Selasa, 3 Disember 2013

Beberapa Perbezaan Asasi antara Ahli Sunnah dan Syiah

(Gambar 12 Imam mengikut kepercayaan Syiah)

1. Rukun Islam. 

Rukun Islam bagi Ahli Sunnah adalah lima perkara - mengucap dua kalimah syhadah, menunaikan solat 5 waktu sehari semalam, mengeluarkan zakat apabila cukup syarat-syaratnya, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji bagi yang berkemampuan (hadith riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain).

Rukun Islam bagi Syiah Imamiah adalah lima perkara - wilayah, menunaikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji, dan berpuasa. (al-Kulaini, kitab Usul Kafi). 

Rukun Islam bagi Syiah Ismailiyah Batiniyah adalah tujuh perkara - wilayah, bersuci, menunaikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji, berjihad. (al-Qadhi an-Nukman, kitab Da'aa'im al-Islam)

2. Rukun Iman

Rukun Iman bagi Ahli Sunnah adalah 6 perkara - beriman kepada Allah, Malaikat-Malaikat, Kitab-Kitab, Para Rasul, Hari Akhirat dan Qada' & Qadar (hadith riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain) (surah al-Baqarah: 285)

Syiah Imamiah meletakkan ucapan dua kalimah syahadah sebahagian daripada rukun Iman (al-Kulaini, kitab Usul Kafi). Puak Syiah Imamiah dan Syiah Ismailiyah Batiniyah meletakkan rukun wilayah sebagai rukun Iman yang dasar dan utama, selain mereka meletakkanya dalam rukun Islam.

Syiah bersepakat dengan Ahli Sunnah dalam keimanan kepada Malaikat-Malaikat, Kitab-Kitab, Para Rasul, Hari Kiamat dan Qada' & Qadar, tetapi mempunyai penafsiran dan pemahaman yang berbeza.

a) Kepercayaan kepada Malaikat.

Ahli Sunnah percaya bahawa Malaikat diciptakan daripada cahaya (hadith riwayat Muslim). Syiah percaya bahawa Malaikat diciptakan daripada cahaya Ali bin Abi Tolib radhiallahu 'anhu. (as-Sayyid Hasyim al-Bahrani, Ma'alim az-Zulfa fi Ma'arif an-Nasya'at al-Ula).

Syiah percaya bahawa salah satu tugas Jibril adalah menjadi pelayan kepada Imam-Imam Syiah (al-Majlisi, Biharul Anwar), bertentangan dengan Ahli Sunnah yang percaya bahawa tugas Jibril adalah menyampaikan wahyu kepada Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam (surah asy-Syura: 193-194).

Syiah juga percaya ada Malaikat yang ditugaskan untuk menangisi dan menzirahi kubur Husain radhiallahu 'anhu (Wassail as-Syiah). Kepercayaan ini tidak wujud dalam kepercayaaan ahli Sunnah.

b) Kepercayaan kepada Kitab

Ahli Sunnah dan Syiah bersepakat mempercayai bahawa al-Qur'an adalah kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam untuk umat Islam (surah an-Nahl: 89). 

Namun, Syiah beranggapan bahawa al-Qur'an yang dimiliki oleh ahli Sunnah, yakni Mushaf Usmani tidak asli dan percaya kandungannya mengalami penyelewengan, penambahan dan pengurangan. Mereka juga percaya bahawa al-Qur'an memiliki 17,000 ayat (al-Kulaini, Kitab al-Kafi).

Syiah percaya kewujudan kitab suci selain al-Qur'an yang dikenali sebagai Mushaf Fatimah. Mereka juga percaya bahawa 12 Imam mereka mempunyai 12 suhuf (lembaran) tersendiri yang diberikan oleh Allah subhana wa ta'ala (al-Kulaini, Kitab al-Kafi; Ikmal ad-Din, kitab Ibnu Babwaih al-Qummi)

c) Kepercayaan kepada Rasul

Ahli Sunnah dan Syiah bersepakat mempercayai bahawa Allah subhana wa ta'ala telah mengutuskan para Rasul kepada manusia (surah an-Nisa': 152). Namun, Syiah turut menyamakan kedudukan para Rasul dengan Imam-Imam mereka.

Syiah Imamiah dan Syiah Ismailiyah Batiniah  meletakkan sifat yang ada pada para Rasul turut berada pada Imam-Imam mereka. Mereka percaya Imam-Imam mereka menerima wahyu (al-Majlisi, Biharul Anwar). Bahkan, mereka menggangap darjat Imam-Imam mereka lebih tinggi daripada darjat para Nabi (al-Majlisi, Biharul Anwar; Ibnu Babwaih, I'tiqaadat).

Syiah juga percaya bahawa Imam-Imam mereka memiliki mukjizat seperti para Rasul seperti menghidupkan orang yang telah mati, berkomunikasi dengan haiwan dan mengatahui perkara yang sudah dan akan berlaku (Husain Abdul Wahab, 'Uyuun al-Mu'jizat).

Syiah Zaidiyah mempunyai iktikad yang berbeza dengan Syiah Imamiah dan Ismailiyah Batiniah dalam bab kenabian dan mukjizat.

d) Kepercayaan kepada Hari Kiamat.

Ahli Sunnah dan Syiah percaya akan kewujudan hari Kiamat yang pasti akan berlaku. Namun Syiah berbeza pendapat dengan ahli Sunnah dalam beberapa perkara.

Mereka percaya bahawa para Imam mereka yang akan menghisab amalan seseorang pada hari Kiamat (al-Kulaini, Usul Kafi), dan Allah subhana wa ta'ala menciptakan Syurga daripada cahaya Husain radhiallahu 'anhu (Ibnu Babwaih, I'tiqaad).

Mereka juga percaya bahawa soalan pertama yang akan ditanya di Akhirat kelak adalah mengenai kecintaan seseorang terhadapa Ahlul Bait (al-Majlisi, Biharul Anwar), serta penduduk Qum tidak akan melalui proses hisab, bermula daripada kebangkitan daripada kubur, timbangn mizan dan perlu melalui titian sirat, sebaliknya mereka terus dihisab di kubur serta dibawa terus ke Syurga melalui pintu khas (al-Majlisi, Biharul Anwar).

Ahli Sunnah percaya bahawa segala urusan di hari Akhirat, termasuk urusan Syurga dan Neraka adalah di bawah kekuasaan Allah subahana wa ta'ala (hadith riwayat Bukhari dan Muslim).

e) Kepercayaan kepada Qada' dan Qadar

Syiah cenderung kepada pandangan Muktazilah iaitu Tuhan tidak menciptakan perbuatan manusia, tetapi manusia yang mewujudkan perbuatan itu (Abdul Jabbar, Syarah al-Usul al-Khamsah). Ahli Sunnah yakin bahawa Allah subhana wa ta'ala mencipta perbuatan manusia. Namun, ahli Sunnah dan Syiah bersepakat bahawa manusia mampu mengubah takdir dan mempunyai pilihan.



Terdapat banyak lagi perbezaan ahli Sunnah dan Syiah selain perkara dasar di atas seperti wasiat khalifah secara nas dan turun-menurun, kemaksuman Imam, kebangkitan kembali (raj'ah), mengkafirkan para sahabat dan tidak menerima hadith yang diriwiyatkan daripada ahli Sunnah, menolak qiyas dan ijmak, pernikaah mut'ah, taqiyyah dan banyak lagi.

Semoga aqidah dan pegangan kita tetap utuh di atas landasan yang benar sehingga ke penghujung nyawa. 

Ameen.

-Diolah daripada buku Agenda Politik Syiah; Dendam Warisan dalam Mencari Pemimpin Umat, tulisan Dr. Kamaluddin Nurdin Marjuni, Pensyarah Kanan Jabatan Agama & Teologi USIM-