقِهِ فتنة القبر وعذاب النار" - رواه مسلم

من أهم مؤلفاته:*
الفقه الإسلامي وأدلته، والوجيز في الفقه الإسلامي، والوجيز في أصول الفقه، وآثار الحرب في الفقه الإسلامي؛ مقارنة بين المذاهب الثمانية والقانون الدولي، والمعتمد في الفقه الشافعي، والسلم والحرب في الإسلام، وأصول الفقه الإسلامي، وموسوعة الفقه الإسلامي والقضايا المعاصرة، وقضايا الفقه والفكر المعاصرة، وأصول الفقه الحنفي، والفقه الشافعي الميسر، والفقه الحنفي الميسر، والفقه والحنبلي الميسر، والفقه المالكي الميسر، والوسيط في أصول الفقه، وقواعد الفقه الحنبلي من كتاب المغني لابن قدامة، والاقتصاد الإسلامي، والمعاملات المالية المعاصرة، وشمائل المصطفى صلى الله عليه وسلم، والتفسير المنير في العقيدة والشريعة والمنهج، والإسلام دين الشورى والديمقراطية، والإسلام دين الجهاد لا العدوان وغير ذلك.

Sabtu, 8 Ogos 2015

Perkembangan Penulisan Ilmu Fiqh Dalam Mazhab Hambali Yang Berasaskan Dari Kitab المقنع (al-Muqni’) Karangan ابن قدامة (Ibnu Qudamah)



1. Kitab المقنع (al-Muqni') karangan ابن قامة (Ibu Qudamah) merupakan antara rujukan terpenting dalam mazhab Hambali.

2. Kitab المقنع (al-Muqni') telah diringkaskan oleh الحجاوي (al-Hajawi) dalam kitab beliau yang berjudul:
 زاد المستقنع في اختصار المقنع (Zaadul Mustaqni’ fi Ikhtisor al-Muqni’)



3. Selepas itu, datangnyaمنصور بن يونس البهوتي   (Mansur bin Yunus al-Buhuti) dan telah mensyarahkan kitab زاد المستقنع (Zaadul Mustaqni’) dalam kitab beliau yang diberi nama الروض المربع (ar-Raudhul al-Murbi’).


4. Kitab زاد المستقنع (Zaadul Mustaqni’) juga telah disyarah oleh beberapa ulama' lain, seperti:

- Sheikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin dalam  الشرح الممتع(al-Syarah  al-Mumti’)
- Sheikh Soleh Fauzan al-Fauzan dalam الشرح المختصر (al-Syarah al-Mukhtasara) 
- dan lain-lain lagi.


4. Para Ulama' turut menambah nota kaki dan penerangan-penerangan tambahan daripada kitab الروض المربع (ar-Raudhul al-Murbi’) seperti:

حاشية ابن قاسم - (Haasyiyah Ibn Qassim) oleh Sheikh Abdur Rahman bin Muhammad bin Qaasim
حاشية الشيخ عبد الرحمن بن ناصر السعدي - (Haasyiyah Sheikh Abdur Rahman bin Nasir as-Saadi)
حاشية الشيخ محمد من صالح العثيمين - (Haasyiyah Sheikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin)
حاشية عبد الله العنقري - (Haasyiyah Abdullah al-‘Anqari)
حاشية عبد الوهاب بن فيروز - (Haasyiyah Abdul Wahab bin Fairuz)
- dan banyak lagi.


5. Kitab زاد المستقنع (Zaadul Mustaqni') turut diringkaskan dan diambil beberapa permasalahan serta pelajaran daripadanya seperti  2 kitab yang telah ditulis oleh Sheikh Soleh Fauzan al-Fauzan; 

الملخص الفقهي - (al-Mulakkhas al-Fiqhi) 
الإرشاد إلى توضيح مسائل الزاد - (al-Irsyad Ila Tawdhih Masaaili al-Zaad)


Begitulah sedikit susur galur ringkas mengenai perkembangan penulisan ilmu Fiqh dalam mazhab Hambali yang berasaskan dari kitab المقنع (al-Muqni’) oleh ابن قدامة (Ibnu Qudamah).

Ini hanyalah perkembangan berasaskan kepada salah satu daripada kitab Fiqh utama dalam mazhab Hambali. Bagaimana pula dengan perkembangan kitab-kitab lain dalam mazhab Hambali?

Bagaimana pula jika kita bicarakan perkembangan dalam mazhab-mazhab lain (mazhab Syafie, Maliki, Hanafi dan lain-lain) yang lebih awal dan luas perkembangannya?

Tentu ia lebih luas dan panjang perbahasannya.

Begitulah perkempangan ilmu Fiqh yang sentiasa bergerak dan berkembang, bersesuaian dengan masa, zaman dan tempat.

Sungguh, ilmu Allah begitu luas dan tidak akan pernah habis untuk diterokai oleh manusia yang sangat terbatas kudratnya.

ولو أنما في الأرض من شجرة أقلام والبحر يمده من بعده سبعة أبحر ما نفدت كلمات الله، إن الله عزيز حكيم ( سورة لقمان: 28)

Sahabat Yang Menjadi Imam Solat Dengan Kehadiran Rasulullah صلى الله عليه وسلم


2 orang Sahabat Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) yang telah menjadi imam dalam solat fardhu berjemaah dengan kehadiran Rasulullah.

1) Abdur Rahman bin 'Auf (رضي الله عنه). 

Beliau telah menjadi imam kepada para Sahabat lain ketika mana Rasulullah terlewat menyertai jemaah solat para Sahabat kerana pergi menunaikan hajat sambil ditemani oleh al-Mughirah bin Syu'bah (رضي الله عنه). Rasulullah dan al-Mughirah menyertai jemaah para Sahabat dalam solat berjemaah tersebut dan bangun melengkapkan rakaat yang tertinggal selepas para Sahabat selesai menunaikan solat berjemaah.
2) Abu Bakr As-Siddiq (رضي الله عنه). 

Beliau menjadi Imam menggantikan Rasulullah di Masjid Nabi apabila diminta oleh Rasulullah sendiri ketika mana Rasulullah dalam keadaan sakit di penghujung usia Baginda.

Khamis, 6 Ogos 2015

Cara Perhubungan; Moden vs Konservatif


Retaknya hubungan persaudaraan dan persahabatan di zaman ini adalah disebabkan oleh kurangnya bersangka baik, dan kurangnya pertemuan 'face to face' antara sesama insan. Malah, kurangnya sentuhan seringkas seperti bersalam-salaman mahupun ucapan ringkas seperti memberi salam berulamkan senyuman mesra juga menjadi antara punca keretakan hubungan persaudaraan dan persahabatan.

Segala kekurangan ini walaupun kelihatannya ringkas tetapi sangat memberi impak dan kesan dalam perhubungan. Banyak salah faham yang berlaku dan persengketaan yang tercetus mampu diselesaikan dengan pertemuan ringkas yang hanya memakan masa beberapa minit sahaja. Bahkan adakalanya cukup dengan bersua muka tanpa perlu berkata-kata apa, kerenggangan dapat dieratkan. 

Kemudahan berkomunikasi melalui pelbagai medium media sosial seperti facebook, whatsapp, telegram, twitter, instgram, wechat dan lain-lain kelihatannya seperti mendekatkan yang jauh dan merapatkan yang dekat, namun sebenarnya ia juga bisa menjauhkan yang dekat dan merenggangkan yang rapat. Banyak salah faham berlaku dan persengketaan bermula serta membarah disebabkan oleh kecanggihan sistem komunikasi moden.

Yang dimaksudkan lain, yang difahami lain. Yang digambarkan lain, yang tergambar lain. Yang diluahkan lain, yang dirasai lain.

Walaupun cara konservatif dalam perhubungan ini memerlukan sedikit komitmen masa dan tenaga untuk dipraktikkan, tetapi ia cukup berkesan berbanding cara moden dalam perhubungan yang lebih mudah, pantas dan menjimatkan masa untuk dipraktikkan, namun ia mempunyai risiko lain yang mampu membawa kepada kesan-kesan buruk,

Cara moden dalam perhubungan tetap mempunyai kebaikannya yang begitu banyak, tapi jangan pernah meminggirkan cara konservatif dalam perhubungan kerana ia sangat berkesan dan meninggalkan bekas yang positif. Adunilah kedua-dua cara ini secara bersama mengikut kesesuaian keadaan, waktu dan tempat.

Peliharalah hubungan kita dengan Pencipta dan yang diciptakan, insyaAllah segala urusan kita menjadi mudah dan hidup kita lebih tenang serta ceria.

Rabu, 5 Ogos 2015

'Urwah bin az-Zubair رضي الله عنه


Siapakah 'Urwah bin az-Zubair?
Namanya kurang popular berbanding dengan nama-nama besar lain, bahkan berkemungkinan ramai yang pertama kali mendengarnya. Ini mungkin kerana beliau adalah generasi tabi'ien kerana lahir pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman al-Affan (رضي الله عنه) dan tidak sempat hidup di zaman Nabi (صلى الله عليه وسلم). Namun, sebenarnya beliau mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Nabi (صلى الله عليه وسلم) dan orang-orang penting di sekeliling Nabi (صلى الله عليه وسلم).

Ayah beliau adalah Az-Zubair bin al-Awwam, ibunya ialah Asma' binti Abu Bakr As-Siddiq, abangnya adalah Abdullah bin az-Zubair, datuknya adalah Abu Bakr As-Siddiq. Makciknya adalah Aisyah binti Abu Bakr As-Siddiq (رضي الله عنهم) dan pakcik sabit beliau adalah Muhammad bin Abdullah (صلى الله عليه وسلم).

Urwah merupakan salah seorang ulama' besar dalam bidang Fiqh dan Hadith serta dianggap sebagai salah seorang daripada Imam Fiqh Utama di Madinah bagi generasi Tabi'ien. Beliau memanfaatkan sepenuhnya hubungan darah yang sangat rapat dengan Ummul Mukminin, 'Aisyah (رضي الله عنها) sebagai anak saudara untuk meriwayatkan hadith-hadith serta mempelajari ilmu Fiqh daripada Ummul Mukminin. 

Beliau telah bertanya beberapa soalan yang mungkin 'malu' ditanya oleh para sahabat lain kepada Ummul Mukminin seperti hukum yang berkaitan dengan air mani dan sebagainya, yang akhirnya menjadi sumber periwayatan hukum dalam bidang Fiqh yang sangat berguna kepada generasi terkemudian.

Isnin, 3 Ogos 2015

Syiah dan Menyapu Khuf



Antara perkara yang membezakan Ahli Sunnah wal Jamaah dan kebanyakan kumpulan Syiah ialah dalam permasalahan fiqh, secara khususnya dalam masalah menyapu khuf ketika berwudhu'.

Imam Abu Jaafar at-Tohawi (رحمه الله) ada menyentuh permasalahan menyapu khuf dalam kitab beliau iaitu, Aqidah Tohawiyah walaupun ia sebenarnya di bawah perbincangan Fiqh kerana Ahli Sunnah wal Jamaah bersepakat mengenai pensyariatan menyapu khuf ketika berwudhuk berdasarkan hadith-hadith yang mencapai had mutawatir (mutawatir secara makna) dan athar-athar para sahabat, manakala Syiah mengingkari pensyariatan menyapu khuf ketika berwudhu'. Ia menjadi salah satu garis pemisah antara Ahli Sunnah wal Jamaah dan kebanyakan kumpulan Syiah.

