Siapakah 'Urwah bin az-Zubair?
Namanya kurang popular berbanding dengan nama-nama besar lain, bahkan berkemungkinan ramai yang pertama kali mendengarnya. Ini mungkin kerana beliau adalah generasi tabi'ien kerana lahir pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman al-Affan (رضي الله عنه) dan tidak sempat hidup di zaman Nabi (صلى الله عليه وسلم). Namun, sebenarnya beliau mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Nabi (صلى الله عليه وسلم) dan orang-orang penting di sekeliling Nabi (صلى الله عليه وسلم).
Ayah beliau adalah Az-Zubair bin al-Awwam, ibunya ialah Asma' binti Abu Bakr As-Siddiq, abangnya adalah Abdullah bin az-Zubair, datuknya adalah Abu Bakr As-Siddiq. Makciknya adalah Aisyah binti Abu Bakr As-Siddiq (رضي الله عنهم) dan pakcik sabit beliau adalah Muhammad bin Abdullah (صلى الله عليه وسلم).
Urwah merupakan salah seorang ulama' besar dalam bidang Fiqh dan Hadith serta dianggap sebagai salah seorang daripada Imam Fiqh Utama di Madinah bagi generasi Tabi'ien. Beliau memanfaatkan sepenuhnya hubungan darah yang sangat rapat dengan Ummul Mukminin, 'Aisyah (رضي الله عنها) sebagai anak saudara untuk meriwayatkan hadith-hadith serta mempelajari ilmu Fiqh daripada Ummul Mukminin.
Beliau telah bertanya beberapa soalan yang mungkin 'malu' ditanya oleh para sahabat lain kepada Ummul Mukminin seperti hukum yang berkaitan dengan air mani dan sebagainya, yang akhirnya menjadi sumber periwayatan hukum dalam bidang Fiqh yang sangat berguna kepada generasi terkemudian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan