Baru-baru ni kecoh tentang isu penternakan babi di negeri Selangor yang didakwa menelan belanja ratusan juta ringgit Malaysia. Ramai sahabat yang bertanya tentang isu panas ini. Tidak kurang juga yang meminta pendapat penulis tentang isu yang hangat di negeri kelahiran penulis ini. Pertamanya, ribuan kemaafan kerana kelambatan respon dan komen penulis. Bukan ingin mengelak, tetapi kesibukan duniawi yang merencat segalanya.
Artikel ini bukanlah satu komen berbaur politik yang ingin digarap, tetapi kebenaran dan kenyataan yang harus ditegakkan kerana jika ia tidak didedahkan, dikhuatiri boleh membawa fitnah kepada keadilan dan ketelusan, bahkan boleh merosakkan nama Islam itu sendiri. Menjadi tanggungjawab dan kewajipan kepada yang mengetahui untuk menyampaikan kepada yang tidak mengatahui.
Banyak persoalan yang masih berlegar-legar di kepala penduduk Selangor khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Di sini terdapat beberapa soalan popular yang telah berjaya dikelirukan oleh pihak-pihak tertentu.
Apa rasionalnya projek penternakan babi di Selangor?
Projek ini sebenarnya telah diluluskan oleh kerajaan negeri Selangor yang lepas di bawah pimpinan Dato' Seri Khir Toyo. Mesyuarat Exco kerajaan terdahulu telah meluluskan proses pengambilan tanah pada 9 Februari yang lepas (PRU pada 8 Mac). Sungguh memeranjatkan apabila bekas Menteri Besar Selangor mengatakan beliau tidak tahu menahu tentang projek ini sedangkan segalanya telah termaktub dalam dokumen rahsia rasmi kerajaan negeri Selangor. Kerajaan baru negeri Selangor telah meneruskan projek penternakan secara moden di Ladang Tumbuk, Sepang. Projek ini dapat mengawal penternakan babi secara setempat. Natijahnya, wabak penyakit dapat dikawal dan pencemaran alam juga dapat dikawal. Seperkara lagi yang amat penting, malangnya tidak pernah disiarkan oleh media perdana ialah tidak akan ada lagi lesen penternakan babi yang akan dikeluarkan oleh kerajaan negeri Selangor selepas ini. Penternakan babi secara haram juga dapat dibanteras.
Kenapa kerajaan negeri Selangor sanggup mengeluarkan ratusan juta ringgit untuk projek penternakan babi sedangkan banyak lagi keperluan yang perlu diutamakan?
Sebenarnya, kerajaan negeri Selangor tidak akan mengeluarkan satu sen pun untuk membiayai projek penternakan babi bahkan pelabur-pelabur yang terbabit yang perlu membayar bon kepada kerajaan negeri Selangor sebanyak RM40 juta untuk kos pengambilan tanah. Tanah tersebut dipajakkan kepada pelabur selama 60 tahun.
Kenapa di Ladang Tumbuk? Kenapa tidak di Pulau Ketam?
Buat pengetahuan semua, Ladang Tumbuk di Sepang merupakan tempat pengumpulan babi terbanyak di negeri Selangor buat masa sekarang. Ladangnya seluas 119 ekar. Walaubagaimanapun, ladang tersebut sungguh tercemar. Projek ini hanya memodenkan ladang yang telah sedia ada. Kawasan ini juga dimiliki sepenuhnya oleh pengusaha ternakan babi dan terletak di kawasan hiliran, yang mana airnya tidak digunakan sebagai sumber minuman. Kenapa tidak dilaksanakan di penempatan yang sememangnya ramai penduduk Cina seperti di Pulau Ketam? Pulau Ketam tidak sesuai dan tidak praktikal kerana air di sana pasang surut dan tidak mempunyai kawasan yang mencukupi untuk melaksanakan projek ini.
Hasil kumbahan yang tidak diselenggara dengan baik
Apa yang modennya dalam projek ini?
Projek ini akan menggunakan teknologi biogas. Najis babi akan dimasukkan ke dalam tong yang telah dicampurkan dengan rumput. Campuran ini akan menghasilkan biogas. Biogas ini seterusnya akan digunakan untuk menghasilkan tenaga elektrik. Tenaga elektrik ini akan digunakan untuk projek penternakan babi ini. Seluruh kawasan tersebut akan menggunakan tenaga elektrik biogas. Natijahnya, pencemaran dapat dielakkan kerana najis babi tidak akan sekali-kali keluar dari ladang. Najis akan dimasukkan ke dalam tangki biogas dan ia akan bertukar menjadi gas. Sisa karbon itu akan menjadi baja dan tiada lebihan yang dikeluarkan. Semuanya dalam sistem yang tertutup. Tidak akan ada pencemaran bau.
Kenapa mesti penternakan babi yang dimodenkan? Kenapa tidak binatang ternakan lain?
Sebenarnya, kerajaan negeri Selangor juga akan melaksanakan projek 'modern cattle village' iaitu projek penternakan yang hampir sama dengan konsep projek penternakan babi, tetapi untuk lembu tenusu. Penternak-penternak lembu tenusu akan dikumpulkan di sebuah kawasan yang moden dan teratur. Selain itu, penternakan ayam juga akan dimodenkan dengan diletakkan di tempat berhawa dingin. Tidak akan ada lansung sebarang pencemaran. Malangnya, hanya projek penternakan babi yang digembar-gemburkan, seolah-olah hanya projek tersebut yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri Selangor.
Sungguh malang apabila isu ini ditimbulkan oleh sesetengah pihak, padahal mereka lebih mengetahui segalanya. Merekalah yang meluluskan, merekalah yang membuat lawatan ke Jerman, namun akhirnya merekalah yang tidak mengetahui apa-apa!!..Sungguh ganjil!!..mungkin mereka mempunyai penyakit seperti firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah, ayat ke-10:
"Dalam hati mereka terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), lalu Allah menambahkan lagi penyakit mereka dan mereka pula akan beroleh azab yang pedih (lagi menyakitkan) disebabkan mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran)"
Diharapkan maklumat yang sedikit ini dapat membantu menghilangkan dan menjawab segala kekusutan, kekeliruan dan tanda tanya ke atas isu ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan