Sabtu, 17 Mei 2008

Adakah Kamu Sedar??


Tarikh: 17 / 5 / 2008
Masa: 19:45-21:30
Tempat: Surau At-Taqwa, Seksyen 7 Shah Alam
Penceramah:Ustaz Zamri Zainuddin
Tajuk : Umum

Satu kuliah maghrib telah diadakan di surau At-Taqwa seksyen 7 yang mana menjemput seorang pendakwah yang kian mendapat tempat di hati masyarakat, iaitu Ustaz Zamri Zainuddin. Ustaz yang sering muncul di kaca Tv sebagai juri Akademi Al-Qur'an dan dalam siri Mari Mengaji, telah membicarakan tentang isu politik semasa, menceritakan peristiwa fathul-Mekah, dan yang paling menarik mengenai isu aurat seperti mana telah termaktub di dalam surah An-Nuur, ayat ke 30 & 31. Apa yang ingin dikongsi disini ialah keajaiban Al-Quran sebagai bukti ianya adalah dari Tuhan yang Maha Mengatahui dan Mengatur segala kehidupan manusia.

Dalam ayat ke 30 & 31 surah An-Nuur, kenapa Allah s.w.t mendahului lelaki dalam suruhan menundukkan pandangan berbanding wanita?

Jawapannya, secara semula jadi, lelaki lebih mudah teransang melalui pandangan berbanding perempuan. Jika kita soroti sejarah Nabi S.A.W. sehingga kini, tidak pernah sama sekali perempuan sembahyang di hadapan lelaki di masjid atau surau dan sebagainya. Bayangkan jika perempuan dibenarkan sembahyang di hadapan lelaki, adakah lelaki boleh khusyuk dalam sembahyang mereka? Tidak sama sekali, sedangkan wanita sudah berkurun-kurun lamanya bersembahyang di belakang lelaki, tapi tidak pernah timbul masalah menjaga pandangan di dalam sembahyang.

Satu kajian psikologi telah mebuktikan kebenaran kenyataan di atas. Hasil kajian menunjukkan lelaki teransang melalui pandangan sebanyak 70%, sedangakn baki hanya 30% melalui sentuhan. Ini berbeza dengan wanita. Mereka lebih teransang melalui sentuhan iaitu sebanyak 70% berbanding pandangan iaitu hanya sebanyak 30%.

"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu dera masing-masing dengan seratus kali dera..." (Surah An-Nuur: 2)

Kenapa pula dalam ayat di atas di dahulukan perempuan daripada lelaki dalam bab zina??

Kalau kita sedar, sebenarnya perempuanlah yang kebanyakannya memulakan dan membuka jalan-jalan ke arah penzinaaan seperti memakai pakaian yang menjolokkan mata, melembutkan suara, memakai bau-bauan dan sebagainya. Jika lelaki yang memulakannya, selalunya ia lebih kepada kes rogol. Sekali lagi Al-Qur'an membuktikan ianya bukan daripada manusia.

"Dan pencuri-pencuri lelaki dan perempuan, hendaklah dipotong tangan keduanya, sebagai balasan pekerjaan keduanya dan sebagai seksaan daripada Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana" (Surah Al-Maaidah: 38)

Dalam membicarakan tentang kecurian, kenapa pula didahulukan lelaki daripada perempuan??

Jika kita lihat senario hari ini, kebanyakan ketua-ketua pencuri atau yang banyak melakukan kecurian ialah kaum Adam berbanding kaum Hawa. Oleh sebab itulah Al-Qur'an mendahulukan lelaki berbanding perempuan dalam permasalahn mengambil harta orang lain tanpa haq atau dengan kata lain, mencuri.

Sebenarnya, setiap ayat, huruf dan perkataan di dalam Al-Qur'an mempunyai rahsia yang tersendiri, tetapi amat kurangnya diketahui oleh sebab tidak mengkaji Al-Qur'an secara mendalam dan keterbatasan ilmu manusia.

"Adakah mereka tidak mahu memikirkan isi Al-Qur'an?? Kalaulah Al-Qur'an itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalmnya" (Surah An-Nisaa': 82)

Rabu, 14 Mei 2008

Secoret Kenangan Bertugas Sebagai Pembantu Pengawas Peperiksaan


Berlalu sudah 3 minggu perkhidmatanku sebagai pembantu pengawas peperiksaan di fakulti Teknologi Maklumat & Sains Kualitatif UiTM Shah Alam. Tugasku amat mudah. Hanya perlu menunggu pengawas peperiksaan di bilik operasi dan terus mengangkut bakul yang berisi barang-barang keperluan peperiksaan seperti kertas jawapan, benang dan jam dinding ke bilik peperiksaan. Di sana seperti biasa, tugasku meletakkan soalan dan kertas jawapan di atas meja para pelajar sebelum peperiksaan bermula. Seterusnya, tugasku hanya termenung dan memerhati para pelajar memerah otak menjawab peperiksaan dan sesekali mengekori pelajar ke tandas. Tugasku hanya sedikit sibuk apabila bertugas 'menjaga' pelajar-pelajar yang menjawab soalan matematik. Pasti banyak tangan yang diangkat untuk meminta tambahan kertas jawapan. Hanya ketika ini seoramh pembantu pengawas peperiksaan tidak dapat duduk diam.

Kelihatannya tugasku ini begitu mudah, tetapi sebenarnya tanpa kesabaran dan ketenangan, ia boleh menjadi suatu tugas yang kurang digemari. Terima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan yang turut bersama-sama menjayakan episod hidupku kali ni. Iman, Nasrul, Firdaus, Zamir, Subhee, Huda dan Hidayah adalah watak-watak yang mewarnai episod kehidupanku kali ni. 3 minggu kami bersama hanyalah sebuah persinggahan sebelum masing-masing meneruskan perjuangan dan cita-cita yang lebih besar. Iman dan Hidayah akan ke India bulan 7 ni untuk meneruskan pengembaraan mereka untuk menjadi tabib. Firdaus ke UNITEN, Zamir ke Matrikulasi Gambang Pahang, Nasrul meneruskan baki 1 semester di matrikulasi UIA Nilai, Huda akan ke UIA Kuantan bulan 7 ni. Hanya Subhee tidak sempat ditanya ke mana destinasinya selepas ini.

Pengalaman selama 3 minggu bertugas dan menjadi staff sementara UiTM mengajarku beberapa perkara. Beberapa mutiara berjaya diperoleh dalam persinggahan kali ini, alhamdulillah.

Pertamanya, dapat belajar cara untuk menggunakan punch card. Walaupun bunyinya agak melucukan, tetapi sekeping kad yang berwarna kuning ini mengajarku kepentingan menepati masa. Kita harus awal dari masa yang ditetapkan kerana kad ini boleh menjadi bukti sebarang ketidaktepatan masa dan akan mengganggu apabila proses untuk claim duit kelak. Bagaimana untuk claim duit jika jam kerja tidak mencukupi? Sebenarnya, situasi ini boleh dikaitkan dengan sifat amanah. Ia sangat mengujiku.



Keduanya, ia memberikanku pengalaman bagaimana untuk berkomunikasi dengan orang yang lebih tua dariku dan mempunyai tahap intelektual yang tinggi. Tidak dapat tidak, pembantu pengawas peperiksaan sepertiku ini terpaksa bergaul dan bertegur sapa dengan Professor, pensyarah-pensyarah yang mana semuanya tidak kurang merupakan pemegang ijazah sarjana dalam bidang masing-masing, sedangkan daku hanya lulusan SPM sahaja ketika ini. Ia juga dapat mengajar bagaimana untuk berinteraksi dengan orang-orang cina, ustaz-ustazah, orang yang friendly, orang yang strict dan orang-orang yang kurang berpegang kepada agama. Pelbagai ragam pensyarah yang ditemui. Semua ini adalah keunikan dan kepelbagaian manusia yang telah disusun dan ditetapkan olehNYA.

Apabila melihat kepada para pelajar UiTM yang menduduki peperiksaan, diri ini semakin sedar di mana keperluan dakwah pada zaman kini. Masih ramai yang memerlukan bimbingan dan kesedaran. Perlunya para pendakwah turun ke dalam masyarakat untuk bersama-sama mereka. Bukannya hanya syok sendiri berada selesa di daerah selamat. Terasa sangat kagum kepada sekelompok pelajar yang masih boleh mengekalkan pakaian yang menggambarkan syiar Islam walaupun berada didalam daerah yang tidak membantu lansung mereka ke arah itu.  Benarlah sabda Nabi S.A.W. pada 14 kurun yang lepas, di akhir zaman kelak, Islam akan menjadi dagang (asing) seperti mana ketika ia mula-mula diturunkan.

Semoga secebis kenangan dan pengalaman ini memberi suatu pengajaran kepadaku dalam perjalanan mencari mardathillah.

Selasa, 13 Mei 2008

Antara Blog dan Blogger....


Satu fenomena baru. Gelombang baru. Cara baru. Kaedah baru.

Jika dulu, tiada siapa menyangka laman web persendirian boleh memberi apa-apa kesan kepada sesiapa. Lebih janggal jika dikatakan boleh meruntuhkan struktur pemerintahan.

Segala-galanya berubah selepas pilihanraya yang lalu. Siapa sangka dari hanya sesawang kecil yang tidak diendahkan kewujudannya, telah berjaya menggegarkan arena politik negara. Maka berbondong-bondonglah masyarakat tidak kira muda, tua, pelajar IPT, ustaz-ustazah, para pendakwah, para pendakyah, pakar akademik, politikus-politikus yang dahulunya memandang dengan sebelah mata hatta kepada peniaga-peniaga kecil terjun ke dalam dunia baru yang lebih popular dengan nama dunia blog. Lahirlah ramai blogger dari pelbagai lapisan masyarakat menunjukkan bakat masing-masing dalam dunia penulisan.

Kelahiran ramai penulis atau blogger ini mengambarkan kecelikan rakyat Malaysia seperti apa yang dicita-citakan oleh kerajaan untuk melahirkan generasi yang celik IT, yang tidak ketinggalan dalam arus teknologi moden. Trend ini telah berjaya memperlihatkan keterbukaan dan keprihatinan semua pihak dalam mengulas sesuatu isu dan memberi pendapat masing-masing.

Malangnya, tembakan yang disasarkan tidak semua yang menepati sasaran. Malah jika tidak dibidik oleh penembak yang mahir, tembakan itu memberi kesan sampingan yang amat dahsyat. Apabila sesuatu isu atau kontroversi hangat diperkatakan, para blogger akan berebut-rebut untuk mengulas isu tersebut. Masing-masing berebut-rebut untuk membuat post terbaru di dalam blog masing-masing agar ia kelihatan update dan menarik.

Sayangnya, kebanyakan blogger memberi komen dan pendapat yang bukan menjelaskan dan menjernihkan sesuatu isu atau kontroversi, sebaliknya memburukkan, mengusutkan dan mengeruhkan keadaan. Ada juga yang sengaja melaga-lagakan dua pihak dengan tulisan-tulisan yang tidak sepatutnya.

Blog juga menjadi medan menabur fitnah. Mungkin ada yang berniat untuk menegur sesuatu pihak atau individu, tetapi akibat tersalah menggunakan peluru, akhirnya sasaran entah ke mana, kerugian pula menimpa. Blog juga kelihatan seperti kubu pertahanan bagi sesetengah blogger yang menggunakan ruangan yang terhad ini untuk menyerang golongan atau kelompok yang tidak sehaluan dan sealiran dengan mereka. Lebih menyedihkan apabila blogger tersebut tanpa segan silu menggunakan nama, aliran, fahaman atau pertubuhan Islam yang pada dasarnya tidak seperti yang apa yang dicerminkan oleh blogger tersebut.

Medan blog juga menjadi tempat paling digemari untuk membuka aib orang lain. Menjadikan tujuan dakwah untuk menjustifikasikan apa yang telah dilakukan, sebenarnya sekali lagi para blogger tersasar dalam membedil. Ingin membedil pihak lawan, akhirnya tertembak diri sendiri. Ingin membuka kelemahan orang lain, akhirnya kelemahan sendiri yang tededah. Alangkah ruginya.

"Demi masa!! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran" (Surah Al-'Asr: 1-3).

Apabila kita melihat kepada blog-blog yang muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, kita boleh dapati terlalu banyak input yang berguna dan kadang-kadang kita tidak pernah mengatahui tentang sesautu perkara sebelum ini. Awas! Tidak semuanya boleh dipakai dan sahih terutamanya yang berkaitan dengan agama. Terdapat sesetengah blogger yang hanya ghairah meletakkan maklumat dan artikel di dalam blog mereka tanpa memeriksa terlebih dahulu kesahihan dan ketulenan maklumat atau ilmu yang disampaikan.

Terdapat satu lagi penyakit yang menyerang para blogger iaitu keikhlasan dan ketulusan dalam menyampaikan maklumat atau ilmu. Tidak dinafikan soal ikhlas adalah urusan Allah dan hanya Dia yang Maha Mengetahui segala isi hati manusia. Walau bagaimanapun, apabila seseorang itu tidak mengamalkan seperti apa yang digarap di dalam blognya, keikhlasanya pasti disoal oleh masyarakat sekililing. Dalam kes-kes terpencil, blogger bukan sahaja tidak mengamalkan apa yang diwarwarkan di dalam blognya, bahkan bersikap sebaliknya.

Sebenarnya, dunia blog ini membuka 1001 peluang untuk kita berdakwah dan menegakkan yang haq dan memerangi yang bathil. Ia juga merupakan medan yang sesuai untuk menyebarkan ilmu pengatahuan dan maklumat di kala kesibukan dunia yang menipu kian menghimpit kehidupan seharian. Hanya apabila ia disalahgunakan, ia boleh membawa banyak keburukan yang boleh mengganggu ukhuwwah sesama Muslim dan kesatupaduan umat Islam.

"Telah timbul pelbagai kerosakan di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia...." (Ar-Ruum: 41)

Semoga ruangan ini tidak disalahgunakan. Kita adalah apa yang kita lakukan.

Jumaat, 2 Mei 2008

Prinsip 90/10



Di sini ingin dikongsikan 1 prinsip yang insyAllah berguna untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Prinsip ini diasaskan oleh Stephen Covey dan diberi nama prinsip 90/10. Mungkin ada yang mempersoalkan mengapa mengambil prinsip daripada Barat. Sebenarnya, tidak menjadi masalah untuk mengambil benda-benda baik daripada orang kafir selagi mana tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

"Hikmah itu adalah buruan orang-orang Mu'min. Di mana sahaja ditemuinya, dialah orang yang paling layak/ lebih berhak memungutnya" (Alhikmatud dhallatul mukmini faainama wajadaha faahaqqubiha)

10% daripada kehidupan adalah apa yang terjadi kepada diri kamu. 90% daripada kehidupan adalah ditentukan oleh bagaimana kamu bertindak balas ke atas sesuatu kejadian. Kita tidak mampu mengawal 10% daripada apa yang terjadi ke atas kita. Kita tidak mampu mengawal kemalangan jalan raya, sakit pening, kesesakan lalu lintas, jatuh cinta dan sebagainya.

Kita sememangnya tidak mampu mengawal 10% daripada kehidupan kita, tetapi kita mampu mengawal 90% lagi dari kehidupan kita. Bagaimana?

Dengan tindak balas atau respon.

Ok, di bawah ini digambarkan satu contoh mudah bagaimana tindak balas seseorang ke atas sesuatu perkara sangat memberi pengaruh kepada kesan-kesan selepasnya.

Kamu bersarapan pagi bersama keluarga. Tiba-tiba adik kamu menjatuhkan secawan teh tarik ke atas baju kamu. 

Apa yang terjadi ini selepas ini ditentukan oleh respon kamu.

Kamu tidak dapat mengawal perasaan. Kamu naik marah. Kamu memaki hamun adik kamu itu dengan suara yang tinggi. Kamu juga menunjukkan eksperesi muka yang kurang menyenangkan kepada ibu kamu sebagai tanda protes kerana pada pandangan kamu, ibu kamu tidak meletakkan cawan pada tempat yang sepatutnya. Kamu terus masuk ke dalam bilik dan menguncinya. Akibat dimarahi oleh kamu, adik kamu terus menangis sehingga enggan pergi ke sekolah pada hari itu. Kamu terus berkurung di dalam bilik sebagai tanda protes. Selepas beberapa ketika, kamu baru teringat bahawa hari tersebut kamu ada ujian matematik. Kamu keluar dari bilik tanpa menghiraukan ibu kamu, adik kamu dan terus bergegas ke universiti. Di universiti, kamu terlewat memasuki ujian dan dihalau keluar dari kelas. Segalanya serba tidak menjadi hari ini.

Mengapa semua ini berlaku?

Semuanya kerana respon kamu pada waktu pagi selepas secawan teh tarik terjatuh ke atas baju kamu.

Siapakah sebenarnya yang bersalah?

Adakah adik kamu? Adakah ibu kamu? Adakah cawan yang bersalah? Adakah pensyarah yang menghalau kamu yang bersalah? Atau diri kamu yang patut dipersalahkan?

Jawapannya ialah diri kamu sendiri yang bersalah.

Kamu tidak berjaya mengawal emosi hanya dalam masa 10 saat pada pagi tadi, akibatnya seluruh hari kamu tidak menjadi. Malah, mungkin boleh berlarutan ke hari-hari berikutnya.

Bayangkan jika kamu berjaya mengawal keadaan pada pagi tadi.

Teh Tarik tertumpah di atas baju kamu. Adik kamu mula menangis. Sambil tersenyum kamu berkata, "tak pe dik, lain kali hati-hati sikit". Kamu bergegas masuk ke bilik dan meyalin pakaian baru dan meneruskan sarapan pagi. Beberapa minit kemudian, adik kamu ke sekolah dengan menaiki bas dan kamu bergerak menuju ke universiti. Kamu tiba awal di universiti dan dapat menjawab soalan matematik dengan tenang.

Adakah kamu sedar perbezaannya??

2 senario yang berbeza. Permulaan yang sama, pengakhiran yang berbeza.

Mengapa begitu??

Semuanya kerana respon kamu. Kamu memang tidak mampu mengawal 10% yang terjadi, tetapi baki 90% lagi adalah ditentukan oleh tindak balas kamu.

Inilah yang dinamakan prinsip 90/10 oleh Stephen Covey. Cubalah amalkan. Pasti hidup kamu akan berubah. Kamu akan senantiasa positif atas setiap perkara yang berlaku. Kamu akan menjadi seorang yang redha atas segala ketentuan Ilahi. Hanya diri kamu yang boleh mengubah segalanya. Bukan orang lain.

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri" ( Surah Ar-Ra'du: 11)

Selamat mencuba...
Semoga berjaya mengawal segala respon yang bakal dilakukan.

Khamis, 1 Mei 2008

Projek Penternakan Babi di Selangor



Baru-baru ni kecoh tentang isu penternakan babi di negeri Selangor yang didakwa menelan belanja ratusan juta ringgit Malaysia. Ramai sahabat yang bertanya tentang isu panas ini. Tidak kurang juga yang meminta pendapat penulis tentang isu yang hangat di negeri kelahiran penulis ini. Pertamanya, ribuan kemaafan kerana kelambatan respon dan komen penulis. Bukan ingin mengelak, tetapi kesibukan duniawi yang merencat segalanya.

Artikel ini bukanlah satu komen berbaur politik yang ingin digarap, tetapi kebenaran dan kenyataan yang harus ditegakkan kerana jika ia tidak didedahkan, dikhuatiri boleh membawa fitnah kepada keadilan dan ketelusan, bahkan boleh merosakkan nama Islam itu sendiri. Menjadi tanggungjawab dan kewajipan kepada yang mengetahui untuk menyampaikan kepada yang tidak mengatahui.

Banyak persoalan yang masih berlegar-legar di kepala penduduk Selangor khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Di sini terdapat beberapa soalan popular yang telah berjaya dikelirukan oleh pihak-pihak tertentu.

Apa rasionalnya projek penternakan babi di Selangor?

Projek ini sebenarnya telah diluluskan oleh kerajaan negeri Selangor yang lepas di bawah pimpinan Dato' Seri Khir Toyo. Mesyuarat Exco kerajaan terdahulu telah meluluskan proses pengambilan tanah pada 9 Februari yang lepas (PRU pada 8 Mac). Sungguh memeranjatkan apabila bekas Menteri Besar Selangor mengatakan beliau tidak tahu menahu tentang projek ini sedangkan segalanya telah termaktub dalam dokumen rahsia rasmi kerajaan negeri Selangor. Kerajaan baru negeri Selangor telah meneruskan projek penternakan secara moden di Ladang Tumbuk, Sepang. Projek ini dapat mengawal penternakan babi secara setempat. Natijahnya, wabak penyakit dapat dikawal dan pencemaran alam juga dapat dikawal. Seperkara lagi yang amat penting, malangnya tidak pernah disiarkan oleh media perdana ialah tidak akan ada lagi lesen penternakan babi yang akan dikeluarkan oleh kerajaan negeri Selangor selepas ini. Penternakan babi secara haram juga dapat dibanteras.

Kenapa kerajaan negeri Selangor sanggup mengeluarkan ratusan juta ringgit untuk projek penternakan babi sedangkan banyak lagi keperluan yang perlu diutamakan?

Sebenarnya, kerajaan negeri Selangor tidak akan mengeluarkan satu sen pun untuk membiayai projek penternakan babi bahkan pelabur-pelabur yang terbabit yang perlu membayar bon kepada kerajaan negeri Selangor sebanyak RM40 juta untuk kos pengambilan tanah. Tanah tersebut dipajakkan kepada pelabur selama 60 tahun.

Kenapa di Ladang Tumbuk? Kenapa tidak di Pulau Ketam?

Buat pengetahuan semua, Ladang Tumbuk di Sepang merupakan tempat pengumpulan babi terbanyak di negeri Selangor buat masa sekarang. Ladangnya seluas 119 ekar. Walaubagaimanapun, ladang tersebut sungguh tercemar. Projek ini hanya memodenkan ladang yang telah sedia ada. Kawasan ini juga dimiliki sepenuhnya oleh pengusaha ternakan babi dan terletak di kawasan hiliran, yang mana airnya tidak digunakan sebagai sumber minuman. Kenapa tidak dilaksanakan di penempatan yang sememangnya ramai penduduk Cina seperti di Pulau Ketam? Pulau Ketam tidak sesuai dan tidak praktikal kerana air di sana pasang surut dan tidak mempunyai kawasan yang mencukupi untuk melaksanakan projek ini.



Hasil kumbahan yang tidak diselenggara dengan baik


Apa yang modennya dalam projek ini?

Projek ini akan menggunakan teknologi biogas. Najis babi akan dimasukkan ke dalam tong yang telah dicampurkan dengan rumput. Campuran ini akan menghasilkan biogas. Biogas ini seterusnya akan digunakan untuk menghasilkan tenaga elektrik. Tenaga elektrik ini akan digunakan untuk projek penternakan babi ini. Seluruh kawasan tersebut akan menggunakan tenaga elektrik biogas. Natijahnya, pencemaran dapat dielakkan kerana najis babi tidak akan sekali-kali keluar dari ladang. Najis akan dimasukkan ke dalam tangki biogas dan ia akan bertukar menjadi gas. Sisa karbon itu akan menjadi baja dan tiada lebihan yang dikeluarkan. Semuanya dalam sistem yang tertutup. Tidak akan ada pencemaran bau.

Kenapa mesti penternakan babi yang dimodenkan? Kenapa tidak binatang ternakan lain?

Sebenarnya, kerajaan negeri Selangor juga akan melaksanakan projek 'modern cattle village' iaitu projek penternakan yang hampir sama dengan konsep projek penternakan babi, tetapi untuk lembu tenusu. Penternak-penternak lembu tenusu akan dikumpulkan di sebuah kawasan yang moden dan teratur. Selain itu, penternakan ayam juga akan dimodenkan dengan diletakkan di tempat berhawa dingin. Tidak akan ada lansung sebarang pencemaran. Malangnya, hanya projek penternakan babi yang digembar-gemburkan, seolah-olah hanya projek tersebut yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri Selangor.

Sungguh malang apabila isu ini ditimbulkan oleh sesetengah pihak, padahal mereka lebih mengetahui segalanya. Merekalah yang meluluskan, merekalah yang membuat lawatan ke Jerman, namun akhirnya merekalah yang tidak mengetahui apa-apa!!..Sungguh ganjil!!..mungkin mereka mempunyai penyakit seperti firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah, ayat ke-10:

"Dalam hati mereka terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), lalu Allah menambahkan lagi penyakit mereka dan mereka pula akan beroleh azab yang pedih (lagi menyakitkan) disebabkan mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran)"

Diharapkan maklumat yang sedikit ini dapat membantu menghilangkan dan menjawab segala kekusutan, kekeliruan dan tanda tanya ke atas isu ini.

-Allah s.w.t. lebih mengetahui segalanya-


Isnin, 21 April 2008

Halal Inn


Siapa kata Islam itu menyekat kebebasan hidup. Malah, Islam sangat fleksibel dan relevan dalam setiap masa dan keadaan. Buktinya, di London telah dibuka pub pertama untuk orang Islam di Britain. Pub tersebut diberi nama Halal Inn. Persekitarannya sama seperti pub biasa dengan adanya snek, meja snuker dan muzik dimainkan sebagai latar belakang, tetapi yang membezakannya ialah ia tidak menghidangkan bir atau sebarang alkohol lain.
Lebih menarik, Halal Inn dibuka hanya untuk pengunjung yang tidak menggemari minuman beralkohol. Ia dibuka Disember lalu di Oldham dan walaupun perniagaannya tidak begitu laris, ia tetap mendapat sambutan. Di belakang bar ada minuman ringan dan jus buah-buahan. Sebagai tambahan kepada teh dan kopi, pelbagai snek Asia juga tersedia, manakala lagu bercorak Islam dimainkan menerusi pembesar suara. Pengunjung masih boleh bermain snuker, membaling damak atau karom, permainan papan India yang hampir sama dengan permainan billiard. Malah kuiz bertemakan Islam turut dianjurkan. Tiada bezanya dengan pub biasa, bahkan lebih menarik.
Pemilik pub yang unik itu, Azizur Rahman dan rakan perniagaannya, Muzahid Khan melihat potensi di tapak bekas kelab malam Westwood Inn itu yang terbiar kosong di pinggir pusat bandar."Penduduk Islam adalah antara kumpulan pengguna terbesar dan mereka memerlukan tempat berehat dan bersosial seperti juga orang lain. Namun, kehadiran alkohol bermakna kelab malam biasa tidak akan dikunjungi oleh mereka yang mengikut ajaran Islam, jadi ini adalah tempat yang sesuai untuk mereka." Semakin banyak kelab malam ditutup di seluruh negara dan kami percaya menukar ia kepada kelab malam berunsurkan Islam akan berjaya di mana saja yang mempunyai komuniti Islam yang besar," kata Muzahid.
Walaupun kelab malam itu, seperti banyak versi tradisional Britain lain, jelas dikuasai lelaki, tiada larangan untuk pengunjung wanita. Pelayan bar, Ali Yaris, 44, berkata: "Penduduk tempatan menyokong penubuhan kelab ini, walaupun kadangkala ia menyebabkan kekeliruan. Sebagai contoh, seorang lelaki datang pada satu malam dan terus memesan alkohol." Kemudian dia menyedari di sini tidak akan mesin mengepam bir malah botol alkohol pun tidak ada. Kami cuma ketawa. Saya pasti dia akan ke kelab malam lain."


Kelab itu turut memiliki liga snuker sendiri dengan kira-kira 20 peserta berentap merebut kejuaraan pertama. Seorang pekerja pejabat, Mohammed Ali, 27, berkata beliau menikmati permainan yang menyenangkan selepas kerja. "Selalunya ia adalah gabungan ramai orang, tidak semuanya Islam. Ia memang tempat yang begitu sosial. Ia berbeza dengan kelab malam biasa kerana anda tidak mabuk dan tidak bertindak liar. Saya berasa ia idea yang bijak," katanya.
Seorang pelanggan tetap kelab itu, Abdus Shahid, 29, berkata ia seperti kelab malam lain cuma tidak menjual alkohol." Kami ke sini untuk berehat, bermain snuker dan bertemu dengan rakan selepas seharian bekerja. Saya rasa tujuan utama mengunjungi kelab malam biasa ialah untuk minum, tetapi di sini cuma untuk bertemu rakan dan berehat," katanya.
Jika negara Barat yang hanya didiami oleh minoriti umat Islam boleh melakukan reformasi untuk menyediakan ruang alternatif kepada umat Islam untuk berehat, berhibur dan bersosial, bagaimana pula dengan negara yang memperjuangkan Islam dengan jenama Islam Hadhari

Rabu, 16 April 2008

Kebangkitan Islam di Akhir Zaman


Mereka telah bangkit
Dari buku yang dibacanya
Dari tembok yang melindunginya
Dengan bendera dan lilit kepala.

Mereka telah bersuara
Dari bumi tanahair yang subur
Demi Islam yang mengajar hidup berani
Demi janji yang kini telah dimungkiri.

Mereka sekarang telah bangkit
Ditengah-tengah gelombang zaman
Dari keperibadian yang telah ditindas
Untuk masa depan warisan keturunan.

Dari bahasa lidah zaman hidup kita
Kebangkitan ini dipancang detik batu-tanda
Untuk pelaksanaan satu bahasa
Yang berdaulat menyinar mutiara.

-Allahyarham Usman Awang, 1967-

Khamis, 3 April 2008

Tawaran Belajar Al-Qur'an Aliran Tahfiz Secara Percuma!!!

Maahad Tahfiz Al-Qur'an Al-Islah Seksyen 7, Shah Alam sedang mencari pelajar lelaki, berusia 9 tahun -12 tahun dan merupakan anak yatim untuk menuntut ilmu di sini. Pembiayaan ditanggung sepenuhnya.

Pihak pengurusan menghadapi masalah untuk mencari anak-anak yatim yang berminat untuk menghafal Al-Qur'an pada usia kanak-kanak. Kini seramai 6 orang anak yatim sedang menuntut di maahad Tahfiz Al-Islah, tetapi memerlukan ramai lagi anak yatim untuk dibantu kerana dana yang diterima oleh pihak pengurusan Maahad Tahfiz untuk kegunaan khas anak-anak yatim masih lagi tidak digunakan sepenuhnya.

Diharapkan para pembaca yang mempunyai adik, saudara, kawan, sahabat atau kenalan yang memenuhi syarat-syarat di atas, dapat menghubungi pihak pengurusan Maahad Tahfiz secepat mungkin. Jika memenuhi syarat-syarat di atas, pelajar tersebut boleh memulakan sesi pembalajaran pada bila-bila masa. Tidak perlu tunggu awal tahun atau penggal.

Info Ringkas Maahad Tahfiz Al-Islah:
  • dikelola sepenuhnya oleh ahli jemaah surau Al-Islah, Seksyen 7, Shah Alam.
  • makan 5kali sehari
  • perkhidmatan dobi
  • Pakej= hafazan sepenuh masa+akademik+dinniyah
  • aktiviti ko-kurikulum= taekwando
  • asrama sepenuhnya
  • Pencapaian setakat ini:-
>15orang pelajar telah berjaya mendapat Syahadah Tahfiz Al-Qur'an.
>9 orang pelajar telah berjaya terus melanjutkan pelajaran ke Mesir.

Untuk maklumat terperinci tentang Maahad Tahfiz Al-Qur'an Al-Islah, boleh lihat di: http://www.iklaneka.net.my/tahfiz/ atau boleh terus menghubungi Haji Al-Azmi di talian: 0192703370.
.
"Pengislahan Ummah Berpandukan Al-Qur'an dan As-Sunnah"

Filem Fitna; Apa Pendirian Anda??


Dunia Islam dikejutkan dengan sebuah filem yang telah dihasilkan oleh pakar perundangan dan ahli parlimen negara Belanda, Geert Wilders yang bertajuk FITNA. Filem yang secara jelasnya menghina Islam dengan pelbagai tuduhan seperti menggambarkan Islam ini sangat zalim dan ganas. Lebih memburukkan keadaan, Geert Wilders telah menggunakan ayat-ayat Al-Quran yang telah ditafsir secara zahirnya sahaja untuk membuktikan dakwaan-dakwaan tersebut.
Apa yang telah berlaku ini bagaikan mengulangi peristiwa kalikatur Rasullulah S.A.W. yang telah diterbitkan oleh sebuah akhbar Denmark. Akibatnya, bantahan, demonstarasi dan pemboikotan besar-besaran oleh seluruh kaum Muslimin di seluruh dunia ke atas barang keluaran Denmark yang telah berjaya memberi kesan kepada ekonomi Denmark.
Kini, telah mula bertebaran sistem pesanan ringkas dan mesej-mesj melalui telefon bimbit, e-mail, friendster, myspace dan sebagainya yang menyeru umat Islam agar memboikot barangan-barangan utama keluaran negara Belanda seperti Dutchlady, Shell, Phillips dan lain-lain. Sebelum kita memulakan langkah untuk momboikot barangan keluaran Belanda dan berdemostrasi, adakah kita sudah berfikir, apa natijahnya kelak? Wajar atau tidak tindakan kita? Di sini, terdapat 2 pendapat yang dapat dikongsikan. Terpulang kepada masing-masing untuk membuat penilaian, tetapi yang penting, kita harus menimbang sesuatu perkara dengan neraca iman, bukanya neraca emosi semata-mata.
Pendapat pertama datangnya daripada Ustaz Hasrizal (Saiful Islam) seperti di dalam blog beliau, http://www.saifulislam.com/. Beliau menerangkan sikap yang seharusnya ada pada diri seorang yang cintakan Islam apabila menghadapi masalah sebegini. Untuk membaca artikel penuh Ustaz Hasrizal, boleh klik: http://saifulislam.com/?p=1678#more-1678
Pendapat kedua datangnya daripada Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman (UZAR) seperti yang terdapat di dalam blog beliau, http://www.zaharuddin.net/. Beliau menegaskan harus memboikot sebahagian barangan tertentu keluaran negara Belanda sebagai mesej kepada masyarakat dunia agar jangan mudah mempelekehkan dunia Islam. Untuk membaca artikel penuh Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, boleh klik: http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=692&Itemid=72
Walaupun mungkin terdapat 2 pendapat yang agak berbeza daripada 2 orang tokoh agama yang terkemuka, tetapi di sana terdapat satu persaman daripada mesej yang ingin disampaikan, iaitu kita harus faham apa tindakan yang akan kita ambil. Bukannya bertindak melulu tanpa mengetahui dan memahami kenapa kita bertindak sedemikian. Amat penting untuk kita mengatahui di mana kedudukan sesuatu tindakan kita agar ia tidak menjadi sia-sia, bahkan boleh membawa fitnah kepada Islam itu sendiri. Terpulang kepada individu untuk menerima pakai mana-mana pendapat, tetapi harus diingat, setiap perbuatan kamu pasti dipersoalkan di hari Pengadilan kelak.
Islam itu bukanlah agama yang liberal, bukan juga jumud. Ekstrim jauh sama sekali. Ia berada di pertengahan.

Rabu, 2 April 2008

Perhimpunan Rakyat di Stadium Melawati







Tanggal 31Mac 2008,satu Perhimpunan Rakyat & Munajat Perdana telah diadakan di Stadimu Melawati, Shah Alam. Program anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor ini telah bermula kira-kira pukul 8 malam yang mana dihadiri oleh rakyat dari seluruh pelosok Malaysia, yang dianggarkan seramai 25,000 orang. Subhanallah.

Ini jelas menunjukkan sokongan rakyat yang tidak berbelah bahagi dalam menyokong Barisan Rakyat untuk menerajui Negeri Selangor dan Malaysia bagi memacu arus perubahan dalam sistem pemerintahan negara yang semakin tenat.




Buat julung-julung kalinya Stadium Melawati yang terkenal di kalangan para peminat setia sukan badminton tanah air, telah berkumandang laungan azan yang amat syahdu. Selepas itu, Stadium Melawati sekali lagi menjadi saksi bilamana beribu-ribu manusia berhimpun dan menghadap kiblat, sujud kepada yang Maha Esa bagi menunaikan kewajipan solat Isyak seterusnya menunaikan solat hajat 2 rakaat bagi melahirkan kesyukuran kepada Pemberi Segala Nikmat. Peristiwa ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negeri Selangor walaupun negeri ini telah lebih 50 tahun diperintah oleh orang Islam.

Majlis telah dimulakan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Selepas itu, semua hadirin termasuk tetamu kehormat berdiri untuk menyanyikan lagu kebangsaan, NEGARAKU dan lagu tema PAS yang dipopularkan oleh kumpulan Shoutul Amal, BERJIHADLAH. Kehangatan majlis diteruskan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan Islamic Boyz dan In-Team. Setelah majlis sudah terasa bahangnya, barulah tetamu-tetamu kehormat memulakan ucapan mereka. Ronnie Liu, exco kerajaan negeri Selangor, telah memulakan ucapan pada malam tersebut, seterusnya diikuti oleh Dato' Dr. Hasan Ali, exco kerajaan negeri Selangor yang merangkap Pesuruhjaya PAS negeri Selangor. Ucapan beliau yang begitu bersemangat telah disambut dengan laungan takbir yang tidak putus-putus bersahutan kedengaran di segenap sudut stadium.

Setelah itu, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS, mengambil tempat untuk berucap, diikuti oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan orang yang terakhir berucap pada malam tersebut. Ucapan semua tetamu kehormat pada malam itu (kecuali Ronnie Liu) telah disambut dengan laungan takbir yang begitu bersemangat daripada para hadirin.

Perhimpunan pada malam tersebut tamat kira-kira pada pukul 12 tengah malam.

Ini adalah langkah permulaan kepada arus perubahan negara. Diharapkan ia bukan la hanya 'hangat-hangat taik ayam' daripada pemimpin dan rakyat.

Terasa bagaikan berada di negeri Kelantan pada malam tersebut.Cumanya terdapat beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki pada masa-masa hadapan seperti masalah PA system , pengasingan tempat antara muslimin dan muslimat, dan kutipan derma yang tidak menyuluruh pada malam tersebut.

Untuk mendengar lagu tema PAS pada malam tersebut, boleh klik:
http://www.youtube.com/watch?v=Y1greNkdy-o

Untuk mendengar dan menonton ucapan tetamu-tetamu kehormat, boleh klik:
http://www.youtube.com/watch?v=9gtCvmdHMJc
http://www.youtube.com/watch?v=TiodTxAD8-E

"Islam Pasti Gemilang"