Rabu, 28 November 2012

Surah al-Qasas:23-29; Beberapa Perkara Yang Kita Terlepas Pandang




Ramai antara kita yang pernah berbicara, menukil serta menulis mengenai kisah cinta suci antara Nabi Yusuf 'alaihissalam & Zulaikha, sedangkan kisah tersebut masih lagi diragui sumber asalnya. Sebenarnya, ada kisah yang lebih menarik dan telah diabadikan oleh Allah subhana wa ta’ala dalam al-Qur'an, namun jarang diambil iktibar dan dijadikan contoh; iaitu kisah Nabi Musa 'alaihissalam & anak perempuan Nabi Syuaib 'alaihissalam.

Dalam kisah yang diabadikan tersebut, beberapa perkara yang sangat baik untuk kita semua mengambilnya sebagai panduan hidup:

1. Seseorang lelaki yang gagah fizikalnya harus membantu perempuan yang lemah dari segi fizikalnya. (Nabi Musa 'alahissalam membantu dua orang anak perempuan Nabi Syuaib 'alahissalam mengambil air daripada telaga kerana mereka tiada kemampuan untuk melakukannya). Lelaki dan perempuan saling melengkapi. 

2. Cara berinteraksi antara lelaki & perempuan yang bukan mahram. (Nabi Musa 'alahissalam & 2 orang anak perempuan Nabi Syuaib 'alahissalam hanya berbicara perkara yang perlu sahaja ketika berinteraksi. Tidak berlebih-lebih dalam berbicara dan tidak juga kaku sehingga tidak mencapai maksud dan tujuan yang ingin disampaikan).

3. Sifat sebenar yang harus ada pada seorang perempuan (anak perempuan Nabi Syuaib 'alahissalam telah memanggil Nabi Musa 'alahissalam setelah diminta oleh ayahnya dalam keadaan malu-malu)

4. Salah satu cara untuk menyatukan 2 hati adalah dengan cara pinangan / lamaran datang daripada pihak perempuan. Tidak semestinya dari pihak lelaki seperti adat kebiasaan. (Nabi Syuaib 'alahissalam telah meminang / melamar Nabi Musa 'alahissalam untuk salah seorang daripada anak perempuannya)

5. Mahar perkahwinan tidak semestinya berbentuk wang ringgit. (Mahar perkahwinan antara Nabi Musa 'alahissalam & anak perempuan Nabi Syuaib 'alahissalam adalah perkhidmatan yang diberikan kepada Nabi Syuaib 'alahissalam dan keluarganya selama 8-10 tahun)

6. Isteri yang solehah adalah isteri yang bersama dengan suami dalam perjuangan menegakkan agama Islam (Isteri & keluarga Nabi Musa 'alahissalam turut bersama ke Mesir untuk berdakwah di sana dan bersemuka dengan Fir'aun).

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

artikelnya menarik, izin nyimak gan...
Free GamePC

Bali Hotels berkata...

Postingan yang sangat menarik