Siapa kata Islam itu menyekat kebebasan hidup. Malah, Islam sangat fleksibel dan relevan dalam setiap masa dan keadaan. Buktinya, di London telah dibuka pub pertama untuk orang Islam di Britain. Pub tersebut diberi nama Halal Inn. Persekitarannya sama seperti pub biasa dengan adanya snek, meja snuker dan muzik dimainkan sebagai latar belakang, tetapi yang membezakannya ialah ia tidak menghidangkan bir atau sebarang alkohol lain.
Lebih menarik, Halal Inn dibuka hanya untuk pengunjung yang tidak menggemari minuman beralkohol. Ia dibuka Disember lalu di Oldham dan walaupun perniagaannya tidak begitu laris, ia tetap mendapat sambutan. Di belakang bar ada minuman ringan dan jus buah-buahan. Sebagai tambahan kepada teh dan kopi, pelbagai snek Asia juga tersedia, manakala lagu bercorak Islam dimainkan menerusi pembesar suara. Pengunjung masih boleh bermain snuker, membaling damak atau karom, permainan papan India yang hampir sama dengan permainan billiard. Malah kuiz bertemakan Islam turut dianjurkan. Tiada bezanya dengan pub biasa, bahkan lebih menarik.
Pemilik pub yang unik itu, Azizur Rahman dan rakan perniagaannya, Muzahid Khan melihat potensi di tapak bekas kelab malam Westwood Inn itu yang terbiar kosong di pinggir pusat bandar."Penduduk Islam adalah antara kumpulan pengguna terbesar dan mereka memerlukan tempat berehat dan bersosial seperti juga orang lain. Namun, kehadiran alkohol bermakna kelab malam biasa tidak akan dikunjungi oleh mereka yang mengikut ajaran Islam, jadi ini adalah tempat yang sesuai untuk mereka." Semakin banyak kelab malam ditutup di seluruh negara dan kami percaya menukar ia kepada kelab malam berunsurkan Islam akan berjaya di mana saja yang mempunyai komuniti Islam yang besar," kata Muzahid.
Walaupun kelab malam itu, seperti banyak versi tradisional Britain lain, jelas dikuasai lelaki, tiada larangan untuk pengunjung wanita. Pelayan bar, Ali Yaris, 44, berkata: "Penduduk tempatan menyokong penubuhan kelab ini, walaupun kadangkala ia menyebabkan kekeliruan. Sebagai contoh, seorang lelaki datang pada satu malam dan terus memesan alkohol." Kemudian dia menyedari di sini tidak akan mesin mengepam bir malah botol alkohol pun tidak ada. Kami cuma ketawa. Saya pasti dia akan ke kelab malam lain."
Kelab itu turut memiliki liga snuker sendiri dengan kira-kira 20 peserta berentap merebut kejuaraan pertama. Seorang pekerja pejabat, Mohammed Ali, 27, berkata beliau menikmati permainan yang menyenangkan selepas kerja. "Selalunya ia adalah gabungan ramai orang, tidak semuanya Islam. Ia memang tempat yang begitu sosial. Ia berbeza dengan kelab malam biasa kerana anda tidak mabuk dan tidak bertindak liar. Saya berasa ia idea yang bijak," katanya.
Seorang pelanggan tetap kelab itu, Abdus Shahid, 29, berkata ia seperti kelab malam lain cuma tidak menjual alkohol." Kami ke sini untuk berehat, bermain snuker dan bertemu dengan rakan selepas seharian bekerja. Saya rasa tujuan utama mengunjungi kelab malam biasa ialah untuk minum, tetapi di sini cuma untuk bertemu rakan dan berehat," katanya.
Jika negara Barat yang hanya didiami oleh minoriti umat Islam boleh melakukan reformasi untuk menyediakan ruang alternatif kepada umat Islam untuk berehat, berhibur dan bersosial, bagaimana pula dengan negara yang memperjuangkan Islam dengan jenama Islam Hadhari?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan