Sabtu, 1 Ogos 2015

Buku Ali Abdur Raziq dan Respon Para Ulama'


Pada tahun 1925 (1344 Hijrah), dunia Islam telah dikejutkan dengan satu buku yang telah diterbitkan dan ditulis oleh bekas Hakim Mahkamah Mansurah, Mesir, Ali Abdur Raziq. Buku yang bertajuk, "Islam dan Asas-Asas (Dasar) Perundangan" telah menimbulkan kontroversi kerana ia mengandungi beberapa perkara yang ditulis menyalahi hakikat sebenar Islam.

Antara beberapa penyelewengan yang ditulis oleh Ali Abdur Raziq dalam buku tersebut ialah:

1) Syariat Islam hanya bersifat rohani, tidak me
mpunyai hubungan dengan hukum dan perlaksanaan dalam perkara keduniaan.

2) Islam tidak mensyaratkan pemerintahan dengan cara tertentu (tiada perkaitan di antara agama dan pemerintahan)

3) Undang-Undang perundangan pada zaman Rasulullah صلى الله عليه وسلم mengelirukan dan Jihad Baginda hanya untuk mendapatkan kekuasaan, bukan bertujuan untuk menegakkan agama dan menyebarkan dakwah ke seluruh alam.

4) Pemerintahan Abu Bakr as-Siddiq رضي الله عنه dan kesemua Khulafa' ar-Rasyidin رضي الله عنهم selepasnya bukan pemerintahan berasaskan Islam.

5) Kesemua penentang yang keluar menentang Abu Bakr as-Siddiq رضي الله عنه dan enggan membayar zakat selepas kewafatan Rasulullah صلى الله عليه وسلم tidak terkeluar daripada Islam, bahkan mereka semua diperangi bukannya disebabkan agama, tetapi disebabkan tujuan politik bagi mempertahankan negara Arab dan kesatuan mereka.

Kesan daripada tulisannya, Ali Abdur Raziq telah ditarik balik sijilnya daripada Universiti al-Azhar dan ramai ulama' serta pemikir Islam telah menulis buku bagi menjawab segala tuduhan dan kekeliruan yang telah dilemparkan oleh Ali Abdur Raziq dalam buku tersebut.

Antara beberapa contoh tulisan yang ditulis khas bagi menjawab tulisan Ali Abdur Raziq adalah:

1. Hakikat Islam dan Asas-Asas Perundangan oleh Sheikh Muhammad Bukhit al-Muti'ie

2. Sistem Politik dalam Islam oleh Dr. Muhammad Abdul Qadir Abu Faris 
3. Islam dan Khilafah pada Zaman Moden oleh Dr. Muhammad Dhiyauddin al-Riss


Sumber:
1. مدخل لدراسة النظم الإسلامية لدكتور مفرح سليمان القوسي، عضو هيئة التدريس بجامعة الإمام محمد بن سعود الإسلامية
2. الدكتور خالد الشبانه، عضو هيئة التدريس بجامعة الإمام محمد بن سعود الإسلامية                                                                                                               

Tiada ulasan: