Memaparkan catatan dengan label Al-Qur'an. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Al-Qur'an. Papar semua catatan

Ahad, 17 September 2017

Mengenali Salah Satu dari Kitab yang Telah Ditelan Zaman



Kitab Ahkamul Quran karangan Ibn al-Fara' al-Qadhi Abi Ya'la Rahimahullah merupakan salah satu daripada ribuan khazanah ilmu Islam yang tidak sampai kepada generasi kita. Kitab tersebut telah hilang ditelan zaman.


Namun, jika ingin mengetahui sebahagian isi kandungan kitab tersebut, kita boleh merujuk kitab Tafsir Zaadul Maasir fi 'Ilmi Tafsir karangan Ibn al-Jauzi Rahimahullah kerana beliau telah memetik sebahagian besar dari isi kandungan kitab Ahkamul Quran dan dijadikan rujukan dalam penulisan tafsir beliau.

Sabtu, 15 Ogos 2015

Beberapa Hujah Akal Yang Menafikan Al-Qur'an Adalah Hanya Ciptaan & Rekaan Rasulullah (صلى اللـه عليه وسلم)


Antara beberapa hujah akal yang menunjukkan bahawa Al-Quran bukan direka dan bukan hanya dari buah fikiran Baginda (صلى اللـه عليه وسلم) adalah seperti berikut:

1. Terdapat ayat-ayat yang menegur perbuatan Nabi (صلى الله عليه وسلم) seperti ayat-ayat di awal surah 'Abasa. Mustahil untuk seseorang mencipta satu ayat yang menegur perbuatannya sendiri serta dibacakan dan diperdengarkan kepada orang ramai.

2. Terdapat ayat-ayat yang menceritakan perihal umat terdahulu dengan sangat terperinci seperti bilangan hari dan tahun pemuda Kahfi ditidurkan dalam surah Al-Kahfi.

3. Ayat-ayat yang menceritakan tentang perkara-perkara masa hadapan dan penemuan-penemuan sains yang hanya mampu dibuktikan oleh umat terkemudian seperti peringkat-peringkat kejadian manusia yang telah diceritakan di awal surah al-Hajj, awal surah al-Mu'minun dan di beberapa tempat lain dalam Al-Quran.

4. Nabi صلى الله عليه وسلم)) sangat berhajat kepada penurunan wahyu dalam beberapa peristiwa tetapi wahyu tidak turun sehingga beberapa ketika yang telah ditetapkan oleh Allah seperti dalam peristiwa tuduhan terhadap 'Aisyah yang akhirnya dijawab oleh Allah dalam surah an-Nuur.

*Antara kitab yang baik untuk dibaca bagi menjawab segala syubahat yang ditimbulkan mengenai Al-Quran:

 - النباء العظيم نظرات جديدة في القرآن لشيخ محمد عبد الله دراز رحمه الله
 - قضايا قرآنية في الموسوعة البريطانية نقد مطاعن، ورد شبهات لشيخ الأستاذ
 الدكتور فضل حسن عباس رحمه الله

(Pengajian Ulum Al-Quran oleh Dr. Redha al-Hawari Hafizahullah, Universiti Yarmuk, Irbid, Jordan)


Isnin, 16 September 2013

Ayat al- Qur'an yang Telah Membuatkan Rasulullah Menitiskan Air Mata



Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam (s.a.w.) pernah meminta sahabat Baginda, Abdullah bin Mas'ud radhiallahu 'anhu (r.a.) membacakan Baginda ayat-ayat al-Qur'an. Lantas, Abdullah bin Mas'ud r.a. bertanya kepada Rasulullah s.a.w., "Ya Rasulullah, akukah yang akan membacakan kepada engkau, padahal ia (al-Qur'an) diturunkan kepada engkau?"


Rasulullah s.a.w. berkata: "Benar, tapi aku ingin mendengarkannya dibacakan oleh orang lain." Maka Abdullah bin Mas'ud r.a. pun membacakan ayat al-Qur'an bermula daripada permulaan surah an-Nisa' sehinggalah ayat ke 41:

فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِن كُلِّ أمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَى هَـؤُلاء شَهِيدًا

"Maka bagaimanakah (halnya orang kafir nanti), apabila Kami mendatangkan seseorang saksi (rasul) dari tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (sebagai umatmu)".

Baginda bersabda kepada Abdullah bin Mas'ud r.a. : "Cukuplah sehingga ayat ini.." dan air mata Baginda bercucuran keluar.

(Kisah ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Bercucuran air mata Baginda memikirkan nasib umatnya kelak, bagaimana pula dengan kita sebagai umatnya? Pernahkah kita menitiskan air mata kerana Baginda?

Adakah kita pernah berusaha untuk memastikan bahawa kita bukanlah daripada golongan yang menyebabkan Baginda bersedih, bahkan menjadi kebanggaan Baginda kelak?

Adakah kita layak untuk memperoleh syafaat Baginda di akhirat kelak?

Khamis, 18 Julai 2013

Guru Tahfiz Diperlukan


Assalamu'alaikum. 

*Guru Tahfiz sepenuh masa diperlukan di Maahad Tahfiz Al-Qur'an Al-Islah Desa Pinggiran Putra (MTQI-DPP)

*Tugasan diperlukan bermula 1 September 2013 (menggantikan Ustaz yang akan ke Timur Tengah)

*Makan, minum dan tempat tinggal disediakan

*Tugasan: Guru Tahfiz dan Warden

*Syarat asas yang diperlukan:
-Lelaki
-Boleh memandu kereta
-Mementingkan penjagaan hafazan al-Qur'an para pelajar (hafalan baru & lama)
-Menyayangi dan boleh mendidik kanak-kanak (umur pelajar dalam lingkungan 8 -12 tahun).

*Bonus jika boleh mengajar subjek akademik untuk kanak-kanak sekolah rendah.

*Jika berminat, boleh hubungi: 019-3063370 atau 019-2703370 atau melalui e-mel: azambakti@yahoo.com

*Untuk maklumat tambahan, sila lawati Page MTQI-DPP di facebook: https://www.facebook.com/MtqiDpp

Rabu, 28 November 2012

Surah al-Qasas:23-29; Beberapa Perkara Yang Kita Terlepas Pandang




Ramai antara kita yang pernah berbicara, menukil serta menulis mengenai kisah cinta suci antara Nabi Yusuf 'alaihissalam & Zulaikha, sedangkan kisah tersebut masih lagi diragui sumber asalnya. Sebenarnya, ada kisah yang lebih menarik dan telah diabadikan oleh Allah subhana wa ta’ala dalam al-Qur'an, namun jarang diambil iktibar dan dijadikan contoh; iaitu kisah Nabi Musa 'alaihissalam & anak perempuan Nabi Syuaib 'alaihissalam.

Dalam kisah yang diabadikan tersebut, beberapa perkara yang sangat baik untuk kita semua mengambilnya sebagai panduan hidup:

1. Seseorang lelaki yang gagah fizikalnya harus membantu perempuan yang lemah dari segi fizikalnya. (Nabi Musa 'alahissalam membantu dua orang anak perempuan Nabi Syuaib 'alahissalam mengambil air daripada telaga kerana mereka tiada kemampuan untuk melakukannya). Lelaki dan perempuan saling melengkapi. 

2. Cara berinteraksi antara lelaki & perempuan yang bukan mahram. (Nabi Musa 'alahissalam & 2 orang anak perempuan Nabi Syuaib 'alahissalam hanya berbicara perkara yang perlu sahaja ketika berinteraksi. Tidak berlebih-lebih dalam berbicara dan tidak juga kaku sehingga tidak mencapai maksud dan tujuan yang ingin disampaikan).

3. Sifat sebenar yang harus ada pada seorang perempuan (anak perempuan Nabi Syuaib 'alahissalam telah memanggil Nabi Musa 'alahissalam setelah diminta oleh ayahnya dalam keadaan malu-malu)

4. Salah satu cara untuk menyatukan 2 hati adalah dengan cara pinangan / lamaran datang daripada pihak perempuan. Tidak semestinya dari pihak lelaki seperti adat kebiasaan. (Nabi Syuaib 'alahissalam telah meminang / melamar Nabi Musa 'alahissalam untuk salah seorang daripada anak perempuannya)

5. Mahar perkahwinan tidak semestinya berbentuk wang ringgit. (Mahar perkahwinan antara Nabi Musa 'alahissalam & anak perempuan Nabi Syuaib 'alahissalam adalah perkhidmatan yang diberikan kepada Nabi Syuaib 'alahissalam dan keluarganya selama 8-10 tahun)

6. Isteri yang solehah adalah isteri yang bersama dengan suami dalam perjuangan menegakkan agama Islam (Isteri & keluarga Nabi Musa 'alahissalam turut bersama ke Mesir untuk berdakwah di sana dan bersemuka dengan Fir'aun).

Selasa, 19 Jun 2012

Anjakan Paradigma Huffaz



“Sungguh merisaukan apabila ada huffaz yang tidak tahu hendak ke mana” saya meluahkan pandangan.
“Itu sering berlaku, ustaz. Perasaan itulah yang banyak membelenggu pelajar semester akhir” jawab salah seorang sahabat.
Beliau turut gusar dengan perkara yang sama di kalangan rakannya.
Sudah lama saya menanti peluang ini.
Peluang untuk berwacana bersama pada Huffaz al-Quran.
Kelompok insan terpilih yang berpotensi tinggi, tetapi sebahagiannya dibelenggu oleh batasan-batasan yang dibina oleh persepsi massa.

16 Januari 2010, selepas penangguhan tarikh asal pada Ogos 2009 akibat H1N1, saya berkesempatan meluangkan sehari suntuk masa di Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Kuala Kubu Bharu.
Biar pun himpunan hasrat dan harapan di dada saya terasa dibataskan oleh tajuk yang bakal diperkatakan, namun saya tidak mahu terikat dengan tema program Bengkel Tinta Da’ie, pada hanya memperkatakan tentang teknik penulisan. Apa sahaja teknik yang bakal dibincangkan, ia hanya wasilah untuk ekspresi sesuatu yang lebih bersifat induk iaitu DAKWAH, sebagai subjek utamanya.
BEBANAN PERSEPSI

Mungkin punca kepada kaburnya perjalanan ini berkait dengan persepsi masyarakat yang menyalahi realiti. Ramai yang melihat bahawa menjadi hafiz atau hafizah, adalah satu destinasi. Sedangkan bagi seorang pelajar yang telah berjaya menyertai kelompok huffaz, dia tidak dapat merasakan bahawa dirinya tiba ke destinasi, tetapi seperti baru hendak memulakan perjalanan. Kombinasi di antara sangkaan orang ramai, dan perasaan seorang hafiz dan hafizah, telah mencipta satu beban yang berat untuk ditanggung oleh para huffaz. Mereka diberikan status sosial yang tinggi ketika mana setiap seorang berasa janggal untuk menampung status itu tanpa alat yang mencukupi.

Hakikatnya, menjadi seorang hafiz dan hafizah adalah satu fondisi yang sangat hebat. Tetapi ia bukan kemuncak cita-cita.

Secara peribadi, saya dapat merasakan betapa besarnya impak andaikata saya memulakan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda setelah menjadi seorang hafiz. Ia adalah satu kekurangan yang telah saya hadapi, biar pun ia tidak pernah menjadi halangan untuk meningkatkan penguasaan ilmu Syariatullah.

Di dalam mana-mana subjek, keperluan menghafal dan memahami nas al-Quran, di samping nas al-Hadith dan pendapat-pendapat ulama’ yang lain, adalah perkara asas yang diperlukan oleh seorang pelajar Syariah untuk memahami satu-satu topik yang dipelajari.  Melakukan semuanya dalam keadaan bukan seorang hafiz, terasa ada kekurangan yang memerlukan mujahadah besar bagi mengatasinya. Alangkah baiknya jika saya sudah menghafal al-Quran sepenuhnya semasa kaki melangkah ke bumi Syam dahulu. Malah, tuntutan universiti kepada pelajar Syariah agar menghafal 6 juzuk al-Quran sebagai syarat graduasi yang memerlukan kami untuk melakukannya di celah-celah 46 subjek, sudah cukup memeritkan. Belum lagi pada soal mengekalkan hafalan itu selepas ujian Tasmi’.

Selesai menghafal al-Quran sebelum mula belajar Syariah, adalah satu impian yang dibayang-bayangkan oleh setiap kami, semasa dihimpit kesulitan mengimbangkan hafalan al-Quran dengan proses pembelajaran yang padat.

Tetapi itu lebih baik daripada berjaya menjadi seorang hafiz dan hafizah, namun terus terjun ke gelanggang agamawan tanpa mendapat ilmu yang cukup berkaitan dengan proses memahami nas dan Syariah secara keseluruhannya. Jadi huffaz tapi belum jadi asatizah. Menghafal al-Quran tidak pernah sama sekali sinonim dengan memahami al-Quran. Kedua-duanya memerlukan proses yang tersendiri dan tidak boleh saling menampung secara simplistik.

Di sinilah titik yang menampakkan betapa institusi tahfiz dan status huffaz di negara kita memerlukan satu anjakan paradigma yang besar.

MEMINJAM CERMIN TURKI

Sebagai perbandingan, jika dilihat ke sebuah negara yang kaya dengan huffaz seperti Turki, di negara itu tidak ada sesiapa yang digelar sebagai al-hafiz. Menjadi seorang hafiz atau hafizah bukanlah sesuatu yang dianggap pencapaian dengan status sosial, tetapi ia hanya melunaskan satu tuntutan sebagai seorang Muslim. Justeru, mindset setiap pelajar yang menghafal al-Quran bukan untuk membawa hafazannya sebagai satu aset kerjaya.  Menjadi hafiz bererti telah memiliki sesuatu yang sangat besar untuk diri sendiri, tetapi belum mempunyai apa-apa untuk orang lain. Oleh itu, mereka menjadikan hafazan itu sebagai bekalan untuk meneruskan lagi proses pembelajaran. Dengan pemikiran seperti itu, saya melihat sendiri betapa sejumlah besar mahasiswa dan mahasiswi di Ilahiyat Fakultesi adalah terdiri daripada hafiz dan hafizah. Ia menjadi satu kredit besar buat mereka semasa melunaskan pengajian di peringkat universiti.

“Kamu sudah khatam al-Quran?” itu soalan yang sering ditanya di dalam masyarakat kita.
Terutamanya kepada anak gadis sebelum naik pelamin. Tetapi di Turki jarang sekali kedengaran orang bertanya demikian.
Lazimnya mereka akan bertanya, “kamu sudah menghafal al-Quran?”

PROSES YANG MELENGKAPI

Saya kongsikan diskusi berkenaan dengan hal ini bersama pelajar Darul Quran, agar mereka meletakkan satu azam untuk tidak mudah berpuas hati hanya dengan selesai menghafal al-Quran dan memperolehi Sijil atau Diploma yang ditawarkan, sebaliknya hendaklah disambung lagi dengan peringkat pengajian yang lebih tinggi, hingga sekurang-kurangnya berjaya memperolehi ijazah di dalam mana-mana cabang bidang Pengajian Islam, sebelum benar-benar boleh berperanan dengan baik menanggung kepimpinan Islam di dalam masyarakat.

Begitu juga dengan program pensijilan yang meletakkan sasaran program untuk melahirkan hafiz dan hafizah, yang kemudiannya disalurkan mengambil jurusan profesional (bukan Syariah), sebagai acuan melahirkan golongan Profesional Muslim, atau Profesional yang hafiz! Saya merasakan seperti ada unsur simplistik dalam meletakkan formula sedemikian rupa. Seorang jurutera yang menghafal al-Quran adalah satu kelebihan yang besar pada dirinya untuk menjadi seorang Muslim Profesional atau Profesional Muslim, asalkan hafazan itu dimasak dengan latihan formal atau tidak formal di dalam cabang-cabang disiplin Pengajian Islam yang kita sedia maklum. Tetapi untuk sekadar memiliki 30 juzuk hafalan di dalam diri, dan kemudian beralih pula ke bidang perubatan dan kejuruteraan untuk melahirkan tokoh-tokoh yang berinspirasikan al-Khawarizmi dan yang seumpama dengannya, ia kedengaran seperti satu retorik.

PROAKTIF

Justeru, kepada para hafiz dan hafizah itu sendirilah tanggungjawab bagi mereka bertindak secara proaktif dengan tidak membataskan diri kepada persepsi-persepsi itu tadi. Mereka harus mencabar diri untuk pergi lebih jauh. Jangan tunduk kepada demand yang hanya menghendaki kalian mengimamkan Tarawih. Itu besar, tetapi ada yang lebih besar menanti!
Kuasai ilmu-ilmu alat di dalam Pengajian Islam.
Kuasai juga Bahasa Arab dengan sebaiknya. Itu jika jalan yang dipilih adalah pada mahu menjadi seorang agamawan.
Lebih cantik jika dapat dilengkapkan dengan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, serta kemahiran-kemahiran lain seperti ICT, pengurusan, komunikasi dan lain-lain keperluan dakwah.
Ada pun jika para huffaz mahu meneruskan pengajian di dalam bidang akademik bukan Pengajian Islam seperti kejuruteraan dan perubatan, teruskan cita-cita yang amat bermakna itu. Namun perlu ada kesediaan di minda bahawa hafazan yang telah berjaya diperolehi, masih merupakan bahan separuh masak yang perlu dicanai lagi dengan pelbagai ilmu berkaitan Syariah. Justeru di celah-celah pengajian di universiti di bidang masing-masing, carilah ruang dan peluang untuk meneruskan pembelajaran di bidang agama.

Sesungguhnya saya sangat kagum dengan disiplin dan potensi yang dilihat selama saya berada bersama para huffaz di Darul Quran. Apa yang perlu diberikan secara konsisten adalah semangat untuk mereka terus berjiwa besar dan membawa al-Quran ke massa dengan segala ruang dakwah yang menanti.

“Dan dia (Yaaqub) berkata lagi: “Wahai anak-anakku! janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu itu hanya tertentu bagi Allah. Kepada-Nyalah aku berserah diri, dan kepada-Nyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri” [Yusuf 12: 67]

Selamat maju jaya saya ucapkan kepada para huffaz al-Quran di mana sahaja mereka berada.
Semoga jiwamu sebesar al-Quran yang telah mengisi hatimu.

p/s: artikel lama oleh Ustaz Hasrizal yang sangat baik untuk dikongsi dan direnungkan oleh para huffaz terutamanya yang akan, kini, dan sudah terjun ke masyarakat. 1 artikel yang membuka sudut pandang yang baru.

Ahad, 8 Januari 2012

Motivasi Buat Saya & Kamu yang Memikul Amanah Yang Sangat Berat


Beberapa motivasi untuk para huffaz agar terus memelihara al-Quran yang telah dihafaz walaupun ia bukannya mudah dan menuntut komitmen sepanjang hayat.

Syafaat 10 anggota keluarga ke syurga

Dari Ali bin Abu Talib, katanya Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Barang siapa membaca al-quran dan menghafalnya, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dan memberi hak syafaat kepadanya untuk sepuluh anggota keluarganya, mereka semuanya telah ditetapkan untuk masuk syurga."(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmizi).

Berada dalam rahmat ALLAH

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak ada orang yang berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca dan mempelajari al-Quran, kecuali mereka akan memperolehi ketenteraman, diliputi rahmat, dikelilingi para malaikat dan mereka sentiasa disebut-sebut oleh ALLAH di kalangan para malaikat (yg di langit)." (Riwayat Muslim, At-Tirmizi,Ibnu Majah dan Abu Daud).

Diberi ganjaran pahala

Dari Abdullah bin Mas'ud r.a.; katanya Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Barangsiapa membaca satu huruf dari kitab Allah (al-Quran), maka dia akan memperolehi pahala satu kebajikan dan setiap satu pahala itu digandakan sepuluh kali. Aku tidak mengatakan bahawa Alif, Lam, Mim itu satu huruf, tetapi Alif itu adalah satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf." (Riwayat At-Tirmizi dan Ad-Darimi).

Al-Quran sendiri akan memberi syafaat

Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a. katanya: Aku mandengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Bacalah Al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat bagaikan pemberi syafaat kepada tuannya."(Hadis riwayat muslim).

Dipakaikan mahkota pada hari kiamat

Daripada Mu'az bin Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terdapat di dalamnya, Allah akan memakaikan kedua ibu bapanya dengan mahkota pada hari kiamat kelak. Cahaya mahkota tersebut lebih indah daripada cahaya matahari terhadap rumah-rumah yang ada di dunia. Maka apakah pandangan kamu tentang balasan yang akan diperolehi oleh orang ang membacanya sendiri?" (Hadis riwayat Abu Daud)

Semoga kita kekal istiqamah menjaga, memahami, mengamalkan dan menyampaikan apa yang terkandung di dalam Al-Qur'an.

Khamis, 19 Mei 2011

Kelebihan Menghafaz Al-Quran


Penghafaz al-Quran (Hamlatul Quran), atau secara umumnya masyarakat lebih mengenali penghafaz al-Quran dengan gelaran “al-Hafiz”, akan mendapat 2 ganjaran :
  • Ganjaran di dunia.
  • Ganjaran di akhirat.
Ganjaran di dunia

  • Penghafaz al-Quran merupakan VVIP Allah S.W.T di dunia.
“Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya: Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W? Jawab baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan orang-orang pilihannya.” (Riwayat Ibnu Majah)

  • Penghafaz al-Quran juga diangkat sebagai pemimpin.
“Yang menjadi imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya.” (Riwayat Muslim)

  • Penghafaz al-Quran mendapat certificate (pengiktirafan) dari Nabi S.A.W.
“Adalah Nabi S.A.W. mengumpulkan di antara dua orang syuhada Uhud kemudian beliau bersabda, “Manakah di antara keduanya yang lebih banyak hafal al-Quran, ketika ditunjuk kepada salah satunya, maka beliau mendahulukan pemakamannya di liang lahat.” (Riwayat Bukhari)

  • Al-Quran menjanjikan kebaikan.
“Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Qur’an dan yang mengajarkannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ganjaran di akhirat

  • Ibu bapa penghafaz al-Quran mendapat kemuliaan.
Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, maka kedua-dua ibu bapanya akan dipakaikan dengan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari, sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini. (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)

  • Penghafaz al-Quran akan mendapat syafaat (penolong)
Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu al-Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafalnya).”(Riwayat Muslim)

  • Penghafaz al-Quran mendapat bonus berlipat kali ganda.
Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya (pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa “alif laam mim” itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf (Riwayat Tarmizi)

~Menghafaz al-Quran itu sukar, lebih sukar menjaganya, lebih lagi sukar memahami isi kandungannya, lebih lebih lagi sukar beramal dengan isi kandungannya. Semuanya memerlukan mujahadah & istiqamah~

Ahad, 27 Februari 2011

Skrip Yang Sama, Pelakonnya Yang Berbeza


Maksudnya: "Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak buat?... Alangkah besarnya kemurkan Allah bahawa kamu mengatakan apa yang kamu tidak kerjakan" (Surah as-Saff: 2 & 3)

Ayat ini diturunkan bersempena dengan perbualan beberapa orang di kalangan orang yang beriman sebelum diwajibkan seruan jihad. Mereka berkata: "Kalaulah Allah S.W.T. mewajibkan kepada kita untuk berjihad, nescaya kita akan menunaikan kewajipan itu dan akan membuktikan bahawa kita taat dan menunaikan perintahNya dengan penuh pengorbanan"

Namun, apa yang berlaku adalah tidak sedemikian. Apabila Allah S.W.T. menurunkan perintah jihad, terdapat di kalangan mereka yang lemah imannya dan merasa berat untuk mengorbankan nyawa dan harta benda masing-masing. Lalu turunlah ayat ini.

Begitulah keadaan sebahagian daripada golongan yang beriman, mereka bercakap besar tetapi kerja dan pengorbanan tidak sebanyak mana. Apabila bercakap mereka cukup bersemangat tetapi apabila sampai masa dan ketikanya untuk melaksanakan kata-kata itu, mereka tidak menunaikan kewajipan tersebut dengan penuh pengorbanan.

Realitinya, ramai yang mampu berkata-kata, berceramah, berceloteh, memberi tasyji' selama berjam-jam, dengan penuh bersemangat dan beserta dalil dan bidalan, namun tidak ramai yang mampu mempraktikkan di medan amal.

Ramai orang yang hebat di medan teori, namun tidak ramai yang mampu menterjemahkannya dalam medan praktikal.

Ramai yang mampu menamatkan pengajian teori, namun tidak ramai yang mampu mengamalkan ilmunya.

Ramai yang mampu mengkritk dan memberi komen, namun tidak ramai yang mampu sentiasa bermuhasabah dan membaiki diri.

Tidak ramai yang sepenuh tenaga menyinsing lengan di kala kesusahan, namun ramai yang bersedia memberi nama apabila kemenangan mendatang.

Ramai yang inginkan melihat Islam menang, namun tidak ramai yang ingin berkerja memenangkan Islam.

Itulah realiti. Putaran yang sama. Setiap zaman pasti berulang skripnya. Cuma pelakonnya sahaja yang berbeza. Mengapa kita tidak mengambil walau segelumit iktibar darpadanya?

-muhasabah untuk diriku di kala Dhuha buat membangkitkan rasa dan keinginan-

Sumber rujukan dan olahan: 'at-Tibyan dalam Mentafsirkan al-Qur'an: Surah As-Saff karangan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang'

Isnin, 6 Disember 2010

Kisah Hajjaj Bin Yusuf at-Thaqafi & Tetamunya


Hajjaj Bin Yusuf at-Thaqafi adalah seorang pemimpin kerajaan Umaiyah yang terkenal dengan kezaliman lagi kejam dan banyak membunuh ulama'-ulama'. Namun, beliau juga seorang yang banyak mengetahui mengenai al-Quran dan banyak menghafaz ayat-ayat al-Quran.

Beliau juga seorang yang amat memuliakan tetamu. Diriwayatkan, beliau pernah menyuruh pembantu rumahnya/tenteranya untuk mencari tetamu supaya boleh makan bersamanya. Lalu pembantu rumahnya/tenteranya menjemput seorang Arab Badwi masuk ke tempat Hajjaj.

Apabila sampai di bilik makan, orang Arab Badwi itu bertanya, "Adakah kamu ini Hajjaj Bin Yusuf at-Thaqafi?"

Hajjaj menjawab, "Ya." Orang Badwi itu bertanya lagi, "Mengapa kamu memanggil aku?"

Hajjjaj menjawab, "Kamu menjadi tetamu aku pada hari ini." Arab Badwi itu menjawab, "Aku tidak boleh makan kerana aku telah menjadi tetamu yang lebih tinggi daripada kamu."

Hajjaj bertanya, "Siapakah dia yang lebih tinggi daripada aku ini?" Arab Badwi itu menjawab, "Allah Ta'ala, sebabnya pada hari ini aku berpuasa dan aku menjadi tetamu Allah Ta'ala. Oleh kerana itu, apabila sampai waktu berbuka barulah aku boleh makan."

Hajjaj bertanya lagi, "Bukankah hari ini merupakan hari yang sangat panas?" Arab Badwi itu menjawab, "Aku berpuasa pada hari ini untuk hari yang lebih panas lagi daripada hari ini, iaitu hari Kiamat"

Hajjaj bertanya lagi, "Tidakkah ada Hadith yang menyatakan berbuka sehari dan berpuasa sehari? Berbukalah pada hari ini dan esok kamu boleh berpuasa pula" Lalu Arab Badwi itu menjawab, "Baiklah, kalau aku berbuka pada hari ini, adakah kamu boleh memberi jaminan kepada aku bahawa aku dapat hidup sempai hari esok?"

Hajjaj tidak menjawab pertanyaan tersebut.


Arab Badwi tersebut menunjukkan keberaniannya di hadapan seorang pemimpin dan ketua tentera yang terkenal sebagai seorang yang kejam. Beliau menzahirkan apa yang beliau yakini dan pegang, tanpa menunjukkan sedikit pun rasa takut.

Kita bagaimana? Ketika berhadapan dengan manusia, adakah kita berani meyatakan yang Haq dan menegah yang Batil?

*Kisah ini diolah daripada Tafsir at-Tibyan Surah al-Hujurat, tulisan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang.

-Allah s.w.t. lebih mengetahui segalanya-

Jumaat, 15 Oktober 2010

Menghafaz Bukan Hanya Untuk Diingati


Bismillahirrahmanirrahim

Kali ini saya ingin berbicara secara ringkas tentang tajuk di atas (tajuk sudah diubah daripada tajuk asal) . Bunyinya agak kontroversi. Teringat seketika waktu di Darul Quran dahulu. Ia antara tajuk yang sering menjadi bahan tazkirah sahabat2 di masjid selepas solat Isyak.

Sebenarnya, andai kita memahami konsep, saya rasa persoalan tersebut tidaklah sukar untuk dipecahkan. Konsep yang terkandung dalam surah Al-Qiyamah. Sememangnya hanya Allah yang menghimpunkan Al-Quran itu di dalam dada2 manusia. Para huffaz hanya menggerakkan usaha, namun sesekali tidak mampu memperoleh apa2 dari usaha mereka- melainkan hanya apa yang diberikan oleh Allah.

Ada di antara mereka, Allah berikan kekeuatan untuk mengingati Al-Quran dengan cepat dan mudah. Ada juga di antara mereka Allah uji dengan kesukaran. Bahkan ada yang berkali2 usaha masih juga gagal untuk mengingati Al-Quran dengan baik.

Perlu diingat, bahawa Allah tidak menggantungkan persoalan 'ingat' dengan 'maksiat' atau 'taat'. Tidak Allah nyatakan bahawa mereka yang taat Allah berikan kelebihan cepat ingat Al-Quran. Sesiapa yang buat maksiat Allah beri kesukaran untuk mereka ingat.

Pada saya, inilah bentuk mehnah yang Allah tetapkan buat para huffaz. Sifat Rahman Allah yang maha agung, telah mengizinkan kekayaan dan rezeki kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki, samada muslim atau kafir, cina atau melayu, kufur atau taat. Contohnya Firaun. Begitu juga dengan Al-Quran, sesiapa yang diberi peluang untuk mengingati Al-Quran sedangkan dia kekal dalam kemaksiatan- sehingga menjadikan manusia takjub kepadanya - hanyalah daripada sifat Rahman Allah semata2.

Dalam masa yang sama, sifat Rahim Allah ta'ala hanya lah untuk hamba2Nya yang taat dan melakukan ibadah. Ada huffaz yang sukar mengingati Al-Quran, sedangkan hidupnya penuh dengan amal ibadah dan ketaatan. Namun demikian hatinya sentiasa tenang. Kehidupannya penuh dengan barakah hasil dari pengaplikasian Al-Quran yang berjaya diterapkan dalam kehidupannya sendiri.

Ada juga dikalangan huffaz yang masyi Al-Quran, hafazannya mantap, namun sering melakukan maksiat. Bukan hanya bercouple bahkan mungkin lebih daripada itu. Siapa tahu, hakikat disebalik itu jiwanya tidak pernah tenteram. Kehidupannya tiada rahmah. Tiada keberkatan. Al-Quran yang dibaca hanya setakat di kerongkong sahaja. Tidak lebih daripada itu. Inilah yang dikatakan sebagai Istidraj.

Kerana itu, seringkali saya ingatkan diri dan para sahabat, bahawa ingat atau tidak adalah datang dari Allah. Tugas kita adalah berusaha untuk ingat. Apa yang lebih penting adalah mengekalkan diri kita dalam amal ibadah dan istiqamah melakukan ketaatan. Seringkali berusaha untuk mengaplikasikan Al-Quran sebagai roh kehidupan. Jauh atau dekatnya seseorang dengan Allah bukan diukur pada tahap ingatannya terhadap Al-Quran, tetap sejauh mana nilai ketaqwaan dia kepada Allat ta'ala.

Wallahua'lam.



Isnin, 2 Ogos 2010

Kelas Hafazan Al-Qur'an Untuk Perempuan

Kelas Hafazan Al-Qur'an untuk perempuan kini dibuka

Di bawah naungan Maahad Tahfiz Al-Qur’an Al-Islah, Surau Al-Islah, Seksyen 7, SHAH ALAM.


Berminat?


Boleh hubungi:

Ustazah Anisah Binti Ahmad Hafid (013-3827170)

uSTAZ mOHD sUHAIMI bIN mOHD ARDZI (013-2505750)

aTAU

BOLEH HANTARKAN E-mel KE ALAMAT:

mtqi_sa7@yahoo.com

aTAU

bOLEH MELAWAT KE LAMAN BLOG:

http://mtqi-sa7.blogspot.com/


Ahad, 4 Julai 2010

Wanita Tua Yang Hanya Berbicara dengan Al-Quran


Berkata Abdullah B Mubarak R.A:

Saya berangkat menunaikan haji ke Baitullah al-Haram dan menziarahi makan Rasulullah S.A.W. Ketika saya berada di sudut jalan, tiba-tiba saya melihat sesusuk tubuh yang berpakaian hitam yang diperbuat daripada bulu. Ia adalah seorang perempuan tua. Saya berhenti sejenak dan memberi salam kepadanya. Maka, terjadilah dialog dengannya selama beberapa minit.

Dalam dialog tersebut, wanita tua itu menjawab dengan menggunakan ayat-ayat al-Qur'an di atas setiap pertanyaan Abdullah Bin Mubarak.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Abdullah: Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Wanita tua: سَلَـٰمٌ۬ قَوۡلاً۬ مِّن رَّبٍّ۬ رَّحِيمٍ۬ 
"Ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani". (Yaa Siin 56)

Abdullah : Semoga Allah merahmati anda, mengapa anda berada di tempat ini?”
Wanita tua : مَن يُضۡلِلِ ٱللَّهُ فَلَا هَادِىَ لَهُ
"Barang siapa disesatkan Allah, maka tiada petunjuk baginya". (Al-A’raaf 186)
Dengan jawapan ini, maka tahulah saya, bahawa ia telah tersesat jalan.
Abdullah : “Kemana anda hendak pergi?”
Wanita tua:
سبحان الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصا
"Maha suci Allah yang telah menjalankan hambanya di waktu malam dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin)". (Al-Israa’ 1)
Dengan jawapan ini, saya mengerti bahawa ia sedang mengerjakan haji dan hendak menuju ke Masjidil Aqsa.
Abdullah : “Sudah berapa lama anda berada di sini?”
Wanita tua : ثَلَـٰثَ لَيَالٍ۬ سَوِيًّ۬ا
"Selama tiga malam dalam keadaan sihat". (Maryam 10)
Abdullah : “Apa yang anda makan selama dalam perjalanan?”
Wanita tua : وَٱلَّذِى هُوَ يُطۡعِمُنِى وَيَسۡقِينِ
"Dialah Allah pemberi aku makan dan minum". (Asy-Syu’araa’ 79)
Abdullah : “Dengan apa anda melakukan wudhu?”
Wanita tua : فَلَمۡ تَجِدُواْ مَآءً۬ فَتَيَمَّمُواْ صَعِيدً۬ا طَيِّبً۬ا
"Apabila tiada air maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah, debu yang bersih". (Al Maaidah 6)
Abdulah : “Saya mempunyai sedikit makanan, apakah anda mahu menikmatinya?”
Wanita tua : ثُمَّ أَتِمُّواْ ٱلصِّيَامَ إِلَى ٱلَّيۡلِ‌ۚ
"Kemudian sempurnakanlah puasamu sampai malam, (maghrib)". (Al- Baqarah 187)
Abdullah : “Bukankah diperbolehkan berbuka ketika musafir?”
Wanita tua : وَأَن تَصُومُواْ خَيۡرٌ۬ لَّڪُمۡ‌ۖ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ
"Dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui". (Al- Baqarah 184)
Abdullah : “Mengapa anda tidak menjawab sesuai dengan pertanyaan saya?”
Wanita tua : مَّا يَلۡفِظُ مِن قَوۡلٍ إِلَّا لَدَيۡهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ۬
"Tiada satu ucapan yang diucapkan, kecuali padanya ada Raqib Atid". (Qaaf 18)
Abdullah : “Anda termasuk jenis manusia yang manakah, hingga bersikap seperti itu?”
Wanita tua : وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌ‌ۚ
إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡـُٔولاً۬
"Jangan kamu ikuti apa yang tidak kamu ketahui.., karena pendengaran, penglihatan dan hati, semua akan dipertanggung jawabkan". (Al-Israa’ 36)
Abdullah : “Saya telah berbuat salah, maafkan saya.”
Wanita tua : قَالَ لَا تَثۡرِيبَ عَلَيۡكُمُ ٱلۡيَوۡمَ‌ۖ
يَغۡفِرُ ٱللَّهُ لَكُمۡ‌ۖ وَهُوَ أَرۡحَمُ ٱلرَّٲحِمِينَ
"Pada hari ini tidak ada cercaan untuk kamu, Allah telah mengampuni kamu dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani". (Yusuf 92)
Abdullah : “Bolehkah saya mengangkatmu untuk naik ke atas untaku ini, untuk melanjutkan perjalanan kerana anda akan menjumpai kabilah yang di hadapan.”
Wanita tua : وَمَا تَفۡعَلُواْ مِنۡ خَيۡرٍ۬ يَعۡلَمۡهُ ٱللَّهُ‌ۗ
"Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah". (Al-Baqarah 197)
Lalu wanita tua ini berpaling dari untaku, sambil berkata :
قُل لِّلۡمُؤۡمِنِينَ يَغُضُّواْ مِنۡ أَبۡصَـٰرِهِمۡ
"Katakanlah pada orang-orang mukminin, tundukkan pandangan mereka." (An-Nuur 30)
Maka saya pun memejamkan pandangan saya, sambil mempersilakan ia menaiki unta.
Tetapi tiba-tiba terdengar koyakan pada pakaiannya kerana unta itu terlalu tinggi baginya. Wanita tua itu pun berkata:
مَآ أَصَـٰبَڪُم مِّن مُّصِيبَةٍ۬ فَبِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِيكُمۡ
"Apa saja yang menimpa kamu disebabkan perbuatanmu sendiri". (Asy-Syuura 30)
Setelah selesai mengikat unta itu, saya pun mempersilahkan wanita tua itu naik.
Wanita tua berkata:
سُبۡحَـٰنَ ٱلَّذِى سَخَّرَ لَنَا هَـٰذَا وَمَا ڪُنَّا لَهُ ۥ مُقۡرِنِينَ
وَإِنَّآ إِلَىٰ رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ
"Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya , Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali". (Az-Zukhruf 13-14)
Saya pun segera memegang tali unta itu dan melarikannya dengan sangat pantas. Wanita tua itu berkata lagi:
وَٱقۡصِدۡ فِى مَشۡيِكَ وَٱغۡضُضۡ مِن صَوۡتِكَ‌ۚ
"Sederhanakan jalanmu dan lunakkanlah suaramu". (Luqman 19)
Lalu aku jadikan unta itu berjalan dengan perlahan, sambil mendendangkan beberapa syair
Wanita tua itu pun berkata: فَٱقۡرَءُواْ مَا تَيَسَّرَ مِنَ ٱلۡقُرۡءَانِ‌ۚ
"Bacalah apa-apa yang mudah dari Al-Qur’an". (Al-Muzzammil 20)
Abdullah : “Sungguh anda telah diberi kebaikan yang banyak.”
Wanita tua : وَمَا يَذَّڪَّرُ إِلَّآ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ
"Dan tidaklah mengingat Allah itu kecuali orang yang berilmu". (Al- Baqarah 269)
Dalam perjalanan itu saya bertanya kepadanya.
Abdullah : “Apakah anda mempunyai suami?”
Wanita tua : لَا تَسۡـَٔلُواْ عَنۡ أَشۡيَآءَ إِن تُبۡدَ لَكُمۡ تَسُؤۡكُم
"Jangan kamu bertanyakan sesuatu, jika itu akan menyusahkanmu". (Al Maaidah 101)
Maka aku senyap seketika sehingga berjumpa dengan kabilah di hadapan kami.
Abdullah : “Adakah orang anda berada dalam kafilah itu?”
Wanita tua : ٱلۡمَالُ وَٱلۡبَنُونَ زِينَةُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا‌ۖ
"Adapun harta dan anak-anak adalah perhiasan hidup di dunia". (Al-Kahf 46)
Baru saya mengerti bahwa ia juga mempunyai anak.
Abdullah : “Bagaimana keadaan mereka dalam perjalanan ini?”
Wanita tua : وَبِٱلنَّجۡمِ هُمۡ يَہۡتَدُونَ
"Dan dengan tanda bintang-bintang mereka mengetahui petunjuk". (Al-Nahl 16)
Daripada jawapan ini, saya dapat fahami bahawa mereka datang mengerjakan ibadah haji mengikuti beberapa petunjuk. Kemudian saya bersama wanita tua ini menuju ke perkhemahan.
Abdullah : “Adakah kamu kenal orang yang berada dalam khemah ini?”
Wanita tua : وَٱتَّخَذَ ٱللَّهُ إِبۡرَٲهِيمَ خَلِيلاً۬
"Kami jadikan ibrahim itu sebagai yang nabi yang dikasihi". (An-Nisaa’ 125)
وَكَلَّمَ ٱللَّهُ مُوسَىٰ تَڪۡلِيمً۬ا
"Dan Allah berkata-kata kepada Musa". (An-Nisaa’ 164)
يَـٰيَحۡيَىٰ خُذِ ٱلۡڪِتَـٰبَ بِقُوَّةٍ۬‌ۖ
"Wahai Yahya! Pelajarilah kitab itu bersungguh-sungguh". (Maryam 12)
Lalu saya memanggil nama-nama, ya Ibrahim, ya Musa, ya Yahya, maka keluarlah anak-anak muda yang bernama tersebut. Wajah mereka tampan dan ceria, seperti bulan yang baru muncul. 
Setelah tiga anak ini datang dan duduk dengan tenang maka berkatalah wanita tua itu:
فَٱبۡعَثُوٓاْ أَحَدَڪُم بِوَرِقِكُمۡ هَـٰذِهِۦۤ إِلَى ٱلۡمَدِينَةِ فَلۡيَنظُرۡ أَيُّہَآ أَزۡكَىٰ طَعَامً۬ا
"Maka suruhlah salah seorang dari kamu pergi ke kota dengan membawa wang perak ini, dan carilah makanan yang lebih baik agar ia membawa makanan itu untukmu". (Al-Kahf 19)
Maka salah seorang dari tiga anak ini pergi untuk membeli makanan, lalu dihidangkan dihadapanku, lalu wanita tua itu berkata :
كُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ هَنِيٓـَٔۢا بِمَآ أَسۡلَفۡتُمۡ فِى ٱلۡأَيَّامِ ٱلۡخَالِيَةِ
"Makan dan minumlah kamu dengan sedap, sebab amal-amal yang telah kamu kerjakan di hari-hari yang telah lalu". (Al-Haaqqah 24)
Abdullah: “Makanlah kalian semuanya makanan ini. Aku belum akan memakannya sebelum kalian mengatakan padaku siapakah perempuan ini sebenarnya.”
Ketiga anak muda ini secara serentak berkata :
“Beliau adalah orang tua kami. Selama empat puluh tahun beliau hanya berbicara menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an, hanya kerana bimbang tersalah bicara.”
Lalu Abdullah bin Mubarak berkata Maha Suci Zat Yang Maha Kuasa terhadap sesuatu yang dikehendakinya dan berkata:
ذَٲلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُ‌ۚ وَٱللَّهُ ذُو ٱلۡفَضۡلِ ٱلۡعَظِيمِ
"Yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar". (Al-Hadiid 21)

Dipetik dari kitab : KaifaTahfazul Quran ( DR Mustafa Murad )
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
p/s: Bagaimana dengan kita? Berapa banyak patah perkataan yang kita keluarkan setiap hari yang tidak mendatangkan apa-apa pahala, bahkan menambahkan dosa.

Berapa banyak ayat Quran yang kita baca setiap hari?

* Kepada alumni Maahad Muhammadi: anda harus ingat cerita ini kerana kita pernah belajar suatu ketika dahulu =)