Selasa, 2 Disember 2008

Panduan & Batasan Syariat dalam Membenarkan Hiburan Nyayian



Di sini, kami tidak lupa untuk menambah beberapa panduan dan batasan yang perlu diambil kira sehingga nyanyian kekal dalam hukum halal. Antaranya:

1-Lirik lagu hendaklah bebas dari segala penyelewengan syariat
Kami tegaskan di sini bahawa bukan semua nyanyian hukumnya harus. Nyanyian yang harus hendaklah mempunyai tema yang bertepatan dengan ajaran Islam, tidak bercanggah dengan aqidah, syariat mahupun akhlak Islam.

Contohnya, lagu yang mengandungi perkara haram ialah nyanyian yang bertajuk: Dunia hanyalah antara rokok dan gelas (arak). Semua ini berlawanan dengan ajaran Islam yang telah melabelkan arak sebagai najis dan amalan syaitan. Islam melaknati peminum arak, pemerahnya (pengilangnya), penjualnya, pembawanya dan semua pihak yang memberikan saham kepadanya. Rokok pula membahayakan badan, jiwa dan harta. Ia juga termasuk dalam perkara buruk yang diharamkan.

Antaranya juga, lagu-lagu yang memuji-muji pemerintah yang zalim, taghut (melampaui batas) dan fasik yang sedang berleluasa dalam umat kita sekarang. Lagu-lagu sebegini juga bertentangan dengan ajaran Islam. Islam melaknat golongan zalim dan setiap pihak yang membantu bahkan siapa sahaja yang mendiamkan diri dengan kezaliman. Bagaimana pula dengan orang yang memuja dan mengagungkan mereka? Sudah tentu lebih jelas pengharamannya.

Lagu-lagu yang memuji lelaki atau perempuan yang bermata galak atau ghairah adalah juga bercanggah dengan adab-adab Islam yang menyeru:
"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)" (An-Nur: 30).

Dan juga firman-Nya:
 
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)" (An-Nur: 31)
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: 
يَا عَلِيُّ! لاَ تُتْبِعْ النَّظْرَةَ النَّظْرَةَ فَإِنَّ لَكَ اْلأُولَى وَلَيْسَتْ لَكَ اْلآخِرَةُ
"Wahai Ali, janganlah kamu ulang pandang selepas pandangan yang pertama, kerana pandangan pertama adalah untukmu tetapi pandangan kedua bukan untukmu (bahkan dosa ke atasmu)".

2-Persembahan Yang Tidak Melampau Dan Menggoda
Gaya persembahan juga mempunyai kesan dan kepentingannya. Terdapat lagu yang mana liriknya tidak bermasalah namun cara ia dipersembahkan oleh penyanyi lelaki atau wanita telah mengeluarkannya dari zon halal kepada zon haram, syubhat ataupun makruh. Mereka sengaja memanja-manjakan vokal mereka dan menghairahkan lengguk badan semata-mata untuk membangkitkan syahwat yang dibendung dan menggoda jiwa yang lemah..

Jenis nyanyian sebeginilah yang menjadi fenomena masakini, diminati bahkan digilai oleh para penonton dan pendengar dari siaran tv ataupun radio arab (dan mana-mana radio/TV di seluruh dunia).

Hampir semua nyanyian bertumpu kepada aspek tarikan seksual dan segala apa yang berkaitan dengan cinta dan asmara. 
Ia hanya bertujuan untuk menaikkan keghairahan dan gelora jiwa khususnya di kalangan muda mudi.

Naluri seksual ini adalah perkara yang amat dominan sehingga ada pakar psikologi yang menafsirkan seluruh tabiat manusia dengannya. Naluri seksual sebegini sepatutnya dimartabatkan dan dimuliakan (dengan adab Islam) bukan dibangkit dan dinyalakan dengan perkara-perkara yang menghairahkan.

Al-Quranul Karim memberi arahan kepada isteri-isteri Rasululah dengan ayat:
"Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu)" (Al-Ahzaab: 32).

Bagaimana jika memanjakan dan menghairahkan suara dengan iringan irama, melodi, tarian? (Tentunya adalah lebih diharamkan).

3. Nyanyian tidak bercampur dengan perkara yang haram.
Nyanyian tidak bercampur dengan perkara yang diharamkan seperti minum arak, menagih dadah, muzik yang menghairahkan seperti yang mengiringi lagu-lagu barat masa kini, antaranya yang berkonsep budaya hippies (hip-hop) dan seumpamanya.

Begitu juga muzik yang mengiringi nyanyian yang diharamkan yang mana dengan menyanyikan lagu tersebut akan menyebut secara langsung perkara haram tersebut.

Contohnya lagu yang menyebut perkataan lucah, berhias dan pergaulan bebas lelaki dan wanita tanpa ikatan dan had.

Inilah yang biasa berlaku dalam konsert dan majlis-majlis nyanyian semenjak dahulu lagi, sehingga apabila disebut sahaja majlis nyanyi-nyanyian, gambaran yang datang secara langsung di dalam minda ialah: Arak , dayang-dayang dan perempuan.

Situasi sebeginilah yang dimaksudkan oleh hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan lain-lain:
لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِي الْخَمْرَ يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا يُعْزَفُ عَلَى رُءُوسِهِمْ بِالْمَعَازِفِ وَالْمُغَنِّيَاتِ يَخْسِفُ اللهُ بِهِمْ اْلأَرْضَ وَيَجْعَلُ مِنْهُمْ الْقِرَدَةَ وَالْخَنَازِيرَ


"Umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan nama yang lain. Mereka dialunkan oleh muzik dan penyanyi-penyanyi. Allah akan membinasakan mereka dan menjadikan sebahagian mereka beruk-beruk dan babi-babi."
Ingin saya menarik perhatian di sini bahawa: Pada zaman dahulu, untuk mendengar nyanyian, seseorang perlu pergi ke majlis-majlis nyanyian dan bercampur gaul dengan golongan artis dan pembantu-pembantu mereka. Jarang terdapat majlis sebegitu yang bebas dari perkara-perkara yang diingkari syariat dan agama.

Namun pada zaman ini, keadaannya sudah berbeza. Seseorang boleh mendengar lagu dalam keadaan berjauhan dari khalayak dan majlis tersebut. Tidak syak lagi bahawa ini adalah satu elemen yang boleh meringankan hukum dalam isu ini. Ia boleh menyebabkan hukum nyanyian lebih kepada zon diizinkan dan dipermudahkan, jika bebas dari segala kemungkaran.

4-Tidak Berlebih-lebih Dalam Mendengar Nyanyian
Seperti perkara-perkara harus yang lain, nyanyian hendaklah dihadkan agar tidak berlebihan. Allah s.w.t. telah berfirman:
Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. (Al-Aa’raf: 31)


Dalam satu hadis, Rasulullah bersabda:
كُلُوا وَاشْرَبُوا وَالْبَسُوا وَتَصَدَّقُوا فِي غَيْرِ إِسْرَافٍ وَلاَ مَخِيلَةٍ
"Makanlah, minumlah, bersedakah dan berpakaianlah tanpa berlebihan dan sombong"
Di sini, Rasulullah mengikat keharusan melakukan perkara yang halal dengan dua jenis ikatan:
Pertama: Ikatan zahir iaitu aspek kuantiti: Menjauh sikap berlebih-lebih dan membazir.

Kedua:
Ikatan dari segi kualiti: Jauh dari kesombongan, meninggi diri dan berbangga ke atas orang lain. Allah tidak menyukai orang yang sombong dan bermegah-megah.

Mengelakkan pembaziran adalah dituntut dalam segala perkara harus. Tuntutannya lebih kuat dalam hal hiburan, terutamanya bidang nyanyian yang diiringi muzik ataupun tidak, khasnya lagu-lagu sentimental yang hanya menbicarakan berkenaan cinta dan kerinduan.

Alangkah benar dan mendalamnya maksud kata-kata Ibnu Muqaffa’:
Aku tidak melihat berlakunya satu pembaziran melainkan ada suatu hak yang telah diabaikan”.

Dalam hadis riwayat Ibnu Hibban dan kitab Suhuf Nabi Ibrahim ada menyebut:

“Seorang yang waras perlu menumpukan perhatiannya kepada tiga perkara: Mencari kehidupan duniawi, mencari bekalan untuk hari akhirat atau keseronokan yang tidak diharamkan.”

5. Berkaitan Dengan Pendengar
Para pendengar adalah orang yang lebih faham keadaan dirinya dan lebih layak menjadi mufti (pemutus) kepada dirinya sendiri.

Setiap orang mengetahui dirinya, arah fikiran dan cetusan hatinya, lebih dari orang lain. Sekiranya nyanyian ataupun jenis-jenis tertentu darinya boleh menyalakan emosinya dan mendedahkannya kepada fitnah dan kejahatan, menyebabkannya berenang di alam fantasi dan memuncakkan nafsu kebinatangannya melebihi sudut spiritual, ketika itu dia perlu meninggalkannya.

Dia perlu menutup pintu yang mungkin didatangi oleh angin fitnah kepada hati, agama dan akhlaknya. Hanya ketika itu sahaja, dia akan terselamat dari fitnah.


Inilah yang digambarkan oleh sebuah hadis nabi:
"الْبِرُّ مَا سَكَنَتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَاطْمَأَنَّ إِلَيْهِ الْقَلْبُ. وَاْلاءثْمُ مَا لَمْ تَسْكُنْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَلَمْ يَطْمَئِنَّ إِلَيْهِ الْقَلْبُ وَإِنْ أَفْتَاكَ الْمُفْتُونَ"


"Kebaikan ialah apa yang ditenterami oleh jiwa dan ditenangi oleh hati sedangkan dosa ialah perkara yang tidak ditenterami oleh jiwa dan tidak ditenangi oleh hati, walau apapun yang telah difatwakan oleh orang-orang yang memberikan keputusan".

Sumber: Disunting daripada kitab Fiqhul Ghina’ wal Musiqi fi Duil Quran was Sunnah.(Feqah Nyayian dan Muzik berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah) Oleh Syeikh Dr Yusuf Abdullah al-Qardhawi.

Tiada ulasan: