Rabu, 2 April 2008

Perhimpunan Rakyat di Stadium Melawati







Tanggal 31Mac 2008,satu Perhimpunan Rakyat & Munajat Perdana telah diadakan di Stadimu Melawati, Shah Alam. Program anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor ini telah bermula kira-kira pukul 8 malam yang mana dihadiri oleh rakyat dari seluruh pelosok Malaysia, yang dianggarkan seramai 25,000 orang. Subhanallah.

Ini jelas menunjukkan sokongan rakyat yang tidak berbelah bahagi dalam menyokong Barisan Rakyat untuk menerajui Negeri Selangor dan Malaysia bagi memacu arus perubahan dalam sistem pemerintahan negara yang semakin tenat.




Buat julung-julung kalinya Stadium Melawati yang terkenal di kalangan para peminat setia sukan badminton tanah air, telah berkumandang laungan azan yang amat syahdu. Selepas itu, Stadium Melawati sekali lagi menjadi saksi bilamana beribu-ribu manusia berhimpun dan menghadap kiblat, sujud kepada yang Maha Esa bagi menunaikan kewajipan solat Isyak seterusnya menunaikan solat hajat 2 rakaat bagi melahirkan kesyukuran kepada Pemberi Segala Nikmat. Peristiwa ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negeri Selangor walaupun negeri ini telah lebih 50 tahun diperintah oleh orang Islam.

Majlis telah dimulakan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Selepas itu, semua hadirin termasuk tetamu kehormat berdiri untuk menyanyikan lagu kebangsaan, NEGARAKU dan lagu tema PAS yang dipopularkan oleh kumpulan Shoutul Amal, BERJIHADLAH. Kehangatan majlis diteruskan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan Islamic Boyz dan In-Team. Setelah majlis sudah terasa bahangnya, barulah tetamu-tetamu kehormat memulakan ucapan mereka. Ronnie Liu, exco kerajaan negeri Selangor, telah memulakan ucapan pada malam tersebut, seterusnya diikuti oleh Dato' Dr. Hasan Ali, exco kerajaan negeri Selangor yang merangkap Pesuruhjaya PAS negeri Selangor. Ucapan beliau yang begitu bersemangat telah disambut dengan laungan takbir yang tidak putus-putus bersahutan kedengaran di segenap sudut stadium.

Setelah itu, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS, mengambil tempat untuk berucap, diikuti oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan orang yang terakhir berucap pada malam tersebut. Ucapan semua tetamu kehormat pada malam itu (kecuali Ronnie Liu) telah disambut dengan laungan takbir yang begitu bersemangat daripada para hadirin.

Perhimpunan pada malam tersebut tamat kira-kira pada pukul 12 tengah malam.

Ini adalah langkah permulaan kepada arus perubahan negara. Diharapkan ia bukan la hanya 'hangat-hangat taik ayam' daripada pemimpin dan rakyat.

Terasa bagaikan berada di negeri Kelantan pada malam tersebut.Cumanya terdapat beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki pada masa-masa hadapan seperti masalah PA system , pengasingan tempat antara muslimin dan muslimat, dan kutipan derma yang tidak menyuluruh pada malam tersebut.

Untuk mendengar lagu tema PAS pada malam tersebut, boleh klik:
http://www.youtube.com/watch?v=Y1greNkdy-o

Untuk mendengar dan menonton ucapan tetamu-tetamu kehormat, boleh klik:
http://www.youtube.com/watch?v=9gtCvmdHMJc
http://www.youtube.com/watch?v=TiodTxAD8-E

"Islam Pasti Gemilang"

Tiada ulasan: