Isnin, 18 September 2017

Sahabat Nabi (صلى الله عليه وسلم)



Ulama' berbeza pendapat tentang takrifan Sahabat Nabi SAW. Sebahagian ulama' meletakkan takrif Sahabat adalah mereka yang bertemu atau melihat Nabi SAW, beriman dengannya dan mati dalam keadaan Muslim.  Sebahagian ulama' lain pula mengatakan Sahabat adalah mereka yang mendampingi/ bersahabat dengan Nabi SAW dalam satu tempoh tertentu yang boleh dianggap sebagai sahabat, beriman dengannya dan mati dalam keadaan Muslim.

Berdasarkan takrifan daripada para Ulama', terdapat beberapa individu atau golongan yang termasuk sebagai Sahabat Nabi SAW kerana memenuhi kriteria yang telah digariskan atau tidak termasuk sebagai Sahabat Nabi SAW disebabkan tidak memenuhi kriteria yang telah digariskan oleh para Ulama'. Antaranya ialah: 

1. Al-Asy'at bin Qais radhiyaAllah 'anhu adalah merupakan salah seorang daripada sahabat Nabi walaupun pernah keluar daripada Islam, tetapi kembali kepada Islam selepas itu dan mati dalam Islam.

2. Rabi'ah bin Umayyah bin Khalaf tidak dianggap sebagai salah seorang daripada sahabat Nabi walaupun telah memeluk Islam pada hari pembukaan kota Mekah kerana telah kembali kepada kufur dan mati dalam agama Nasrani.

3. An-Najasyi tidak dianggap sebagai salah seorang daripada sahabat Nabi walaupun beriman dan mati dalam Islam serta hidup di zaman Nabi kerana An-Najasyi tidak pernah bertemu dengan Nabi ketika hayatnya.

4. Jin yang telah bertemu Nabi dan beriman dengannya ketika hayat Baginda termasuk dalam golongan sahabat Nabi.

5. Seseorang yang hanya bertemu dengan Nabi didalam mimpi bukanlah merupakan sahabat Nabi.

Tiada ulasan: