Khamis, 16 Oktober 2014

Waktu Mustajab Doa Yang Sering Kita Abaikan


Sudah menjadi kebiasaan umat Islam, khususnya di Nusantara, dengan melazimi mengangkat tangan dan berdoa kepada Ilahi selepas setiap kali selesai menunaikan solat, tidak kira solat fardhu mahupun solat sunat.

Tahukah anda sebenarnya ada satu masa atau keadaan yang merupakan waktu yang sangat mustajab untuk berdoa, tetapi amat jarang diamalkan, bahkan mungkin ramai yang tidak pernah mengetahuinya.

Waktu tersebut adalah ketika di akhir solat, dan secara khususnya adalah pada waktu antara selepas membaca Tasyahud Akhir dan sebelum memberi Salam Pertama.

Mungkin ramai yang tergesa-gesa untuk menghabiskan solat terutamanya ketika membaca Tasyahud Akhir disebabkan oleh perkara-perkara duniawi, tetapi ketika itu jugalah terdapat waktu mustajab untuk berdoa yang sering kita abaikan dan lalaikan.

Terdapat banyak doa yang boleh diamalkan untuk dibaca ketika itu bersandarkan kepada hadith-hadith Nabi yang sahih. Berikut adalah sebahagian daripada beberapa hadith yang mekhususkan waktu tersebut sebagai waktu untuk berdoa serta doa-doa yang diajar oleh Nabi untuk kita baca pada waktu tersebut.


أبي بكر الصديق رضي الله عنه أنه قال للنبي صلى الله عليه وسلم:  عن
علمني دعاء أدعو به في صلاتي قال: قل: "اللهم إني ظلمت نفسي ظلما كثيرا ولا يغفر الذنوب إلا أنت فاغفر لي مغفرة من عندك وارحمني إنك أنت الغفور الرحيم" (صحيح البخاري: 6326)

Daripada Abu Bakar as-Siddiq radhiyallahu 'anhu, sesungguhnya beliau telah berkata kepada Nabi sollallahu 'alaihi wasallam: Ajarkanku doa yang aku boleh membacanya dalam solatku. Rasulullah berkata: Katakanlah: "Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku dengan kezaliman yang banyak dan tiada yang mengampunkan dosa-dosa kecuali Kamu, maka ampunilah aku kerana keampunan adalah dari sisi-Mu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Kamu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" (Sahih al-Bukhari: 6326)



عن معاذ رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم أخذ بيده وقال: يا معاذ والله إني لأحبك فقال: أوصيك يا معاذ لا تدعن في دبر كل صلاة تقول: اللهم أعنى على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك (سنن أبي داود: 1522)

Daripada Muaz radhiyallahu 'anhu, sesungguhnya Rasulullah sollahu'alaihi wasallam telah mengambil tangannya dan bersabda: Wahai Muaz, demi Allah sesungguhnya aku mencintaimu, maka Baginda bersabda: Aku wasiatkan kepada kamu wahai Muaz, janganlah kamu tinggalkan doa pada akhir setiap solat, bacalah: "Ya Allah, bantulah aku untuk sentiasa mengingati-Mu, dan menyukuri-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik" (Sunan Abu Daud: 1522) 


 قَال: قَالَ رَسُولُ اللَّه صلى الله عليه وسلم ˓عن أبي هريرة رضي الله عنه
إِذَا فَرَغَ أَحَدُكُمْ مِنَ التَّشَهُّدِ فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ˓ يقول : اللهم إني أعوذبك مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، ومن َعَذَابِ الْقَبْرِ ، ومن َفِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ، ومن َشَرِّ فتنة الْمَسِيحِ الدَّجَّال (صحيح مسلم: 588)

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, beliau telah berkata, Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:  Jika salah seorang daripada kamu selesai bertasyahud, maka mintalah perlindungan kepada Allah daripada 4 perkara: "Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan-Mu daripada azab api Neraka,  dari azab kubur,  dari fitnah kehidupan dan kematian, dan dari fitnah kejahatan al-Masih Dajjal"  (Sahih Muslim; 588)


عن سعاد بن أبي وقاص رضي الله عنه˓ قال: إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَتَعَوَّذُ مِنْهُنَّ دُبُرَ الصَّلَاةِ :"اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمُرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الدُّنْيَا، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْر" (صحيح البخاري: 2822)

Daripada Sa'ad Bin Abi Waqqas radhiyallahu 'anhu, beliau telah berkata, sesungguhnya Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam telah memohon perlindungan pada akhir solat dengan: "Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada sikap pengecut, dan aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada dikembalikan ke usia yang terhina, dan aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada fitnah dunia, dan aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada azab kubur" (Sahih Bukhari: 2822)


عن علي بن أبي طالب رضي الله عنه˓ عن الرسول الله صلى الله عليه وسلم:".......... ثم يكون من آخر ما يقول بين التشهد والتسليم:" اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِيْ مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، وَمَا أَسْرَفْتُ وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّيْ. أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ" (صحيح مسلم: 771)

Daripada Ali Bin Abi Tolib radhiyallahu 'anhu, daripada Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam: ".......... kemudian pada akhir solat, apa yang diucapkan antara tasyahud dan salam: "Ya Allah, ampunilah (dosa) aku atas apa yang aku cepatkan dan atas apa yang aku lewatkan, dan atas apa yamg aku rahsiakan dan atas apa yang aku nampakkan, dan atas apa yang aku lakukan secara berlebihan. dan atas apa yang Kamu lebih mengetahui daripadaku. Kamu yang Maha Mendahulukan dan Maha Mengakhirkan, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Kamu" (Sahih Muslim: 771)


عن محجن بن الأدرك رضي الله عنه قال: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم دخل المسجد˓ إذا رجل قد قضى صلاته وهو يتشهد˓ فقال: " اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ يَا اَللهُ بِأَنَّكَ الْوَاحِدُ اْلأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِيْ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُوْلَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ، أَنْ تَغْفِرَ لِيْ ذُنُوْبِيْ إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ" فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: قد غفر الله له˓ ثلاثا. (صحيح النسائي:1300)
  
Daripada Mihjan Bin al-Adrak radhiyallahu 'anhu, beliau telah berkata, sesungguhnya Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam telah memasuki masjid di mana ketika itu terdapat seorang lelaki menunaikan solat dan dia sedang bertasyahud, maka lelaki tersebut menyebut: "Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu Ya Allah, dengan bersaksi bahawa Kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa, Yang Maha Tunggal tidak memerlukan sesuatu, bahkan segalanya memerlukan-Mu, Yang tidak beranak-pinak dan tidak diperanakkan, dan tiada seorang pun yang menyerupai-Mu, aku memohon keampunan dosa-dosaku. Sesungguhnya Kamu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". Maka Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam bersabda: Allah telah mengampunkan dosa lelaki tersebut (disebut sebanyak 3x). (Sahih an-Nasaie: 1300)

Semoga kita dapat mengamalkan salah satu Sunnah yang kurang diamalkan dalam masyarakat, tetapi sebenarnya sangat memberi kesan ke dalam kehidupan umat Islam di dunia dan akhirat.