Ahad, 5 Julai 2009

Pengemis, Suami Kaya & Isteri Cantik




Pada suatu hari, ketika sepasang suami isteri duduk makan di ruang tamu, mereka telah didatangani oleh seorang pengemis yang berpakaian lusuh dan meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik, saya lapar. Saya sejak semalam saya tidak menjamah sesuap nasi pun" rayu pengemis tersebut.

Dengan muka yang bengis dan angkuh, si suami sambil menjeling kepada isterinya yang cantik itu, terus menghalau dan menengking si pengemis itu. Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain, tapi untuk diri dan keluargaku." Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah.

Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus menceraikan isterinya kerana tidak mahu isterinya turut menderita sepertinya. Setahun kemudian, isterinya yang masih cantik itu berkahwin pula dengan lelaki lain.

Pada suatu hari, sedang si isteri dan suami barunya mengadap makanan, tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan. Mendengar rayuan pengemis itu, si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi dan berlaukkan seperti lauk yang mereka sedang makan. Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis tersebut, si isteri menangkup muka sambil menangis.

Si suami pun kehairanan dan bertanya kepada isterinya, mengapa dia tiba-tiba menangis. Si isteri pun menjawab, "Sebenarnya si pengemis ini adalah bekas suamiku yang dulu pernah menengking seorang pengemis . Lantas, suami yang baru itu menjawab dengan tenang, ''Sesungguhnya, akulah pengemis yang dihalau dan ditengking itu."




P/s: Hidup ini adalah ibarat roda. Adakalanya kita di atas, adakalanya kita di bawah. Belajarlah untuk bersyukur dan memberi ketika berada di atas, kelak akan dibukakan oleh Allah S.W.T. jalan keluar dari segala kesusahan ketika berada di bawah.

-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-

Tiada ulasan: