Di sini ingin dikongsikan 1 prinsip yang insyAllah berguna untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Prinsip ini diasaskan oleh Stephen Covey dan diberi nama prinsip 90/10. Mungkin ada yang mempersoalkan mengapa mengambil prinsip daripada Barat. Sebenarnya, tidak menjadi masalah untuk mengambil benda-benda baik daripada orang kafir selagi mana tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
"Hikmah itu adalah buruan orang-orang Mu'min. Di mana sahaja ditemuinya, dialah orang yang paling layak/ lebih berhak memungutnya" (Alhikmatud dhallatul mukmini faainama wajadaha faahaqqubiha)
10% daripada kehidupan adalah apa yang terjadi kepada diri kamu. 90% daripada kehidupan adalah ditentukan oleh bagaimana kamu bertindak balas ke atas sesuatu kejadian. Kita tidak mampu mengawal 10% daripada apa yang terjadi ke atas kita. Kita tidak mampu mengawal kemalangan jalan raya, sakit pening, kesesakan lalu lintas, jatuh cinta dan sebagainya.
Kita sememangnya tidak mampu mengawal 10% daripada kehidupan kita, tetapi kita mampu mengawal 90% lagi dari kehidupan kita. Bagaimana?
Dengan tindak balas atau respon.
Ok, di bawah ini digambarkan satu contoh mudah bagaimana tindak balas seseorang ke atas sesuatu perkara sangat memberi pengaruh kepada kesan-kesan selepasnya.
Kamu bersarapan pagi bersama keluarga. Tiba-tiba adik kamu menjatuhkan secawan teh tarik ke atas baju kamu.
Apa yang terjadi ini selepas ini ditentukan oleh respon kamu.
Kamu tidak dapat mengawal perasaan. Kamu naik marah. Kamu memaki hamun adik kamu itu dengan suara yang tinggi. Kamu juga menunjukkan eksperesi muka yang kurang menyenangkan kepada ibu kamu sebagai tanda protes kerana pada pandangan kamu, ibu kamu tidak meletakkan cawan pada tempat yang sepatutnya. Kamu terus masuk ke dalam bilik dan menguncinya. Akibat dimarahi oleh kamu, adik kamu terus menangis sehingga enggan pergi ke sekolah pada hari itu. Kamu terus berkurung di dalam bilik sebagai tanda protes. Selepas beberapa ketika, kamu baru teringat bahawa hari tersebut kamu ada ujian matematik. Kamu keluar dari bilik tanpa menghiraukan ibu kamu, adik kamu dan terus bergegas ke universiti. Di universiti, kamu terlewat memasuki ujian dan dihalau keluar dari kelas. Segalanya serba tidak menjadi hari ini.
Mengapa semua ini berlaku?
Semuanya kerana respon kamu pada waktu pagi selepas secawan teh tarik terjatuh ke atas baju kamu.
Siapakah sebenarnya yang bersalah?
Adakah adik kamu? Adakah ibu kamu? Adakah cawan yang bersalah? Adakah pensyarah yang menghalau kamu yang bersalah? Atau diri kamu yang patut dipersalahkan?
Jawapannya ialah diri kamu sendiri yang bersalah.
Kamu tidak berjaya mengawal emosi hanya dalam masa 10 saat pada pagi tadi, akibatnya seluruh hari kamu tidak menjadi. Malah, mungkin boleh berlarutan ke hari-hari berikutnya.
Bayangkan jika kamu berjaya mengawal keadaan pada pagi tadi.
Teh Tarik tertumpah di atas baju kamu. Adik kamu mula menangis. Sambil tersenyum kamu berkata, "tak pe dik, lain kali hati-hati sikit". Kamu bergegas masuk ke bilik dan meyalin pakaian baru dan meneruskan sarapan pagi. Beberapa minit kemudian, adik kamu ke sekolah dengan menaiki bas dan kamu bergerak menuju ke universiti. Kamu tiba awal di universiti dan dapat menjawab soalan matematik dengan tenang.
Adakah kamu sedar perbezaannya??
2 senario yang berbeza. Permulaan yang sama, pengakhiran yang berbeza.
Mengapa begitu??
Semuanya kerana respon kamu. Kamu memang tidak mampu mengawal 10% yang terjadi, tetapi baki 90% lagi adalah ditentukan oleh tindak balas kamu.
Inilah yang dinamakan prinsip 90/10 oleh Stephen Covey. Cubalah amalkan. Pasti hidup kamu akan berubah. Kamu akan senantiasa positif atas setiap perkara yang berlaku. Kamu akan menjadi seorang yang redha atas segala ketentuan Ilahi. Hanya diri kamu yang boleh mengubah segalanya. Bukan orang lain.
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri" ( Surah Ar-Ra'du: 11)
Selamat mencuba...
Semoga berjaya mengawal segala respon yang bakal dilakukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan