Sabtu, 26 Januari 2008

Penyakit yang Menyerang Masyarakat Kampus


“Dan siapakah yang lebih baik perkataanya daripada mereka yang menyeru manusia ke jalan Allah serta beramal soleh seraya berkata, aku dari kalangan orang-orang Muslim” (Surah Fussilat :33)

Usia remaja merupakan suatu tempoh masa yang amat mencabar. Ramai yang tergelincir daripada landasan sebenar akibat terpedaya oleh usia remaja yang kelihatannya amat indah. Bagi yang berjaya melepasi peringkat usia yang mencabar ini, mereka akan melangkah ke alam baru iaitu alam kampus. Di sinilah setiap remaja yang berjaya melepasi halangan tersebut akan membina impian tersendiri untuk mengusai bidang-bidang masing.

Dan berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat untuk orang-orang Mukmin” (Az-Dzariyaat: 55)

Merujuk kepada tajuk di atas, penulis bukanlah orang yang paling layak untuk memberi peringatan apatah lagi kritikan. Tulisan bukanlah untuk ditujukan kepada individu-individu tertentu ataupun mana-mana organisasi. Tulisan ini hanya untuk membuka minda khususnya mahasiswa untuk terus berfikir dan mengkaji baik buruknya fenomena yang kian ‘menjadi’ di kalangan mahasiswa.

Tidak dinafikan alam kampus merupakan alam yang amat berbeza berbanding dengan alam persekolahan. Di kampus, anda akan bercampur dengan rakan-rakan yang datangnya dari pelbagai latar belakang, loghat dan adat. Satu yang pasti, semuanya adalah insan-insan yang menjadi harapan untuk menerajui negara sedikit masa nanti. Oleh itu, alam kampus merupakan medan terbaik untuk mengasah bakat terpendam yang bakal di‘letus’kan kelak. Salah satu alat peledak yang terbaik adalah dengan berpersatuan. Berpersatuan amat penting bagi mahasiswa yang bakal menghadapi pelbagai cabaran di masa hadapan. Salah satu kebaikan yang sudah sekian maklum apabila aktif berpersatuan ialah ia boleh melatih seseorang itu untuk menguruskan organisasi. Skil dalam menguruskan organisasi amat penting sebagai persediaan untuk menguruskan pelbagai organisasi dalam sektor awam atau swasta apabila seseorang itu terjun ke dalam masyrakat kelak.

Selain itu, berpersatuan juga dapat melatih mahasiswa untuk menjadi seorang yang lebih berdisiplin dari segenap segi termasuk pengurusan masa, cara berkomunikasi dan cara penampilan. Seseorang yang aktif berpersatuan kebiasaanya lebih bijak menguruskan masa berbanding seseorang yang tidak aktif berpersatuan. Mereka lebih banyak belajar dengan sendirinya untuk menyusun jadual hidup seharian berbanding mahasiswa-mahasiswa yang kurang aktif berpersatuan yanag mana banyak menghabiskan masa yang kosong dengan aktiviti-aktiviti yang kurang berfaedah. Berpersatuan juga dapat membantu meningkatkan teknik komunikasi dan bersosial. Dua teknik ini amat penting bagi mahasiswa kerana ia merupakan satu bonus tambahan untuk mendapatkan kerjaya dan meyakinkan bakal majikan untuk mendapatkan kerjaya yang diidam-idamkan di masa hadapan apatah lagi jika mahasiswa tersebut mengambil bidang-bidang yang ‘kritikal’ yang mana memerlukan banyak interaksi dengan masyarakat. Sebenarnya, banyak lagi faedah dan kelebihan yang diperoleh apabila seseorang itu aktif berpersatuan dan rasanya tidak perlu dipanjangkan lagi perbincangan dan penjelasan yang sudah sedia maklum.

Setiap kelebihan pasti ada kekurangan. Tiada yang sempurna dalam hidup ini. Begitulah juga dengan aktiviti yang dinamakan berpersatuan. Berpersatuan tidak selamanya membawa kebaikan. Malah jika disalahgunakan, ia membawa banyak keburukan dan mudarat kepada mahasiswa itu sendiri. Mungkin kita tidak menyedarinya, tetapi sebenarnya mungkin ia telah berlaku dalam diri kita atau masyarakat di sekililing kita.

Terdapat banyak penyakit yang melanda mahasiswa-mahasiswa yang bergiat aktif dalam persatuan. Antara penyakit yang popular adalah penyakit lewat datang ke kuliah. Kita mungkin boleh ber‘husnuzon’ bahawa mereka ini mungkin terlalu sibuk dengan tugasan, tanggungjawab yang berat dan ‘meeting’, tetapi sekadar bertanya, adakah beradab jika kita memasuki kuliah dikala pensyarah sudah memulakan sesi pembelajaran? Jika hendak dibandingkan dengan adab menuntut ilmu golongan yang terdahulu yang mencari guru, memang jauh perbezaannya dengan trend masa kini. Bukan sahaja guru terpaksa menunggu, malah terpaksa memulakan sesi pembelajaran terlebih dahulu kerana terlampau lama menunggu. Lebih memburukkan keadaan, kadang-kadang gejala ini berlaku hampir setiap hari sehingga pensyarah-pensyarah melabelkan mereka sebagai ‘mat lambat’ dan ‘minah lembap’. Sedarlah wahai bakal pemimpin agama dan negara. Sesibuk mana pun, kita tetap ada tanggungjawab yang lebih utama sebagai seorang pelajar dan penuntut ilmu dimana adab menuntut ilmu haruslah ditekankan sebagai wasilah untuk berjaya di kemudian hari. Kita boleh menghebohkan bahawa kitalah orang yang paling sibuk, tetapi kita tidaklah sesibuk pensyarah-pensyarah yang sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungan, malahan sesetengahnya terpaksa memandu seawal jam 6.30 pagi tetapi tetap mampu tiba tepat pada masanya berbanding dengan kita yang hanya dipikulkan dengan sedikit tanggungjawab dan hanya perlu berlenggang untuk ke tempat kuliah, tetapi masih lagi lewat. Malulah wahai saudara-saudaraku!!

Kesinambungan daripada penyakit di atas bagi insan-insan yang aktif berpersatuan ialah sering tidak ‘berkesempatan’ untuk menyiapkan tugasan dan assignment yang diberikan oleh pensyarah. Alasan yang sama diberikan. Terlau sibuk. Jika ada yang lebih ‘kreatif’, assignment rakan menjadi penyelamat terbaik untuk dicopy bagi mengelakkan nama seorang ‘pemimpin’ tercemar akibat daripada tidak menyiapakan tugasan yang diberikan. Akhirnya, ‘pemimpin’ yang mendapat nama sebagai seorang yang bijak menguruskan masa antara masa study dan kerja. Padahal, assignment yang dicopy sepenuhnya itu merupakan hasil titik peluh rakan-rakan yang dianggap pasif dan tidak berkebolehan. Begitulah corak kehidupan seharian sesetengah ‘pemimpin’ yang dianggap berkaliber dimata orang ramai..

Selain itu, ‘orang-orang yang sibuk’ ini selalunya juga terkenal sebagai kaki-kaki skip kuliah. Mungkin alasan mereka ini lebih bermaruah daripada kaki-kaki game dan kaki-kaki tidur yang juga sering tuang kuliah. Dengan sehelai ‘excuse letter’ yang dibangga-banggakan, mereka ini tanpa segan silu untuk tidak menghadirkan diri ke kuliah walhal adakalanya tugasan itu hanya tugasan kecil dan tidak perlu disegerakan. Oleh kerana tugasan ini hadir pada masa yang sama dengan masa kuliah bagi subjek-subjek yang kurang diminati dan tidak dianggap penting, memberikan sehelai ‘excuse letter’ bagaikan menyorongkan bantal kepada orang yang mengantuk. Hasilnya, kebanyakannya ‘pemimpin-pemimpin’ ini telah menerima ‘surat cinta’ daripada pensyarah-pensyarah yang tidak tahan dengan tabiat buruk mereka. Wahai pembela agama, janganlah membaluti perkara yang suci dengan perkara yang jijik. Tidak hadir ke kuliah secara kerap atas alasan kerja bukanlah suatu budaya yang harus dicontohi. Malah, ia boleh mendatangkan fitnah kepada individu dan persatuan tersebut.

“ Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan..” (Surah Huud: 114)
Hasil daripada penyakit-penyakit yang disebutkan sebelum ini menyebabkan terhasilnya satu natijah baru yang memberi impak yang lebih besar kepada kehidupan dan masa hadapan mahasiswa. Aktif dalam berpesatuan tanpa langkah yang betul boleh menyebabkan penurunan prestasi belajar. Malah, tidak mengejutkan dan sering berlaku kepada ‘pemimpin-pemimpin’ yang begitu disegani dalam organisasi ditendang keluar daripada universiti. Sesetengahnya mungkin agak bernasib baik kerana hanya dihukum dengan hukuman yang agak ringan iaitu repeat paper. Penyakit ini amat berbahaya kerana pemimpin yang diharap untuk membela agama, negara dan bangsa serta menjadi contoh teladan untuk generasi seterusnya telah terkandas di tengah medan pertempuran akibat daripada salah percaturan. Akibatnya, generasi akan datang akan mengambil contoh-contoh ikutan yang kurang baik sebagai idola mereka akibat daripada ketandusan pemimpin yang berkaliber dalam oranisasi dan akademik.

Kita sering mendengar ceramah-ceramah dan motivasi-motivasi yang mengatakan bahawa menyibukkan diri dengan aktiviti berpersatuan ini dapat mengelakkan penyakit hati yang sering menyerang para remaja. Sebenarnya, berpersatuan juga boleh menyebabkan penyakit hati. Kenapa penulis mengatakan begitu? Penyakit hati merupakan penyakit yang sangat halus yang tidak bisa dilihat oleh mata kasar tetapi panahannya sungguh berbisa. Dimulakan dengan meeting pertama sebagai medan untuk saling berkenalan dan dilanjutkan lagi dengan permainan mata di meeting seterusnya. Apabila bidang kerja masing-masing telah diberikan, mesej-mesej kerja mewarnai dan menghalalkan perhubungan melalui ‘sms’. Perhubungan ini berlanjutan walaupun program yang menemukan mereka sudah lama selesai hingga melahirkan bibit-bibit kasih seterusnya menyebabkan ‘cinta murahan’ mula bersemi. Ini mungkin hanyalah contoh khayalan penulis. Ia mungkin pernah terjadi, mungkin juga tidak pernah terjadi. Mungkin juga terdapat peristiwa-peristiwa lain yang lebih advance dan romantis bagi mereka yang aktif berpersatuan. Maka, akhirnya terhasillah sebuah ikatan ‘kasih sayang’ atas nama ukhuwwah fillah yang dianggap lebih ‘islamik’ dan menurut syarak.

Daripada Abdullah Bin Umar R.A, bahawasanya Rasullulah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya Allah memaafkan bagiku dari umatku akan kesilapan dan kelupaan dan apa yang dipaksakan mereka atasnya”
(Hadith Hasan, diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan Ibn Majah, dipetik daripada kitab Hadith 40, syarahan Imam Nawawi)

“Hai Tuhan kami! Janganlah Engkau siksa kami jika kami lupa atau kami tersalah” (Surah Al-Baqarah: 286)

Wahai saudara-saudara yang seaqidah denganku, sesungguhnya sesuatu perkara itu boleh berubah hukumnya mengikut keadaan. Aktiviti berpersatuan pada dasarnya adalah suatu yang harus kepada mahasiswa tetapi ia boleh berubah kepada wajib, makruh atau haram. Diharapkan mahasiswa-mahasiswa yang bijak pandai dapat membezakan mengikut awlawiyyat sesuatu perkara tersebut seperti yang telah digariskan oleh Sheikh Yusuf Abdulah Al-Qaradhawi dalam kitab karangan beliau, Fiqh Awlawiyyat. Semoga tulisan ini memberi sedikit manfaat kepada kita yang sering terleka. Jika ia tidak berlaku kepada diri kita, mungkin ada rakan-rakan lain yang memerlukan kesedaran daripada kita. Marilah kita mengorak langkah ke arah pembaikan diri dan diri rakan-rakan.

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji)…” (Surah Ali ‘Imran:110)

Berfikir Dahulu Sebelum Memulakan Langkah


Jodoh pertemuan di tangan Tuhan, hanya belum sampai masanya.

Ia bagai menanti jambatan untuk ke seberang. Kalau panjang jambatannya jauhlah perjalanan kita. Ada orang yang jodohnya cepat sebab jambatannya singkat. Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum apa-apa kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan dan berbakti kepada masyarakat ataupun sibuk berada di atas medan dakwah.

Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda itu dalam doa-doa lewat sembahyang. Allah Maha Mendengar. Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. itu janji tuhan yang telah termaktub di dalam surah An-Nuur. Biar lambat bertemu jodoh asalkan mendapat Mr Right dan biar seorang diri daripada menjadi mangsa lelaki atau wanita yang tidak beriman kemudian nanti.

Kita mudah tersilap menafsir kehidupan ini. Kita selalu menyangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini dan ini. Hakikatnya, apabila kita benar-benar memperoleh apa yang kita inginkan itu, ia juga datang bersama masalah.

Kita selalu melihat orang yang memandu kereta mewah dan terdetiklah di hati kita, bahagianya orang itu. Hakikatnya apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah kita ditimpa pelbagai kerenah.

Tidak mustahil pula org yang memandu kereta mewah (walaupun sebenarnya tak mewah) terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan. Orang lain membeli dengan harga biasa, dia terpaksa membayar berlipat ganda.

Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh di hadapan. Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang sebuah motosikal seperti itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal mungkin sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta ditengah-tengah bandar raya.

Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda, pasti ada baik buruknya. Demikian juga perkahwinan.

Ia baik sebab ia dibenarkan oleh agama, sunnah Nabi, sebagai saluran yang betul untuk melepaskan syahwat disamping membina sahsiah dan sebagainya, tapi ia juga boleh menjadi suatuyang buruk. Buktinya, ramai orang yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus. Ramai orang menempah neraka sebaik sahaja melangkahkan kaki ke alam berumahtangga.

Bukankah dengan Ijab dan Kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut datang bersama? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka? Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan masing-masing padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan segala impian menjadi nyata.

Jika tidak sanggup untuk bergelar isteri atau suami, tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk bergelar ibu ataupun ayah, belajarlah dulu. Jika rasa-rasa belum bersedia untuk bersabar dengan kerenah pasangan dan anak-anak, carilah dulu kesabaran itu. Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi telah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti tuntutan-tuntutannya. Berkahwin itu menjanjikan pahala yang tidak putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman, mencintai Tuhan dan menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan - bagi yang mengetahui rahsia2nya.

Berkahwinlah anda demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan berkahwin kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong2nya agar jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang.

Kadang2 Allah sembunyikan matahari. Dia datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya, ke mana hilangnya sinar. Rupa-rupanya, Allah nak hadiahkan kita pelangi yang lebih berseri.

Berfikirlah dulu sebelum mengorak langkah. Apabila anda sudah yakin dengan langkahan yang dibuat, teruskan melangkah..Usah berlengah.

Kisah Pendayung Sampan & Professor


Pada suatu hari, seorang Professor yang sedang membuat kajian tentang lautan menumpang sebuah sampan. Pendayung sampan itu seorang tua yang begitu pendiam. Professor memang mencari pendayung sampan yang pendiam agar tidak banyak bertanya ketika dia sedang membuat kajian.

Dengan begitu tekun Professor itu membuat kajian. Diambilnya sedikit air laut dengan tabung uji kemudian digoyang-goyang; selepas itu dia menulis sesuatu di dalam buku. Berjam-jam lamanya Professor itu membuat kajian dengan tekun sekali. Pendayung sampan itu mendongak ke langit.Berdasarkan pengalamannya dia berkata di dalam hati, "Hmm..hari nak hujan."

"OK, semua sudah siap, mari kita balik ke darat" kata Professor itu. Pendayung sampan itu akur dan mula memusingkan sampannya ke arah pantai. Hanya dalam perjalanan pulang itu barulah Professor itu menegur pendayung sampan.

"Kamu dah lama kerja mendayung sampan?" Tanya Professor itu. "Hampir semur hidup saya. " Jawab pendayung sampan itu dengan ringkas. "Seumur hidup kamu?" Tanya Professor itu lagi. "Ya". "Jadi kamu tak tahu perkara-perkara lain selain dari mendayung sampan?" tanya Professor itu. Pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepalanya.

Masih tidak berpuas hati, Professor itu bertanya lagi, "Kamu tahu geografi?." Pendayung sampan itu menggelengkan kepala. "Kalau macam ni, kamu dah kehilangan 25 peratus dari usia kamu." Kata Professor itu lagi, "Kamu tahu biologi?" Pendayung sampan itu menggelengkan kepala."Kasihan". Kamu dah kehilangan 50 peratus usia kamu. "Kamu tahu fizik?" Professor itu masih lagi bertanya. Seperti tadi, pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepala. "Kalau begini, kasihan, kamu sudah kehilangan 75 peratus dari usia kamu.

Malang sungguh nasib kamu, semuanya tak tahu. Seluruh usia kamu dihabiskan sebagai pendayung sampan." Kata Professor itu dengan nada mengejek dan angkuh. Pendayung sampan itu hanya berdiam diri.

Selang beberapa minit kemudian, tiba-tiba hujan turun. Tiba-tiba saja datang ombak besar. Sampan itu dilambung ombak besar dan terbalik. Professor dan pendayung sampan terpelanting. Sempat pula pendayung sampan itu bertanya, "Kamu tahu berenang?" Professor itu menggelengkan kepala.

"Kalau macam ini, kamu dah kehilangan 100 peratus nyawa kamu." Kata pendayung sampan itu sambil berenang menuju ke pantai.

Moral cerita:
Dalam hidup ini IQ yang tinggi belum tentu boleh menjamin kebahagiaan kehidupan. Tiada gunanya kita pandai dan tahu banyak perkara jika tidak mengetahui perkara-perkara penting dalam kehidupan. Adakalanya orang yang kita sangka bodoh itu rupanya lebih berjaya daripada kita. Dia mungkin bodoh dalam bidang yang tidak ada kena mengena dengan kerjayanya, tetapi "MASTER" dalam bidang yang diceburi. Jadi, carilah ilmu sebanyak mungkin dari semua bidang dan yang paling penting, mengamalkan ilmu yang ada dan tawadhuk dengannya.

Sabtu, 12 Januari 2008

Peperangan Khandaq



Peperangan ini juga dinamakan dengan peperangan Al-Ahzab. Peperangan ini telah berlaku pada bulan Syawal, tahun ke-5 Hijrah. Ini adalah mengikut apa yang ditegaskan berdasarkan pendapat yang kuat oleh Ibnu Ishaq, ‘Urwah Bin Al-Zubair, Qatadah, Al-Baihaqi dan Jumhur ‘Ulama’ Sirah, dan dikatakan juga ianya berlaku pada tahun keempat Hijrah. Tarikh ini juga ditegaskan oleh Musa Bin ‘Aqabah dan diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan diikuti oleh Imam Malik.

Dalam peperangan ini, tentera Islam telah berjaya memenanginya dengan menggunakan idea yang telah dicadangkan oleh Salman Al-Farisi r.a. Peperangan ini berpunca (sebagaimana yang diriwayatkan) dari pengkhianatan kaum Yahudi dan tipu muslihat mereka. Mereka yang menyalakan api peperangan itu dan merekalah yang mengumpulkan barisan Musyrikin Mekah. Kerja jahat seperti ini tidak terbatas kepada kaum Bani Nadhir yang telah diusir keluar dari Madinah sahaja, malah kerja-kerja seperti ini turut dilakukan oleh Bani Quraizhah sedangkan mereka masih terikat dengan perjanjian dan perhubungan kaum Muslimin dan tidak ada sesuatu pun kegiatan kaum Muslimin yang mengancam mereka hingga mendesak mereka melanggar perjanjian dan ikatan merela itu.


Di sini dapat kita ambil sejumlah pengajaran dan pedoman untuk dijadikan contoh bagi umat masa kini. Antaranya ialah:-

i) Rasulullah s.a.w. tidak mengarahkan kaum Muslimin sahaja untuk menggali kubu, sebaliknya Baginda s.a.w.sendiri turut bersama-sama telah berhempas pulas memerah tenaga bersama seluruh kaum Muslimin di kalangan para sahabatnya. Badan Baginda s.a.w. yang diselaputi dengan tanah dan debu sehingga tiada perbezaan diantara Baginda s.a.w. dan para sahabatnya. Inilah dia hakikat dalam menegakkan syari’at Islam bagi melaksanakan prinsip persamaan antara pemimpin dan yang dipimpin, di antara kaya dan miskin. Malah kita akan dapati bahawa seluruh cabang Syari’at Islam ditegakkan diatas konsep ini.

ii) Kesetiaan yang teradun dalam peribadi Rasulullah s.a.w. telah membawa kita untuk melihat betapa kecintaan Baginda s.a.w. terhadap para sahabatnya dan perasaan belas kasihan ke atas mereka di samping memberi gambaran lain mengenai perkara-perkara luar biasa dan mu’jizat yang dikurniakan Allah kepada utusanNya.

Dalam kisah perang Khandaq ini, Baginda s.a.w. sanggup mengikat batu-batu ke perutnya bagi menahan pedih kesakitan di perut Baginda s.a.w. kerana terlalu lapar. Baginda s.a.w. sentiasa bersabar menanggung dan menghadapi segala-galanya. Ini tidak lain tidak bukan adalah kerana rasa tanggungjawab Baginda s.a.w. terhadap risalah dan amanah yang ditaklifkan kepadanya.

Gambaran kecintaan Baginda s.a.w. terhadap para sahabatnya tidak dapat dibayangkan dengan bahasa percakapan apabila Baginda s.a.w. mengajak seluruh para sahabatnya menikmati masakan Jabir r.a. yang pada asalanya dimasak khas untuk Baginda s.a.w. dan beberapa sahabat lain sahaja.

Apa yang dikatakan mu’jizat dalam kisah ini ialah berkenaan kambing kecil Jabir r.a telah bertukar menjadi makanan yang berlimpahan, mengenyangkan beratus-ratus para sahabat dan masih banyak lagi berbaki. Justeru, Baginda telah meminta agar makanan tersebut dihidangkan kepada ahli keluarga Jabir r.a. dan disedekahkan kepada yang memerlukan. Sesungguhnya, mu’jizat luar biasa yang menakjubkan ini merupakan penghargaan Ilahi kepada Baginda s.a.w. bagi menggambarkan rasa sayang Baginda s.a.w. terhadap sahabat-sahabatnya.

iii) Bagaimana dan apakah caranya kaum Muslimin sehingga berjaya menetang kaum Musyrikin didalam peperangan ini?

Caranya dengan memohon restu kepada Allah s.w.t., memperbanyakkan doa dan tadarru’, sebagaimana yang diamalkan Baginda s.a.w. sepanjang masa apabila bertembung dengan seteru Allah s.w.t. atau semasa berada di medan jihad. Inilah cara yang sangat berkesan dan mengatasi faktor-faktor kebendaan lain. Cara ini tidak berkesan kecuali apabila telah ditegakkan di atas lunas-lunas yang dijaga dan dipelihara sesempurna yang mungkin.

Bagaimana pula dengan kaum Musyrikan yang kalah meskipun bilangan mereka terlalu ramai?
Ini berlaku lantaran kecekalan golongan Mu’min dan dengan kesabaran mereka serta penyerahan mereka sepenuhnya kepada Allah seperti mana yang telah disifatkan Allah di dalam kitabNya yang berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera lalu kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Ahzab; 9)

Sumber: Kitab Fiqh Sirah II Karangan Dr. Sa'id Ramadan Al-Buti keluaran Dewan Pustaka Fajar (Cetakan 2005)

Cabaran Yang Menguatkan dan Membuka 1001 Peluang


Seorang yang berperibadi kuat seumpama besi waja, semakin menghadapi cabaran hidup, semakin teguh dan tajam untuk menghadapi hidup; sebaliknya, seorang yang berperibadi lemah laksana timah apabila terkena api ia akan hancur, apabila terketuk oleh cabaran hidup ia akan berkecai

Ayam kampung perlukan sepuluh orang untuk menangkapnya. Ia akan lari sekeliling kampung. Sepuluh orang mengepung di sana, menghambat di sini, menerpa di sana dan tersungkur di sini, namun ayam kampung masih gagah lari menyelamatkan diri. Setelah berhempas pulas sepuluh orang baru dapat menewaskan seekor ayam. Tatkala ayam itu disembelih, tiba-tiba ia bangkit, berjalan keliling rumah dengan kepalanya sekali-sekala terkulai ke bawah. Ia berjalan lagi hingga akhirnya rebah.Maka tamatlah riwayat seekor ayam kampung.

Seekor ayam bandar (sangkar) dikeluarkan dari dalam sangkar. Ia diletakkan di luar dan dibiarkan lepas. Ayam bandar ini terteleng-teleng, melihat sana, melihat sini. Kemudian dia melangkahkan kaki, masuk kembali ke dalam sangkarnya. Dia tidak pernah tahu bahawa selama mana berada di dalam sangkar semudah itu nyawanya akan melayang, selama mana dia berada di luar peluang untuk dia lari menyelamatkan diri lebih terbuka luas. Itulah berbezanya ayam kampung dengan ayam bandar.

Cabaran hidup telah menjadikan ayam kampung begitu bertenaga, berani dan punya wawasan, sedangkan ayam bandar tidak nampak peluang dan menjadi begitu lemah lagi malas. Kesusahan sentiasa menjadi penunu untuk seseorang itu muncul luar biasa bagus dan hebat sekali, sebaliknya kesenangan pasti akan menyebabkan kelemahan, bukan sahaja tubuh badan kadang-kadang dalam soal peribadahan. Orang yang hidup dalam tekanan adalah umpama besi waja. Ia keras dan sukar dikalahkan. Seseorang yang hidup dalam tekanan dan kepayahan sebenarnya sentiasa lebih kuat dan padu daripada mereka yang hidup dalam kesenangan. Maka itu, seorang yang miskin kadang-kadang lebih hebat peribadinya daripada seorang yang berada. Kekayaan adalah kekuatan dalam kelemahan, sedang kemiskinan kelemahan dalam kekuatan. Jadi, usahlah marah dengan keadaan jika anda tidak tergolong dalam kalangan orang senang.

Pada satu segi anda lebih kuat dan lebih hebat daripada orang senang. Kadang-kadang orang senang terlalu lemah hinggakan untuk menukar kepala paip yang sudah longgar perlukan orang kurang senang untuk melakukannya. Bukan disebabkan dia terlebih wang tetapi benar-benar kerana memang tidak pandai. Orang yang tidak pernah teruja oleh cabaran selalunya menjadi kian lemah sebaliknya orang yang hidup dalam ujian selalu bertambah kuat. Seorang gila selalunya tidak terurus segala hal, dia merayau-rayau dari satu tempat ke satu tempat. Pakaiannya tidak pernah berganti, makan minumnya apa-apa saja yang dijumpai. Tidurnya tidak menentu, tetapi dia kelihatan sihat. Jarang nampak orang gila terlantar sakit, tetapi hospital menjadi tumpuan orang normal dan hidup senang. Usah rasa tidak selesa dengan cabaran sebab cabaran sentiasa memberikan kekuatan. Hanya orang yang lemah akan menganggap cabaran melemahkan.

Cabaran bukanlah nasib malang tetapi ia membuka peluang. Jika peluang tidak terlihat ia tetap bernilai pengalaman. Pengalaman itu tidak ternilai harganya, ia tiada dijual, ia hanya ada pada orang yang mengalami. Semakin kesusahan itu mengetuk, semakin ia membentuk, ibarat seorang tukang emas menempa emas untuk dijadikan perhiasan wanita, semakin diketuk semakin berharga, semakin diketuk semakin tinggi harganya.

Apakah kita seperti emas yang sedang diketuk itu?
-Dr H.M Tuah-

Jumaat, 11 Januari 2008

Da'wah in Sport




MADRID — Malian Muslim footballer Frederic Kanoute, the striker of Spain's Seville FC, has saved the only mosque in the southern Spanish city of Seville from closure. Kanoute has paid 510,860 euros (some $700,000) so that fellow Muslims in Seville would not find themselves without a mosque, reported Agence France-Presse (AFP) Thursday, December 13.

The privately owned mosque was due to be sold after a contract to use the premises by the local Muslim population had expired. But Kanoute stepped in to purchase the building. The 30-year-old striker has not made any comment on the matter. But city authorities have confirmed that the property has been registered in Kanoute's name, according to the BBC Sport.

It is estimated that Kanoute has spent almost a year's salary to buy the mosque. Kanoute, one of the finalists for the 2007 BBC African Footballer of the Year award, moved in 2005 from French champion Lyon to Seville FC, the 2006-07 Spanish league's third and the holder of last season's cup championship.Grateful Spanish Muslims said they really appreciate Kanoute's moving gesture. "If it had not been for Kanoute then we would not have had a mosque on Fridays, which is the most holy day of the week for Muslims," a spokesman for the Islamic Community of Spain was quoted as saying by BBC Sport.

Kanoute, who has also created a foundation in his motherland Mali to help orphans, reverted to Islam 10 years ago. Last Ramadan, he impressed Spanish football fans by his unique performance though he was fasting. Kanoute was crowned last year the league's top scorer with 20 goals, outperforming football legends such as Brazilian Ronaldinho.

Kanoute, a practicing Muslim who regularly performs his prayers even in the locker room, refused last season to wear a jersey advertising for an internet gambling site, because gambling is forbidden in Islam. His team had to give him a brand-free jersey until he accepted wearing the sponsored jersey in return for money to an Islamic charity.
(Gambar kenangan ketika di Matrikulasi UIA, Perlawanan Akhir Kejohanan Terbuka Futsal)

Sabtu, 1 Disember 2007

Lupa Hafazan al-Qur'an



Apa hukumnya apabila lupa akan ayat-ayat al-Quran yang telah dihafal? Adakah kita berdosa kerana tidak mengulang bacaan ayat-ayat tersebut sehingga menyebabkan kita lupa?

Jawapan
Asas hukum di dalam isu ini adalah hadith-hadith berikut :-
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " ما من امرئ يقرأ القرآن ثم ينساه إلا لقي الله عز وجل أجذم "

Ertinya : "Tiada siapa pun yang membaca Al-Quran kemudian melupakannya kecuali ia akan bertemu Allah SWT di hari kiamat dalam keadaan kerdil" (Riwayat Abu Daud; Al-Munziri mengatakan ada perawinya Yazid Bin Abi Ziyad, hadithnya tidak dijadikan hujjah; Dhoif menurut Albani ; no 1474, hm 176)

Abu Ubayd menyebut : "Ajzam" di dalam hadith di atas bermaksud terpotong tangan, manakala Ibn Qutaybah pula menyebut ianya bermakna kerdil. (Ma'alim as-Sunan, AL-Khattabi, 1/253 ; Awnul Ma'bud, Ibn Qoyyim)

Terdapat ulama yang menjadikan hadith di atas sebagai hujjah dalam isu melupakan hafazan al-Quran. Disebut huraian "yaqra" di atas merangkumi maksud membaca dengan melihat, membaca secara hafaz dan membaca makna Al-Quran kemudian meninggalkan pembacaannya secara lupa atau sengaja. Bagaimanapun hadith di atas telah dihukum sebagai dhoif.

Antara hadith lain adalah :-
"عرضت عليّ ذنوب أمتي فلم أر ذنباً أعظم من سورة من القرآن - أو أية - أوتيها رجل ثمّ نسيها"

Ertinya : " Dibentangkan kepadaku dosa-dosa umatku dan tidak aku nampak dosa yang lebih besar dari satu surah dari Al-Quran atau satu ayat ,yang diberikan kepada seorang lelaki kemudian ia melupakannya" (Riwayat At-Tirmidzi, bab Fadhail Quran dari Rasulullah SAW, no 2840 ; At-Tirmidzi: Gharib; Al-Munziri: Dhoif kerana perawi bernama Abd Majid Bin Abd Aziz; rujuk Tuhfatul Ahwazi)

Para ulama salaf berbeza pandangan dalam bab melupakan ayat Al-Quran, sebahagian mereka menjadikannya sebagai dosa besar, antaranya Ulama Syafie seperti Syeikh Ar-Ruyani, Al-Qurtubi dan lain-lainnya yang mengatakan melalaikan pembacaanya adalah penyebab kepada lupa ayatnya, lupa ini menunjukkan tidak memberi perhatian sewajarnya terhadap Al-Quran.

Malah di sebut dalam sebuah riwayat Mawquf :
" ما من أحد تعلم القرآن ثم نسيه إلا بذنب أحدثه , لأن الله يقول (( وما أصابكم من مصيبة فبما كسبت أيديكم)) "

Ertinya: Tiada seorang pun yang mempelajari Quran kemudian melupakannya kecuali ditimpa dosa, kerana Allah berfirman: "Tiadalah musibah yang menimpa kamu kecuali dengan sebab tangan-tangan kamu sendiri", mereka menambah : tiada musibah yang lebih besar dari melupakan al-Quran.

Sebuah lagi sambungan hadith di atas tetapi bertaraf mursal menurut Al-Hafidz Ibn Hajar Al-Asqolani; Ertinya: "..tidak aku nampak dosa yang lebih besar dari dosa penghafaz al-Quran kemudian meninggalkannya" (Dikeluarkan oleh Ibn Abi Daud ; Rujuk Fath Al-Bari)
Imam Al-Qurtubi pula berpendapat bahawa sesiapa yang menghafaz Al-Quran maka telah tinggi darjatnya sekadar mana yang ia hafaz, apabila rosak kedudukan ini kerana lupa maka ia akan membawa kepada jahil, maka jahil selepas berilmu adalah amat buruk. (Rujuk Fath al-Bari, bab: Kelebihan Al-Quran, no 4650)

Bagaimanapun, sebahagian ulama salaf pula pula menghuraikan maksud lupa di sini adalah melupakannya dengan meninggalkan beramal degan ayat itu. Ini kerana amaran jikakalau lupa ini hanya tertakluk kepada lupakan hafazan al-Quran maka akan berkatalah seseorang, bahawa LEBIH BAIK TIDAK PERLU MENGAHAFAZ TERUS. Maka ia bertentangan dengan objektif Shariah.

Kesimpulan
Apapun tafsiran dan kekuatan dan kelemahan rawi hadith, sememangnya menjadi kewajiban bagi menjaga hafazan Al-Quran demi mengekalkan ketinggian maqam di sisi Allah, juga amat wajib bagi yang telah mempelajari ilmu-ilmu dari Al-Quran dan memahaminya kemudian melupakannya. Justeru, amat perlu bagi kita umat Islam mengingati hafazan dan ilmu dari Al-Quran untuk dibaca dan diamal. Wallahu ‘alam.

-Ust Zaharuddin Abdul Rahman-


*dipetik dari www.zaharuddin.net

Sabtu, 17 November 2007

CINTA REMAJA



Cinta adalah fitrah bagi setiap manusia. Setiap insan pasti mahu dirinya dikasihi dan disayangi. Cinta sebenarnya adalah ‘Mahabbah’ yang bermaksud perasaan kasih sayang yang sukar diterjemahkan. Cinta merupakan satu gelodak rasa dan emosi yang lahir daripada hati nurani yang luhur dan suci. Cinta tidak boleh dipaksa serta dibeli dengan apa pun jua. Ia juga buta dan bisa membutakan seperti lagu Ari Ariwatan, ‘Cinta Tak Kenal Siapa’ dan lagu yang pernah popular di awal tahun 90’an dendangan kumpulan Spring, ‘Butakah Cinta’.

Persoalannya, bagaimanakah untuk menyalurkan fitrah semula jadi ini? Kepada siapakah ia harus ditumpahkan?

Kini, sudah menjadi fenomena biasa melihat pasangan remaja berpimpin tangan dan berjalan beriringan di pusat membeli belah hatta di tasik-tasik dan taman-taman bunga. Juga tidak lagi kelihatan jengkel dua insan yang berlainan jenis bergelak ketawa di dalam restoran makanan segera. Maka apakah ini yang dinamakan cinta atau ‘mahabbah’?

Di peringkat IPT, suasana cinta remaja tidak kurang rancaknya. Bermula dengan sesi suai kenal di dalam kuliah, diikuti sesi membalas sms hingga ke larut malam seterusnya mengikat janji pertemuan di hujung minggu bagi melepaskan rindu yang membara setelah terpisah buat seketika. Tidak hairanlah pada hujung minggu pusat membeli belah menjadi begitu ‘meriah’ dengan kehadiran insan-insan yang sedang asyik mendamba kasih ini. Dunia ini bagaikan mereka yang punya. Mereka bagaikan berada di dunia sendiri sehingga terkadang-kadang mereka tidak menyedari akan kehadiran orang ramai yang memerhatikan gaya ‘sumbang’ mereka. Hebat sungguh panahan cinta.

Fenomena millenium ini turut merasuk golongan yang dikatakan mempunyai ‘basic’ agama. Malahan, dalam setengah kes, golongan ini lebih terkehadapan dalam soal cinta. Mereka dianggap lebih tahu apa itu erti cinta sebenar. Cinta mereka dianggap lebih ‘islamik’ dan sejajar dengan syariah. Dimulai dengan kuliah–kuliah agama yang mana dijadikan tempat mengenali ikhwan-akhwat dan seterusnya diikuti sesi membalas sms yang hanya membabitkan kerja.

Apabila sudah kehabisan kerja hendak dibincangkan, sms ‘forward’ yang mengandungi ayat-ayat Al-Qur’an, Hadith Nabi s.a.w., kata-kata ulama’ menjadi ganti dalam meneruskan perhubungan serta dijadikan alat untuk menjustifikasikan apa yang dilakukan mereka. Apabila sudah lali dengan sms tersebut, bentuk sms mula berubah daripada ustaz-ustazah kepada saya-awak, seterusnya menjadi abang-sayang. Adakah ini yang dinamakan cinta ‘islamik’ yang berlandaskan ajaran Islam yang sebenarnya?

Lebih memburukkan lagi keadaan, dunia kini dilonggokkan dengan lagu-lagu serta nasyid-nasyid cintan-cintun yang menguasai carta-carta muzik setiap minggu. Setiap minggu pasti terdapat lagu cinta yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan yang mengasyikkan serta membangkitkan semangat bercinta muncul di corong-corong radio. Dunia perfileman juga turut tidak ketinggalan dalam perlumbaan ‘mahabbah’ ini. Tidak kira filem Barat, Melayu, Hindustan mahupun Indon, unsur cinta pasti diselitkan bagi menarik minat audiens menonton filem tersebut. Pelbagai bentuk cinta telah digarap dengan cemerlang oleh pengarah-pengarah yang ‘up to date’ seperti cinta 3 segi, cinta terhalang, cinta pandang pertama dan banyak lagi. Adakah ini satu perkembangan yang sihat kepada para remaja?

Sebenarnya, nilai yang mewarnai dunia hari ini banyak dipengaruhi oleh konsep Machiavellianisme yang diasaskan oleh Niccola Machiavelli yang merupakan seorang pemikir barat dari Florence, Itali. Machiavelli, dalam bukunya, The Prince, telah menekankan konsep ‘The End Justifies The Means’ yang bermaksud niat membersihkan cara. Konsep ini membolehkan seseorang itu melakukan apa sahaja asalkan berniat baik. Konsep inilah yang diamalkan oleh mereka yang selama ini bercinta demi kebahagiaan hari kemudian. Konsep ini sangat bertentangan dengan konsep Islam iaitu ‘Matlamat tak menghalalkan cara’.

Sabda Rasulullah s.a.w.: Tiadalah aku tinggalkan setelah aku selain fitnah yang lebih berbahaya bagi lelaki daripada wanita” (Hadith riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi dan Ibnu Majah).



Dari Jabir Bin Samurah r.a., dari Rasulullah s.a.w.: “Janganlah salah seorang dari kalian berdua-duaan dengan wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya” (Hadith riwayat Ahmad dan Tirmidzi).

Dari Ibnu Abbas r.a katanya, saya mendengar Rasulullah s.aw. bersabda: “Janganlah seseorang lelaki berdua-duaan dengan wanita kecuali dengan mahramnya” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim).

Dari Abu Huzaifah r.a, dari Nabi s.a.w.: “Sesungguhnya Allah s.w.t. menetapkan untuk anak Adam bahagiannya dari zina, yang pasti akan mengenainya. Zina mata dengan memandang, zina lisan dengan berbicara, sedangkan jiwa berkeinginan serta berangan-angan, lalu farji yang akan membenarkan atau mendustakan semuanya” (Hadith riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud).

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh. Kedua kaki juga berzina dan zinanya adalah menuju ke tempat pertemuan. Mulut juga berzina dan zinanya adalah ciuman” (Hadith riwayat Muslim dan Abu Daud).

“Dan janganlah kamu dekati zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk” (Al-Isra’:32).

Firman Allah s.w.t. dalam surah Yusuf, ayat ke-53: “Sesungguhnya nafsu itu sentiasa mengarah kepada kejahatan.”

Dalil-dalil naqli di atas sudah cukup jelas memberi gambaran di mana letaknya cinta pada pandangan Islam. Islam bukan datang untuk membunuh naluri fitrah manusia seperti yang dilakukan oleh para paderi dan sami. Tidak sama sekali. Bukan salah atau berdosa jika perasaan itu hadir tanpa diundang. Itu adalah fitrah. Cuma tundukkan naluri itu untuk patuh pada perintah Allah. Tentu ada cinta sesama insani secara Islam. Cinta secara Islam hanya satu, tiada dua, iaitu melalui PERKAHWINAN.

Cinta yang berlaku setelah ijab kabul, akad yang menghalalkan apa jua hubungan bagi dua insan yang berlainan jantina. Inilah cinta sebenar. Cinta yang bermaruah. Inilah kemuliaan Islam. Apabila Islam menegah sesuatu perkara, digantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Jika ia menegah cinta antara lelaki dan perempuan sebelum kahwin, ia membawa perkahwinan sebagai ganti yang lebih sempurna. Ingatlah, bercinta selepas berkahwin adalah sunnah Rasulullah s.a.w.

Sabda baginda: “Tidak ada yang lebih patut bagi dua oarng yang saling mencintai kecuali nikah” (Hadith riwayat Ibnu Majah).

Jadi, bagaimana dengan kami yang belum bersedia untuk hidup ‘berdua’? Penulis tertarik dengan kenyataan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, “Janganlah berjinak-jinak untuk berkawan (bercinta) antara lelaki dan perempuan semasa di matrikulasi (atau masih belajar), jika kita sedia maklum yang ibu bapa tidak akan membenarkan perkahwinan, kecuali selepas tamat pengajian. Komitmen ‘atas angin’ yang tidak disegerakan kepada sebuah perkahwinan, sering berakhir hanya disebabkan oleh emosi yang saya terjemahkan ia sebagai jemu.”

Tambah beliau lagi: “Seorang lelaki dan seorang perempuan yang terlalu lama kenal tetapi tidak menyegerakan perkahwinan, akan dengan sendirinya berubah menjadi musuh akibat fitrah perhubungan itu sendiri.”


Penyelesaian Terbaik

Setiap permasalahan pasti ada penyelesaiannya. Bagi masalah ini, carilah cinta Allah dan Rasul-Nya dahulu sebelum mencari cinta sesama insan. Kamu tidak akan rugi.

“Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah Aku, nescaya Allah akan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu" (Ali ‘Imran:31).

Timbalah ilmu sebanyak mungkin di kala usia mudamu. Sibukkan dirimu dengan ilmu duniawi dan ukhrawi, kerja-kerja persatuan, dan ibadah. Ini semua adalah ubat paling mujarab bagi merawat penyakit cinta. Kelak kamu akan menjadi seorang yang soleh dan solehah. Ingatlah janji Allah dalam surah An-Nuur, ayat ke-26:

“Perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik….”

“Dan lelaki-lelaki yang memelihara kehormatannya serta perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya (yang memelihara dirinya daripada melakukan zina), Allah telah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar” (Al-Ahzab:35).

Oleh itu, kata-kata bidalan, “Berkawan Biar Seribu, Bercinta Biar Satu” tidak begitu tepat dalam konteks Islam dan patut diubah kepada “Berkawan Biar Seribu, Bercinta Biarlah Untuk Teman yang Dihalalkan Oleh Islam.”

Jadikanlah kisah percintaan Rasullulah s.a.w. dan Siti Khadijah sebagai contoh terbaik untuk diteladani.

“Cintailah Yang Mencipta lebih daripada yang dicipta kerana Yang Mencipta itulah mencipta yang dicipta dan mencipta cinta untuk yang dicipta mencinta Yang Mencipta dan yang dicipta.”“Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu dan cinta orang yang cinta kepada-Mu dan cinta orang yang cinta kepada orang yang boleh hampir kepada-Mu…”.

-Allah lebih mengetahui segalanya-

Khamis, 15 November 2007

Siri Kuliah Maghrib - Fitnah



Fitnah ialah menyampaikan cerita yang tidak benar supaya orang membenci atau pandang serong.

Fitnah lebih memberi kesan daripada membunuh dari segi kesannya. Jika seseorang itu difitnah, yang terjejas ialah orang yang difitnah dan keluarganya. Kesannya akan berterusan sehingga orang berhenti melupakannya dan berhenti berkata tentang fitnah tersebut sedangkan pembunuhan hanya membabitkan orang yang membunuh dan dibunuh serta akan berakhir apabila seseorang itu sudah dibunuh.

Peringatan Allah s.w.t. kepada orang beriman tentang penyebar fitnah dalam surah Al-Hujurat, ayat ke-6; "Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan."

Amaran Allah s.w.t. kepada penyebar fitnah dalam surah An-Nuur, ayat ke-23:
"Sesungguhnya orang yang menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat di dunia dan di akhirat dan mereka pula akan beroleh azab yang besar."

(Dipetik daripada Kitab 50 Tanda-Tanda Orang Munafik Menurut Al-Qur'an dan As-Sunnah)

*Kita harus memuliakan orang-orang yang Allah muliakan seperti para Rasul, Nabi, Sahabat-sahabat Nabi, Auliya' dan Alim Ulama.

*Kita boleh menghina orang-orang yang Allah hinakan seperti Fir'aun, Namrud, Qarun dan Hamman.

*Allah telah menyusun waktu solat 5 waktu sehari semalam sungguh 'cantik' supaya manusia tak lalai dan leka. Pagi, tengah hari, petang dan malam, semuanya terdapat waktu solat. Dengan kata lain, paling kurang kita pasti mengingati Allah dalam setiap 5 waktu sehari semalam.

*Antara hikmah Allah tetapkan waktu Maghrib & Isyak rapat kerana waktu malam selalunya orang sudah letih selepas seharian bekerja/belajar..Bayangkan jika masuk waktu solat Isyak dalam pukul 12 malam, mesti ramai yang akan 'halal' solat Isyak.
*Kita akan merasakan lebih berpuas hati dalam melakukan ibadah dengan ilmu berbanding jika melakukan ibadah tanpa ilmu.

# Nota ringkas daripada tazkirah Maghrib yang disampaikan oleh Ust Abdul Rahim Nasir di Surau Al-Islah, Seksyen 7, Shah Alam pada 14/11/07, jam 19.35-20.20

Isnin, 12 November 2007

Ukur Baju di Badan Sendiri!



"Majlis akad nikah itu baru sahaja usai. Saya dan beberapa orang sahabat masih menikmati minuman ringan yang disediakan oleh pihak tuan rumah. Tiba-tiba seorang lelaki tua yang memang saya kenali menarik tangan saya dan berrtanya, "Kenapa orang sekarang kahwin lambat sangat?" Saya lantas bertanya, "Tuk dulu kahwin cepat?"

"Umur 15 tahun, nenek kau dah dapat anak seorang..." Terbayang anak perempuan saya yang menuntut di tingkatan 5 sekarang.

Sukar nak membayangkan betapalah di usia itu dia sudah mempunyai anak.
"Bahagia Tuk?"

"Tak bahagia apa... anak Tuk 12 orang!"

Terhibur saya berbual dengannya, semuanya diukur dengan angka.

"Saya berkahwin pada umur 21 tahun. Waktu tu masih menuntut lagi, orang heboh saya tak sabar," adu saya tanpa dipinta. Sengaja mengundang reaksi.

"Tak sabar? Pelik, kalau zaman Tuk, tu kira terlajak dah tu!"

"Betulkah saya tak sabar, Tuk? " tanya saya semacam mengusik."

Eh, taklah. Kalau nak buat baik, eloklah cepat. Selamat dari maksiat.Kalau betul tak sabar, Tuk ni lagilah tak sabar... umur 17 tahun dah kahwin, heh, heh, heh..."

"Setuju tak Tuk kalau dikatakan soal kahwin ni bukan soal cepat lambat, tapi soal dah bersedia atau tidak?"

"Setuju. Tapi kena hurailah maksud persediaan tu..." tajam Tuk membalas.

"Kalau ikut pandangan Tuk, apa agak-agaknya persediaan tu?"
"Soal ni tak boleh agak-agak... Mesti tepat."Terkedu saya dibuatnya.

Tuk ni bukan sebarang orang.

"Maksud bersedia bukan sahaja dari segi umur. Asal akil baligh dah boleh kahwin. Bukan sahaja diukur oleh badan yang sihat, pendapatan yang cukup, tapi yang penting kematangan diri. Ertinya, seseorang yang nak kahwin mesti dah mula dapat berfikir dengan baik, dah boleh sedikit sebanyak kawal perasaan, dan jiwa tu sikit-sikit dah agak tenang."

Saya menung panjang. Tertikam di sudut hati petanyaan, sudahkah saya matang sewaktu mula berkahwin dahulu?

"Jangan menung... Tuk cuma kata, dah sedikit sebanyak matang. Tak payah tunggu matang betul... nanti tak kahwin pula!" usik Tuk seperti dapat membaca fikiran saya.

Walau tanpa ijazah, Tuk sebenarnya sedang menjelaskan asas kebahagiaan rumah tangga yang kadang kala tidak dapat ditimba di mana-mana menara gading."Macam mana nak matang?" tanya saya perlahan. Malu rasanya untuk diajukan soalan sedemikian di usia 40-an ini. Terasa terlambat!

"Tentulah dengan ilmu. Dulu Tuk dan kawan-kawan.. umur sebelas tahun dah khatam Quran. Dah selesai belajar ilmu fardu ain. Rukun, sah, batal dan lain-lain ilmu asas dah OK. Bila sudah baligh buka kitab Muhimmah, baik lelaki, baik perempuan. Dah diterangkan tanggung jawab suami, isteri dan asas-asas kerukunan rumah tangga."

"Itu sahaja? Ilmu lain?" soal saya pendek."Eh, perlu. Mesti ada ilmu untuk cari rezeki. Yang otak baik, jadilah guru, pegawai kerajaan... ikut keadaan zaman tulah.

Tuk ni tak nasib baik... kerja kampung sahaja, guna tulang empat kerat, buka tanah. Itulah dusun yang Tuk kutip hasilnya sampai sekarang ni...""Tapi sekarang Tuk dah senang. Dengarnya dah dua kali naik haji."

"Tak senang. Tapi mudah-mudahan... tenang. Tulah doa Tuk, biar hidup kita tenang."

"Agaknya sebab kurang matang nilah orang sekarang kahwin lambat?" cuit saya, kembali ke tajuk asal.

"Ni agak Tuklah. Budak sekarang tak macam dulu. Mereka ni macam lambat matang. Kalau dulu umur 13 dah boleh pikul tugas. Dah berdikari, dah boleh harap jaga emak bapak. Setakat jadi imam dan baca berzanji tu lancar... tapi sekarang lain, umur dah 23 tahun pun masih bergantung kepada emak bapak. Nak jadi imam? Jauh sekali.

"Terbayang kekesalan di wajahnya.

Dia menyambung, "Sekali tu Tuk tengok betul-betul dengan mata kepala ni macam mana seorang bakal pengantin tersekat-sekat mengucap kalimah syahadah depan tuk kadhi. Bila tanya rukun sembahyang, geleng kepala. Yang dihafalnya rukun nikah saja..."

"Kalau macam tu macam mana?""Baik tak usah kahwin. Macam mana dia nak pimpin isteri dan anak-anaknya nanti? Tu baru ilmu yang paling asas, belum lagi ilmu... apa orang kata... ... parenting skill."

"Tuk pun tahu parenting skill?""Sekarang ni macam-macam sumber ilmu ada. Di radio, tv, ceramah, buku-buku... ah, macam-macam."

"Tapi Tuk, kalau tak kahwin pun susah juga... Nanti terjebak dengan maksiat," kilas saya.

"Tulah, ajaran Islam ni macam mata rantai. Lepas satu disambung satu. Bermula dengan yang paling utama, diikuti yang kedua, ketiga dan seterusnya... Ilmu tauhid, fekah dan akhlak perlu diasak di awal usia. Diiring ilmu akademik. Jadi, bila dah nak kahwin nanti, ilmu tu semua dah ada. Persediaan agama ada, persediaan material ada."

"Macam mana kalau ada yang lambat-lambatkan kahwin kerana katanya belum bersedia, dari segi material dan agama?"

"Apapun biarlah berpada-pada. Kalau nak diikutkan ilmu agama... sampai mati pun tak akan habis dituntut. Cukuplah sekadar keperluan dulu dan tambah lagi selepas kahwin. Begitu juga soal material, soal kerja, profesion... Ni pun tak akan habis-habis. Ukurlah ikut keperluan dan kemampuan diri.

Jangan sampai terlanjut usia sudahlah. Jangan nanti ilmu ada, matang ada, duit ada, calon pulak tak ada..."

"Tuk lihat macam mana keadaan anak muda masa kini?" terluncur soalan yang berbau akademik tanpa saya sedari.

"Akibat tak ikut tertib dalam menghayati ajaran Islam, keadaan jadi agak lintang-pukang sekarang. Yang berkat jadi mudarat. Tak dikahwinkan, membuat maksiat. Bila dikahwinkan, tak bertanggungjawab."

"Antara dua keadaan ni... yang mana patut kita pilih?""Perlukah kita buat pilihan?

Pada Tuk, pilihlah keadaan yang tidak memaksa kita membuat pilihan!"
Saya terdiam. Kagum. Kata-kata tersirat itu boleh mengundang seribu wacana para sarjana!

Adakah anda sudah bersedia?? Jangan hanya mahu kahwin cepat, tapi ilmu kosong dan tandus. Penuhkan di dada dengana ilmu-ilmu ukhrawi dan duniawi, barulah boleh berkira-berkira untuk hidup berdua..

Ukur baju di badan sendiri!!!