Memaparkan catatan dengan label Motivasi / Muhasabah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Motivasi / Muhasabah. Papar semua catatan

Isnin, 18 September 2017

3 Peringkat Yang Akan Dilalui oleh Penuntut Ilmu


Sesorang yang menuntut ilmu akan melalui tiga peringkat:

Peringkat pertama, iaitu dia akan merasakan takabbur (sombong) dengan ilmu yang ada. Dia akan merasakan sudah mempunyai banyak ilmu, manakala orang lain tidak mempunyai ilmu yang banyak seperti dia. Dia juga akan sentiasa merasakan pandangan dan pendapat dia yang paling tepat berbanding orang lain.

Peringkat kedua, iaitu seseorang itu akan merasa tawadhu' (merendah diri) dengan ilmu yang diperoleh. Ini kerana, semakin banyak seseorang itu mendalami ilmu, semakin banyak perkara baru yang dipelajari, semakin banyak perbincangan dan perbahasan yang diketahui, dan semakin ramai orang yang lebih berilmu ditemui. Perasaan tawadhuk dan kerdil akan datang ke dalam diri apabila memahami realiti sebenar.

Peringkat ketiga dan terakhir, iaitu seseorang itu merasakan seolah-olah tidak mengetahui apa-apa, ini kerana apabila semakin dalam seseorang itu mengkaji dan mendalami sesuatu ilmu, dia akan mengetahui bahawa ilmu itu sangat luas berbanding dengan hanya sedikit pengetahuan yang telah dia ada selama ini, seolah-olah dia tidak mengetahui apa-apa tentang sesuatu ilmu tersebut.

Berbahagialah mereka yang telah berjaya ke peringkat kedua dan ketiga kerana peringkat ini akan menjadikan anda seorang yang berlapang dada, tidak suka akan perbalahan, menghormati orang lain, menghormati dan menyayangi ahli ilmu, serta mencintai ilmu dan tidak akan berasa puas dengan ilmu yang ada.

Realitinya, ramai yang hanya berada setakat peringkat pertama sahaja dan terhenti di situ tanpa mampu melangkah ke dua peringkat seterusnya.

(Manfaat yang diperoleh daripada kelas pengajian Usul Thalathah bersama Sheikh Dr. Sulaiman al-Ghusun Hafizahullah)

Antara Zuhud dan Wara'


Wara' adalah meninggalkan apa yang memudaratkan daripada perkara-perkara dunia.
Zuhud adalah meninggalkan apa yang tidak bermanfaat kepada akhirat.
Orang yang zuhud menjauhkan perkara yang tidak bermanfaat kepadanya, manakala orang yang wara' melakukan perkara yang harus baginya dan meninggalkan perkara yang memudharatkannya.
Meninggalkan apa yang tidak bermanfaat lebih tinggi daripada meninggalkan apa yang memudharatkan.
(Sheikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin Rahimahullah)
Ukuran zuhud kepada seseorang bukan terletak kepada pakaian lusuh yang dipakainya mahupun kereta buruk yang dinaikinya, tetapi terletak kepada setakat mana seseorang itu mampu meninggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat kepada akhirat dalam kehidupannya.

Pesanan untuk Mereka yang Mengambil Upah Badal Haji


" ولا يستحب للرجل أن يأخذ مالاً يحج به عن غيره، إلا لأحد رجلين:

إما رجل يحب الحج ورؤية المشاعر، وهو عاجز فيأخذ ما يقضى به وطره الصالح، ويؤدي عن أخيه فريضة الحج،

أو رجل يحب أن يبرئ ذمة الميت عن الحج، إما لصلة بينهما أو لرحمة عامة بالمؤمنين ونحو ذلك،
فيأخذ ما يأخذ ليؤدي به ذلك، وجماع هذا أن المستحب أن يأخد ليحج، لا أن يحج ليأخذ"

 ((تقي الدين أبو العباس أحمد بن عبد الحليم بن تيمية الحراني، مجموع الفتاوى (19/26)


Ahad, 17 September 2017

Tujuan Orang Mu'min Menziarahi Kubur



Tujuan orang-orang Mu'min menziarahi kubur:

1) Untuk mengingati hari Akhirat, mengambil iktibar dan pengajaran darinya.

2) Untuk membuat kebaikan kepada ahli kubur dengan mendoakan mereka, memohon keampunan, kerahmatan dan kebaikan kepada mereka.

3) Untuk membuat kebaikan kepada diri sendiri dengan mengikut sunnah Nabi (صلى الله عليه وسلم) yang menziarahi kubur dan berhenti setakat apa yg dilakukan oleh Nabi sahaja ketika menziarahi kubur.


(إغاثة اللهفان من مصايد الشيطان لابن قيم الجوزية رحمه الله)

Jumaat, 20 Januari 2017

Adakah Kita Benar-Benar Mengenali Ibu Kita Sendiri?

Di tengah-tengah pengajian hadith daripada kitab Taudhihul Ahkam min Bulughul Maram, Sheikh Muhammad Abdullah al-Khudair Hafizahullah telah bertanyakan kepada kami, siapa antara kamu yang tidak mengenali ibu sendiri?
Semua menjawab, mestilah kami mengenali ibu kami sendiri.
Ok, kalau macam tu siapa antara kamu yang ingat kesemua nama Isteri Nabi (صلى الله عليه وسلم) beserta dengan nasab mereka hingga ke datuk setiap isteri-isteri Nabi tersebut? (orang Arab sangat mementingkan nasab keturunan)
Kami semua terdiam.
Sheikh Muhammad al-Khudair bertanya lagi, bukankah mereka itu ibu-ibu kamu dan ibu-ibu umat Islam semuanya?
Beliau menamatkan 'pukulan' pada pagi tersebut: Jika diberikan senarai nama-nama pemain bola, kamu semua dapat mengenali dan membezakan sama ada pemain itu bermain di kelab al-Hilal, al-Ittihad, an-Nasr dan kelab-kelab lain (kelab-kelab bola sepak di Arab Saudi).
Namun, sayangnya nama ibu-ibu kamu sendiri kamu tak kenali.
Kami semua terus terdiam. Pukulan yang sangat padu dikenakan kepada kami pada pagi tersebut.
*Sheikh Muhammad bertanyakan soalan tersebut apabila kami bertemu dengan satu hadith yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin, 'Aisyah (رضي الله عنها).

Perkara-Perkara yang Boleh Mengangkat Dosa-Dosa yang Telah Dilakukan



Dosa yang telah dilakukan boleh terangkat disebabkan oleh:


1. Taubat
2. Istighfar
3. Amalan-amalan soleh yang menghapuskan amalan-amalan jahat
4. Musibah yang menghapuskan dosa
5. Syafaat yang diberikan
6. Rahmat dan kasih sayang Allah.

Sumber: 
Kitab:رفع الملام عن الأئمة الأعلام 
Karangan: أبو العباس تقي الدين أحمد ابن تيمية رحمه الله

Tidak Semudah Itu untuk 'Delete' dan 'Edit'


Kita mungkin mampu 'delete' dan 'edit' status atau komen yang kita telah terlanjur menulisnya, namun tidak semudah itu untuk kita 'delete' dan 'edit' kesilapan yang mungkin kita telah lakukan kepada Dia atau individu atau kelompok tertentu atas tulisan kita tersebut tanpa bertaubat dan meminta maaf kepada mereka yang terbabit.

Percayalah, kita tidak pernah rugi jika kita mengambil sedikit masa untuk berfikir atas apa yang akan kita tulis dan sebutkan. Timbanglah ia diatas neraca dosa dan pahala sebelum menulis.

Semoga laman sosial menjadi wasilah yang memberatkan amal soleh kita, bukannya wasilah yang membawa kita kepada muflis di akhirat kelak.

الله المستعان.

Syuhada', Ulama', Qurra' dan Dermawan yang Dihumban ke Dalam Api Neraka


Antara golongan yang terawal diadili di hari qiamat kelak adalah mereka yang mati syahid. 
Kemudian ditanya kepada mereka, "Apakah yang kamu telah lakukan (amalan di dunia dahulu)?
Jawabnya, "Aku telah berjuang untukMu (wahai Allah) sehingga mati syahid".
Jawab Allah: "Kamu berbohong. Kamu berjuang untuk digelar pejuang yang berani".
Setelah dikatakan begitu, lalu ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.
Ditanyakan pula kepada (orang kedua), "Apakah yang kamu telah lakukan (amalan di dunia dahulu)?
Jawabnya, "Aku mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membacakan al-Quran keranaMu ".
Jawab Allah: "Kamu berbohong. Kamu mempelajari ilmu agar kamu boleh digelar ‘alim, kamu membaca Al Quran agar digelar qari".
Setelah itu, ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.
Kemudian ditanyakan kepada (orang ketiga), "Apakah yang kamu telah lakukan (amalan di dunia dahulu)?
Jawabnya, "Tidak ada sesuatu yang engkau sukai untukku dermakannya kecuali telah aku dermakannya keranaMu"
Jawab Allah: "Kamu berbohong. Kamu mendermakannya agar kamu digelar dermawan".
 Lalu ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.
(Riwayat Muslim, no:3527, Kitab Al Imarah)

Muhasabah untuk kita semua.

Setiap amalan akan dinilai berdasarkan niatnya walaupun pada zahirnya ia menepati Syariat dan merupakan satu amalan yang besar ganjarannya.

Niat boleh menjadikan sesuatu amalan besar itu menjadi kecil dan tidak berguna, namun niat juga mampu menjadikan satu amalan yang kecil itu sangat besar nilaiannya di sisi Allah.

Khamis, 6 Ogos 2015

Cara Perhubungan; Moden vs Konservatif


Retaknya hubungan persaudaraan dan persahabatan di zaman ini adalah disebabkan oleh kurangnya bersangka baik, dan kurangnya pertemuan 'face to face' antara sesama insan. Malah, kurangnya sentuhan seringkas seperti bersalam-salaman mahupun ucapan ringkas seperti memberi salam berulamkan senyuman mesra juga menjadi antara punca keretakan hubungan persaudaraan dan persahabatan.

Segala kekurangan ini walaupun kelihatannya ringkas tetapi sangat memberi impak dan kesan dalam perhubungan. Banyak salah faham yang berlaku dan persengketaan yang tercetus mampu diselesaikan dengan pertemuan ringkas yang hanya memakan masa beberapa minit sahaja. Bahkan adakalanya cukup dengan bersua muka tanpa perlu berkata-kata apa, kerenggangan dapat dieratkan. 

Kemudahan berkomunikasi melalui pelbagai medium media sosial seperti facebook, whatsapp, telegram, twitter, instgram, wechat dan lain-lain kelihatannya seperti mendekatkan yang jauh dan merapatkan yang dekat, namun sebenarnya ia juga bisa menjauhkan yang dekat dan merenggangkan yang rapat. Banyak salah faham berlaku dan persengketaan bermula serta membarah disebabkan oleh kecanggihan sistem komunikasi moden.

Yang dimaksudkan lain, yang difahami lain. Yang digambarkan lain, yang tergambar lain. Yang diluahkan lain, yang dirasai lain.

Walaupun cara konservatif dalam perhubungan ini memerlukan sedikit komitmen masa dan tenaga untuk dipraktikkan, tetapi ia cukup berkesan berbanding cara moden dalam perhubungan yang lebih mudah, pantas dan menjimatkan masa untuk dipraktikkan, namun ia mempunyai risiko lain yang mampu membawa kepada kesan-kesan buruk,

Cara moden dalam perhubungan tetap mempunyai kebaikannya yang begitu banyak, tapi jangan pernah meminggirkan cara konservatif dalam perhubungan kerana ia sangat berkesan dan meninggalkan bekas yang positif. Adunilah kedua-dua cara ini secara bersama mengikut kesesuaian keadaan, waktu dan tempat.

Peliharalah hubungan kita dengan Pencipta dan yang diciptakan, insyaAllah segala urusan kita menjadi mudah dan hidup kita lebih tenang serta ceria.

Khamis, 23 Julai 2015

Perbezaan Penuntut Ilmu Dahulu dan Sekarang


Ibnu Qutaibah rahimahullah telah berkata:
"Adalah penuntut ilmu di waktu dahulu mendengar untuk belajar, dan belajar untuk beramal, dan mendalami agama Allah untuk dimanfaatkan dan memanfaatkanya.
Sesungguhnya apa yang berlaku sekarang, penuntut ilmu mendengar hanya untuk dikumpul, diingati dan dihafaz ilmu tersebut untuk digunakan dalam perbahasan. Mereka inginkan kemenangan dalam perbahasan malah berbangga dengan kejayaan itu"

Sumber: الشيخ عبد الفتاح أبو غدة رحمه الله، رسائل الأئمة السلف وأدبهم العلمي


Begitulah perbezaaan penuntut ilmu di antara dua zaman seperti yang digambarkan oleh Ibnu Qutaibah rahimahullah. Perbezaan tujuan menuntut ilmu telah memberikan perbezaan kepada hasil yang dikeluarkan daripada proses menuntut ilmu tersebut.

Penuntut ilmu di zaman sekarang sangat kurang yang mempunyai sikap tawadhuk dan merendah diri. Mereka akan cepat merasa cukupnya dengan ilmu yang ada dan merasakan ia mempunyai ilmu yang banyak berbanding orang lain. 

Ia adalah kesan daripada tujuan asal menuntut ilmu yang bukan untuk diamalkan, tetapi untuk dikumpul dan dihafaz serta akhirnya digunakan untuk diperdebatkan. 

Mereka yang memenangi perdebatan akan dilihat sebagai orang yang paling berilmu walaupun hilangnya segala akhlak dan adab yang sepatutnya mengiringinya. Bahkan, sesetengah daripada mereka yang kelihatannya hebat di medan perdebatan sebenarnya tidak mempunyai ilmu yang selayaknya untuk berdebat kerana tidak memperoleh maklumat/ilmu melalui disiplin yang sepatutnya dan sangat lemah dalam penguasaan ilmu-ilmu alat untuk mencapai kepada pemahaman sebenar dalam sesuatu ilmu. 

Perbetulkan dan perelokkan kembali niatmu wahai penuntut ilmu agar segala ilmu yang diperoleh mampu diamalkan sebaiknya dan dimanfaatkan untuk agama, ummah, dan masyarakat.


Isnin, 20 Julai 2015

Pertanyaan Yang Tidak Digalakkan



Imam Asy-Syatibi rahimahullah di dalam kitabnya, al-Muwafaqat, telah meletakkan beberapa ciri-ciri soalan yang makruh ditanya. Antaranya ialah:

1. Bertanya akan perkara yang tidak memberi manfaat kepada Islam. Antara tujuannya agar setiap soalan yang ditanya memberi manfaat kepada Islam.

2. Bertanya akan perkara yang sudah diketahui jawapannya.  Tiada keperluan, bahkan membuang masa dan mungkin boleh menyakiti hati orang yang ditanya.

3. Bertanya akan perkara yang tidak diperlukan ketika itu. Contohnya, bertanya akan perkara masa hadapan yang tidak berlaku lagi atau mustahil untuk berlaku.

4. Bertanya dengan bertujuan untuk merendahkan-rendahkan orang yang ditanya (bertanya perkara yang susah dengan niat yang jahat). Perkara ini banyak berlaku dalam perdebatan-perdebatan yang tidak berfaedah dan tidak mempunyai titik temu,

5. Bertanya untuk menimbulkan perbalahan. Perkara ini juga banyak berlaku dalam perdebatan-perdebatan yang tidak berfaedah dan tidak mempunyai titik temu,

6. Bertanya tentang 'illah pada perkara-perkara ta'abbudi. Contohnya, bertanya kenapa solat Subuh sebanyak 2 rakaat, kenapa perlu berpuasa di bulan Ramadhan sahaja, bukan di bulan-bulan lain.

7. Bertanya tentang perkara-perkara mutasyabihat. Tidak bertanya lebih baik dan berhenti setakat apa yang dikhabarkan sahaja.

Bukan sahaja malu bertanya akan sesat, bahkan di sesetengah keadaan, banyak bertanya juga boleh membawa kepada kesesatan dan kerosakan. Bertanyalah mengikut keperluan dan manfaatkan ruang pertanyaan sebaiknya.

Bertanyalah untuk menuju 'cahaya', bukannya menuju 'kegelapan'.

Jumaat, 17 Julai 2015

Lelaki Yang Baik Untuk Perempuan Yang Baik; Fungsi Sebenar Seorang Wali


Sheikh Muhammad bin Soleh Al-‘Uthaimin (Ibn 'Uthaimin) Rahimahullah pernah didatangi oleh seorang pemuda setelah selesai kuliah pengajian di Universiti al-Qassim, Arab Saudi. Pemuda itu bernama Khalid dan merupakan seorang mahasiswa ketika itu.

Setelah selesai sesi kuliah tersebut, beliau menghampiri Sheikh Ibn ‘Uthaimin yang ketika itu hendak pulang ke rumah. Pemuda itu nekad memberanikan diri untuk bertanya, “Sheikh, apakah Tuan Sheikh mempunyai anak perempuan?”

Ketika mendengar pertanyaan pemuda tersebut, berubah mimik muka Sheikh Ibn ‘Uthaimin dan beliau bertanya, “Ada apa akh?”

Pemuda itu menjawab, “Kalau ada, saya berniat untuk meminangnya. Bolehkah saya meminangnya?”

Kemudian, Sheikh Ibn ‘Uthaimin berkata, “Tunggulah khabar dariku, InsyaAllah akanku hubungi dengan telefon…”

Hari terus berlalu tetapi khabar jawapan daripada Sheikh masih belum diketahui. Pemuda tersebut semakin gelisah menanti jawapan daripada Sheikh. Ia bertanya dalam hati, “Adakah Sheikh sudah lupa? Adakah perlu saya mengingatkannya?”

Namun, pemuda tersebut teringat akan pesanan daripada Sheikh untuk menunggu panggilan daripadanya. Sebulan setelah peristiwa itu, Sheikh Ibn ‘Uthaimin cuba untuk menghubungi pemuda tersebut, tetapi pada ketika itu pemuda tersebut berada dalam kuliah pengajian. 

Pemuda tersebut menghubungi kembali Sheikh Ibn ‘Utsaimin setelah dimaklumkan yang Sheikh ada menghubunginya ketika dia berada dalam kuliah. Pemuda tersebut pun bertanya kepada Sheikh, “Ada apa wahai Sheikh?”

“Aku ingin melanjutkan perbincangan kita sebelum ini, akhi.”

“Perbincangan yang mana, Sheikh?”. Pemuda tersebut hampir-hampir terlupa tentang pertanyaannya terhadap Sheikh mengenai anak perempuannya kerana tidak meletakkan harapan yang tinggi dan Sheikh hanya berdiam diri dalam tempoh yang lama.

“Perbincangan ketika kamu mengekori aku di suatu jalan. Akhi, silakan untuk meneruskan prosesnya..”

Pemuda tersebut sangat terkejut apabila mendengar jawapan daripada Sheikh. Ternyata Sheikh Ibn ‘Uthaimin masih mengingatinya dan beliau pun akhirnya berkata kepada Sheikh Ibn 'Uthaimin, “Sheikh, saya memohon untuk memaklumkan kepada orang tua saya terlebih dahulu untuk proses selanjutnya…”

“Silakan akhi, saya tunggu kedatangan kalian…” Jawab Sheikh Ibn ‘Uthaimin.

Apakah yang dilakukan oleh Sheikh Ibn ‘Uthaimin selama tempoh sebulan tersebut?
Sheikh Ibn ‘Uthaimin sebenarnya menyelidiki dan menyiasat sendiri tentang pemuda ini dari segi pergaulannya, bagaimana beliau dari kaca mata teman-temannya, dari perspektif guru-gurunya, bagaimana kesungguhannya dalam menuntut ilmu, bagaimana prestasinya di kampus, dan bagaimana latar belakang keluarganya.

Beliau melakukannya semua perkara tersebut secara sendiri walaupun Sheikh Ibn 'Uthaimin adalah seorang ulama' besar pada ketika itu!

Beliau tidak terus bertanya pemuda tersebut mengenai maklumat peribadinya mahupun menggunakan bantuan orang lain. Beliau menyelidikinya sendiri melalui maklumat-maklumat orang-orang di sekeliling pemuda tersebut. Setelah berpuas hati, barulah Sheikh Ibn 'Uthaimin bermusyawarah dengan ahli keluarga beliau sebelum memberi jawapan kepada pemuda tersebut.

Inilah adab dan cara seorang ‘ulama yang bernama Sheikh Muhammad bin Soleh Al-‘Uthaimin Rahimahullah yang harus dicontohi oleh setiap ayah/ abang/ bapa saudara/ datuk yang bertanggungjawab menjadi wali kepada seorang perempuan. Urusan dilakukan sendiri dengan sangat berhati-hati agar anak yang dijodohkan kelak akan bersuamikan seorang yang soleh dan bertaqwa. Soalan dan neraca timbangan seseorang pemuda yang datang meminang juga harus dicontohi. Bukan hanya fokus kepada perkara duniawi, tetapi aspek akhlak, adab, hubungan sosial, pengamalan agama yang dititikberatkan dan menjadi kayu ukur sama ada seseorang itu layak atau tidak untuk menjadi suami, ayah dan ketua keluarga kelak.

Pemuda tersebut yang akhirnya menjadi menantu kepada Sheikh Ibn 'Uthaimin itu adalah Sheikh Dr. Khalid Al-Mushlih yang ketika ini merupakan salah seorang ulama besar di Arab Saudi.

Permulaan yang baik, dengan cara baik, ke atas orang baik, hasilnya pasti menghasilkan yang terbaik.

Khamis, 16 Julai 2015

Jangan Malu untuk Mengatakan Tidak Tahu



Ibnu Abbas radhiyallahu 'anhuma telah bertanya sahabat-sahabatnya:
"Adakah kamu semua mahu agar aku tunjukkan sesuatu ilmu yang besar?"

Mereka menjawab:
"Sudah tentu"

Ibnu Abbas radhiyallahu 'anhuma berkata:
"Apabila seseorang ditanya akan perkara yang dia tidak tahu, maka dia berkata: Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui"

(as-Suyuthi rahimahullah, Adab al-Fatya)

Perkara ini nampak mudah untuk diungkapkan, tetapi pada hakikatnya amat kurang yang mengatakan tidak tahu pada zaman ini. Berapa ramai yang mengeluarkan fatwa, sedangkan diri masih lagi dalam keadaan jahil mahupun tidak pasti akan kedudukan sesuatu keadaan tersebut.

Gejala ini semakin kelihatan jelas bagi para pelajar aliran agama yang baru setahun jagung terjun ke lautan perbahasan ilmu yang sangat luas. Mulut mahupun tangan (melalui penulisan) sangat mudah berfatwa sedangkan diri masih lagi merangkak dalam memahami ilmu alat dan asas seperti bahasa Arab dan ilmu-ilmu alat yang lain. Apabila golongan yang bukan ahlinya mengeluarkan fatwa, maka rosaklah masyarakat.

Tidak kurang juga pendakwah-pendakwah terkenal yang sering muncul di kaca televisyen mahupun corong radio yang sering mengeluarkan fatwa atau pendapat, sedangkan mereka tiada keahlian tentang bidang tersebut. Demi menjaga imej yang baik, banyak perkara 'aneh' yang diutarakan kepada masyarakat. Perkara ini sangat berbahaya kerana mereka sangat berpengaruh dan memberikan impak yang besar kepada pegangan agama masyarakat awam.

Apabila kita berkata-kata akan sesuatu perkara yang kita tidak tahu, sebenarnya ilmu kita sangat kecil, walaupun kelihatan besar di mata manusia. Sebaliknya jika kita mengatakan tidak tahu dan mengembalikannya kepada Allah dan RasulNya akan perkara yang kita benar-benar tidak tahu, ilmu kita kelihatan kecil di mata manusia, tetapi sebenarnya kitalah yang mempunyai ilmu yang besar.

Jangan malu pada tempatnya!

Rabu, 21 Ogos 2013

Krisis di Mesir: Putaran Sejarah yang Berulang


Apa yang berlaku di Mesir pada hari ini sebenarnya adalah skrip ulangan kepada senario yang pernah berlaku di Mesir suatu ketika dahulu terutamanya pada zaman pasca penggulingan sistem beraja - rampasan pihak tentera - pengkhianatan pihak tentera terhadap Ikhwanul Muslimin - penangkapan pimpinan Ikhwan serta penghapusan segala gerakan dan anasir Ikhwan.

Jika dulu kita hanya membaca kisah kezaliman ini dalam buku-buku yang dilumati dan mendengarnya daripada mulut para asatizah, namun kini ia benar-benar berlaku.

Jika dulu wataknya adalah Jamal Abdul Naser dan Anwar Sadat, watak yang sama kini dimainkan oleh Abdul Fatah as-Sisi dan Hosni Mubarak.


Jika dulu wataknya adalah Hassan al-Banna, Abdul Kadir Audah, Zainab al-Ghazali, Hasan Hudhaibi dan Umar al-Timisani, watak yang sama kini mungkin dimainkan oleh Mohammed Morsi dan Muhammad Badi'e. Bahkan, sudah ramai rakyat Mesir turut menjadi watak dalam 'adegan' kali ini. Jumlah mereka mungkin akan terus bertambah selepas ini.

Tidak menghairankan jika kita kurang 'feel' apabila hanya membaca kisah di atas helaian kertas mahupun cerita yang didengari bukan daripada sumber pertama.

Namun, kini Allah takdirkan ia berlaku kembali. Ia berlaku bukan untuk dirasai oleh penduduk Mesir sahaja, bahkan untuk seluruh Umat Islam.

Allah takdirkan juga kemelut berlaku di Syria, Arakan serta tempat peperangan akhir zaman, Palestin, untuk seluruh umat Islam merasai dan menghadapinya bersama. 

Semuanya berlaku di zaman kita. Semestinya untuk kita semua. Sakitnya mereka adalah kesakitan kita. 

Amat malang jika kita lansung tidak merasainya, bahkan memandang sinis terhadap apa yang berlaku kepada umat Islam. Lebih malang jika kita menyumbang dan membantu memberikan kesakitan kepada umat Islam yang lain.

Semoga Allah membantu umat Islam di seluruh dunia dan kita pula tidak pernah 'cuai' dalam memberi bantuan kepada umat Islam yang lain, berdasarkan kemampuan dan ruang yang kita ada.

Sabtu, 5 Januari 2013

Kaedah Menguruskan Organisasi Berdasarkan Kisah Nabi Sulaiman 'Alaihissalam dan Burung Hud-Hud

"Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat burung belatuk (hud-hud)? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir?" (an-Naml: 20)


 "Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir)" (an-Naml: 21)


Dua ayat dalam surah an-Naml di atas menceritakan tentang kisah Nabi Sulaiman ‘alaihissalam dengan salah seekor tenteranya, iaitu burung belatuk (hud-hud). Dua ayat yang sangat ringkas jika dibaca, namun sebenarnya, banyak pengajaran dalam dua ayat ini khususnya berkenaan disiplin dalam berorganisasi.

Pemimpin harus peka tentang keadaan orang dibawahnya. Pemimpin harus tahu dan mengambil tahu tentang keadaan anak buahnya yang tidak dapat hadir ke sesuatu program, pertemuan atau mesyuarat.

Pemimpin harus mengambil berat tentang keadaan semua orang dibawahnya walaupun ia mungkin insan biasa yang tidak menonjol dalam organisasi. Tidak boleh double-standard dalam memberikan perhatian.


Salah satu cara untuk membantu para pemimpin mengetahui tentang kehadiran orang bawahannya seterusnya mengetahui keadaan mereka adalah dengan mengambil kehadiran mereka dalam program, mesyuarat dan lain-lain aktiviti, atau bertanya kepada sahabat-sahabat lain jika mereka tidak dapat hadir. Sangat mudah namun sangat memberi kesan kepada hubungan pemimpin-orang bawahan (qiadi-jundi) dan kelansungan sesuatu organisasi itu.

    
       Dalam organisasi, sistem hukuman ataupun ‘iqab haruslah wujud dan berfungsi jika ada di kalangan ahli organisasi, baik orang bawahan mahupun pemimpin yang melanggar peraturan organisasi. Namun, kelonggaran dan rasional manusiawi haruslah ada jika alasan dan sebab yang kukuh dikemukakan atas kesalahan tersebut. Pemimpin  juga harus bertindak tegas ke atas kesalahan yang dilakukan tanpa sebarang sikap pilih kasih.

   
  Antara adab yang penting dalam berorganisasi adalah adab memaklumkan sebarang ketidakhadiran ke sesuatu program atau aktiviti kepada orang yang sepatutnya seperti pemimpin, pengarah program ataupun pengerusi majlis. Adalah lebih baik memaklumkannya lebih awal, jika tidak mampu, hendaklah dimaklumkan selepasnya.
  
     Indahnya hidup berorganisasi. Saling melengkapi dan dilengkapi. Tiada jundi tanpa qiadi, tiada qiadi tanpa jundi. Semoga dua ayat yang pendek ini memberi ibrah kepada kita dalam menguruskan kehidupan seharian. Allahu’alam.

Jumaat, 2 November 2012

Pasca Haji 2012; Beberapa Pengajaran dan Peringatan untuk Orang-Orang yang Berfikir



1. Segala amal ibadah memerlukan kepada ilmu. Beberapa kesilapan dan salah faham berlaku di kalangan jemaah haji ketika melaksanakan ibadah haji kerana kurangya ilmu atau kurang mengambil berat tentang ilmu-ilmu haji sebelum melaksanakan haji. Contohnya, melontar ke jamrah dengan sekuat hati kerana menisbahkannya seperti melontar batu ke arah syaitan, tidak bermabit di Mina pada malam-malam hari tasyriq sebaliknya beriktkaf di Masjidil Haram dan tidak mengetahui perkara-perkara yang dilarang ketika berada dalam ihram.

2. Islam tidak pernah mengabaikan aspek kekuatan fizikal kepada penganutnya. Buktinya, ibadah haji yang merupakan satu ibadah yang memerlukan kekuatan dan ketahanan fizikal untuk melaksanakannya. Namun, Islam bukan hanya kepada kekuatan fizikal semata. Aspek fizikal adalah salah satu aspek daripada aspek-aspek yang ditekankan dalam ajaran Islam yang sempurna. Amat sukar melaksanakan kewajipan haji seperti  mengerjakan 7 pusingan tawaf dan saie dengan penuh sesak lautan manusia tanpa adanya kekuatan fizikal.

3. Benarlah peringatan Ilahi melalui kalamNya dalam surah al-Baqarah, ayat 197 agar janganlah bertengkar/berdebat ketika melaksanakan ibadah haji. Ia adalah salah satu daripada tiga perkara yang ditegah secara jelas oleh Allah dalam ayat tersebut. Ketika melaksanakan ibadah haji, banyak keadaan dan situasi yang sebenarnya membuka peluang dan ruang untk berlaku pertengkaran. Dengan izin Allah, saya diberi peluang untuk menghadapi situasi tersebut dan juga melihat pertengkaran berlaku di kalangan jemaah haji.

4.  Ibadah haji adalah satu ibadah yang menuntut banyak pengorbanan dan kesabaran seperti mana yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S., isterinya Hajar dan puteranya, Nabi Ismail A.S. Malah, salah satu kewajipan haji, iaitu ibadah saie antara bukit Safa dan Marwah merupakan ibadah yang disyariatkan daripada peristiwa cemas Hajar mencari air untuk anaknya Nabi Ismail A.S. Banyak perkara yang dikorbankan untuk melaksanakan ibadah haji seperti harta, masa dan tenaga. Setibanya di Tanah Haram, kesabaran amat dituntut kerana setiap orang akan diuji dengan ujian yang berbeza sebagai tapisan daripada Allah untuk mencari pemenang haji mabrur di akhirnya.


5. Setiap ilmu tidak akan sempurna jika ia hanya di medan teori semata. Berdasarkan pengalaman saya, ibadah haji hanya akan benar-benar difahami selepas kita melaluinya sendiri dengan amalan dan perbuatan seperti berihram, tawaf ifadhah, melontar di tiga jamrah, miqat di mina dan muzdalifah serta wuquf di Arafah.

6. Ibadah haji khususnya Hari Arafah adalah gambaran awal kepada perhimpunan besar seluruh umat manusia kelak, iaitu perhimpunan di Padang Masyhar. Pada Hari Arafah, semua jemaah haji dikumpulkan di satu tempat (Arafah) tanpa mengira pangkat, jawatan, status, bangsa, warna kulit, jantina mahupun keturunan. Tiada ibadah haji bagi sesiapa yang tidak berwuquf di Arafah walaupun sesaat pada hari tersebut. Pada hari tersebut, semua berkumpul dengan tujuan yang satu, iaitu untuk mendapat keredhaan Allah dan diterima ibadah haji masing-masing, samalah seperti perhimpunan di Padang Masyhar kelak, tujuannya juga satu iaitu untuk bertemu Allah dan dihitungkan segala amalan sama ada ke syurga ataupun neraka. Pelbagai cara yang dilakukan oleh jemaah Haji untuk sampai ke Arafah pada hari tersebut, sama ada dengan menaiki kereta, bas, van mahupun berjalan kaki. Ketika di Arafah, ada yang selesa dengan berkhemah beserta kipas/air-cond, ada yang hanya menumpang teduh di tepi-tepi khemah dan ada juga yang hanya duduk berbumbungkan matahari yang panas membahang. Itu semua adalah gambaran di Padang Masyhar kelak. Ada yang akan memperoleh syafaat atas asbab menghafaz al-Quran, mati syahid, amal soleh khusunya 7 golongan yang dijanjikan syafaat di akhirat kelak, ada yang terpaksa menunggu lama di padang masyhar kerana banyaknya harta yang akan dihisab, dan ada juga yang sudah terseksa bermula dari alam kubur dan berlanjutan sehingga ke Padang Masyhar. Setiap orang akan membawa segala bekal di dunia sebagai modal dagangan di akhirat kelak. Namun, yang senang di dunia khususnya pada Hari Arafah, tidak semestinya akan menjadi orang yang paling senang di Padang Masyhar kelak. Orang yang paling susah di Hari Arafah mungkin merupakan orang yang paling senang di akhirat kelak.

7. Ibadah haji merupakan ibadah yang dilaksanakan sebagai tanda pengabdian diri kepada Allah dan kepercayaan penuh terhadap apa yang diperintahkan oleh Allah. Tidak semua bahkan mungkin hampir semua jemaah haji tidak memahami dengan akal manusia yang terhad kenapa sesuatu perkara ibadat itu diperintahkan. Contohnya, mengapa mesti melaksanakan tawaf sebanyak 7 pusingan, mengapa mesti bermabit di Mina paling kurang 2 malam, mengapa mesti bergerak ke Muzdalifah, seterusnya Arafah dan ke Mina untuk melontar Jamrah. Semua persoalan tersebut sukar untuk dijawab dengan akal manusia. Namun, sebagai hamba yang taat, semua ibadah dan peraturan tersebut dilaksanakan sebaiknya walaupun banyak kesukaran yang ditempuhi.

8. Amat rugi jika melaksanakan ibadah haji tanpa dapat menghayati pengorbanan Nabi Ibrahim A.S., Hajar dan Nabi Ismail A.S. dan menjiwai perjuangan Rasulullah S.A.W. dan para sahabat Baginda di Tanah Haram. Bagaimana untuk menghayati dan menjiwainya? Bacalah dan fahamilah sejarah.

9. Benarlah, ganjaran bagi haji mabrur adalah syurga dan seperti bayi yang dilahirkan (bersih dari dosa-dosa yang lepas). Tidak mudah untuk memperolehinya dan amat beruntung jika memperolehinya.

