Isnin, 17 Ogos 2015

Mengapa Harus Ada Rasa Ragu Dengan Sirah Nabi?


Ulama' berselisih pendapat tentang usia sebenar 'Aisyah (رضي الله عنها) ketika berkahwin dan mula tinggal bersama Rasulullah صلى الله عليه وسلم)). 

Apa yang pasti, umur Aisyah jauh lebih muda daripada umur Baginda ketika itu. Suatu jarak usia yang kelihatannya mustahil terjadi di zaman ini.

Perbezaan ini adalah antara hujah yang digunakan oleh orientalis dan pemikir-pemikir Barat untuk menyerang Islam dan menanamkan keraguan ke dalam jiwa umat Islam. Bahkan, tidak kurang umat Islam sendiri dari pelbagai aliran turut terpengaruh dengan serangan ini.

Mereka sebenarnya mungkin terlepas pandang atau buat-buat tidak nampak akan 'critical point' dalam isu ini, iaitu adat setempat pada zaman tersebut.

Kita sedia maklum yang kaum Musyirikin Mekah, puak Munafiq Madinah dan kaum Yahudi adalah penentang utama kepada Rasul dan sahabat-sahabat Baginda. Namun, pernahkah kita mendengar mereka menggunakan hujah jarak umur Nabi dengan isteri Baginda sebagai senjata untuk menyerang Nabi dan menanamkan keraguan kepada pengikut Baginda?

Tidak pernah.

Mereka adalah golongan yang paling membenci Nabi dan lebih mengenali Nabi. Jika 'point' itu cukup kuat untuk mencacatkan peribadi Nabi, mereka pasti lebih awal menggunakannya seperti mana mereka mengatakan Nabi menggunakan sihir, mahukan kekuasaan dan dakwaan-dakwaan lain.

Mereka tidak gunakan 'point' tersebut kerana perkahwinan dalam jarak usia tersebut adalah normal bagi masyarakat Arab ketika itu. Kita juga boleh melihat jarak usia sesetengah Sahabat dengan isteri-isteri mereka yang juga mempunyai jurang usia yang besar. Contohnya, Umar al Khattab رضي الله  عنه)) telah berkahwin dengan anak perempuan Ali bin Abi Tolib (رضي الله  عنه) yang bernama Umm Kalthum sedangkan kita sedia maklum bahawa jarak umur Ali jauh lagi muda dengan Umar, apatah lagi umur Umm Kalthum yang merupakan anak kepada Ali. Jaraknya pasti lebih jauh.  

Adat setempat boleh berubah-ubah mengikut tempat, zaman dan keadaan. Islam meraikan adat setempat selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariat.

Kita tidak pernah menyangkal mahupun pelik apabila mendengar cerita yang nenek moyang kita berkahwin dan bersalin pada usia awal belasan tahun dan menjadi datuk atau nenek pada usia seawal 20an, namun kita juga mengakui situasi tersebut mungkin sudah tidak sesuai di zaman ini.

Jika jarak masa beberapa generasi sahaja telah menghasilkan adat dan gaya hidup yang sangat berbeza, bagaimana dengan jarak ribuan tahun yang memisahkan zaman kita dan zaman tersebut?

Mengapa perlu ada rasa ragu dengan kisah Nabi yang jarak zamannya beribu tahun jauh dari zaman kita?

Tiada ulasan: