Rabu, 14 Mei 2008

Secoret Kenangan Bertugas Sebagai Pembantu Pengawas Peperiksaan


Berlalu sudah 3 minggu perkhidmatanku sebagai pembantu pengawas peperiksaan di fakulti Teknologi Maklumat & Sains Kualitatif UiTM Shah Alam. Tugasku amat mudah. Hanya perlu menunggu pengawas peperiksaan di bilik operasi dan terus mengangkut bakul yang berisi barang-barang keperluan peperiksaan seperti kertas jawapan, benang dan jam dinding ke bilik peperiksaan. Di sana seperti biasa, tugasku meletakkan soalan dan kertas jawapan di atas meja para pelajar sebelum peperiksaan bermula. Seterusnya, tugasku hanya termenung dan memerhati para pelajar memerah otak menjawab peperiksaan dan sesekali mengekori pelajar ke tandas. Tugasku hanya sedikit sibuk apabila bertugas 'menjaga' pelajar-pelajar yang menjawab soalan matematik. Pasti banyak tangan yang diangkat untuk meminta tambahan kertas jawapan. Hanya ketika ini seoramh pembantu pengawas peperiksaan tidak dapat duduk diam.

Kelihatannya tugasku ini begitu mudah, tetapi sebenarnya tanpa kesabaran dan ketenangan, ia boleh menjadi suatu tugas yang kurang digemari. Terima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan yang turut bersama-sama menjayakan episod hidupku kali ni. Iman, Nasrul, Firdaus, Zamir, Subhee, Huda dan Hidayah adalah watak-watak yang mewarnai episod kehidupanku kali ni. 3 minggu kami bersama hanyalah sebuah persinggahan sebelum masing-masing meneruskan perjuangan dan cita-cita yang lebih besar. Iman dan Hidayah akan ke India bulan 7 ni untuk meneruskan pengembaraan mereka untuk menjadi tabib. Firdaus ke UNITEN, Zamir ke Matrikulasi Gambang Pahang, Nasrul meneruskan baki 1 semester di matrikulasi UIA Nilai, Huda akan ke UIA Kuantan bulan 7 ni. Hanya Subhee tidak sempat ditanya ke mana destinasinya selepas ini.

Pengalaman selama 3 minggu bertugas dan menjadi staff sementara UiTM mengajarku beberapa perkara. Beberapa mutiara berjaya diperoleh dalam persinggahan kali ini, alhamdulillah.

Pertamanya, dapat belajar cara untuk menggunakan punch card. Walaupun bunyinya agak melucukan, tetapi sekeping kad yang berwarna kuning ini mengajarku kepentingan menepati masa. Kita harus awal dari masa yang ditetapkan kerana kad ini boleh menjadi bukti sebarang ketidaktepatan masa dan akan mengganggu apabila proses untuk claim duit kelak. Bagaimana untuk claim duit jika jam kerja tidak mencukupi? Sebenarnya, situasi ini boleh dikaitkan dengan sifat amanah. Ia sangat mengujiku.



Keduanya, ia memberikanku pengalaman bagaimana untuk berkomunikasi dengan orang yang lebih tua dariku dan mempunyai tahap intelektual yang tinggi. Tidak dapat tidak, pembantu pengawas peperiksaan sepertiku ini terpaksa bergaul dan bertegur sapa dengan Professor, pensyarah-pensyarah yang mana semuanya tidak kurang merupakan pemegang ijazah sarjana dalam bidang masing-masing, sedangkan daku hanya lulusan SPM sahaja ketika ini. Ia juga dapat mengajar bagaimana untuk berinteraksi dengan orang-orang cina, ustaz-ustazah, orang yang friendly, orang yang strict dan orang-orang yang kurang berpegang kepada agama. Pelbagai ragam pensyarah yang ditemui. Semua ini adalah keunikan dan kepelbagaian manusia yang telah disusun dan ditetapkan olehNYA.

Apabila melihat kepada para pelajar UiTM yang menduduki peperiksaan, diri ini semakin sedar di mana keperluan dakwah pada zaman kini. Masih ramai yang memerlukan bimbingan dan kesedaran. Perlunya para pendakwah turun ke dalam masyarakat untuk bersama-sama mereka. Bukannya hanya syok sendiri berada selesa di daerah selamat. Terasa sangat kagum kepada sekelompok pelajar yang masih boleh mengekalkan pakaian yang menggambarkan syiar Islam walaupun berada didalam daerah yang tidak membantu lansung mereka ke arah itu.  Benarlah sabda Nabi S.A.W. pada 14 kurun yang lepas, di akhir zaman kelak, Islam akan menjadi dagang (asing) seperti mana ketika ia mula-mula diturunkan.

Semoga secebis kenangan dan pengalaman ini memberi suatu pengajaran kepadaku dalam perjalanan mencari mardathillah.

1 ulasan:

imanulhassan berkata...

alhamdulillah, aku dan dromey dipertemukan di sini..

yup btol tu, pengalaman yg sgt berharga, dpt melihat pelbagai ragam manusia di muka bumi ini..