Selasa, 10 Ogos 2010

Ramadhan Ya Ramadhan




Tarikh: 9 Ogos 2010
Masa: 2120-2240
Tempat: Auditorium Kuliah Farmasi, UIA
Kuantan
Program: Majlis Pembukaan Program Ihya' Ramadhan 1431H
Penceramah: Ustaz Suhaimi Md Saad





Bulan Ramadhan adalah satu program khas daripada Allah s.w.t. untuk melahirkan orang-orang yang bertaqwa di kalangan hambaNya. Ia adalah ibarat satu program kursus. Allah s.w.t. mengubah jadual hidup manusia pada bulan ini. Contohnya, aktiviti memakan nasi pada pukul 5 pagi. Amat mustahil ia berlaku pada bulan-bulan lain, tetapi menjadi kebiasaan untuk kita rakyat Malaysia, bangun makan sahur dengan nasi (sebagai makanan ruji) pada kira-kira jam 5 pagi.

Apabila kita mengikuti kursus, ia mempunyai peraturannya sendiri. Jika kita mematuhinya, kita berkemungkinan besar berjaya mencapai objektif/manfaat kursus tersebut pada akhirnya. Jika kita tidak/kurang mematuhi segala peraturan sepanjang tempoh kursus tersebut, kita berkemungkinan besar akan gagal mencapai objektif/manfaat daripada kursus tersebut pada akhirnya walaupun kita berjaya menghabiskan kursus tersebut.

Begitulah juga dengan Bulan Ramadhan. Selepas sebulan berada di dalam bulan Ramadhan, ada yang berjaya menjadi seorang yang bertaqwa, ada juga yang hanya melalui bulan Ramadhan tanpa memperoleh sedikit pun manfaat daripadanya. Semuanya bergantung kepada amalan kita sepanjang bulan ini.

* Takwa bukan bermaksud takut. Ulama menafsirkan taqwa sebagai di antara takut dan rindu kepada Allah S.W.T. Takut kepada Allah dengan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya, dalam masa yang sama, tidak menjauhiNya kerana takut tersebut, malah menjadi lebih dekat denganNya dan merindui untuk bertemu denganNya.

* Takwa juga boleh ditafsirkan melalui huruf-huruf yang membentuk perkataan takwa tersebut.

T = Takut
A= Amanah
K = Kualiti
W = Wara'
A = Amal

Apa jua tafsiran tentang takwa, semuanya membawa makna menjurus kepada mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

* Sebenarnya, perubahan jadual hidup manusia pada bulan Ramadhan adalah merupakan latihan daripada Allah S.W.T. kepada umat Islam untuk diamalkan/diaplikasikan dalam kehidupan, tidak hanya pada bulan Ramadhan sahaja.

1) Bangun di awal pagi untuk bersahur. Ini adalah latihan daripada Allah S.W.T. bahawa umat Islam haruslah memulakan kehidupan pada setiap hari seawal sebelum Subuh, bukannya pada waktu matahari terbit. Aktiviti sebelum Subuh yang sangat digalakkan untuk diamalkan antaranya adalah berqiyammullail, bermunajat dan seterusnya menunggu azan Subuh. Ini adalah ciri-ciri umat Islam yang sebenar.

2) Waktu berbuka puasa. Hampir tiada seorang pun yang melewatkan waktu berbuka puasa. Tepat pada masanya, yakni azan Maghrib berkumandang, semua orang pasti berbuka puasa. Bahkan di dalam Islam sendiri, menggalakkan (sunat) untuk menyegerakan berbuka puasa. Ini adalah latihan daripada Allah S.W.T. pada bulan Ramadhan untuk umat Islam sentiasa menepati masa dan janji. Umat Islam sangat lemah dalam menepati masa.

3) Dalam bulan Ramadhan, kita digalakkan untuk menunaikan solat sunat terawih selepas selesai menunaikan solat Isyak. Kita juga disunatkan untuk memperbanyakkan amalan-amalan sunat lain kerana ganjarannya diangkat sama seperti melaksanakan amalan wajib pada bulan-bulan lain. Ini adalah latihan daripada Allah S.W.T. kepada hambaNya untuk membiasakan diri membuat amalan-amalan sunat pada bulan-bulan lain atau paling kurang, dapat menjaga amalan asas dan wajib seperti solat 5 waktu sehari semalam.

4) Dalam bulan Ramadhan juga, solat sunat terawih kebiasaanya dilakukan secara berjemaah di masjid-masjid dan surau-surau. Ini adalah latihan daripada Allah S.W.T. untuk hambaNya supaya membiasakan diri menunaikan solat 5 waktu secara berjemaah pada bulan-bulan lain.

*Kenapa Umat Nabi Muhammad S.A.W. diberi keistimewaan malam Lailatul Qadr, namun tidak diberikan kepada umat terdahulu?

- Kerana untuk menyamai amalan umat terdahulu yang panjangnya umurnya berbanding umat akhir zaman.

* Niat puasa sunat boleh dilakukan sehingga waktu tengah hari, tetapi tidak boleh dilakukan untuk puasa wajib

* Kaffarah berpuasa 2 bulan berturut-turut bagi pasangan yang melakukan persetubuhan di siang hari pada bulan Ramadhan hanya dikenakan kepada pihak lelaki sahaja.

* Puasa adalah terapi yang paling tua di dunia, bahkan masih lagi digunakan dalam perubatan moden terutama apabila membabitkan pembedahan dan penggunaan ubat bius.

Saranan:

1) Membaca al-Qur'an bersama maknanya
2) Mengetahui dan memahami sirah Rasulullah S.A.W. secara keseluruhannya, bukan melalui acara-acara tertentu sahaja (contoh: Maulidur Rasul, Isra' & Mi'raj, Nuzul Qur'an).
Buku yang dicadangkan: Fiqh Sirah tulisan Dr. Sa'id Ramadhan Al-Buti

*p/s: diolah daripada ceramah asal. Mungkin ada sedikit tambahan, yang pasti banyak kekurangan daripada yang asal.


Isnin, 9 Ogos 2010

Puasa & Kesihatan



وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُواْ الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ اللّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

"Dan barang siapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur." (al-Baqarah:185)

*Penyakit yg membolehkan seseorang berbuka ialah tenat dan boleh menyebabkan kesusahan atau membawa kemudaratan jika puasa diteruskan atau dikhuatiri akan menyebabkan penyakit bertambah teruk serta melambatkan proses penyembuhan (Soal Jawab Puasa Berdasarkan Majlis Fatwa Lajnah Tetap Arab Saudi)

* Sheikh Ibn Uthaimin r.h berkata:
Seseorang yang sakit dengan penyakit sementara di golongkan kepada tiga:

1) Mereka yang berpuasa tidak menyulitkan dan tidak membawa kesusahan. Mereka dikehendaki berpuasa dan tiada pengecualian

2) Mereka yang menghadapi kesukaran dalam berpuasa tetapi ia tidak membawa mudarat. Makruh berpuasa kerana menolak kemudahan yang Allah berikan dan menyusahkan diri sendiri

3) Mereka yang termudharat jika berpuasa. Haram bagi golongan ini berpuasa kerana mendedahkan diri kepada kebinasaan

َْ وَلاَ تَقْتُلُواْ أَنفُسَكُمْ إِنَّ اللّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
"Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu." (An Nisa’: 29)

وَلاَ تُلْقُواْ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
"Dan janganlah kamu menjatuhkan diri kamu ke dalam kebinasaan."(al-Baqarah:195)

* Orang tua dan pesakit terminal illness, chronic illness:
- Dimaafkan, dikehendaki membayar fidyah
(Fasting in Difficult Circumstances, Prof Omar Hassan Kasule, Fataawa al-Lajnah al-Daa’imah)

* Berdasarkan IOMS (Islamic Organization for Medical Sciences), The Akademi Fiqh di Jeddah dan WHO, perkara berikut tidak membatalkan puasa (fatwa sama juga pernah dikeluarkan oleh Yusuf Al-Qaradhawi bersama Majlis Fatwa Eropah):

1) Ubat titik mata dan telinga, cuci telina (earwash)

2) Ubat GTN yang diletakkan di bawah lidah dengan syarat ia tidak ditelan

3) Memasukkan pessary, ovules kedalam kemaluan wanita (vagina), cuci vagina, memasukkan alat speculum kedalam vagina, atau memasukkan jari (oleh doktor/bidan) untuk pemeriksaan (cth periksa jalan untuk bersalin)

4) Memasukkan alat urethroscope ataupun ubatan melalui saluran kencing ataupun irigasi pundi kencing.

5) Menggerudi, mencabut, mencuci gigi, menggunakan miswak (kayu sugi), dengan syarat ia tidak ditelan

6) Injeksi (cucuk) melalui kulit, kedalam otot (intramuscular), sendi (intraarticular), kedalam pembuluh darah (intravenous) kecuali jika bahan yang dicucuk itu mempunyai zat.

7) Menderma atau menerima darah

8) Menerima oksigen atau gas untuk bius

9) Menerima semua bahan yang diserap kedalam badan melalui kulit, seperti krim sapuan, minyak dsbgnya.

10) Mengambil darah untuk pemeriksaan

11) Memasukkan tiub (catheter) untuk pemeriksaan

12) Memasukkan tiub melalui mulut atau dubur (Endoscopy)untuk pemeriksaan (diagnostic) atau rawatan (intervention).

13) Mencuci mulut, kumur-kumur, spray mulut, dengan syarat ia tidak ditelan

14) Pemeriksaan dalam rahim (Hysteroscopy) atau memasukkan alat dalam rahim (intrauterine device).

15) Mengambil sel dari hati atau organ lain (Biopsy).

16) Menggunakan ubat titik hidung, spray hidung atau inhaler (untuk asthma)

17) Injeksi pada dubur, pemeriksaan dubur (anoscopes) ataupun pemeriksaan dubur menggunakan jari

18) Pembedahan yang memerlukan bius penuh (general anaesthesia), jika pesakit mahu berpuasa.

19) Haemodialisis atau peritoneal dialisis

Puasa dan dialysis
Fatwa yang disebutkan di sebelum ini (yang menyatakan bahawa hemopdialysis dan peritoneal dialysis tidak membatalkan puasa) dinukil dari Fatwa oleh IOMS, keputusan yang sama juga dicapai pada Seminar Fekah Perubatan ke 9 yang diadakan di Casablanca, Morroco, 8-11 Safar 1418 bersamaan 14-17 Jun 1997.

Walaubagaimanapun, suka saya nyatakan disini beberapa pandangan yang berbeza dari ulama kontemporari mengenai isu ini;

Apa dia dialysis?
Dialysis ialah proses mencuci darah menggunakan perbezaan ketumpatan merintangi membrane separa telus (pressure gradient across semi-permeating membrane). Dalam hemodialysis dan peritoneal dialisis, bahan (hemodialysate) yang digunakan biasanya mengandungi gula (dextrose). Pressure gradient yang wujud akan menyebabkan pertukaran dengan dextrose dari solution ini akan masuk kedalam darah dan ditukar dengan air dan urea (bahan toksik) dari darah akan keluar. Walaubagaimanapun, proses ultrafiltration seperti continuous venovenous hemofiltration (CVVH) tidak menggunakan proses ini, ia cuma menggunakan penapis untuk mengeluarkan air dan sisa toksik badan tanpa menukarkan dengan dextrose.

Fatwa
  1. Tidak batal puasa
Berdasarkan keputusan IOMS dan Seminar Fekah yang telah disebutkan

  1. Batal puasa
    Ini adalah pandangan Sheikh bin Baz (Mufti Saudi) dan Sheikh Ibn Uthaimin yang menyatakan proses hemodialisis membatalkan puasa kerana terdapat penukaran dengan gula (dextrose) yang mana ia memberi zat
Kesimpulan saya (Dr Syed)

Jalan selamat bagi saya adalah orang yang menjalani dialisis untuk tidak berpuasa pada hari dia menjalani proses tersebut, disebabkan komplikasi perubatan yang mungkin timbul apabila badan dalam keadaan lemah, dan bagi saya kekuatan hujah adalah pada yang menyatakan ia membatalkan puasa.

Pesakit yang menjalani dialisis secara sementara (temporary) dikehendaki menqadha’ puasanya, sementara pesakit yang menjalani dialisis seumur hidup (permanent/lifelong) dikehendaki membayar fidyah, inilah pandangan yang lebih tepat. Wallahu A’lam.

-ditulis oleh; Dr Syed Abdul Khaliq, Jabatan Paediatrik HUSM-

Hotel & Halal


-Hanya Gambar Hiasan-


Sehingga 23 Julai 2010, hanya 63 buah dapur di 32 hotel daripada 2360 buah hotel di seluruh negara yang mempunyai sijil halal Malaysia yang diperakui oleh JAKIM.

Sempena bulan Ramadhan ini, sudah pasti banyak hotel yang menyediakan tawaran/pakej berbuka puasa untuk umat Islam. Namun pada hakikatnya, hanya segelintir sahaja yang benar-benar diakui halal oleh JAKIM. Berikut adalah senarai hotel-hotel yang telah mendapat kelulusan sijil halal daripada JAKIM. Semoga bermanfaat kepada semua.


- Hotel 5 Bintang-

1) Cyberview Lodge Resort & Spa, Cyberjaya
2) Hotel Evergreen Laurel , Pulau Pinang
3) Hotel Grand Dorsett, Labuan
4) Hotel Pan Pacific KLIA
5) Hotel Legend , KL
6) Hotel Grand Bluewave , Shah Alam
7) Tradewinds Hotels & Resorts, Johor Bahru
8) Hotel Istana, Kuala Lumpur

- Hotel 4 Bintang-

1) Hotel Ancasa Kuala Lumpur
2) Hotel Cititel Pulau Pinang
3) Hotel Crystal Crown, KL
4)Hotel Grand Seasons, KL (latest: telah ditarik lesen sijil halal!)
5) Hotel Armada, Petaling Jaya
6) Hotel Seri Malaysia, Alor Setar
7) Hotel Ming Court, KL
8) Hotel the Summit, USJ Subang
9) PNB Darby Park, Executives Suite, KL


- Hotel 3 Bintang-

1) Hotel Brisdale International, KL
2) Hotel Dynasty, KL
3) Hotel Seri Malaysia, Genting Highlands
4) Hotel Seri Malaysia, Marang
5) Hotel KL, Jalan Raja Muda
6) Hotel Nilai, Negeri Sembilan
7) Hotel PG, KL
8) Hotel Puteri Park, KL
9) Hotel Quality, KL
10) Hotel Residence , Kajang
11) Hotel The Paramount, Sibu
12) Hotel Plaza, KL

- Hotel 2 Bintang-

1) Hotel Seri Malaysia, Kuantan
2) Hotel Seri Malaysia, Sungai Petani
3) Hotel Seri Malaysia , Bagan Lalang
*Sumber: Berita KOSMO dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


Berhati-hatilah.. Pilihan di tangan anda...


Rabu, 4 Ogos 2010

Ihya Ramadhan 1431H UIA Kuantan


Marilah kita bersama-sama menghidupkan bulan Ramadhan pada tahun ini kerana kita tidak tahu adakah kita akan bertemu lagi dengan bulan Ramadhan tahun hadapan.

Bulan Ramadhan = Jumbo Sale.

Setiap amalan akan digandakan dengan berlipat kali ganda tanpa perlu menambah sedikit pun gerak kerja amalan tersebut. Amalan yang sama seperti pada bulan-bulan lain, tetapi ganjaran yang berlipat ganda..

Ayuh, peluang sudah terbuka luas. Terpulang kepada kita sama ada ingin mengautnya sebanyak mungkin atau membiarkan sahaja 'pesta' jualan murah Ramadhan berakhir tanpa membawa pulang apa-apa keuntungannya darinya..

Isnin, 2 Ogos 2010

Kelas Hafazan Al-Qur'an Untuk Perempuan

Kelas Hafazan Al-Qur'an untuk perempuan kini dibuka

Di bawah naungan Maahad Tahfiz Al-Qur’an Al-Islah, Surau Al-Islah, Seksyen 7, SHAH ALAM.


Berminat?


Boleh hubungi:

Ustazah Anisah Binti Ahmad Hafid (013-3827170)

uSTAZ mOHD sUHAIMI bIN mOHD ARDZI (013-2505750)

aTAU

BOLEH HANTARKAN E-mel KE ALAMAT:

mtqi_sa7@yahoo.com

aTAU

bOLEH MELAWAT KE LAMAN BLOG:

http://mtqi-sa7.blogspot.com/