Maksudnya: "Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak buat?... Alangkah besarnya kemurkan Allah bahawa kamu mengatakan apa yang kamu tidak kerjakan" (Surah as-Saff: 2 & 3)
Ayat ini diturunkan bersempena dengan perbualan beberapa orang di kalangan orang yang beriman sebelum diwajibkan seruan jihad. Mereka berkata: "Kalaulah Allah S.W.T. mewajibkan kepada kita untuk berjihad, nescaya kita akan menunaikan kewajipan itu dan akan membuktikan bahawa kita taat dan menunaikan perintahNya dengan penuh pengorbanan"
Namun, apa yang berlaku adalah tidak sedemikian. Apabila Allah S.W.T. menurunkan perintah jihad, terdapat di kalangan mereka yang lemah imannya dan merasa berat untuk mengorbankan nyawa dan harta benda masing-masing. Lalu turunlah ayat ini.
Begitulah keadaan sebahagian daripada golongan yang beriman, mereka bercakap besar tetapi kerja dan pengorbanan tidak sebanyak mana. Apabila bercakap mereka cukup bersemangat tetapi apabila sampai masa dan ketikanya untuk melaksanakan kata-kata itu, mereka tidak menunaikan kewajipan tersebut dengan penuh pengorbanan.
Realitinya, ramai yang mampu berkata-kata, berceramah, berceloteh, memberi tasyji' selama berjam-jam, dengan penuh bersemangat dan beserta dalil dan bidalan, namun tidak ramai yang mampu mempraktikkan di medan amal.
Ramai orang yang hebat di medan teori, namun tidak ramai yang mampu menterjemahkannya dalam medan praktikal.
Ramai yang mampu menamatkan pengajian teori, namun tidak ramai yang mampu mengamalkan ilmunya.
Ramai yang mampu mengkritk dan memberi komen, namun tidak ramai yang mampu sentiasa bermuhasabah dan membaiki diri.
Tidak ramai yang sepenuh tenaga menyinsing lengan di kala kesusahan, namun ramai yang bersedia memberi nama apabila kemenangan mendatang.
Ramai yang inginkan melihat Islam menang, namun tidak ramai yang ingin berkerja memenangkan Islam.
Itulah realiti. Putaran yang sama. Setiap zaman pasti berulang skripnya. Cuma pelakonnya sahaja yang berbeza. Mengapa kita tidak mengambil walau segelumit iktibar darpadanya?
-muhasabah untuk diriku di kala Dhuha buat membangkitkan rasa dan keinginan-
Sumber rujukan dan olahan: 'at-Tibyan dalam Mentafsirkan al-Qur'an: Surah As-Saff karangan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan