Selasa, 29 Oktober 2013

Penawar Sebenar Kepada Kemelut Yang Melanda Negara



Pelbagai musibah melanda Malaysia sejak kebelakangan ini. Pembunuhan, rompakan, rogol, penculikan, gejala sosial, tekanan ekonomi kepada kerajaan serta rakyat jelata dan pelbagai lagi.

Masing-masing mencari penawar atas kemelut ini. Namun, penawar yang dikemukakan sebenarnya bukanlah penawar utama yang mampu mengubati segala jenis penyakit yang melanda negara kita. 

Ia umpama merawat seseorang yang sentiasa cepat lapar dan dahaga dengan memberikan makanan dan minuman yang secukupnya, tetapi punca sebenarnya adalah kerana seseorang itu menghidap penyakit kencing manis. Selagi paras gula tidak dikawal dengan pengawalan diet yang seimbang, berat badan yang normal, fizikal aktiviti yang mencukupi dan pengambilan dos ubat yang sepatutnya (jika diperlukan atas nasihat doktor), selagi itu seseorang itu menghadapi masalah yang sama, bahkan boleh menjadi lebih teruk lagi.


Maka, apakah penawar yang sebenarnya diperlukan oleh kita?

Hanya satu penawar untuk kita semua. Kembalilah kepada paksi agama. Agama yang memberi rahmat ke sekalian alam, baik kepada penganutnya, bukan penganutnya hatta kepada binatang dan tumbuh-tumbuhan.

Letakkanlah orang yang sepatutnya di kerusi pemimpin, laksanakanlah syariat Islam secara menyeluruh, praktik dan terapkan ajaran agama secara menyeluruh, tidak kira muda atau tua, kaya atau miskin; ini semua adalah penawar sebenar yang diperlukan oleh kita semua.

Apabila orang yang zalim diangkat sebagai pemimpin, syariat Islam di pandang sepi dan pengamalan agama dianggap asing, maka bersedialah dengan pelbagai musibah yang lebih dasyat lagi selepas ini. 



"Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa sebabkan apa yang mereka telah usahakan" (Surah al-A'raf: 96)

Allahul Musta'an.

Isnin, 16 September 2013

Ayat al- Qur'an yang Telah Membuatkan Rasulullah Menitiskan Air Mata



Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam (s.a.w.) pernah meminta sahabat Baginda, Abdullah bin Mas'ud radhiallahu 'anhu (r.a.) membacakan Baginda ayat-ayat al-Qur'an. Lantas, Abdullah bin Mas'ud r.a. bertanya kepada Rasulullah s.a.w., "Ya Rasulullah, akukah yang akan membacakan kepada engkau, padahal ia (al-Qur'an) diturunkan kepada engkau?"


Rasulullah s.a.w. berkata: "Benar, tapi aku ingin mendengarkannya dibacakan oleh orang lain." Maka Abdullah bin Mas'ud r.a. pun membacakan ayat al-Qur'an bermula daripada permulaan surah an-Nisa' sehinggalah ayat ke 41:

فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِن كُلِّ أمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَى هَـؤُلاء شَهِيدًا

"Maka bagaimanakah (halnya orang kafir nanti), apabila Kami mendatangkan seseorang saksi (rasul) dari tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (sebagai umatmu)".

Baginda bersabda kepada Abdullah bin Mas'ud r.a. : "Cukuplah sehingga ayat ini.." dan air mata Baginda bercucuran keluar.

(Kisah ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Bercucuran air mata Baginda memikirkan nasib umatnya kelak, bagaimana pula dengan kita sebagai umatnya? Pernahkah kita menitiskan air mata kerana Baginda?

Adakah kita pernah berusaha untuk memastikan bahawa kita bukanlah daripada golongan yang menyebabkan Baginda bersedih, bahkan menjadi kebanggaan Baginda kelak?

Adakah kita layak untuk memperoleh syafaat Baginda di akhirat kelak?

Rabu, 21 Ogos 2013

Krisis di Mesir: Putaran Sejarah yang Berulang


Apa yang berlaku di Mesir pada hari ini sebenarnya adalah skrip ulangan kepada senario yang pernah berlaku di Mesir suatu ketika dahulu terutamanya pada zaman pasca penggulingan sistem beraja - rampasan pihak tentera - pengkhianatan pihak tentera terhadap Ikhwanul Muslimin - penangkapan pimpinan Ikhwan serta penghapusan segala gerakan dan anasir Ikhwan.

Jika dulu kita hanya membaca kisah kezaliman ini dalam buku-buku yang dilumati dan mendengarnya daripada mulut para asatizah, namun kini ia benar-benar berlaku.

Jika dulu wataknya adalah Jamal Abdul Naser dan Anwar Sadat, watak yang sama kini dimainkan oleh Abdul Fatah as-Sisi dan Hosni Mubarak.


Jika dulu wataknya adalah Hassan al-Banna, Abdul Kadir Audah, Zainab al-Ghazali, Hasan Hudhaibi dan Umar al-Timisani, watak yang sama kini mungkin dimainkan oleh Mohammed Morsi dan Muhammad Badi'e. Bahkan, sudah ramai rakyat Mesir turut menjadi watak dalam 'adegan' kali ini. Jumlah mereka mungkin akan terus bertambah selepas ini.

Tidak menghairankan jika kita kurang 'feel' apabila hanya membaca kisah di atas helaian kertas mahupun cerita yang didengari bukan daripada sumber pertama.

Namun, kini Allah takdirkan ia berlaku kembali. Ia berlaku bukan untuk dirasai oleh penduduk Mesir sahaja, bahkan untuk seluruh Umat Islam.

Allah takdirkan juga kemelut berlaku di Syria, Arakan serta tempat peperangan akhir zaman, Palestin, untuk seluruh umat Islam merasai dan menghadapinya bersama. 

Semuanya berlaku di zaman kita. Semestinya untuk kita semua. Sakitnya mereka adalah kesakitan kita. 

Amat malang jika kita lansung tidak merasainya, bahkan memandang sinis terhadap apa yang berlaku kepada umat Islam. Lebih malang jika kita menyumbang dan membantu memberikan kesakitan kepada umat Islam yang lain.

Semoga Allah membantu umat Islam di seluruh dunia dan kita pula tidak pernah 'cuai' dalam memberi bantuan kepada umat Islam yang lain, berdasarkan kemampuan dan ruang yang kita ada.

Khamis, 18 Julai 2013

Guru Tahfiz Diperlukan


Assalamu'alaikum. 

*Guru Tahfiz sepenuh masa diperlukan di Maahad Tahfiz Al-Qur'an Al-Islah Desa Pinggiran Putra (MTQI-DPP)

*Tugasan diperlukan bermula 1 September 2013 (menggantikan Ustaz yang akan ke Timur Tengah)

*Makan, minum dan tempat tinggal disediakan

*Tugasan: Guru Tahfiz dan Warden

*Syarat asas yang diperlukan:
-Lelaki
-Boleh memandu kereta
-Mementingkan penjagaan hafazan al-Qur'an para pelajar (hafalan baru & lama)
-Menyayangi dan boleh mendidik kanak-kanak (umur pelajar dalam lingkungan 8 -12 tahun).

*Bonus jika boleh mengajar subjek akademik untuk kanak-kanak sekolah rendah.

*Jika berminat, boleh hubungi: 019-3063370 atau 019-2703370 atau melalui e-mel: azambakti@yahoo.com

*Untuk maklumat tambahan, sila lawati Page MTQI-DPP di facebook: https://www.facebook.com/MtqiDpp

Jumaat, 19 April 2013

Bersugi Menggunakan Tangan Kanan atau Tangan Kiri?




‎عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلى اللهُ عَليْهِ وَسَلَّمَ: لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ صَلَاةٍ

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه , telah berkata: telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم: "Seandainya, tidak memberatkanku ke atas umatku, nescaya aku perintahkan mereka dengan bersiwak ketika setiap kali bersolat". (hadith riwayat Imam Ahmad).

Bersiwak yakni bersugi adalah salah satu sunnah yang ditinggalkan oleh Nabi  صلى الله عليه وآله وسلم kepada umat akhir zaman.

Ulama' berselisih pendapat tentang cara untuk bersugi, adakah menggunakan tangan kanan ataupun tangan kiri.

Hujah para ulama yang berpendapat  bahawa bersugi menggunakan tangan kanan adalah kerana bersugi itu adalah salah satu ibadah dan sunnah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Tangan kanan mesti diutamakan daripada tangan kiri.

Manakala pendapat sebahagian daripada para ulama' yang lain adalah menggunakan tangan kiri ketika bersugi, berhujahkan bersugi ini adalah perbuatan yang dilakukan untuk menghilangkan kotoran dan bau pada badan (mulut dan gigi). Tangan kiri mesti diutamakan daripada tangan kanan.






Menurut pendapat Sheikh Saad Bin Turki al-Khathlan hafizahullah, pendapat yang lebih kuat adalah menggunakan tangan kanan apabila bersugi sebelum melakukan apa-apa ibadah (lita'abbudi) dan menggunakan tangan kiri apabila bersugi untuk membersihkan mulut dan gigi (litanzifi).

Allahu'alam.


 (الدورة العلمية الرابعة في المسجد الحرام ,شرح عمدة الفقه لإبن قدامة المقدسي)
(Ad-Daurah Al-'Ilmiah Ar-Rabi'ah fil Masjidil Haram, Syarah 'Umdatul Fiqh Ibn Qudamah) 

Khamis, 18 April 2013

Meraikan Perbezaan dalam Perkara-Perkara Khilafiyyah



Sheikh Dr Umar Saud al-Aidh hafizahullah ketika menerangkan tentang bacaan qunut dan perbezaan pendapat antara ulama'-ulama' muktabar, antaranya perbezaan pendapat Imam Syafie rahimahullah (qunut dibaca dalam solat Subuh secara berterusan) dan pendapat Imam Ahmad Bin Hanbal rahimahullah (qunut dibaca ketika berlaku peristiwa tertentu sahaja), telah menegur sikap sesetengah umat Islam yang sanggup tidak solat Subuh berjemaah di masjid semata-mata kerana imamnya bermazhab Syafi'e dan membaca qunut dalam solat Subuh.

Sedangkan, solat berjemaah dan kesatuan umat Islam adalah lebih utama daripada perkara khilaf yang dibenarkan oleh syara'. Sheikh menegaskan bahawa khilaf tersebut adalah bersumberkan nas hadith yang sahih & tiada masalah untuk bersolat di belakang imam yang berlainan mazhab.

Tambah beliau lagi, Ibnu Taimiyyah rahimahullah pernah menyebut/menulis tentang permasalahan anggota yang perlu turun dahulu daripada kedudukan berdiri dalam solat kepada kedudukan sujud, sama ada turun lutut dahulu ataupun kedua tangan dahulu. Ibnu Taimiyyah rahimahullah menegaskan bahawa kedua-duanya adalah sunnah kerana bersumberkan dalil yang sahih. Tiada masalah.

Perkara yang sepatutnya perlu lebih difokuskan dan diberi perhatian adalah tentang umat Islam yang tidak bangun bersolat Subuh atau bangun mengerjakan solat Subuh ketika matahari sudah kelihatan secara berterusan dan tanpa sebarang alasan.

Sungguh indah jika memahami perbezaan perkara yang boleh diperselisihkan dalam kehidupan ini. Masing-masing mempunyai dalil, beramalah dengan yang paling diyakini.

Sungguh indah jika setiap daripada kita mengerti perkara apakah yang perlu diutamakan dalam kehidupan di akhir zaman ini.


Allahu'alam.


Rabu, 13 Mac 2013

Krisis Lahad Datu yang Penuh Misteri


Angka kematian yang terkorban dalam krisis ini semakin bertambah sehingga ke hari ini, baik di pihak pasukan keselamatan Malaysia mahupun di pihak penceroboh.

Jalan penyelesaian masih lagi tidak kelihatan. Rakyat Malaysia terus berada dalam keadaan tanda tanya. Penduduk Lahad Datu dan sekitarnya terus berada dalam keadaan ketakutan.

Sehingga kini, tiada penjelasan yang terperinci daripada pihak pemerintah dan keselamatan tentang krisis ini. Sebaliknya, rakyat terus dihidangkan dengan adegan tuduh-menuduh siapakah dalang di sebalik krisis ini dalam media arus perdana mahupun media alternatif.

Isu ini adalah isu keselamatan negara. Isu ancaman nyawa kepada rakyat, khususnya di Sabah. Tolak ke tepi dahulu panggung politik yang sering dimainkan terutamanya di media arus perdana.

Kami mahukan maklumat yang tepat dan terperinci tentang isu ini terutamanya daripada mereka yang berautoriti. Bagaikan ada perkara yang disembunyikan.

“ Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya datang kepadamu pemberita yang tidak pasti maka hendaklah kamu meneliti kesahihannya…” (al-Hujurat: 6)

Sehingga kini, kita dihidangkan dengan pelbagai berita dan cerita tentang krisis ini. Nilailah dengan iman seperti yang diperintahkan oleh Ilahi dalam ayat ke-6 surah al-Hujurat. Caranya, nilailah dan telitilah pembawa berita tersebut. Terlalu ramai pembawa berita dusta di zaman fitnah ini.

PESANANKU

1. Pesananku kepada pihak pemerintah; hadapi isu ini sebaiknya. Jangan dipolitikkan kerana ia bukan satu isu yang kecil. Ia membabitkan keselamatan negara dan nyawa yang tergadai. Berilah penerangan yang jelas kepada rakyat tentang isu ini melalui ruang-ruang yang ada.

2. Pesananku kepada parti politik yang memerintah dan pembangkang (pemimpin, pendokong dan penyokong); berhentilah memainkan isu ini terutamanya tuduh-menuduh antara satu sama lain. Jika perlu duduk semeja menghadapi isu ini, duduklah dan berbincanglah. Kebenaran akan terbongkar jua akhirnya jika benar ada konspirasi di sebalik apa yang berlaku. Percayalah.

3. Pesananku kepada pihak media; berhentilah meniupkan api perbalahan sesama kita. Berhentilah menabur fitnah. Siarkan dan sebarkan berita yang tepat, telus dan adil. Setiap apa yang disebarkan, ada saham akhirat yang menanti, sama ada saham yang menguntungkan atau saham yang merugikan.

4. Pesananku kepada pihak keselamatan; teruskan berjuang dengan ikhlas untuk mempertahankan negara daripada ancaman dan gangguan luar. Sesungguhnya setiap amalan yang ikhlas dan menepati syara', pasti ada ganjaran yang menanti.

5. Pesananku kepada keluarga anggota keselamatan yang telah terkorban; bersabarlah dan redhailah pemergian wira-wira negara. Kematian adalah suatu perkara yang pasti dan cara kematian ketika mempertahankan negara adalah salah satu cara kematian yang mulia.

6. Pesananku kepada seluruh rakyat Malaysia; berhentilah dari menyebarkan berita yang palsu dan tidak pasti. Berhentilah dari menabur fitnah. Carilah sumber maklumat yang tepat. Teliti dan selidikilah sumber dan pembawa berita tersebut.  Jangan pernah berhenti berdoa untuk keselamatan dan kebaikan negara, khususnya negeri Sabah dan anggota keselamatan negara yang berkhidmat di sana. Jangan pernah berhenti menyokong anggota keselamatan yang berjuang di sana.

Saya percaya krisis di Lahad Datu ini akan membongkarkan 'sesuatu' yang akan diketahui kelak. Mungkin ini adalah cara Allah membongkarkan makar jahat manusia di dunia, sebelum dinampakkan di akhirat kelak. 

Allah Maha Adil lagi Maha Mengetahui. Mereka menyangka merekalah yang paling bijak, tetapi mereka lupa tentang kewujudan Yang Maha Bijaksana.

Allahu'alam.

Isnin, 7 Januari 2013

Listen to Holy Quran Continuously Without the Troubles of Downloading



Listen to Holy Quran continuously without the troubles of downloading - " Radio Quran " on your computer with the voices of your favorite reciters.


STEPS:

1) Go to Desktop

2) Right click and select New

3) Select Shortcut

4) A rectangular window will appear to you , please paste one of these links in it:



a) Public Radio - Broadcast to different reciters - mms://50.22.223.13/radio

b) Sheikh Maher Al-Muaeqly - mms://50.22.223.13/maher

c) Sheikh Ahmed Al-Ajmi - mms://50.22.223.13/ajm

d) Sheikh Saud Shuraim - mms://50.22.223.13/shur

e) Sheikh Abdul Basit Abdul Samad - mms://50.22.223.13/basit

f) Sheikh Abdul Rahman Sudais - mms://50.22.223.13/sds

g) Sheikh Saad Al-Ghamidi - mms://50.22.223.13/s_gmd


h) Sheikh Mohammed Siddiq Al-Minshawi - mms://50.22.223.13/minsh

i) Sheikh Abdul Basit Abdul Samad (Mujawwad) - mms://50.22.223.13/basit_mjwd

j) Sheikh Rashid Mashary Al-Afaasy - mms://50.22.223.13/afs


k) Sheikh Khalid Al-Qahtani - mms://50.22.223.13/qht

l) Sheikh Fares Abbad - mms://50.22.223.13/frs_a

m) Sheikh Idris Abkar - mms://50.22.223.13/abkr


n) Sheikh Abu Bakr Ashatery - mms://50.22.223.13/shatri

o) Sheikh Yasser Al-Dosari - mms://50.22.223.13/yasser



5) The Final step
* select next
* write the name of the channel like the name of the reciter
* select finish

6) Finally you will find on your desktop an icon like media player or real player , click on it "double click" and wait for few seconds and then the radio will start with you


Source: https://www.facebook.com/suka2like



Sabtu, 5 Januari 2013

Kaedah Menguruskan Organisasi Berdasarkan Kisah Nabi Sulaiman 'Alaihissalam dan Burung Hud-Hud

"Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat burung belatuk (hud-hud)? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir?" (an-Naml: 20)


 "Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir)" (an-Naml: 21)


Dua ayat dalam surah an-Naml di atas menceritakan tentang kisah Nabi Sulaiman ‘alaihissalam dengan salah seekor tenteranya, iaitu burung belatuk (hud-hud). Dua ayat yang sangat ringkas jika dibaca, namun sebenarnya, banyak pengajaran dalam dua ayat ini khususnya berkenaan disiplin dalam berorganisasi.

Pemimpin harus peka tentang keadaan orang dibawahnya. Pemimpin harus tahu dan mengambil tahu tentang keadaan anak buahnya yang tidak dapat hadir ke sesuatu program, pertemuan atau mesyuarat.

Pemimpin harus mengambil berat tentang keadaan semua orang dibawahnya walaupun ia mungkin insan biasa yang tidak menonjol dalam organisasi. Tidak boleh double-standard dalam memberikan perhatian.


Salah satu cara untuk membantu para pemimpin mengetahui tentang kehadiran orang bawahannya seterusnya mengetahui keadaan mereka adalah dengan mengambil kehadiran mereka dalam program, mesyuarat dan lain-lain aktiviti, atau bertanya kepada sahabat-sahabat lain jika mereka tidak dapat hadir. Sangat mudah namun sangat memberi kesan kepada hubungan pemimpin-orang bawahan (qiadi-jundi) dan kelansungan sesuatu organisasi itu.

    
       Dalam organisasi, sistem hukuman ataupun ‘iqab haruslah wujud dan berfungsi jika ada di kalangan ahli organisasi, baik orang bawahan mahupun pemimpin yang melanggar peraturan organisasi. Namun, kelonggaran dan rasional manusiawi haruslah ada jika alasan dan sebab yang kukuh dikemukakan atas kesalahan tersebut. Pemimpin  juga harus bertindak tegas ke atas kesalahan yang dilakukan tanpa sebarang sikap pilih kasih.

   
  Antara adab yang penting dalam berorganisasi adalah adab memaklumkan sebarang ketidakhadiran ke sesuatu program atau aktiviti kepada orang yang sepatutnya seperti pemimpin, pengarah program ataupun pengerusi majlis. Adalah lebih baik memaklumkannya lebih awal, jika tidak mampu, hendaklah dimaklumkan selepasnya.
  
     Indahnya hidup berorganisasi. Saling melengkapi dan dilengkapi. Tiada jundi tanpa qiadi, tiada qiadi tanpa jundi. Semoga dua ayat yang pendek ini memberi ibrah kepada kita dalam menguruskan kehidupan seharian. Allahu’alam.

Ahad, 16 Disember 2012

Jawatan Kosong Guru Sekolah Tahfiz (Lelaki)

-Pelajar-Pelajar Maahad Tahfiz al-Islah, Desa Pinggiran Putra-


Assalamu'alaikum..

Seorang ustaz tahfiz diperlukan segera untuk mengajar tahfiz al-Qur'an sepenuh masa di sekolah tahfiz persendirian yang didaftarkan bawah JAIS di Desa Pinggiran Putra, Pinggir Putrajaya.. 

Jika ada yang berminat atau ada mengenali sesiapa yang berminat, boleh hubungi:
Dr Hj Al-Azmi (019-2703370/azambakti@yahoo.com). 

Syukran.