Khamis, 13 Ogos 2009

Perginya Tak Kembali Lagi: Ustaz Asri Ibrahim


Pagi tadi, rakyat Malaysia dikejutkan dengan pemergian buat selama-lamanya vokalis utama kumpulan nasyid terkenal tanah air, Rabbani, Ustaz Asri Ibrahim. Beliau telah pergi pada kira-kira pukul 11 pagi tadi di Hospital Pantai, Kuala Lumpur akibat serangan sakit jantung.

Asri Ibrahim, 40, adalah merupakan bekas kumpulan nasyid Qatrunnada dan Nada Murni sebelum menyertai kumpulan Rabbani pada tahun 1997.

Beliau yang popular dengan lagu 'Pergi Tak Kembali' (Rabbani), 'Selimut Putih' (Nada Murni), 'Cinta Agung' (Qatrunnada), pasti akan dirasai kehilangannya oleh semua penggemar industri nasyid tanah air. Kehebatan vokalnya yang begitu memukau telah meletakkan industri nasyid sebaris dalam industri hiburan.

Beliau adalah contoh insan yang telah berjaya menjadikan dakwah bukan hanya tempatnya di masjid atau kuliah-kuliah agama. Dengan menggunakan medium nasyid dan seni suara, dakwah Islam telah berjaya menerobos masuk ke segenap tembok yang mungkin tidak mampu ditembusi oleh cara dakwah yang statik. Semoga akan lahir lagi insan-insan persis Asri Ibrahim yang akan berdakwah dalam ertikata yang luas.

Kerja Kosong (Lelaki Sahaja)


DIPERLUKAN SEGERA

GURU HAFIZ AL-QUR’AN + WARDEN ASRAMA

Mulai Akhir Ogos 2009



Syarat-Syarat:


  • - Memiliki kelulusan dalam hafazan Al-Qur’an
  • - Berperibadi Mukmin
  • - Boleh menjadi imam solat fardu di Surau / Masjid
  • - Tinggal bersama pelajar di asrama yang disediakan (umur pelajar antara 9-12 tahun)
  • - Tempat tinggal, makan-minum disediakan
  • - Kemudahan caruman KWSP
  • - Tugas utama: (i) mengajar / menyemak hafazan Al-Qur’an pelajar (ii) menjadi warden asrama (iii) mengajar subjek fardhu ’ain dan Bahasa Arab.


Anda Berminat??



1- Sila hubungi Setiausaha MTQI (Encik Al-Azmi Bin Bakar) di talian: 019-2703370

atau

Hantarkan e-mel ke alamat, mtqi_sa7@yahoo.com.


2- Sila sertakan butir-butir peribadi (curriculum vitae) dan sekeping gambar pasport terbaharu.



Untuk maklumat lanjut, boleh layari: http://mtqi-sa7.blogspot.com/

Khamis, 6 Ogos 2009

Sekiranya....


Sekiranya,
Kita cinta kepada manusia,
Tak semestinya manusia cintakan kita,
Tetapi sekiranya,
Kita cintakan Allah,
Nescaya cinta Allah tiada penghujungnya.

Sekiranya,
Kita cinta kepada manusia,
Kita akan cemburu kepada orang yang
mencintai orang yang kita cintai
,
Tetapi sekiranya,
Kita cinta kepada Allah,
Kita akan turut mencintai orang yang
melabuhkan cintanya kepada Allah juga.

Ya Allah,
Andainya dia adalah jodoh yang ditetapkan oleh-Mu kepadaku,

Maka,
Campakkanlah ke dalam hatiku,
Cinta kepadanya adalah kerana-Mu,
Dan campakkanlah ke dalam hatinya,
Cinta kepadaku adalah kerana-Mu.

Namun,
Andainya dia bukanlah jodoh yang ditetapkan oleh-Mu kepadaku,
Berilah aku kekuatan agar pasrah dalam mengharungi ujian,
Yang Kau berikan kepadaku.

-Aminah Qutb-

Selasa, 4 Ogos 2009

Rangkuman Hidupku di Penghujung Julai 2009-Awal Ogos 2009

Sudah lama tidak menaip di sini. Rasanya seperti orang yang baru belajar memblogging.

Sekalung tahniah buat sahabat-sahabatku yang telah menamatkan zaman bujang mereka. Sungguh tidak disangka, Izzat dan Wardah akan berkahwin dalam masa yang terdekat ini. Semoga kekal ke anak cucu bersama pasangan masing-masing.

Sehingga kini, aku masih lagi merasa ralat kerana tidak dapat hadir kedua- dua majlis yang bersejarah bagi sahabat-sahabatku itu. Pokjak (Izzat) telah selamat menjadi suami orang pada 25/7/09. Pada tarikh tersebut, kebetulannya aku ada kelas Pathology bersama Prof Ungku Chulan.

Wardah pula telah selamat menjadi penyeri hati Faizal (kawanku juga) pada 1/8/09. Ketika tarikh ini, aku berada di Negeri Sembilan untuk menjayakan program follow-up baktisiswa.

Ketika tarikh ini, aku berada di persimpangan yang amat sangat.. Aku harus memilih untuk memenuhi jemputan Wardah dan Faizal atau memenuhi jemputan keluarga angkatku di samping tidak merosakkan perjalanan program ataupun menyertai sahabat-sahabat ber'perang' di Kuala Lumpur.

Hampir seminggu aku berfikir dan menimbangtara antara 3 pilihan tersebut. Akhirnya, aku memilih untuk ke Negeri Sembilan setelah memikirkan besarnya maslahat dan kecilnya fasad jika aku ke sana. Mungkin tidak ramai yang akan faham mengapa keputusan ini dibuat.

Program follow up ke Negeri Sembilan sungguh menyeronokkan. Dapat bertemu kembali keluarga angkatku, terutama 3 'askar' yang sangat aktif, along, angah dan adik Ammar. Kami telah di'uji' oleh Kak Ramizah untuk menakluk pokok-pokok. Kami semua gagal.

-Along & Angah yang sungguh aktif-

Selepas gagal menakluk pokok-pokok buah-buahan, kami semua melepaskan geram kepada pokok getah. Petang itu kami menghabiskan masa membuat bola getah dan melagakan biji-biji getah di sekitar ladang getah.

-Adik Ammar yang comel lotey-

Pada malamnya, telah diadakan 1 majlis ringkas berserta BBQ. Lucu sungguh gelagat pelajar-pelajar UIA yang membakar ayam di dalam kegelapan malam. Hasilnya, ayam yang dibakar sama hitamnya dengan kepekatan malam.

Keesokan paginya (2/8), kami dikerah ke dusun milik keluarga Abang Hishamudin untuk mengutip buah mata kucing di sana. Semua pergi ke sana pada pagi itu kecuali aku. Aku terlantar di atas katil dek kesihatan yang tidak mengizinkan.

Sebelum bertolak pulang pada tengah harinya, kami sempat singgah di Hutan Lipur Ulu Bendul. Aku sekali lagi tidak dapat menyertai rakan-rakan yang mandi-manda di sana kerana kesihatanku tidak mengizinkan aku berbuat demikian.

Kami tiba di UIA Kuantan dalam pukul 10 Malam.

Aku positif H1N1?


Cuti sakit seminggu.

Aku diberikan sehelai kertas yang meng'halal'kan untuk aku tidak ke kelas pada minggu ini.

"Salam. Rahman, betul ke aku dengar kau positif H1N1?"

"Eh, dengar cerita suspected H1N1. betol ke dome??"
Antara mesej2 yang  diterima semalam.

Betul ke aku suspected / positif H1N1??

Sehingga saat ini, TIDAK.

Walaupun aku mempunyai beberapa simptom H1N1 seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit kepala, namun sehingga semalam, doktor mengatakan bahawa keadaan aku masih lagi ok. Bahkan, hari ini aku sudah tidak demam.

Kuliyyah Nursing dan Dentistry telah di'rehat'kan untuk seminggu. Kuliyyah lain mungkin bakal menyusul. Begitu hebat kuasa Allah. Hanya dengan kuasa makhluknya yanag kecil dan ringan (virus dan angin), habis manusia porak-peranda. Terasa betapa kerdilnya diri ini.

Siapa kita tanpa rahmat-Nya??

Kepada semua yang sedang diuji, anggaplah sebagai kaffarah kepada dosa-dosa kecil dan sebagai teguran kecil daripada ilahi agar tidak jauh daripada landasan-Nya.

p/s: terima kasih kepada umi, abah, dan sahabat-sahabat yang mengambil berat keadaanku.

Khamis, 16 Julai 2009

Bagaimana Natijahnya?




Semester baru mengangkat tirainya. Ketika sahabat-sahabat semuanya menyatakan perasaan mereka yang sangat teruja dan optimis, aku cuba memandang sebaliknya.

Begitu banyak berita-berita yang mengejutkan menghinggapi telingaku sejak kebelakangan ini. Bermula daripada pemergian Arwah Amar Zulkifli, Arwah Nabil Marwan dan berterusan kepada pembunuhan tragis Marwa Al-Shebrini.

Semua mereka pergi dalam usia muda. Namun, pemergian mereka adalah pemergian kemenangan.

Mengapa??

Amar pergi dengan keredhaan ibubapanya, Nabil pergi dengan cara yang amat mudah dan direstui ibubapanya, Marwa pergi ketika terus mempertahan syiar Islam daripada diragut. Lalu, bagaimana dengan kita?? Bagaimana pengakhiran kita??

Setiap kali aku membaca entry tentang Arwah Nabil (terutamanya yang ditulis oleh sepupunya dan sahabat-sahabatnya), aku pasti mencemburuinya. Dia menderita dengan kesabaran dan pergi dengan keredhaan orang di sekililingnya.

Aku terus merenung dan termenung mengenangkan nasibku pada semester ini. Permulaan yang baik. Namun, bagaimana pengakhirannya. Adakah lebih baik daripada semester lepas, ataupun tiada perubahan, ataupun semakin mundur ke belakang. Adakah aku mampu berada di penghujung semester kelak. Tiada siapa yang tahu.

Semester ini pastinya aku dibebankan dengan pelbagai taklifat yang begitu mencabar bagi diriku (mungkin tidak buat orang lain). Pelbagai tugasan dan kerja yang memang sudah dijangka dan 'mengejut' sudah mula memanggil-manggil diriku.


Aku sungguh risau. Adakah aku mampu terus fokus terhadap perkara-perkara yang utama dalam hidupku. Adakah aku mampu konsisten dalam hubunganku dengan Allah, hubunganku dengan ibubapaku, hubunganku dengan Al-Qur'an, kewajipanku terhadap pelajaran. Aku juga sedang sedaya upaya untuk membetulkan niat atas segala perkara kerana amatlah penting niat dibetulkan agar sesauatu tanggunggjawab tidak dilaksanakan dengan sia-sia.

Diharapkan permulaan yang baik membuahkan natijah yang baik di pengakhirannya..
-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-

Ahad, 5 Julai 2009

Pengemis, Suami Kaya & Isteri Cantik




Pada suatu hari, ketika sepasang suami isteri duduk makan di ruang tamu, mereka telah didatangani oleh seorang pengemis yang berpakaian lusuh dan meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik, saya lapar. Saya sejak semalam saya tidak menjamah sesuap nasi pun" rayu pengemis tersebut.

Dengan muka yang bengis dan angkuh, si suami sambil menjeling kepada isterinya yang cantik itu, terus menghalau dan menengking si pengemis itu. Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain, tapi untuk diri dan keluargaku." Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah.

Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus menceraikan isterinya kerana tidak mahu isterinya turut menderita sepertinya. Setahun kemudian, isterinya yang masih cantik itu berkahwin pula dengan lelaki lain.

Pada suatu hari, sedang si isteri dan suami barunya mengadap makanan, tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan. Mendengar rayuan pengemis itu, si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi dan berlaukkan seperti lauk yang mereka sedang makan. Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis tersebut, si isteri menangkup muka sambil menangis.

Si suami pun kehairanan dan bertanya kepada isterinya, mengapa dia tiba-tiba menangis. Si isteri pun menjawab, "Sebenarnya si pengemis ini adalah bekas suamiku yang dulu pernah menengking seorang pengemis . Lantas, suami yang baru itu menjawab dengan tenang, ''Sesungguhnya, akulah pengemis yang dihalau dan ditengking itu."




P/s: Hidup ini adalah ibarat roda. Adakalanya kita di atas, adakalanya kita di bawah. Belajarlah untuk bersyukur dan memberi ketika berada di atas, kelak akan dibukakan oleh Allah S.W.T. jalan keluar dari segala kesusahan ketika berada di bawah.

-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-

Jumaat, 3 Julai 2009

Nabil Marwan Dalam Kenangan

Sharif dan Arwah Nabil

2 Julai 2009. Kira-kira pukul 11 malam. Hari Khamis malam Jumaat. Nabil Marwan telah dipanggil pulang oleh PEMILIKNYA.
Aku baru dikejutkan dengan berita bahawa Nabil ada masalah pada organ hatinya. Kami (aku, Nurudin, Naim) terus berhajat untuk melawat Nabil pada hujung minggu depan (selepas program Taaruf Week UIA). Selang beberapa hari, aku digemparkan dengan mesej dari rakan-rakan yang memaklumkan bahawa Nabil telah pergi buat selama-lamanya.
Selepas mendapat berita ini, aku terus terduduk. Terus merenung bilakah dan bagaimanakah pengakhiran hayatku. Aku masih teringat saat2ku pergi melawat Nabil di Hospital Telok Intan. Sinar senyuman Nabil ketika itu begitu meyakinkan diriku bahawa keadaan dia semakin baik dan akan sembuh dari penyakitnya. Namun, DIA lebih menyanyangi Nabil. DIA lebih tahu apa yang terbaik untuk Nabil. DIA MAHA MENGETAHUI SEGALANYA.
Nabil Marwan adalah juniorku ketika di DQ. Aku tidak beberapa rapat dengannya ketika di DQ ataupun di Matrik UIA. Jika bertemu dengannya, hanya berbalas senyuman dan berbual sebentar. Aku menjadi sangat rapat dengannya selepas menghadiri satu program. Di dalam program itu, aku menjadi sangat rapatnya bagaikan kami memang adalah kawan yang rapat sebelumnya. Aku lebih kenal dirinya di dalam program ini. Rupa-rupanya, Nabil ini mempunyai perwatakan yang hampir sama seperti diriku.
Namun, ALLAH JUA MAHA MENGETAHUI apa yang terbaik untuk hamba-hambaNYA. DitakdirkanNYA, seminggu selepas menghadiri program tersebut, Nabil dimasukkan ke hospital akibat demam panas. Maka, bermulalah episod ujian untuk diri Nabil dan ahli keluarganya sehingglah beliau menghembuskan nafas terakhir.
DIA telah meminjamkan Nabil sebentar untuk menjadi sahabat karibku dan DIA jua yang berkuasa dan berhak mengambil kembali makhluk ciptaanNYA.
Aku sempat berbual dengan ibunya semalam. Walaupun beliau masih terasa kehilangan anaknya itu, tetapi beliau redha dengan pemergian Nabil. Bagi beliau, Nabil adalah seorang anak yang baik dan seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan dan merisaukan ibunya walaupun dalam keadaan yang amat tidak terdaya.
Nabil telah pergi buat selama-lamanya pada hari Khamis malam Jumaat dan menurut Iqbal & Fathi (2 orang sahabat yang tiba awal di rumah arwah dan sempat melihat jenazah arwah), wajah arwah dalam keadaan tersenyum dan ada percikan peluh di dahinya. Subhanallah.. Itu adalah tanda-tanda husnul khatimah. Wallahu'alam.
Semoga Nabil memperoleh husnul khatimah dan rohnya ditempatkan bersama-sama orang-oran yang Soleh. Ameen.
Takziah kepada ahli keluarga arwah. Semoga terus kuat dengan ujian ini dan redha atas segala ketentuanNYA.
Bagaimana dengan pengakhiran hidup anda?? Adakah amal soleh yang telah anda lakukan sudah layak untuk memperoleh husnul khatimah kelak??
Fikir-fikirkan...

Rabu, 24 Jun 2009

Selamat Datang Bulan Rejab



Alhamdulillah, kita sekali lagi berpeluang menjejaki bulan Rejab dengan Iman dan Islam. Masih lagi diberi pinjaman umur oleh Allah S.W.T. untuk meningkatkan bekal bagi menghadapi kehidupan sebenar kelak.
"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, ( yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati (Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah). Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul dan lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laraganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa" (Surah Taubah: 36)
Ramai umat Islam yang menambahkan amalan mereka pada bulan Rejab. Antara amalan yang sering dilipatgandakan pada bulan Rejab ialah amalan berpuasa sunat.

Mengapa kamu melipatgandakan amalan pada bulan ini?? Apakah ada fadhilat khusus di sebaliknya??

"Puasa pada bulan Rejab, bukanlah ada padanya fadhilat yang berlebih-lebihan dari bulan-bulan yang lain, melainkan sesungguhnya ia dari bulan-bulan yang haram" (Sheikh Sayyid Sabiq)

"Fadhilat bulan Rejab adalah sama seperti yang terdapat di dalam 3 bulan Haram yang lain "(Dr. Yusof al-Qaradhawi, Sheikh Atiyah al-Saqr; Mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar)

Jadi, adakah tiada amalan sunat dibolehkan di bulan Rejab ini??

Jawapannya, ada. Tiada masalah untuk beribadat pada bulan ini, terutamanya berpuasa, tetapi janganlah dikhaskan bahawa amalan dan fadhilatnya hanya pada bulan Rejab sahaja.

Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah S.A.W., "Bulan mana kamu perintahkanku berpuasa selepas bulan Ramadhan?. Rasulullah S.A.W. bersabda: "Jika aku berpuasa selepas Ramadhan, maka berpuasalah di bulan Haram, maka sesungguhnya di dalamnya dari taubat (keampunan) Allah ke atas suatu kaum dean terdapat taubat (keampunan) di dalamnya untuk satu kaum yang lain" (Hadith riwayat Ahmad)

Sebenarnya, di dalam bulan Rejab telah berlaku pelbagai peristiwa penting dalam lipatan sejarah Islam. Seharusnya umat Islam mengingati peristiwa-peristiwa penting tersebut sebagai iktibar untuk generasi masa kini. Di antara peristiwa-peristiwa penting yang telah berlaku pada bulan Rejab ialah peperangan Tabuk (Rejab 9 Hijrah, Oktober 630M), pembebasan Al-Quds dari tentera Salib oleh tentera Islam pimpinan Salehuddin Al-Ayubi (27 Rejab 583Hijrah), kelahiran Imam Syafi'e (Rejab 150 Hijrah, 767 M) dan peristiwa Isra' dan Mi'raj pada 27 Rejab (pendapat sebahagaian ulama').

Peristiwa-peristiwa ini adalah peristiwa besar dalam Islam. Ingatlah sejarah amat penting dalam kejayaan hari ini. Sejauh mana kejayaan hari ini, bergantung kepada peristiwa semalam. Kehidupan ini ibarat seperti memandu kereta. Kita memandu sentiasa ke hadapan. Namun, kita amat memerlukan cermin sisi untuk melihat keadaan di belakang, adakah selamat ataupun tidak.

Bayangkan jika kereta tanpa cermin sisi untuk melihat keadaan belakang. Pemandu itu mungkin tidak akan selamat untuk terus memandu. Jika selamat pun, pemandu tersebut pasti tidak mampu memotong atau meningkatkan kelajuan kenderaan kerana ketiadaan cermin belakang yang boleh memastikan keadaan selamat untuk memecut dan memintas kenderaan lain. Cermin sisi itu adalah sejarah silam. Kita mungkin boleh terus melangkah tanpa melihat sejarah, tapi kita pasti tidak akan dapat melangkah jauh tanpa melihat kepada sejarah kejayaan dan kegagalan umat silam untuk dijadikan pengajaran.

Sempena bulan Rejab ini, beramallah dengan sebaiknya tanpa meminggirkan nas. Amat rugi jika melakukan amalan-amalan yang tiada di dalamnya nas-nas yang sahih. Ingatlah, amaran keras Rasulullah S.A.W.:

“Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).

-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-

Selasa, 23 Jun 2009

Kawasan Perkuburan Islam di Singapura





Sungguh cantik kubur-kubur di atas. Penuh dengan hiasan.

Namun, maaf untuk dikatakan bahawa kubur-kubur di atas adalah Haram di sisi Islam.


Mengapa?


Dari Jabir radhiyallahu ‘anhu, dia berkata,

“Rasulullah S.A.W. telah melarang kuburan dikapur (di simen), dijadikan tempat duduk, dan juga didirikan bangunan diatasnya.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)
Hukumnya adalah Haram jika kubur dibina menggunakan marmar (marble) dan seumpamanya, kerana amat berlawanan dengan ajaran Rasulullah S.A.W. (berdasarkan hadith di atas). Ia juga kerana terdapat pembaziran harta yang ditegah oleh syarak serta terdapat sifat bermegah dan menunjuk yang amat dimurkai Allah S.W.T.

Perhatian!

Membawa bunga-bungaan/jambak-jambak bunga dan seumpamanya bersama jenazah adalah juga diharamkan. Trend ini telah menular dikalangan orang-orang Islam kerana mengikuti adat-adat orang kafir dan Melayu kuno dalam upacara-upacara jenazah mereka. 

Perbuatan tersebut boleh mensia-siakan harta tanpa faedah dan memberi makna bermegah-megah dan berbangga, sedangkan kematian adalah suatu peringatan daripada Allah kepada manusia-manusia yang masih hidup.
" Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarannya ialah manusia dan batu..." (Surah At-Tahrim: 6)


-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-