Tarikh: 9 Ogos 2010
Masa: 2120-2240
Tempat: Auditorium Kuliah Farmasi, UIA
Kuantan
Program: Majlis Pembukaan Program Ihya' Ramadhan 1431H
Penceramah: Ustaz Suhaimi Md Saad
Bulan Ramadhan adalah satu program khas daripada Allah s.w.t. untuk melahirkan orang-orang yang bertaqwa di kalangan hambaNya. Ia adalah ibarat satu program kursus. Allah s.w.t. mengubah jadual hidup manusia pada bulan ini. Contohnya, aktiviti memakan nasi pada pukul 5 pagi. Amat mustahil ia berlaku pada bulan-bulan lain, tetapi menjadi kebiasaan untuk kita rakyat Malaysia, bangun makan sahur dengan nasi (sebagai makanan ruji) pada kira-kira jam 5 pagi.
Apabila kita mengikuti kursus, ia mempunyai peraturannya sendiri. Jika kita mematuhinya, kita berkemungkinan besar berjaya mencapai objektif/manfaat kursus tersebut pada akhirnya. Jika kita tidak/kurang mematuhi segala peraturan sepanjang tempoh kursus tersebut, kita berkemungkinan besar akan gagal mencapai objektif/manfaat daripada kursus tersebut pada akhirnya walaupun kita berjaya menghabiskan kursus tersebut.
Begitulah juga dengan Bulan Ramadhan. Selepas sebulan berada di dalam bulan Ramadhan, ada yang berjaya menjadi seorang yang bertaqwa, ada juga yang hanya melalui bulan Ramadhan tanpa memperoleh sedikit pun manfaat daripadanya. Semuanya bergantung kepada amalan kita sepanjang bulan ini.
* Takwa bukan bermaksud takut. Ulama menafsirkan taqwa sebagai di antara takut dan rindu kepada Allah S.W.T. Takut kepada Allah dengan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya, dalam masa yang sama, tidak menjauhiNya kerana takut tersebut, malah menjadi lebih dekat denganNya dan merindui untuk bertemu denganNya.
* Takwa juga boleh ditafsirkan melalui huruf-huruf yang membentuk perkataan takwa tersebut.
T = Takut
A= Amanah
K = Kualiti
W = Wara'
A = Amal
Apa jua tafsiran tentang takwa, semuanya membawa makna menjurus kepada mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.
* Sebenarnya, perubahan jadual hidup manusia pada bulan Ramadhan adalah merupakan latihan daripada Allah S.W.T. kepada umat Islam untuk diamalkan/diaplikasikan dalam kehidupan, tidak hanya pada bulan Ramadhan sahaja.
1) Bangun di awal pagi untuk bersahur. Ini adalah latihan daripada Allah S.W.T. bahawa umat Islam haruslah memulakan kehidupan pada setiap hari seawal sebelum Subuh, bukannya pada waktu matahari terbit. Aktiviti sebelum Subuh yang sangat digalakkan untuk diamalkan antaranya adalah berqiyammullail, bermunajat dan seterusnya menunggu azan Subuh. Ini adalah ciri-ciri umat Islam yang sebenar.
2) Waktu berbuka puasa. Hampir tiada seorang pun yang melewatkan waktu berbuka puasa. Tepat pada masanya, yakni azan Maghrib berkumandang, semua orang pasti berbuka puasa. Bahkan di dalam Islam sendiri, menggalakkan (sunat) untuk menyegerakan berbuka puasa. Ini adalah latihan daripada Allah S.W.T. pada bulan Ramadhan untuk umat Islam sentiasa menepati masa dan janji. Umat Islam sangat lemah dalam menepati masa.
3) Dalam bulan Ramadhan, kita digalakkan untuk menunaikan solat sunat terawih selepas selesai menunaikan solat Isyak. Kita juga disunatkan untuk memperbanyakkan amalan-amalan sunat lain kerana ganjarannya diangkat sama seperti melaksanakan amalan wajib pada bulan-bulan lain. Ini adalah latihan daripada Allah S.W.T. kepada hambaNya untuk membiasakan diri membuat amalan-amalan sunat pada bulan-bulan lain atau paling kurang, dapat menjaga amalan asas dan wajib seperti solat 5 waktu sehari semalam.
4) Dalam bulan Ramadhan juga, solat sunat terawih kebiasaanya dilakukan secara berjemaah di masjid-masjid dan surau-surau. Ini adalah latihan daripada Allah S.W.T. untuk hambaNya supaya membiasakan diri menunaikan solat 5 waktu secara berjemaah pada bulan-bulan lain.
*Kenapa Umat Nabi Muhammad S.A.W. diberi keistimewaan malam Lailatul Qadr, namun tidak diberikan kepada umat terdahulu?
- Kerana untuk menyamai amalan umat terdahulu yang panjangnya umurnya berbanding umat akhir zaman.
* Niat puasa sunat boleh dilakukan sehingga waktu tengah hari, tetapi tidak boleh dilakukan untuk puasa wajib
* Kaffarah berpuasa 2 bulan berturut-turut bagi pasangan yang melakukan persetubuhan di siang hari pada bulan Ramadhan hanya dikenakan kepada pihak lelaki sahaja.
* Puasa adalah terapi yang paling tua di dunia, bahkan masih lagi digunakan dalam perubatan moden terutama apabila membabitkan pembedahan dan penggunaan ubat bius.
Saranan:
1) Membaca al-Qur'an bersama maknanya
2) Mengetahui dan memahami sirah Rasulullah S.A.W. secara keseluruhannya, bukan melalui acara-acara tertentu sahaja (contoh: Maulidur Rasul, Isra' & Mi'raj, Nuzul Qur'an).
Buku yang dicadangkan: Fiqh Sirah tulisan Dr. Sa'id Ramadhan Al-Buti
*p/s: diolah daripada ceramah asal. Mungkin ada sedikit tambahan, yang pasti banyak kekurangan daripada yang asal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan