Jumaat, 20 Januari 2017

Adakah Kita Benar-Benar Mengenali Ibu Kita Sendiri?

Di tengah-tengah pengajian hadith daripada kitab Taudhihul Ahkam min Bulughul Maram, Sheikh Muhammad Abdullah al-Khudair Hafizahullah telah bertanyakan kepada kami, siapa antara kamu yang tidak mengenali ibu sendiri?
Semua menjawab, mestilah kami mengenali ibu kami sendiri.
Ok, kalau macam tu siapa antara kamu yang ingat kesemua nama Isteri Nabi (صلى الله عليه وسلم) beserta dengan nasab mereka hingga ke datuk setiap isteri-isteri Nabi tersebut? (orang Arab sangat mementingkan nasab keturunan)
Kami semua terdiam.
Sheikh Muhammad al-Khudair bertanya lagi, bukankah mereka itu ibu-ibu kamu dan ibu-ibu umat Islam semuanya?
Beliau menamatkan 'pukulan' pada pagi tersebut: Jika diberikan senarai nama-nama pemain bola, kamu semua dapat mengenali dan membezakan sama ada pemain itu bermain di kelab al-Hilal, al-Ittihad, an-Nasr dan kelab-kelab lain (kelab-kelab bola sepak di Arab Saudi).
Namun, sayangnya nama ibu-ibu kamu sendiri kamu tak kenali.
Kami semua terus terdiam. Pukulan yang sangat padu dikenakan kepada kami pada pagi tersebut.
*Sheikh Muhammad bertanyakan soalan tersebut apabila kami bertemu dengan satu hadith yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin, 'Aisyah (رضي الله عنها).

Perkara-Perkara yang Boleh Mengangkat Dosa-Dosa yang Telah Dilakukan



Dosa yang telah dilakukan boleh terangkat disebabkan oleh:
1. Taubat
2. Istighfar
3. Amalan-amalan soleh yang menghapuskan amalan-amalan jahat
4. Musibah yang menghapuskan dosa
5. Syafaat yang diberikan
6. Rahmat dan kasih sayang Allah.

Sumber: 
Kitab:رفع الملام عن الأئمة الأعلام 
Karangan: أبو العباس تقي الدين أحمد ابن تيمية رحمه الله

Tidak Semudah Itu untuk 'Delete' dan 'Edit'


Kita mungkin mampu 'delete' dan 'edit' status atau komen yang kita telah terlanjur menulisnya, namun tidak semudah itu untuk kita 'delete' dan 'edit' kesilapan yang mungkin kita telah lakukan kepada Dia atau individu atau kelompok tertentu atas tulisan kita tersebut tanpa bertaubat dan meminta maaf kepada mereka yang terbabit.

Percayalah, kita tidak pernah rugi jika kita mengambil sedikit masa untuk berfikir atas apa yang akan kita tulis dan sebutkan. Timbanglah ia diatas neraca dosa dan pahala sebelum menulis.

Semoga laman sosial menjadi wasilah yang memberatkan amal soleh kita, bukannya wasilah yang membawa kita kepada muflis di akhirat kelak.

الله المستعان.

Syuhada', Ulama', Qurra' dan Dermawan yang Dihumban ke Dalam Api Neraka


Antara golongan yang terawal diadili di hari qiamat kelak adalah mereka yang mati syahid. 
Kemudian ditanya kepada mereka, "Apakah yang kamu telah lakukan (amalan di dunia dahulu)?
Jawabnya, "Aku telah berjuang untukMu (wahai Allah) sehingga mati syahid".
Jawab Allah: "Kamu berbohong. Kamu berjuang untuk digelar pejuang yang berani".
Setelah dikatakan begitu, lalu ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.
Ditanyakan pula kepada (orang kedua), "Apakah yang kamu telah lakukan (amalan di dunia dahulu)?
Jawabnya, "Aku mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membacakan al-Quran keranaMu ".
Jawab Allah: "Kamu berbohong. Kamu mempelajari ilmu agar kamu boleh digelar ‘alim, kamu membaca Al Quran agar digelar qari".
Setelah itu, ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.
Kemudian ditanyakan kepada (orang ketiga), "Apakah yang kamu telah lakukan (amalan di dunia dahulu)?
Jawabnya, "Tidak ada sesuatu yang engkau sukai untukku dermakannya kecuali telah aku dermakannya keranaMu"
Jawab Allah: "Kamu berbohong. Kamu mendermakannya agar kamu digelar dermawan".
 Lalu ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.
(Riwayat Muslim, no:3527, Kitab Al Imarah)

Muhasabah untuk kita semua.

Setiap amalan akan dinilai berdasarkan niatnya walaupun pada zahirnya ia menepati Syariat dan merupakan satu amalan yang besar ganjarannya.

Niat boleh menjadikan sesuatu amalan besar itu menjadi kecil dan tidak berguna, namun niat juga mampu menjadikan satu amalan yang kecil itu sangat besar nilaiannya di sisi Allah.

Golongan Munafiq; Bilakah mereka mula muncul dalam masyarakat Islam?

Bilakah golongan Munafiq mula muncul dalam sejarah umat Islam?

Golongan Munafiq belum wujud sebelum hijrahnya Nabi Muhammad (صلى الله عليه وسلم) ke Madinah sehingga setelah kejadian Peperangan Badar al-Kubra.

Setelah kemenangan bersejarah umat Islam dalam peperangan Badar al-Kubra, sebahagian daripada manusia menampakkan keislaman mereka kerana takut, dan untuk menjaga darah dan harta mereka. Mereka inilah golongan Munafiq yang lahir di tengah-tengah masyarakat Islam.

Mereka menampakkan keislaman mereka secara lahiriyah, padahal pada hakikatnya, mereka bukanlah dari kaum Muslimin. Sejak dari itu, golongan Munafiq sentiasa wujud dalam masyarakat Islam sehinggalah ke hari ini.

Semoga kita dijauhkan daripada tergolong dalam golongan Munafiq, baik Munafiq dari segi iktiqad mahupun akhlak, ataupun cenderung kepada golongan Munafiq dan membantu mereka. Na'uzibillahi Min Zalik.


-Tafsir ayat ke 8 & dan 9 Surah al-Baqarah daripada kitab:
 "تفسير الكريم الرحمن في تفسير كلام المنان"
, karangan: الشيخ عبد الرحمن بن ناصر السعدي رحمه الله. 

Isnin, 17 Ogos 2015

Mengapa Harus Ada Rasa Ragu Dengan Sirah Nabi?


Ulama' berselisih pendapat tentang usia sebenar 'Aisyah (رضي الله عنها) ketika berkahwin dan mula tinggal bersama Rasulullah صلى الله عليه وسلم)). 

Apa yang pasti, umur Aisyah jauh lebih muda daripada umur Baginda ketika itu. Suatu jarak usia yang kelihatannya mustahil terjadi di zaman ini.

Perbezaan ini adalah antara hujah yang digunakan oleh orientalis dan pemikir-pemikir Barat untuk menyerang Islam dan menanamkan keraguan ke dalam jiwa umat Islam. Bahkan, tidak kurang umat Islam sendiri dari pelbagai aliran turut terpengaruh dengan serangan ini.

Mereka sebenarnya mungkin terlepas pandang atau buat-buat tidak nampak akan 'critical point' dalam isu ini, iaitu adat setempat pada zaman tersebut.

Kita sedia maklum yang kaum Musyirikin Mekah, puak Munafiq Madinah dan kaum Yahudi adalah penentang utama kepada Rasul dan sahabat-sahabat Baginda. Namun, pernahkah kita mendengar mereka menggunakan hujah jarak umur Nabi dengan isteri Baginda sebagai senjata untuk menyerang Nabi dan menanamkan keraguan kepada pengikut Baginda?

Tidak pernah.

Mereka adalah golongan yang paling membenci Nabi dan lebih mengenali Nabi. Jika 'point' itu cukup kuat untuk mencacatkan peribadi Nabi, mereka pasti lebih awal menggunakannya seperti mana mereka mengatakan Nabi menggunakan sihir, mahukan kekuasaan dan dakwaan-dakwaan lain.

Mereka tidak gunakan 'point' tersebut kerana perkahwinan dalam jarak usia tersebut adalah normal bagi masyarakat Arab ketika itu. Kita juga boleh melihat jarak usia sesetengah Sahabat dengan isteri-isteri mereka yang juga mempunyai jurang usia yang besar. Contohnya, Umar al Khattab رضي الله  عنه)) telah berkahwin dengan anak perempuan Ali bin Abi Tolib (رضي الله  عنه) yang bernama Umm Kalthum sedangkan kita sedia maklum bahawa jarak umur Ali jauh lagi muda dengan Umar, apatah lagi umur Umm Kalthum yang merupakan anak kepada Ali. Jaraknya pasti lebih jauh.  

Adat setempat boleh berubah-ubah mengikut tempat, zaman dan keadaan. Islam meraikan adat setempat selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariat.

Kita tidak pernah menyangkal mahupun pelik apabila mendengar cerita yang nenek moyang kita berkahwin dan bersalin pada usia awal belasan tahun dan menjadi datuk atau nenek pada usia seawal 20an, namun kita juga mengakui situasi tersebut mungkin sudah tidak sesuai di zaman ini.

Jika jarak masa beberapa generasi sahaja telah menghasilkan adat dan gaya hidup yang sangat berbeza, bagaimana dengan jarak ribuan tahun yang memisahkan zaman kita dan zaman tersebut?

Mengapa perlu ada rasa ragu dengan kisah Nabi yang jarak zamannya beribu tahun jauh dari zaman kita?

Sabtu, 15 Ogos 2015

Beberapa Hujah Akal Yang Menafikan Al-Qur'an Adalah Hanya Ciptaan & Rekaan Rasulullah (صلى اللـه عليه وسلم)


Antara beberapa hujah akal yang menunjukkan bahawa Al-Quran bukan direka dan bukan hanya dari buah fikiran Baginda (صلى اللـه عليه وسلم) adalah seperti berikut:

1. Terdapat ayat-ayat yang menegur perbuatan Nabi (صلى الله عليه وسلم) seperti ayat-ayat di awal surah 'Abasa. Mustahil untuk seseorang mencipta satu ayat yang menegur perbuatannya sendiri serta dibacakan dan diperdengarkan kepada orang ramai.

2. Terdapat ayat-ayat yang menceritakan perihal umat terdahulu dengan sangat terperinci seperti bilangan hari dan tahun pemuda Kahfi ditidurkan dalam surah Al-Kahfi.

3. Ayat-ayat yang menceritakan tentang perkara-perkara masa hadapan dan penemuan-penemuan sains yang hanya mampu dibuktikan oleh umat terkemudian seperti peringkat-peringkat kejadian manusia yang telah diceritakan di awal surah al-Hajj, awal surah al-Mu'minun dan di beberapa tempat lain dalam Al-Quran.

4. Nabi صلى الله عليه وسلم)) sangat berhajat kepada penurunan wahyu dalam beberapa peristiwa tetapi wahyu tidak turun sehingga beberapa ketika yang telah ditetapkan oleh Allah seperti dalam peristiwa tuduhan terhadap 'Aisyah yang akhirnya dijawab oleh Allah dalam surah an-Nuur.

*Antara kitab yang baik untuk dibaca bagi menjawab segala syubahat yang ditimbulkan mengenai Al-Quran:

 - النباء العظيم نظرات جديدة في القرآن لشيخ محمد عبد الله دراز رحمه الله
 - قضايا قرآنية في الموسوعة البريطانية نقد مطاعن، ورد شبهات لشيخ الأستاذ
 الدكتور فضل حسن عباس رحمه الله

(Pengajian Ulum Al-Quran oleh Dr. Redha al-Hawari Hafizahullah, Universiti Yarmuk, Irbid, Jordan)


Khamis, 13 Ogos 2015

Suhail bin 'Amru رضي الله عنه


Suhail bin 'Amru رضي الله عنه adalah seorang pemidato kaum Quraisy yang sangat fasih dalam berhujah. Beliau merupakan antara penentang utama Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan para Sahabat di awal kebangkitan Islam.

Beliau telah ditangkap dan ditahan dalam peperangan Badar oleh tentera Muslimin. Setelah itu, beliau dibebaskan dan kembali ke Mekah. Beliau juga telah menjadi wakil yang dihantar oleh kaum Musyirikin untuk berbincang dengan kaum Muslimin dalam perjanjian Hudaibiyah kerana kebolehan beliau dalam berhujah dan membuat rundingan.

Beliau memeluk Islam pada hari pembukaan Kota Mekah dan setelah itu, beliau menggunakan kelebihan yang dikurniakan kepadanya dan menjadi seorang pemidato yang lantang berhujah dalam membela dan mempertahankan Islam. Beliau terlibat dalam beberapa siri peperangan di zaman Khulafa' ar-Rasyidin. 

Dua orang anak lelaki beliau, iaitu Abdullah dan Abu Jundal telah memeluk Islam sebelumnya (sebelum hijrah Baginda) dan seorang lagi anak lelaki beliau, 'Utbah/ 'Inabah telah memeluk Islam bersamanya pada hari pembukaan Kota Mekah.

Maha Suci Tuhan yang telah mengurniakan Hidayah kepada insan yang dikehendaki-Nya walaupun pada sebelumnya, insan tersebut sangat membenci agama-Nya dan mengubah kekuatan yang digunakan di zaman Jahiliyah kepada kekuatan yang dimanfaatkan sebaiknya untuk mempertahankan Islam.

Selasa, 11 Ogos 2015

Keimanan Anak-Anak 'Utbah bin Rabi'ah


'Utbah bin Rabi'ah adalah antara ketua Kaum Musyirikin Mekah yang sangat memusuhi kerja-kerja dakwah Nabi صلى الله عليه وسلم)) dan para pengikut Baginda di awal kebangkitan Islam. 'Utbah telah mati terbunuh dalam peperangan Badar. Sebahagian besar daripada anaknya memeluk Islam dan menjadi antara pembela agama Allah. Antaranya ialah:

1. Abu Huzaifah. Beliau merupakan antara sahabat Baginda yang awal memeluk agama Islam di saat ayahnya adalah penentang utama Baginda. Beliau telah berhijrah bersama isterinya ke Habsyah dan Madinah akibat tekanan daripada ahli keluarga. Beliau telah syahid dalam peperangan Yamamah menentang Musailimah al-Kazzab.

2. Ummu Aban. Beliau merupakan isteri kepada sahabat Baginda, Aban bin Sa'id bin al-'As.

3. Hindun. Beliau merupakan isteri kepada Abu Sufyan bin Harb dan ibu kepada Mu'awiyah. Menyertai kaum Musyirikin dalam peperangan menentang kaum Muslimin sebelum pengislamannya selepas pembukaan kota Mekah. Selepas pengislamannya, Hindun menyertai kaum Muslimin dalam peperangan memerangi kaum Kuffar seperti dalam peperangan Yarmuk.

4. Fatimah. Memeluk agama Islam bersama Hindun selepas pembukaan kota Mekah. Antara suami beliau adalah sepupu Baginda, 'Aqil bin Abi Tolib.

5. Abu Hasyim. Memeluk agama Islam pada pembukaan kota Mekah. Meriwayatkan beberapa hadith dari Baginda.

Maha Suci Tuhan Yang Maha Berkuasa  yang telah mengurniakan hidayah kepada insan-insan yang dikehendakiNya. Walaupun ayahnya seorang yang tegar menentang Islam, ia tidak menghalang cahaya Islam menembusi rumah-rumah mereka dan menusuk ke dalam jiwa anak-anak mereka.

Ahad, 9 Ogos 2015

انتقل إلى رحمة الله تعالى فضيلة الشيخ الأستاذ الدكتور وهبة بن مصطفى الزهيلي

"إن الله لا يقبض العلم انتزاعا ينتزعه من الناس، ولكن يقبض العلم بقبض العلماء حتى إذا لم يترك عالما اتخذ الناس رءوسا جهالا فسئلوا فأفتوا بغير علم فضلوا وأضلوا" - متفق عليه 
انتقل إلى رحمة الله تعالى فضيلة الشيخ الأستاذ الدكتورالعالم الفقيه المفسر وهبة بن مصطفى الزهيلي في دمشق˓سوريا في هذا اليوم.
إنا لله وإنا إليه راجعون. 
"اللهم اغفر له وارحمه واعف عنه وعافه وأكرم نزله ووسع مدخله، واغسله بماء وثلج وبَرَد، ونَقِّهِ من الخطايا كما ينقى الثوب الأبيض من الدنس، وأبدله داراً خيراً من داره، وأهلاً خيراً من أهله، وزوجاً خيراً من زوجه، وقِهِ فتنة القبر وعذاب النار" - رواه مسلم

من أهم مؤلفاته:*
الفقه الإسلامي وأدلته، والوجيز في الفقه الإسلامي، والوجيز في أصول الفقه، وآثار الحرب في الفقه الإسلامي؛ مقارنة بين المذاهب الثمانية والقانون الدولي، والمعتمد في الفقه الشافعي، والسلم والحرب في الإسلام، وأصول الفقه الإسلامي، وموسوعة الفقه الإسلامي والقضايا المعاصرة، وقضايا الفقه والفكر المعاصرة، وأصول الفقه الحنفي، والفقه الشافعي الميسر، والفقه الحنفي الميسر، والفقه والحنبلي الميسر، والفقه المالكي الميسر، والوسيط في أصول الفقه، وقواعد الفقه الحنبلي من كتاب المغني لابن قدامة، والاقتصاد الإسلامي، والمعاملات المالية المعاصرة، وشمائل المصطفى صلى الله عليه وسلم، والتفسير المنير في العقيدة والشريعة والمنهج، والإسلام دين الشورى والديمقراطية، والإسلام دين الجهاد لا العدوان وغير ذلك.