"Senangkanlah
(permudahkanlah) dan jangan susahkan dan berilah khabar gembira dan jangan
berikan khabar buruk (membuatkan orang lari daripadamu)." (HR Bukhari
& Muslim).
Mudahkan.
Jangan Susahkan.
Satu
ungkapan yang bersandarkan hadith Baginda S.A.W. Namun, ia tidak semudah itu
untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Alhamdulillah,
dengan izin-Nya, diriku berkesempatan membaca sebuah lagi buku daripada ribuan
buku yang ditulis untuk membantu kita mengharungi dan memahami erti kehidupan.
Bukunya berjudul "Mudahkan Jangan Susahkan", keluaran Galeri Ilmu, di
bawah tema Tarbiah Rohani. Buku ini ditulis oleh Syed Alwi Alatas, seorang
penulis yang telah menulis beberapa buah buku termasuk sebuah buku
'best seller' yang berjudul "Bila Allah Menduga Kita", keluaran
Mustread. Beliau berasal daripada Indonesia, namun kini menetap di Malaysia dan
sedang mengikuti pengajian Doktor Falsafah dalam bidang Sejarah dan Tamadun di
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Buku
berkulit putih ini mengandungi 270 muka surat dan 10 bab; setiap bab
mengandungi beberapa sub-topik yang disusun bersesuaian dengan tema setiap bab.
Adakah
buku ini menarik dan harus dibaca?
Membaca
beberapa helaian pertama dalam buku ini, saya menjangkakan buku ini adalah
seperti buku-buku yang pernah saya baca sebelum ini. Kebiasaannya, saya hanya
mampu membaca untuk beberapa ketika sahaja, berhenti sebentar kerana kebosanan
atau otak sangat berat dalam menghadam isi kandungan buku tersebut, dan
barulah boleh menyambung semula bacaan. Kadang-kadang tempoh berhenti itu lama,
sehingga memakan masa berminggu-minggu.
Saya
merasai kelainan apabila terus membelek helaian buku ini. Ayat yang mudah dan
contoh yang pelbagai. Ayat yang mudah menjadikan otak tidak berat untuk
menghadam, contoh yang pelbagai menghilangkan rasa bosan apabila membaca.
Buku ini secara umumnya, berkisarkan tentang dua perkataan, susah dan senang dalam kehidupan. Susah dan senang dilihat dari pelbagai sudut dan aspek. Jika senang, bagaimana untuk memanfaatkannya. Jika susah, bagaimana juga untuk memanfaatkannya. Penulis membawakan cerita bagi setiap sub-topik yang disentuh. Di akhir cerita, penulis akan memberi komentar dari sudut pengajaran dan hikmah yang boleh digali dari setiap cerita yang dibawa.
Apa yang
membuatkan buku ini sangat menarik adalah dari sudut cerita-cerita yang dibawa.
Cerita yang dibawa datangnya dari pelbagai sumber yang menghasilkan perasaan
yang berbeza. Adakalanya ketika di tengah-tengah pembacaan, saya rasa amat
tersentuh dengan cerita yang dikongsi oleh penulis, adakalanya ceritanya agak
lucu, adakalanya diri ini berasa sangat bersyukur atas segala kurniaan-Nya dan
adakalanya saya berasa sangat bersemangat. Semuanya kesan dari cerita-cerita
yang dibawa oleh penulis yang bersumberkan pengalaman sendiri, pengalaman
sahabat dan kenalan penulis, sirah anbiya', sirah Nabi Muhammad S.A.W., kisah
sahabat-sahabat Baginda dan para tabi'en, kisah daripada al-Quran dan hadith
Nabi S.A.W., dan kisah berinspirasi daripada tokoh-tokoh terdahulu, baik dari
dunia Islam mahupun dunia Barat. Kepelbagaian sumber cerita-cerita yang dibawa
sebenarnya membawa pembaca kepada fokus yang sama, iaitu mudah, jangan
susahkan.
Saya
sangat terkesan dengan beberapa kisah yang telah dibawa penulis, antaranya
kisah lelaki tua yang menjual Gado-Gado, kisah sahabat Nabi S.A.W. bernama
Khabbab b. al-Aratt, kisah dari Surah al-Baqarah, ayat 67-71, pengemis Cak To
dan kisah 2 penyair. Kisah Khabbab dan kisah dari surah al-Baqarah adalah
antara beberapa kisah yang pernah saya dengar sebelum ini, namun setelah
membaca buku ini, ia telah membuka beberapa sudut pandang baru terhadap hikmah
2 peristiwa tersebut.
Buku ini
telah membuka minda saya dan memberi sudut pandang yang baru terhadap
kehidupan, terutamanya berkaitan dengan susah dan senangnya hidup ini. Buku ini
sesuai untuk mereka yang sering diuji dengan kesusahan, sering menikmati
kesenangan atau kadang-kadang merasakan diri ini tidak cukup kuat dengan
sesetengah ujian yang menimpa. Sesuai untuk dibaca pada semua peringkat umur.
Kita
sering terlupa jika berada dalam kesenangan, kita juga sering terlupa bahawa
ramai lagi yang susah apabila kita diuji dengan sedikit kesusahan.
"Apakah
manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan begitu sahaja, seraya berkata:
"kami telah beriman", sedangakan mereka tidak diuji? Dan
sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka
sesungguhnya Allah mengetahui siapa orang-orang yang benar dan mengetahui siapa
orang-orang yang dusta" (al-Ankabut;2-3)
Rasullulah
S.A.W. pernah berdoa: " Ya Allah! Tidak ada kemudahan kecuali apa
yang Engkau jadikan mudah, sedangkan yang susah juga dapat Engkau jadikan mudah
apabila Engkau menghendakinya" (HR Ibn Hibban).
Mudahkan.
Jangan Susahkan.
Semoga
mampu menjadikan budaya Iqra' sebagai rutin hidup kita yang utama.
Wallahu'alam.
2 ulasan:
Terima kasih diatas entri ini. saya memang suka membaca. Goog entry mostly.
Do visit me at :Visit : jomwalkabout.blogspot.com.
yep, beliau sedang melanjutkan pelajaran di iium skrg ni..
saya xingat brp harganya.. buku ni mmg sng didpati kt kedai2 sbb antara best seller book keluaran galeri ilmu..rasanya kt mph pun ada jual..
Catat Ulasan