Ironinya, golongan Syiah menolak pensyariatan menyapu khuf ketika berwudhu' sedangkan kebanyakan daripada hadith yang berkaitan dengan menyapu khuf telah diriwayatkan oleh sahabat Baginda (صلى الله عليه وسلم) yang mereka sangat agung-agungkan, iaitu Ali bin Abi Tolib (رضي الله عنه).

Ini adalah salah satu contoh konflik antara pegangan golongan Syiah dan dalil yang sahih. Mereka mengangkat kedudukan Ali bin Abi Tolib (رضي الله عنه) sehingga kepada kedudukan yang tidak sepatutnya, dalam masa yang sama mereka menolak hadith-hadith yang diriwiyatkan oleh Ali bin Abi Tolib (رضي الله عنه). 

Ini menjadi bukti bahawa mereka beragama mengikut nafsu dan kepentingan tertentu tanpa berlandaskan dalil dan nas yang tepat. Semoga 'Aqidah dan pegangan kita terselamat daripada anasir-anasir yang boleh membawa kita kepada tergelincir daripada jalan yang benar.   

Sabtu, 1 Ogos 2015

Buku Ali Abdur Raziq dan Respon Para Ulama'


Pada tahun 1925 (1344 Hijrah), dunia Islam telah dikejutkan dengan satu buku yang telah diterbitkan dan ditulis oleh bekas Hakim Mahkamah Mansurah, Mesir, Ali Abdur Raziq. Buku yang bertajuk, "Islam dan Asas-Asas (Dasar) Perundangan" telah menimbulkan kontroversi kerana ia mengandungi beberapa perkara yang ditulis menyalahi hakikat sebenar Islam.

Antara beberapa penyelewengan yang ditulis oleh Ali Abdur Raziq dalam buku tersebut ialah:

1) Syariat Islam hanya bersifat rohani, tidak me
mpunyai hubungan dengan hukum dan perlaksanaan dalam perkara keduniaan.

2) Islam tidak mensyaratkan pemerintahan dengan cara tertentu (tiada perkaitan di antara agama dan pemerintahan)

3) Undang-Undang perundangan pada zaman Rasulullah صلى الله عليه وسلم mengelirukan dan Jihad Baginda hanya untuk mendapatkan kekuasaan, bukan bertujuan untuk menegakkan agama dan menyebarkan dakwah ke seluruh alam.

4) Pemerintahan Abu Bakr as-Siddiq رضي الله عنه dan kesemua Khulafa' ar-Rasyidin رضي الله عنهم selepasnya bukan pemerintahan berasaskan Islam.

5) Kesemua penentang yang keluar menentang Abu Bakr as-Siddiq رضي الله عنه dan enggan membayar zakat selepas kewafatan Rasulullah صلى الله عليه وسلم tidak terkeluar daripada Islam, bahkan mereka semua diperangi bukannya disebabkan agama, tetapi disebabkan tujuan politik bagi mempertahankan negara Arab dan kesatuan mereka.

Kesan daripada tulisannya, Ali Abdur Raziq telah ditarik balik sijilnya daripada Universiti al-Azhar dan ramai ulama' serta pemikir Islam telah menulis buku bagi menjawab segala tuduhan dan kekeliruan yang telah dilemparkan oleh Ali Abdur Raziq dalam buku tersebut.

Antara beberapa contoh tulisan yang ditulis khas bagi menjawab tulisan Ali Abdur Raziq adalah:

1. Hakikat Islam dan Asas-Asas Perundangan oleh Sheikh Muhammad Bukhit al-Muti'ie

2. Sistem Politik dalam Islam oleh Dr. Muhammad Abdul Qadir Abu Faris 
3. Islam dan Khilafah pada Zaman Moden oleh Dr. Muhammad Dhiyauddin al-Riss


Sumber:
1. مدخل لدراسة النظم الإسلامية لدكتور مفرح سليمان القوسي، عضو هيئة التدريس بجامعة الإمام محمد بن سعود الإسلامية
2. الدكتور خالد الشبانه، عضو هيئة التدريس بجامعة الإمام محمد بن سعود الإسلامية