Isnin, 29 Disember 2008

Let's Countdown!!



Sambutan tahun baru merupakan salah satu acara tahunan yang wajib bagi negara kita. Budaya Barat yang telah sebati di jiwa rakyat Malaysia ini sering disambut dengan gilang-gemilang dengan konsert, pertunjukan bunga api dan diakhiri dengan pesta-pesta liar dan lumba haram yang natijahnya tidak lansung menguntungakn umat Islam bahkan merugikan negara.

Hampir setiap tahun skripnya sama kecuali pada tahun berlakunya tragedi Tsunami yang mana pihak berkuasa telah membekukan segala sambutan tahun baru pada tahun tersebut. Sukar untuk memikirkan bagaimana manusia masih tidak mengambil pengajaran daripada peristiwa mengejut yang telah meragut puluhan ribu nyawa dalam sekelip masa itu.

Bertitik tolak daripada budaya yang tidak sihat dan telah sebati ini, kerajaan negeri Kelantan telah mengambil satu inisiatif menganjurkan satusambutan tahun baru yang selari dengan syariat Islam.

Antara program yang diatur:

Bermula pukul 4.30 petang, 31 Disember 2008 :

- acara remaja di dataran stadium
- solat maghrib berjamaah
- solat isyak berjamaah
- konsert dan motivasi remaja:
bersama Hafiz Hamidun, Sabri Yunus, Akhil Hayy, Farah Deeba dan Rabbani
- acara gendang 4 budaya
- dikir barat
- perarakan motor klasik, VW, basikal dan kuda
- amanat Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
- Count down bersama Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
- pertunjukkan bunga api

Semoga pembaharuan yang dibuat oleh kerajaan Negeri Kelantan ini akan mencelikkan mata dan membuka jalan kepada kerajaan -kerajaan negeri lain dan kerajaan pusat untuk menganjurkann satu Sambutan Tahun Baru yang bersendikan syariat Islam.

Berhibur tiada salahnya
Kerna hiburan itu indah
Hanya pabila salah memilihnya
Membuat kita jadi bersalah

Indahnya Malam Pertama



Indahnya malam pertama. Bukan malam penuh kenikmatan duniawi semata. Ia adalah malam pertama perkawinan kita dengan Sang Maut. Sebuah malam yang meninggalkan tangisan sanak saudara.

Hari itu..


Mempelai sangat dimanjakan. Mandipun, harus dimandikan. Seluruh badan kita terbuka. Tiada sehelai benang pun menutupinya. Tiada sedikitpun rasa malu. Seluruh badan digosok dan dibersihkan. Kotoran dari lubang hidung dan anus dikeluarkan. Bahkan lubang-lubang itupun ditutupi kapas putih. Itulah sosok kita sebenarnya. Itulah jasad kita kala itu.

Setelah dimandikan, kitapun akan dipakaikan dengan kain cantik berwarna putih. Kain itu, jarang orang memakainya. Karena namanya sangat terkenal iaitu, kafan. Wangian ditaburkan ke baju kita. Bahagian kepala, badan, dan kaki  diikatkan agar ia terus membaluti badan.


Tataplah...




Itulah wajah kita. Keranda pelamin terus disiapkan. Pengantin bersanding sendirian.

Mempelai diarak ke sekeliling kampung yang dihadiri tetangga. Menuju istana keabadian sebagai simbol asal-usul. Kita diiringi langkah longlai seluruh keluarga serta rasa haru para handai taulan. Gamelan syahdu bersyairkan azan dan kalimah zikir. Akad nikahnya bacaan al-Qur'an. Berwalikan liang lahat. Saksi-saksinya nisan-nisan, yang telah tiba lebih awal, siraman air mawar, pengantar akhir kerinduan.

Dan akhirnya...

Tibalah masa pengantin menunggu dan ditinggalkan bersendirian untuk dipertanggungjawabkan atas seluruh langkah kehidupan. Malam pertama yang indah atau meresahkan. Ditemani rayap-rayap dan cacing tanah. Di kamar bertilamkan tanah. Dan ketika 7 langkah telah pergi. Sang Malaikat lalu bertanya. Kita tak tahu apakah akan memperoleh nikmat kubur, ataupun kita akan memperoleh siksa kubur...



Kita tak tahu..

Dan tiada seorang pun yang tahu..

Hanya amal Soleh yang ikhlas bisa membantu menemani kita pada hari itu.

Adakah kita sudah mencarinya pada hari ini untuk menemani kita di malam pertama kelak?


Jumaat, 26 Disember 2008

Awal Muharram



Bulan MUHARAM adalah bulan pertama dalam sistem tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah S.A.W. berhijrah dari Makkah ke Yathrib (Madinah), kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi.

Hijrah Rasulullah S.A.W. memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah S.A.W., ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri. Melalui hijrah inilah Islam terus berkembang sehingga ke generasi sekarang seperti Islam yang kita kecapi sekarang.

Pada dasarnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan kota Makkah (Al Baqarah: 91).

Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

Peristiwa-peristiwa penting yang telah berlaku pada bulan Muharram:

1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.

10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran.

Maal Hijrah merupakan permulaan bagi tahun baru dalam Islam. Malangnya, hanya segelintir sahaja dari umat Islam yang menyedarinya, bahkan lebih mengutamakan sambutan tahun baru Masihi melebihi tahun baru Islam.

Tahun Baru Masihi sering disambut dengan gilang-gemilang tetapi tahun baru Islam / awal Muharram / Maal Hijrah sering dipandang sepi oleh sebahagian besar umat Islam terutama di negara kita.

Sungguh malang nasib umat Islam terkemudian yang telah terkeliru dan terpedaya dengan propaganda pihak Barat dalam menentukan keutamaan dalam hidup mereka.

Semoga kita dapat terus menghayati perjuangan Rasullullah S.A.W. terutama kisah penghijrahan baginda pada bulan Muharram kerana itulah resepi terbaik untuk meletakkan Islam kembali di landasan sebenar baik dari segi politik dan pemerintahan mahupun edari segi ekonomi dan ketenteraan.

-Salam Maal Hijrah (1430 Hijrah)-

Isnin, 22 Disember 2008

MINS '08


MINS ’08 (Mahabbah in Negeri Sembilan 2008)

Ahli jawatankuasa perwakilan kolej-kolej di UIA iaitu Kolej Talhah, Kolej Al-Faruq, Kolej Sumayyah dan Kolej Maimunah, UIA telah mengambil satu inisiatif untuk mengadakan satu program khidmat masyarakat yang dinamakan sebagai Mahabbah di Negeri Sembilan (MINS ’08)

Program selama 6 hari yang bermula pada 15 Disember hingga 20 Disember 2008 ini telah membabitkan 4 buah kampung di sekitar Kuala Pilah iaitu, Kampung Gemetir, Kampung Ibol, Kampung Parit Istana, Kampung Tanjung Ipoh.

Seramai 105 orang pelajar telah menyertai program ini, yang terdiri daripada mahasiswa UIA kampus Gombak dan Kuantan termasuk dua orang mahasiswa daripada Bangladesh yang sedang menutut di UIA dalam bidang Ilmu Wahyu.

(YB Tuan Abdul Samad diwawancara oleh wartawan RTM)

15 Disember


Majlis perasmian program telah diadakan di dewan orang ramai Tanjung Ipoh dan telah dirasmikan oleh YB Adun Seri Menanti, YB Tuan Abdul Samad Bin Ibrahim. Setelah itu, pembahagian keluarga angkat telah diadakan. Aku telah ditempatkan di Kampung Ibol bersama-sama dengan Amir Hakim, Ruzaini (Abe) dan Alif.


(Keluarga Angkatku; Abang,Akak,Along,Angah & Adik)

Keluargaku tidak sempat menjemput kami di balai raya pada tengah hari tu. Kami menumpang van pakcik Adnan untuk ke rumah keluarga angkat. Setelah menempuh perjalanan yang agak mencabar termasuk 2 bukit+cerun+selekoh L (Peserta program yang pernah sampai ke rumhku sahaja yang mungkin faham hakikat sebenar), kami tiba di rumah keluarga angkat.

Seorang perempuan muda dalam lingkungan 30'an datang menjemput kami. Pada mulanya, kami ingatkan dia hanyalah anak kepada keluarga angkat yang akan kami duduki. Rupanya, jangkaan kami ternyata meleset. Perempuan itulah sebenarnya ibu angkat kami. Tapi dia hanya mahu disapa dengan panggilan 'Kak'. Mungkin sesuai dengan umurnya yang masih muda.

Maka, dengan secara rasminya, kami menjadi sebahagian daripada keluarga kepada pasangan Ramizah dan Hishamuddin bersama dengan 3 putera mereka yang comey lotey dan aktif, Along (7 tahun), Angah (5 tahun) dan Adik (3 tahun). Pada malam tersebut, kami telah menikmati daging salai masak lomak nogori. Sungguh enak.


(Abe menunjukkan skillnya mengecat)

16 Disember
Para peserta berkumpul di Sekolah Kebangsaan Dato' Idris dan telah dibahagikan kepada 2 kumpulan; kumpulan yang mengadakan aktiviti bersama pelajar dan kumpulan yang mengecat dinding dan bangunan sekolah. Aku telah ditempatkan dalam kumpulan dua. Aktiviti ini tamat pada dalam sekitar pukul 6 petang. Sungguh seronok dapat mengecat sekolah secara beramai-ramai walaupun baru pertama kali melakukannya.

17 Disember
Pada paginya pihak Belia Daerah Seri Menanti telah mengadakan satu bengkel pengurusan jenazah yang bertempat di Masjid Seri Menanti. Bengkel ini telah dibahagikan kepada 2 sesi, iaitu sesi praktikal dan teori dan tamat pada waktu solat fardhu Zohor.

Selepas solat Zohor, kami semua telah berangkat ke Istana Menanti untuk melawat sebuah istana lama yang sangat unik dan telah menjadi salah satu warisan dunia yang telah diiktiraf oleh UNESCO. Istana yang bercat hitam ini sungguh unik kerana binaan asalnya dipercayai tidak menggunakan walau sebatang paku pun. Istana ini harus dilawati bagi sesiapa yang melancong ke Negeri Sembilan.

Setelah melawat Istana Menanti, kami semua ke pusat rekreasi yang terkenal di Negeri Sembilan, iaitu Ulu Bendul. Tapi sayangnya, tiada seorang pun dari kami yang membawa baju tambahan kerana Ulu Bendul bukanlah destinasi yang termaktub di dalam tentatif. Kempunanlah semua untuk merasai kesejukan air tejun Ulu Bendul.

Sebelum senja kami pulang ke rumah keluarga angkat masing-masing. Alangkah terkejutnya aku, Faizal & Abe apabila pulang ke rumah keluarga kami. Lemang dah siap dibakar. Pada paginya, akak dan atok menyuruh kami untuk mencari buluh apabila pula`ng dari program hari ini. Rupanya semuanya dah tersedia. Terima Kasih!!

18 Disember

Hari ini adalah hari bersama keluarga masing-masing. Ada yang memilih untuk ke bandar bersama kelurga mereka, ada yang bermain bowling dan ada yang memilih untuk duk berehat sahaja di rumah.

Kami memilih untuk mencari pengalaman baru yang jarang diperoleh jika di bandar. Kami bertiga bersama along mengikut tok pergi menoreh getah di lereng bukit. Sebelum sampai ke sana, kami telah diserang oleh pacat-pacat yang sungguh lapar menanti darah segar manusia. Macam-macam karenah rakan dapat dilihat. Sungguh lucu pagi itu. Selain menemani tok menoreh, kami juga ditugaskan mencari pucuk-pucuk kayu. Along telah memberi tunjuk ajar kepada kami untuk mencari pucuk yang sesuai untuk dipetik.

Selepas pulang dari menoreh getah, kami bermain pula dengan biji getah. Biji getah dilagakan dengan menggunakn tangan. Kami juga membuat bola getah daripada getah yang telah kering di pokok. Teringat zaman kanak-kanakku yang banyak menghabiskan masa dengan bermain 2 permainan ini.

Pada malamnya, telah diadakan satu forum yang bertajuk, "adat dijunjung, syarak dituruti". Forum yang cuba mejelaskan tentang kekusutan masyarakat dalam menghadapi dilema antara adat dan syariat ini telah dipengerusikan oleh Dato' Khalid Ujang. Ahli panelnya pula terdiri daripada 3 orang pensyarah UPSI daripada Jabatan Bahasa & Warisan, iaitu Prof. Madya Dato' Paduka Dr. Rusli B. Saludin, Prof. Dr. Bukhari B. Lubis dan Prof. Dr. Ani Bt. Omar. Pelbagai soalan telah diajukan oleh orang ramai pada malam tersebut dan telah dijawab dengan baiknya oleh ahli-ahli panel yang sering menceriakan audiens dengan ayat-ayat puitis mereka.

19 Disember
Hari ini adalah hari terbuka rakyat yang telah diadakan di Sek Menengah Keb Dato' Abdul Samad. Pameran daripada UIA, Jabatan Bomba & Penyelamat, Ibu Pejabat Polis Tanjung Ipoh, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah serta pemeriksaan kesihatan percuma telah diadakan pada hari ini.

Hari ini aku mendapat satu pengalaman baru sebagai consultant kesihatan. Orang-orang kampung datang berpus-pusu menyerang aku dan Faizal. Pelbagai soalana diajukan. Barulah ku sedar, betapa pentingnya segala ilmu yang aku telah pelajari untuk difahami kerana semuanya akan digunakan kelak.

Pada petangnya telah diadakan sukan rakyat bagi mengeratkan hubungan antara orang kampung dan pelajar UIA.

Acara kemuincak pada petang itu adalah perlawanan persahabatan bola sepak antara wakil UIA dan Belia Kuala Pilah. Keputusan berakhir seri 2-2. Seronok dapat terlibat dalam perlwanan bersejarah ini.

20 Disember

Acara pada hari terakhir kami di sini telah dimulakan dengan kenduri/makan besar yang telah diadakn di Kg. Gemetir. Mak Teh n Da Geng telah bertungkus-lumus menyediakan makanan sejak malam sebelumnya. Alhamdullilah, semuanya dapat diselesaikan dan orang kampung, keluarga angkat serta para peserta telah dapat menikmati hidangan pada waktu tengah hari.

Majlis penutup turut diadakan di bawah khemah yang agak kecil tetapi majlis itu tetap meriah. Aku telah terpilih menjadi salah seorang wakil UIA sebagai simbolik kepada penyerahan kembali pelajar-pelajar UIA kepada wakil UIA, iaitu Ust Mohd Ali.

Setelah segalanya selesai, kami semua berangkat pulang ke destinasi masing-masing, iaitu Gombak dan Kuantan.


(Pelajar UIA Kuantan yang menyertai program bergambar bersama Ustaz Ali)


Ahad, 7 Disember 2008

Secoret Kenangan


Alhamdulillah...

Terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Maha Pemurah kerana memberi peluang kepadaku pada kesempatan yang amat terhad untuk memperoleh sedikit pengalaman.

Pengalaman yang pastinya amat beharga.

Aku baru sahaja menamatkan tugasku sebagai guru / ustaz ganti di Ma'ahad Tahfiz Qur'an Al-Islah, Seksyen 7, Shah Alam.. Aku dan adikku ditugaskan untuk menjadi ustaz tasme' Al-Qur'an dan mengajar subjek agama seperti bahasa Arab, Sirah dan Tajwid. Pengalaman yang singkat selama 3 minggu di sana telah mengajarku banyak perkara.

Menjadi ustaz kepada pelajar-pelajar yang berusia 8 tahun-14 tahun, bukanlah suatu yang mudah. Pelbagai karenah mereka harus dilayan dan diurusi dengan sebaiknya. Mujurlah, secebis pengalaman silamku telah banyak membantu dalam menghadapi pelbagai situasi yang mendatang.

Pelbagai cara harus digunakan untuk menangani kanak-kanak pada usia tersebut. Adakalanya perlu tegas, adakalanya perlu bersahaja. Pokoknya, tahap kesabaran perlu tinggi.

Kanak-kanak pada usia begini mudah hilang fokus ketika belajar. Amatlah sukar untuk mengekalkan fokus mereka. Mereka harus diawasi setiap masa.




Pada hari-hari awalku di sana, aku terasa keletihan dan tekanan dalam mencari formula terbaik untuk mengajar mereka dengan efektif. Namun, selepas beberapa hari di sana dan aku mula menemui rentak, terasa nikmatnya dapat bersama-sama dengan kanak-kanak yang bagaikan tidak pernah kenal erti penat lelah untuk menjadi Hamalatul Qur'an seterusnya membentuk Jilul Qur'an.

Pastinya, saat-saat bersama mereka akan diingati dan akan dijadikan bekalan dalam menghadapi pelbagai lagi onak dan duri kehidupan di masa mendatang.

Semoga anak-anak muridku dapat meneruskan perjuangan di sana dalam memartabatkan kembali Al-Qur'an yang telah dipandang sepi oleh masyrakat kini..Seribu kemaafan atas segala kemarahan, ke 'rotan'an dan denda yang dikenakan. Semuanya untuk kebaikan kamu semua.

Semoga maju jaya!!


-Allah s.w.t. lebih mengetahui segalanya-

Selasa, 2 Disember 2008

Yang Paling Terbaik Antara Yang Terbaik


Islam itu sungguh indah dan sempurna. Ajarannya sudah lengkap meliputi segenap aspek kehidupan. Malangnya, amat sedikit yang menyedarinya dan mengambil kelebihan dari ajarannya. Di sini terdapat beberapa contoh ajaran Islam yang amat menguntungkan umatnya jika mereka betul-betul memanfaatkanya.

1. Skim Cepat Kaya Terbaik = Sedekah

" Perumpamaan (derma atau nafkah) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai; setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui)" ( Surah Al-Baqarah:261)
Bayangkan setiap sedekah adalah bersamaan dengan 1x7x100=700 ganjaran. Adakah mana-mana skim cepat kaya di dunia ini yang menawarkan keuntungan sebanyak 700%??..Bukan sahaja keuntungan yang tinggi, bahkan keuntungan itu pasti diperoleh. Tiada penipuan. Bagaimana skim cepat kaya ciptaan manusia??..adakah sama??..Tidak sama sekali..Ramai yang telah menjadi mangsa..Mengapa tidak mengejar skim cepat kaya ciptaan Ilahi??...Tak ramai yang sedar dan mengejar keuntungan yang besar dan nyata ini...


2. Skim MLM Terbaik = Ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah dan doa anak yang soleh


" Apabila meninggal seorang anak Adam itu, maka terputuslah segala amalannya melaikan 3 perkara: Ilmu yang bermanfaat, Sedekah jariah dan Doa anak yang Soleh " (Hadith Riwayat Muslim)

Sistem MLM dalam Islam yang berdasarkan 3 perkara di atas adalah yang terbaik kerana ia akan berterusan sehingga seseorang itu telah meninggal dunia dan boleh berterusan sehingga hari Kiamat. Kadarnya juga tidak tetap dan semakin bertambah. Adakah mana-mana sistem MLM ciptaan manusia yang dapat menandingi sistem MLM ciptaaan Sang Pencipta??


3 .Senaman Terbaik = Solat

Solat telah terbukti sebagai bentuk senaman yang terbaik yang telah dibuktikan oleh banyak penemuan sains moden. Solat dapat menggerakkan otot-otot dan sendi-sendi pada kadar yang betul dan dapat membaiki sistem penafasan dan sistem pencernaan. Solat juga memberikan bekalan darah kepada organ-organ tertentu seperti otak pada kadar yang diperlukan.


4. Diet Terbaik = Puasa

Diet pemakanan yang terbaik adalah melalui puasa. Bukan puasa setiap hari. Puasa pada hari Isnin dan Khamis atau cara puasa Nabi Daud A.S (sehari puasa, sehari berbuka). Puasa dapat merehatkan perut dan sistem pencernaan daripada penat bekerja pada setiap hari. Puasa juga dapat mengawal kandungan kolesterol dalam darah, seterusnya dapat mengurangkan risiko pelbagai jenis penyakit. Tidak hairanlah ramai pakar kesihatan yang mengesyorkan pesakitnya berpuasa sebelum memberikan apa-apa rawatan susulan.


5. Pembasuh Muka & Pelembap Kulit Terbaik = Wudhuk

Sudah menjadi kebiasaan kepada kita terutamanya golongan remaja dan wanita menghabiskan banyak wang ringgit untuk membeli alat-alat pembasuh muka dan losyen untuk mengekalkan seri di muka dan mengekalkan kelembapan kulit. Tidak kurang juga yang membelinya atas alasan kesihatan. Tidakkah mereka sedar bahawa ada satu pelembap muka dan kulit yang sangat efisien dan tidak membabitkan kos yang tinggi. Pelembap / pencuci itu ialah basuhan wudhuk.

Basuhan wudhuk pada anggotanya paling kurang lima kali sehari (waktu solat) sebenarnya sudah cukup untuk menjaga kulit kita dari sebarang kekeringan dan penyakit. Yang Maha Pencipta sudah menyediakan satu kaedah yang mudah, tetapi mengapa kita berpaling dan mencari yang lain??


6. 'One Stop Centre' Terbaik = Masjid

Masjid di akhir zaman merupakan satu tempat yang sunyi dan dipandang sepi. Ianya hanya akan didatangi (tidak dipenuhi) pada waktu solat sahaja. Selepas itu, ia kembali menjadi sepi. Hal ini amat berlainan dengan fungsi masjid pada zaman kegemilangan Islam, zaman Rasullulah S.A.W. dan sahabat-sahabat. Masjid ketika itu merupakan pusat pemerintahan, pusat ibadat, gedung ilmu, pusat ekonomi dan membeli-belah, kem latihan tentera dan yang paling penting, pusat penyatuan umat Islam. Adakah umat Islam menjadi lemah kerana menjadi masjid sebagai pusat bagi segalanya?...Tidak, bahkan ketika itulah merupakan era kegemilangan Islam sepanjang zaman yang telah berjaya menguasai 2/3 dunia...Mengapa kita harus mencari jalan lain sedangkan satu contoh sejarah yang nyata telah terbentang di depan mata??


7. Ensiklopedia kehidupan terbaik = Al-Qur'an

Al-Qur'an merupakan satu kitab yang terbaik yang menceritakan tentang kehidupan. Ia sudah cukup lengkap dan tidak pernah berubah isi kandungannya dan akan berkekalan hingga ke hari Kiamat. Sayangnya, tidak ramai umat Islam yang faham dan mengamalkan isi kandungannya. Lebih menyedihkan, ramai di kalangan umat Islam yang lansung tidak reti membacanya, apatah lagi hendak memahaminya dan mengamalkan isi kandugannya. Bagaimana untuk mencari pedoman hidup yang betul jika sumbernya pun tidak didekati??



-Allah s.w.t. lebih mengetahui segalanya-



Hiburan: Harus Kepada Haram




Imam al-Ghazali rahimahullah dalam kitabnya,  Ihya’ Ulumuddin, ada menyatakan berkenaan halangan yang boleh menukarkan hukum nyanyian yang harus kepada haram:

"Pendengar dari masyarakat awam yang tiada unsur kecintaan kepada Allah tetapi amat menggemari nyanyian dan dia tidak terpengaruh kepada sebarang unsur syahwat. Ketika ini nyanyian yang asalnya haram untuknya akan menjadi harus sepertimana lain-lain perkara harus yang menyeronokkan.

Namun apabila dia menjadikan nyanyian sebagai siulannya dan dia meninggalkan kewajiban yang lain (kemaruk), dia tergolong dari kalangan orang dungu yang tertolak persaksiannya.
Sifat ingin sentiasa berhibur adalah satu jenayah. Dosa kecil akan menjadi besar jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan terus menerus. Begitu jugalah keadaannya dengan sebahagian perkara harus yang lain. Terus menerus melakukannya akan menjadikannya dosa walaupun dalam skala yang kecil.

Contohnya: Sentiasa berhibur mendengar nyanyian dan tarian kaum Afrika dan Habsyi secara berterusan. Ia adalah dilarang walaupun pada asalnya tidak haram kerana Rasulullah sendiri melakukannya.

Antara contoh yang sama dalam hal ini ialah bermain catur yang diharuskan oleh syarak. Namun apabila terus menerus dimainkan, hukumnya akan bertukar menjadi makruh yang amat dibenci. Sekiranya tujuan sesuatu permainan adalah untuk berseronok dan berhibur, ia diharuskan kerana ia dapat merehatkan hati.

Kerehatan hati akan menjadi penawar kepadanya dalam beberapa keadaan, membangkitkan semula semangatnya lalu mendorongnya untuk berusaha lebih gigih sama ada dalam urusan dunia seperti mencari pendapatan dan berniaga, ataupun dalam perkara agama seperti sembahyang dan membaca al-Quran.

Kebaikan sebegini akan dapat dihayati apabila dilakukan berselangan dengan perkara-perkara serius. Ia umpama tahi lalat di pipi yang boleh memaniskan wajah seseorang, tetapi jika bilangan terlampau banyak, wajah akan bertukar menjadi hodoh. Alangkah buruknya jika ia berlaku.

Begitulah juga dalam masalah ini. Kebaikan pada asalnya akan bertukar menjadi buruk kerana terlalu banyak dilakukan.

Bukan setiap perkara elok akan kekal elok apabila dilakukan secara banyak dan berterusan. Begitu juga perkara yang harus. Malah roti adalah harus, namun apabila dimakan secara melampau akan menjadi haram (kepadanya). Begitu jugalah seluruh perkara harus yang lain.
Selain itu, jika pendengar seorang pemuda yang mudah dikuasai oleh nafsu syahwat dan sifat ini lebih menonjol dari sifatnya yang lain. Mendengar nyanyian adalah haram baginya sama ada dia dikuasai perasaan cinta kepada seseorang ataupun tidak. Orang yang sebegini akan bangkit syahwatnya walaupun dengan hanya mendengar sifat rupa paras, pipi, perpisahan dan percintaan dan sebagainya. Dia sentiasa mengkhayalkan imej-imej yang tertentu lalu syaitan meniupkan api syahwat ke dalam hatinya yang akan mendorongnya kepada kejahatan.



Keadaan ini merupakan bantuan kepada kumpulan syaitan dan satu kekecewaan kepada yang menjadi batu penghalang kepada kumpulan Allah.

Pertarungan antara tentera syaitan (syahwat) dan tentera Allah (cahaya akal) akan sentiasa berlaku di dalam hati, kecuali dalam hati yang telah dikuasai oleh salah satu pihak secara total.


Kini, kebanyakan hati telah dimenangi dan dikuasai oleh tentera syaitan. Justeru, pertarungan ini belum selesai. Ia perlu disambung semula untuk menggugat dan menghalangnya dari memperbaharui senjata, pedang dan segala peralatannya.

Bidang
nyanyian adalah merupakan pengasah senjata syaitan kepada orang yang sebegini. Oleh itu dia sepatutnya meninggalkan keseluruhan nyanyian kerana ia akan memudaratkannya".


An-Nablusi dalam kitab yang bertajuk Idohul Aalat berkata:

“Muzik dan nyanyian yang bercampur dengan arak, zina, liwat ataupun bibit-bibitnya seperti sentuhan ghairah, ciuman, pandangan bernafsu kepada bukan isteri, atau sekadar berazam untuk melepaskan syahwat yang diharamkan atau berkhayal melakukannya dan berangan-angan untuk berada dalam majlis sebegitu, semuanya adalah perkara yang diharamkan.

Haram mendengarnya kerana tujuan dan niat tersebut adalah haram. Ia hanya akan mendorongnya melakukan perkara haram yang ada dalam majlis itu, atau perkara haram yang diingininya dalam ilusinya dan dia juga sentiasa membayangkan dia berada di majlis seperti itu. Perkara yang membawa kepada haram adalah haram.


Sekiranya tujuan sebegini merupakan kebiasaan di zaman ini, kita tetap tidak boleh menghukum dengan menggunakan firasah dan jangkaan sahaja lalu memfasikkan seorang umat nabi Muhammad s.a.w.

Kita tidak boleh menghukum seseorang kecuali jika perkara yang haram itu jelas berlaku di hadapan mata di mana sudah tidak ada kemungkinan dan takwil yang lain lagi.


Mungkin ada orang yang akan berkata: Cetusan hati untuk melakukan syahwat yang haram seperti zina, minum arak dan sebagainya (dan ia tidak dilaksanakan) sebenarnya tidak memberikan dosa kepada pelakunya dari segi syarak. Inilah yang diputuskan oleh para ulama’ dalam tajuk-tajuk yang berkaitan dengannya.

Oleh itu, bagaimana pengharusan nyanyian bersyarat dengan tiadanya cetusan hati yang diharuskan oleh syarak ini? Ada contoh perkara ini dari segi syarak?.

Jawabnya: Ya. Cetusan hati sebegini tidak membawa dosa kepada seseorang sekiranya ia terbuku di hati dan hati masih berbelah bahagi sama ada untuk melakukannya ataupun tidak, selagi tidak menjadi satu keazaman. Namun apabila seorang hamba mendengar nyanyian lalu hatinya bergelora, azamnya menjadi kuat dan syahwatnya mula menyala, ketika itu dia tidak berupaya lagi untuk menolaknya. Ketika itu dia akan melakukan perkara yang dimahukan oleh nafsunya itu, sekiranya dia mampu.


Kita ikatkan perkataan `syahwat’ di sini dengan `yang diharamkan’ semata-mata untuk mengecualikan syahwat yang diharuskan. Contoh syahwat yang diharuskan ialah makanan dan minuman halal yang lazat, perkahwinan (persetubuhan) dengan isterinya dan lain-lain lagi.

Cetusan hati kepada syahwat yang halal sebegini sekiranya ia berlaku ketika mendengar nyanyian, tidak akan mengharamkan nyanyian tersebut. Malah nyanyian akan kekal dengan hukum harusnya”

Sumber: kitab Fiqhul Ghina’ wal Musiqi fi Duil Quran was Sunnah. (Feqah Nyayian dan Muzik berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah) Oleh Syeikh Dr Yusuf Abdullah al-Qardhawi.

Panduan & Batasan Syariat dalam Membenarkan Hiburan Nyayian



Di sini, kami tidak lupa untuk menambah beberapa panduan dan batasan yang perlu diambil kira sehingga nyanyian kekal dalam hukum halal. Antaranya:

1-Lirik lagu hendaklah bebas dari segala penyelewengan syariat
Kami tegaskan di sini bahawa bukan semua nyanyian hukumnya harus. Nyanyian yang harus hendaklah mempunyai tema yang bertepatan dengan ajaran Islam, tidak bercanggah dengan aqidah, syariat mahupun akhlak Islam.

Contohnya, lagu yang mengandungi perkara haram ialah nyanyian yang bertajuk: Dunia hanyalah antara rokok dan gelas (arak). Semua ini berlawanan dengan ajaran Islam yang telah melabelkan arak sebagai najis dan amalan syaitan. Islam melaknati peminum arak, pemerahnya (pengilangnya), penjualnya, pembawanya dan semua pihak yang memberikan saham kepadanya. Rokok pula membahayakan badan, jiwa dan harta. Ia juga termasuk dalam perkara buruk yang diharamkan.

Antaranya juga, lagu-lagu yang memuji-muji pemerintah yang zalim, taghut (melampaui batas) dan fasik yang sedang berleluasa dalam umat kita sekarang. Lagu-lagu sebegini juga bertentangan dengan ajaran Islam. Islam melaknat golongan zalim dan setiap pihak yang membantu bahkan siapa sahaja yang mendiamkan diri dengan kezaliman. Bagaimana pula dengan orang yang memuja dan mengagungkan mereka? Sudah tentu lebih jelas pengharamannya.

Lagu-lagu yang memuji lelaki atau perempuan yang bermata galak atau ghairah adalah juga bercanggah dengan adab-adab Islam yang menyeru:
"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)" (An-Nur: 30).

Dan juga firman-Nya:
 
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)" (An-Nur: 31)
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: 
يَا عَلِيُّ! لاَ تُتْبِعْ النَّظْرَةَ النَّظْرَةَ فَإِنَّ لَكَ اْلأُولَى وَلَيْسَتْ لَكَ اْلآخِرَةُ
"Wahai Ali, janganlah kamu ulang pandang selepas pandangan yang pertama, kerana pandangan pertama adalah untukmu tetapi pandangan kedua bukan untukmu (bahkan dosa ke atasmu)".

2-Persembahan Yang Tidak Melampau Dan Menggoda
Gaya persembahan juga mempunyai kesan dan kepentingannya. Terdapat lagu yang mana liriknya tidak bermasalah namun cara ia dipersembahkan oleh penyanyi lelaki atau wanita telah mengeluarkannya dari zon halal kepada zon haram, syubhat ataupun makruh. Mereka sengaja memanja-manjakan vokal mereka dan menghairahkan lengguk badan semata-mata untuk membangkitkan syahwat yang dibendung dan menggoda jiwa yang lemah..

Jenis nyanyian sebeginilah yang menjadi fenomena masakini, diminati bahkan digilai oleh para penonton dan pendengar dari siaran tv ataupun radio arab (dan mana-mana radio/TV di seluruh dunia).

Hampir semua nyanyian bertumpu kepada aspek tarikan seksual dan segala apa yang berkaitan dengan cinta dan asmara. 
Ia hanya bertujuan untuk menaikkan keghairahan dan gelora jiwa khususnya di kalangan muda mudi.

Naluri seksual ini adalah perkara yang amat dominan sehingga ada pakar psikologi yang menafsirkan seluruh tabiat manusia dengannya. Naluri seksual sebegini sepatutnya dimartabatkan dan dimuliakan (dengan adab Islam) bukan dibangkit dan dinyalakan dengan perkara-perkara yang menghairahkan.

Al-Quranul Karim memberi arahan kepada isteri-isteri Rasululah dengan ayat:
"Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu)" (Al-Ahzaab: 32).

Bagaimana jika memanjakan dan menghairahkan suara dengan iringan irama, melodi, tarian? (Tentunya adalah lebih diharamkan).

3. Nyanyian tidak bercampur dengan perkara yang haram.
Nyanyian tidak bercampur dengan perkara yang diharamkan seperti minum arak, menagih dadah, muzik yang menghairahkan seperti yang mengiringi lagu-lagu barat masa kini, antaranya yang berkonsep budaya hippies (hip-hop) dan seumpamanya.

Begitu juga muzik yang mengiringi nyanyian yang diharamkan yang mana dengan menyanyikan lagu tersebut akan menyebut secara langsung perkara haram tersebut.

Contohnya lagu yang menyebut perkataan lucah, berhias dan pergaulan bebas lelaki dan wanita tanpa ikatan dan had.

Inilah yang biasa berlaku dalam konsert dan majlis-majlis nyanyian semenjak dahulu lagi, sehingga apabila disebut sahaja majlis nyanyi-nyanyian, gambaran yang datang secara langsung di dalam minda ialah: Arak , dayang-dayang dan perempuan.

Situasi sebeginilah yang dimaksudkan oleh hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan lain-lain:
لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِي الْخَمْرَ يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا يُعْزَفُ عَلَى رُءُوسِهِمْ بِالْمَعَازِفِ وَالْمُغَنِّيَاتِ يَخْسِفُ اللهُ بِهِمْ اْلأَرْضَ وَيَجْعَلُ مِنْهُمْ الْقِرَدَةَ وَالْخَنَازِيرَ


"Umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan nama yang lain. Mereka dialunkan oleh muzik dan penyanyi-penyanyi. Allah akan membinasakan mereka dan menjadikan sebahagian mereka beruk-beruk dan babi-babi."
Ingin saya menarik perhatian di sini bahawa: Pada zaman dahulu, untuk mendengar nyanyian, seseorang perlu pergi ke majlis-majlis nyanyian dan bercampur gaul dengan golongan artis dan pembantu-pembantu mereka. Jarang terdapat majlis sebegitu yang bebas dari perkara-perkara yang diingkari syariat dan agama.

Namun pada zaman ini, keadaannya sudah berbeza. Seseorang boleh mendengar lagu dalam keadaan berjauhan dari khalayak dan majlis tersebut. Tidak syak lagi bahawa ini adalah satu elemen yang boleh meringankan hukum dalam isu ini. Ia boleh menyebabkan hukum nyanyian lebih kepada zon diizinkan dan dipermudahkan, jika bebas dari segala kemungkaran.

4-Tidak Berlebih-lebih Dalam Mendengar Nyanyian
Seperti perkara-perkara harus yang lain, nyanyian hendaklah dihadkan agar tidak berlebihan. Allah s.w.t. telah berfirman:
Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. (Al-Aa’raf: 31)


Dalam satu hadis, Rasulullah bersabda:
كُلُوا وَاشْرَبُوا وَالْبَسُوا وَتَصَدَّقُوا فِي غَيْرِ إِسْرَافٍ وَلاَ مَخِيلَةٍ
"Makanlah, minumlah, bersedakah dan berpakaianlah tanpa berlebihan dan sombong"
Di sini, Rasulullah mengikat keharusan melakukan perkara yang halal dengan dua jenis ikatan:
Pertama: Ikatan zahir iaitu aspek kuantiti: Menjauh sikap berlebih-lebih dan membazir.

Kedua:
Ikatan dari segi kualiti: Jauh dari kesombongan, meninggi diri dan berbangga ke atas orang lain. Allah tidak menyukai orang yang sombong dan bermegah-megah.

Mengelakkan pembaziran adalah dituntut dalam segala perkara harus. Tuntutannya lebih kuat dalam hal hiburan, terutamanya bidang nyanyian yang diiringi muzik ataupun tidak, khasnya lagu-lagu sentimental yang hanya menbicarakan berkenaan cinta dan kerinduan.

Alangkah benar dan mendalamnya maksud kata-kata Ibnu Muqaffa’:
Aku tidak melihat berlakunya satu pembaziran melainkan ada suatu hak yang telah diabaikan”.

Dalam hadis riwayat Ibnu Hibban dan kitab Suhuf Nabi Ibrahim ada menyebut:

“Seorang yang waras perlu menumpukan perhatiannya kepada tiga perkara: Mencari kehidupan duniawi, mencari bekalan untuk hari akhirat atau keseronokan yang tidak diharamkan.”

5. Berkaitan Dengan Pendengar
Para pendengar adalah orang yang lebih faham keadaan dirinya dan lebih layak menjadi mufti (pemutus) kepada dirinya sendiri.

Setiap orang mengetahui dirinya, arah fikiran dan cetusan hatinya, lebih dari orang lain. Sekiranya nyanyian ataupun jenis-jenis tertentu darinya boleh menyalakan emosinya dan mendedahkannya kepada fitnah dan kejahatan, menyebabkannya berenang di alam fantasi dan memuncakkan nafsu kebinatangannya melebihi sudut spiritual, ketika itu dia perlu meninggalkannya.

Dia perlu menutup pintu yang mungkin didatangi oleh angin fitnah kepada hati, agama dan akhlaknya. Hanya ketika itu sahaja, dia akan terselamat dari fitnah.


Inilah yang digambarkan oleh sebuah hadis nabi:
"الْبِرُّ مَا سَكَنَتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَاطْمَأَنَّ إِلَيْهِ الْقَلْبُ. وَاْلاءثْمُ مَا لَمْ تَسْكُنْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَلَمْ يَطْمَئِنَّ إِلَيْهِ الْقَلْبُ وَإِنْ أَفْتَاكَ الْمُفْتُونَ"


"Kebaikan ialah apa yang ditenterami oleh jiwa dan ditenangi oleh hati sedangkan dosa ialah perkara yang tidak ditenterami oleh jiwa dan tidak ditenangi oleh hati, walau apapun yang telah difatwakan oleh orang-orang yang memberikan keputusan".

Sumber: Disunting daripada kitab Fiqhul Ghina’ wal Musiqi fi Duil Quran was Sunnah.(Feqah Nyayian dan Muzik berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah) Oleh Syeikh Dr Yusuf Abdullah al-Qardhawi.

Selasa, 25 November 2008

Bukan Pada Tempat, Tetapi Kepada Siapa Ia Dipamerkan


Ramai wanita masa kini yang sudah terkeliru dan kurang memahami atau buat-buat tak faham tentang aurat mereka.

Mereka menutup aurat mengikut tempat dimana mereka berada. Mereka menutup aurat dengan sempurna apabila berada di sekolah atau pejabat atau di tempat awam, tetapi tidak menutup aurat atau menutupnya dengan ala kadar apabila berada di rumah atau di halaman rumah.

Tidak kurang juga yang akan menggadaikan aurat mereka semata-mata untuk disesuaikan dengan fesyen masa kini. Tidak hairanlah jika dapat melihat ramai wanita yang menutup dengan kemas auratnya pada hari ini, tetapi hampir separuh bogel pada keesokannya hanya untuk memenuhi fesyen atau untuk menyesuaikan pakaiannya dengan sesuatu majlis.

Tidak hairan juga jika kita dapat melihat ramai wanita yang seolah-olah tiba-tiba tahu dan pandai menutup aurat mereka apabila berada di mahkamah atau di masjid.

Mengapa ini semua boleh terjadi?..Adakah seruan menutup aurat hanya diperintahkan pada tempat-tempat tertentu?

Wahai wanita sekalian...

Adakah kamu lupa akan firmaan ALLAH S.W.T. dalam Surah An-Nuur, ayat ke 31? 
Menutup aurat bukan pada tempat, tetapi kepada siapa ia dipamerkan.

"Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman supaya menahan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka (daripada perkara yang haram) dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya (wajah dan kedua-dua tapak tangan) dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka yang mereka miliki atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti tentang ' aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka dan bertaubatlah sekalian kepada Allah wahai orang yang beriman, agar kamu bejaya;"  (Surah An-Nuur: 31)

Dalam ayat di atas, dengan jelasnya Allah S.W.T memberi panduan tentang batasan-batasan aurat bagi wanita. Ternyata menutup aurat bukan mengikut tempat, tetapi mengikut kepada siapa ia dipamerkan..


Ada kawan bertanya,

Pakaian wanita yang menutup aurat ni sebenarnya macam mana??

Jawapannya mudah dan ringkas.

Jika dengan pakaian tersebut boleh dibawa solat, pakaian tu sudah memenuhi kriteria pakaian yang menutup aurat. Kalau tak, pakaian tersebut belum lagi menutup aurat sepenuhnya.

Pi check balik pakaian yang ada berdozen-dozen di dalam almari. Belek balik tudung-tudung yang ada. Tengok balik koleksi kain. Adakah boleh dibawa solat dengan pakaian tersebut?? Kalau boleh, pakaian anda adalah pakaian yang menutup aurat. Kalau rasa tidak, Fikirkan balik. Tengok pakaian anda..adakah sudah cukup labuh..adakah sudah cukup tebal..adakah sudah cukup besar.

Tiada istilah kain telekung atau pakaian sembahyang yang berlainan dengan pakaian harian anda. Pakaian harian anda adalah pakaian solat anda. 2+1

Islam itu mudah. Jangan dibebankan dengan perlu digendong ke hulu ke hilir kain telekung semata-mata untuk menunaikan solat, sedangkan pakaian anda sendiri sebenarnya sudah cukup menjadi syarat sah solat.

Wahai wanita sekalian..adakah anda ingin tergolong dalam golongan wanita yang menjadi penanda kepada dekatnya Hari Kiamat??

Wanita yang memakai pakaian tetapi pada hakikatnya tidak memakai pakaian seperti dalam sabda Rasul Junjungan..

Fikir-fikirkan..


Sabtu, 22 November 2008

Dunia Baru Islam


Ku ingin berkongsi satu dendangan nasyid yang amat menyentuh hati dan telah menaikkan semangatku. Walaupun bait-baitnya sungguh ringkas, tetapi sudah cukup untuk kita menghayati sejenak perjuangan Rasullulah S.A.W. dan para sahabat di awal kedatangan Islam. Semoga kita dapat menghayati perjuangan Rasulullah S.A.W. serta para sahabat dan menanam rasa cinta terhadap mereka.


Masih basah kenangan indah
Zaman cemerlang era gemilang
Ketika Rasul ada di sisi
Para sahabat mentadbir bumi

Zaman Nubuwwah era Khulafa'
Islam laksana api yang menyala
Menerangi teman dan juga sahabat
Bahang panas yang membakar lawan

Di celah itulah
Kami mengatur langkah
Membina sebuah Thoifah
Di sini bara tak pernah padam
Digenggam kukuh sebuah azam

Ayuhlah para mujahid
Ayuhlah para mujahidah
Kita tinggalkan zaman fitnah
Agar tertegak kalimah Allah

Agar terbangun
Dunia Baru Islam

-The Zikr-

Rabu, 19 November 2008

Ubah Sikap Anda Dalam Isu Minyak


Penurunan harga minyak di pasaran dunia telah menjadi salah satu berita yang hangat di seantero dunia pada bulan ini selain berita kemenangan Barack Obama merebut kerusi panas Presiden Rumah Putih.

Perkembangan ini disambut baik oleh seluruh penduduk Malaysia yang rata-ratanya merasai kesan yang teruk dek peningkatan harga minyak yang mengejut dan mendadak (naik 70 sen per liter) pada bulan sebelumnya. Walaupun harga minyak dunia sudah turun mendadak, namun harga minyak di negara kita masih belum mampu turun seperti sebelumnya. Tak tahu kenapa. Mungkin akan ada lagi kejutan yang ingin dilakukan oleh pihak kerajaan. Nantikannya.

Di sini terdapat beberapa cara untuk menjimatkan penggunaan minyak tanpa perlu untuk memboikat mana-mana syarikat minyak atau mencatu minyak. Ia lebih kepada perubahan sikap yang hanya diri kita sendiri yang boleh mengubahnya.


1. Pemanduan - Memandu dengan tenang. Jangan gopoh dan membuat sesuatu tindakan secara mengejut.

2. Berat - Jangan bawa barang yang tidak perlu. Penambahan berat sebanyak 50kg meningkatkan penggunaan minyak sebanyak 2%.

3. Tayar - Tekanan angin mesti betul. Jika tidak, penggunaan minyak akan bertambah sebanyak 5%.

4. Penyelenggaraan - Penalaan enjin yang teruk meningkatkan penggunaan minyak sehingga lebih daripada 50%. Pastikan palam pencucuh, tali kipas, dan penapis udara diperiksa secara berkala.

5. Kelajuan - Lebih laju anda memandu, lebih banyak minyak digunakan. Memandu melebihi 90km/j meningkatkan dengan ketaranya penggunaan minyak. Secara perbandingan, pada kelajuan 100km/j, penggunaan minyak bertambah 10%, 105km/j ( 15%), 110km/j ( 25%).

6. Penggunaan Enjin - Matikan enjin jika kereta tidak bergerak ketika sekadar menungu seseorang.

7. Penggunaan Gear - Pilih gear yang sesuai dengan kelajuan. Menggunakan gear rendah untuk kelajuan tinggi akan menyebabkan pembaziran minyak kerana enjin menjadi lebih pantas.

8. Brek - Jangan melakukan brek mengejut.

9. Perancangan - Rancang perjalanan dengan baik untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

10. Minimum - Kurangkan perjalanan jarak dekat kerana ini boleh meningkatkan penggunaan minyak sebanyak 40%.

Segalanya bermula daripada anda. Hanya anda yang mampu mengubahnya. Selamat mencuba!!

Khusyuk Dalam Solat


Khusyuk dalam solat merupakan suatu anugerah yang dikurniakan kepada insan-insan yang telah bermujahadah untuk mendapatkannya. Mungkin agak sukar, tetapi jika menggunakan kaedah yang betul, pasti seseorang itu dapat menikmati betapa manisnya khusyuk dalam solat.

Tiga elemen yang boleh membantu untuk dikurniakan khusyuk dalam solat:

1. Faham (Tafahhum)

Apa yang disebut dan dilafazkan dalam solat haruslah difahami. Ia membantu kita untuk lebih fokus dalam solat. Jika tidak mampu untuk memahami lafaz-lafaz 'Arab, mengingati hari Akhirat juga boleh membantu kita untuk fokus dalam solat, seterusnya membantu untuk khusyuk dalam solat.

2. Merasakan kebesaran ALLAH S.W.T.

Ketika solat, kita haruslah merasakan kebesaran Allah S.W.T. sebagai Tuhan yang Maha Berkuasa ke atas segalanya. Jika kita mampu untuk berdiri tegak, diam dan menumpukan perhatian ketika berdepan dengan orang-orang kenamaan dan raja, tetapi mengapa kita tidak mampu melakukannya ketika berdepan Raja Sekalian Raja?

Nabi Muhammad S.A.W. akan berubah tingkahlakunya sehingga sahabat-sahabat hampir tidak mengenalinya apabila masuknya waktu solat. Saidina Ali Bin Abi Thalib R.A. akan berubah pucat wajahnya apabila azan berkumandang. Mereka merasakan kebesaran Allah S.W.T. apabila ingin bertemuNYA di dalam solat. Perasaan gerun ini telah menghasilkan khusyuk dalam solat bagi sahabat-sahabat generasi awal (Assabiqunal Awwalun).

3. Pengharapan (Raja')

Apabila menunaikan solat, kita haruslah meletakkan sepenuhnya pengharapan kepada Allah S.W.T. bahawa solat tersebut akan diterima dan kita akan dikurniakan nikmat syurga kelak. Secara tidak lansung perasaan ini membantu kita untuk melaksanakan solat dalam keadaan sebaik mungkin untuk disembahkan di hadapan Allah S.W.T.

Apabila selesai menunaikan solat, seseorang itu seharusnya merasakan dua perkara, iaitu takut (Khauf) dan mengharap (Raja'). Takut solatnya tidak diterima dan mengharapkan solatnya diterima oleh Allah S.W.T.


-2 benda paling awal yang akan ditarik daripada umat terkemudian ialah: "Ilmu Faraid dan Khusyuk dalam Solat"

-Tips untuk mengelakkan gatal/ menggaru dalam solat: jangan menggaru tika mula2 terasa, kerana apabila kita menggaru pada mulanya, rasa gatal akan berpindah ke tempat lain. Biarkan rasa gatal tu buat sementara waktu. InsyAllah ia akan hilang. Selamat mencuba!!


* Catatan daripada kuliah maghrib yang telah disampaikan oleh Ustaz Ismail Kamus di Surau Al-Islah, Seksyen 7 Shah Alam pada 20 / 11 / 2008.


-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-

Sabtu, 15 November 2008

Salah Menduga


Apa itu yang mereka cemburu?
Kerusi empuk buruk yang aku duduk?
Atau kerna aku tidak sanggup mengganguk?
Mendengar kata mereka terus tunduk?

Atau mereka tidak selesa bila aku berbicara? Atau mereka sangka suaraku lebih berkuasa?
Atau mereka rasa aku raja massa?
Atau mereka jangka aku akan ke takhta?
Atau mereka sangka aku dah kaya?
Mereka itu rupanya lupa,
Atau tidak pernah bertanya?
Sofa rumahku telah lama buruk,
Tetamu pun tidak selesa duduk,
Hidanganku rakyat kebanyakan,
Kadang-kala aku makan tepi jalan..
Kesusahan, lama telah ku rasa,
Kemewahan, masih jauh untuk ku bermesra..

Hendak mengampu?
Maaf, aku tidak mempunyai kemampuan itu,
Disuruh diam..Tuhanku pula melarang..
Bicaraku pula..Tiada yang menaja..
Hanya Allah dan RasulNya..
Maka bahasaku tidak pernah mengenal siapa,
Semua makhluk adalah sama..

Kaya? Aku memang kaya,
Rumahku dipenuhi harta,
Tersusun bertimbun, bertambun rimbun,
Indah di rak, itulah perhiasan Kitab dan bahan rujukan,
Merekalah kekuatan, merekalah teman..

Akaun simpanan, silalah semakkan,
Mungkin cukup untuk makan sebulan..
Atau untuk satu perjalanan ilmuwan..

Keluargaku tiada emas berutas
Hartaku pusat pengorbanan
Dan rakan seperjuangan..

Jika mereka ingin berbicara 'sakan'
Apakah mereka duga
Aku dapat ditakutkan?

-Dr Mohd Asri Zainul Abidin-

Thank You Allah!!!




Today before you say an unkind word -
Think of someone who can't speak.

Before you complain about the taste of your food -
Think of someone who has nothing to eat.


Before you complain about your husband or wife -
Think of someone who's crying out to GOD for a companion.


Today before you complain about life -
Think of someone who went too early to heaven.

Before you complain about your children -
Think of someone who desires children but they're barren.

Before you argue about your dirty house someone didn't clean or sweep -
Think of the people who are living in the streets.

Before whining about the distance you drive -
Think of someone who walks the same distance with their feet.

And when you are tired and complain about your job -
Think of the unemployed, the disabled, and those who wish they had your job.

But before you think of pointing the finger or condemning another -
Remember that not one of us is without sin and we all answer to one MAKER.

And when depressing thoughts seem to get you down -
Put a smile on your face and thank GOD (Allah), you're alive and still around.

Thank You ALLAH!!