Hujan turun membasahi bumi diikuti dengan kemunculan pelangi di langit ketika dalam perjalanan pulang ke Riyadh. Tanda bermulanya musim sejuk di Arab Saudi. Semoga ia juga adalah tanda ibadah haji kami diterimaNYA. 

Rabu, 9 Mei 2012

Mudah. Jangan Susahkan.



"Senangkanlah (permudahkanlah) dan jangan susahkan dan berilah khabar gembira dan jangan berikan khabar buruk (membuatkan orang lari daripadamu)." (HR Bukhari & Muslim).

Mudahkan. Jangan Susahkan.

Satu ungkapan yang bersandarkan hadith Baginda S.A.W. Namun, ia tidak semudah itu untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Alhamdulillah, dengan izin-Nya, diriku berkesempatan membaca sebuah lagi buku daripada ribuan buku yang ditulis untuk membantu kita mengharungi dan memahami erti kehidupan. Bukunya berjudul "Mudahkan Jangan Susahkan", keluaran Galeri Ilmu, di bawah tema Tarbiah Rohani. Buku ini ditulis oleh Syed Alwi Alatas, seorang penulis  yang telah menulis beberapa buah buku termasuk sebuah  buku 'best seller' yang berjudul "Bila Allah Menduga Kita", keluaran Mustread. Beliau berasal daripada Indonesia, namun kini menetap di Malaysia dan sedang mengikuti pengajian Doktor Falsafah dalam bidang Sejarah dan Tamadun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Buku berkulit putih ini mengandungi 270 muka surat dan 10 bab; setiap bab mengandungi beberapa sub-topik yang disusun bersesuaian dengan tema setiap bab.

Adakah buku ini menarik dan harus dibaca?

Membaca beberapa helaian pertama dalam buku ini, saya menjangkakan buku ini adalah seperti buku-buku yang pernah saya baca sebelum ini. Kebiasaannya, saya hanya mampu membaca untuk beberapa ketika sahaja, berhenti sebentar kerana kebosanan atau otak sangat berat dalam menghadam isi kandungan  buku tersebut, dan barulah boleh menyambung semula bacaan. Kadang-kadang tempoh berhenti itu lama, sehingga memakan masa berminggu-minggu.

Saya merasai kelainan apabila terus membelek helaian buku ini. Ayat yang mudah dan contoh yang pelbagai. Ayat yang mudah menjadikan otak tidak berat untuk menghadam, contoh yang pelbagai menghilangkan rasa bosan apabila membaca.

Buku ini secara umumnya, berkisarkan tentang dua perkataan, susah dan senang dalam kehidupan. Susah dan senang dilihat dari pelbagai sudut dan aspek. Jika senang, bagaimana untuk memanfaatkannya. Jika susah, bagaimana juga untuk memanfaatkannya. Penulis membawakan cerita bagi setiap sub-topik yang disentuh. Di akhir cerita, penulis akan memberi komentar  dari sudut pengajaran dan hikmah yang boleh digali dari setiap cerita yang dibawa.

Apa yang membuatkan buku ini sangat menarik adalah dari sudut cerita-cerita yang dibawa. Cerita yang dibawa datangnya dari pelbagai sumber yang menghasilkan perasaan yang berbeza. Adakalanya ketika di tengah-tengah pembacaan, saya rasa amat tersentuh dengan cerita yang dikongsi oleh penulis, adakalanya ceritanya agak lucu, adakalanya diri ini berasa sangat bersyukur atas segala kurniaan-Nya dan  adakalanya saya berasa sangat bersemangat. Semuanya kesan dari cerita-cerita yang dibawa oleh penulis yang bersumberkan pengalaman sendiri, pengalaman sahabat dan kenalan penulis, sirah anbiya', sirah Nabi Muhammad S.A.W., kisah sahabat-sahabat Baginda dan para tabi'en, kisah daripada al-Quran dan hadith Nabi S.A.W., dan kisah berinspirasi daripada tokoh-tokoh terdahulu, baik dari dunia Islam mahupun dunia Barat. Kepelbagaian sumber cerita-cerita yang dibawa sebenarnya  membawa pembaca kepada fokus yang sama, iaitu mudah, jangan susahkan.

Saya sangat terkesan dengan beberapa kisah yang telah dibawa penulis, antaranya kisah lelaki tua yang menjual Gado-Gado, kisah sahabat Nabi S.A.W. bernama Khabbab b. al-Aratt, kisah dari Surah al-Baqarah, ayat 67-71, pengemis Cak To dan kisah 2 penyair.  Kisah Khabbab dan kisah dari surah al-Baqarah adalah antara beberapa kisah yang pernah saya dengar sebelum ini, namun setelah membaca buku ini, ia telah membuka beberapa sudut pandang baru terhadap hikmah 2 peristiwa tersebut.

Buku ini telah membuka minda saya dan memberi sudut pandang yang baru terhadap kehidupan, terutamanya berkaitan dengan susah dan senangnya hidup ini. Buku ini sesuai untuk mereka yang sering diuji dengan kesusahan, sering menikmati kesenangan atau kadang-kadang merasakan diri ini tidak cukup kuat dengan sesetengah ujian yang menimpa. Sesuai untuk dibaca pada semua peringkat umur.

Kita sering terlupa jika berada dalam kesenangan, kita juga sering terlupa bahawa ramai lagi yang susah apabila kita diuji dengan sedikit kesusahan.

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan begitu sahaja, seraya berkata: "kami  telah beriman", sedangakan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui siapa orang-orang yang benar dan mengetahui siapa orang-orang yang dusta" (al-Ankabut;2-3)

Rasullulah S.A.W. pernah berdoa: " Ya Allah!  Tidak ada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikan mudah, sedangkan yang susah juga dapat Engkau jadikan mudah apabila Engkau menghendakinya" (HR Ibn Hibban).

Mudahkan. Jangan Susahkan.

Semoga mampu menjadikan budaya Iqra' sebagai rutin hidup kita yang utama.


Wallahu'alam.

Isnin, 23 April 2012

Kemenangan Itu Pasti



عَن‏ ‏النُّعْمَانِ بْنِ بَشِير‏ ‏قَالَ: ‏ 
كُنَّا قُعُودًا فِي الْمَسْجِدِ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏وَكَانَ ‏ ‏بَشِيرٌ ‏ ‏رَجُلًا ‏ ‏يَكُفُّ ‏ ‏حَدِيثَهُ فَجَاءَ ‏ ‏أَبُو ثَعْلَبَةَ الْخُشَنِيُّ ‏ ‏فَقَالَ يَا ‏ ‏بَشِيرُ بْنَ سَعْدٍ ‏ ‏أَتَحْفَظُ حَدِيثَ رَسُولِ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏فِي الْأُمَرَاءِ فَقَالَ ‏ ‏حُذَيْفَةُ ‏ ‏أَنَا أَحْفَظُ خُطْبَتَهُ فَجَلَسَ ‏ ‏أَبُو ثَعْلَبَةَ ‏ ‏فَقَالَ ‏ ‏حُذَيْفَةُ ‏ ‏قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏تَكُونُ النُّبُوَّةُ فِيكُمْ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةٌ عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ مُلْكًا ‏عَاضًّا ‏ ‏فَيَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ مُلْكًا ‏ ‏جَبْرِيَّةً ‏ ‏فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ ثُمَّ سَكَتَ

Daripada an-Nu’man bin Basyir, beliau berkata, suatu hari kami duduk di masjid Rasulullah S.A.W. Basyir (bin Saad) adalah seorang yang tidak banyak bercakap. Lalu datang Abu Tsa’labah dan beliau berkata, wahai Basyir bin Saad, apakah kamu menghafal Hadith Rasulullah S.A.W tentang kepimpinan (al-Umara’)? Lalu Hudzaifah berkata, aku menghafal khutbah Baginda S.A.W. Lantas Abu Tsa’labah al-Khashniyy duduk dan Huzaifah berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:

Kenabian akan berada bersamamu selama mana ia dikehendaki oleh Allah, kemudian Dia mengangkatnya ketika mana Dia mahu mengangkatnya.

Kemudian akan tiba pula zaman Khilafah di atas Manhaj Kenabian selama mana ia dikehendaki oleh Allah, kemudian Dia mengangkatnya ketika mana Dia mahu mengangkatnya.

Kemudian datang pula zaman raja yang menggigit (MalikunAadhun) selama mana ia dikehendaki oleh Allah, kemudian Dia mengangkatnya ketika mana Dia mahu mengangkatnya.

Selepas itu muncul pula zaman raja yang diktator (Malikun Jabriyyah) selama mana ia dikehendaki oleh Allah, kemudian Dia mengangkatnya ketika mana Dia mahu mengangkatnya.

Kemudian akan hadir pula zaman Khilafah di atas manhaj Kenabian…”

(HADITH RIWAYAT AHMAD 4/275, ABU DAUD 4/211, AT-TIRMIDHI 4/503)



Hadith di atas adalah satu hadith futuristik yang dituturkan oleh Baginda Rasullulah S.A.W. mengenai bentuk pemerintahan yang akan dilalui oleh umat Baginda sehingga hari Kiamat.

Ia bermula dengan zaman pemerintahan Baginda sehingga baginda wafat dan diteruskan oleh zaman khilafah di atas jalan kenabian. Ia merujuk kepada zaman pemerintahan Abu Bakar R.A., Umar R.A., Uthman R.A., Ali R.A. (ulama' bersepakat dalam perkara ini).

Selepas itu bermulalah zaman yang dimaksudkan oleh Nabi S.A.W. sebagai zaman pemerintahan Maalikun 'Aadhun (raja yang menggigit). Ia bermula dengan bermulanya pemerintahan Bani Umayyah (661M-750M/ 41H-133H), apabila Muawiyah R.A mewariskan pemerintahan Islam kepada anaknya, Yazid. Pemerintahan Islam beralih tangan kepada Bani 'Abasiyyah (750M-1258M/ 133H-656H), seterusnya pusat pemerintahan Islam berubah ke Konstatinopal di bawah pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah (1299M-1924M).

Walaupun terdapat beberapa Khalifah Islam yang soleh dan beriman ketika tiga zaman pemerintahan ini seperti Umar Bin Abdul Aziz, Sulaiman al-Qanuni dan Muhammad al-Fatih, namun bilangan mereka terlalu kecil dan tempoh pemerintahan mereka tidak terlalu lama berbanding khalifah-khalifah lain yang bersifat 'mengigit'.

Selepas kejatuhan Khilafah Islamiyyah pada tahun 1924M, maka bermulalah zaman yang digambarkan oleh Rasullulah S.A.W. sebagai Maalikun Jibriyyah (raja yang diktator). Perkara ini dapat dilihat dengan corak pemerintahan di zaman sekarang seperti di Mesir, Tunisia, Algeria (sehingga tumbangnya negara tersebut) dan beberapa negara lain yang mana pemerintahan diktator mereka masih berkekalan seperti di Syria dan beberapa negara lain (semoga Allah S.W.T. membantu kemenangan Islam).

Selepas zaman pemerintahan para diktator, maka akan tiba zaman pemerintahan khilafah di atas jalan kenabian dan akhirnya akan berlakunya Hari Kiamat. Ia adalah suatu perkara yang masih sukar digambarkan untuk masa depan kerana ia masih belum berlaku, namun yakinlah, ia pasti akan berlaku.

Jika kita melihat Islam ditekan dan dihina saban hari, baca dan yakinilah hadith ini. Ia adalah satu motivasi dari Ilahi tentang kemenangan Islam kelak. Persoalannya, adakah kita hanya ingin memerhatikan kemenangan Islam kelak? Tidakkah terdetik di hati untuk kita bersama-sama menyumbang ke arah kemenangan Islam yang sudah dijanjikan? Jika ada, apakah sumbangan kita ke arah kemenangan Islam?

Ayuh, persiapkan diri dan menyumbanglah ke arah kemenangan Islam. Kita mungkin dapat melihat kemenangan Islam, mungkin juga ia akan berlaku selepas zaman kehidupan kita di dunia ini. Ia pasti berlaku walaupun tidak diketahui masanya. Tidak mahukah kita menjadi sebahagian daripadanya?

Wallahua'lam.