Sabtu, 17 November 2007

CINTA REMAJA



Cinta adalah fitrah bagi setiap manusia. Setiap insan pasti mahu dirinya dikasihi dan disayangi. Cinta sebenarnya adalah ‘Mahabbah’ yang bermaksud perasaan kasih sayang yang sukar diterjemahkan. Cinta merupakan satu gelodak rasa dan emosi yang lahir daripada hati nurani yang luhur dan suci. Cinta tidak boleh dipaksa serta dibeli dengan apa pun jua. Ia juga buta dan bisa membutakan seperti lagu Ari Ariwatan, ‘Cinta Tak Kenal Siapa’ dan lagu yang pernah popular di awal tahun 90’an dendangan kumpulan Spring, ‘Butakah Cinta’.

Persoalannya, bagaimanakah untuk menyalurkan fitrah semula jadi ini? Kepada siapakah ia harus ditumpahkan?

Kini, sudah menjadi fenomena biasa melihat pasangan remaja berpimpin tangan dan berjalan beriringan di pusat membeli belah hatta di tasik-tasik dan taman-taman bunga. Juga tidak lagi kelihatan jengkel dua insan yang berlainan jenis bergelak ketawa di dalam restoran makanan segera. Maka apakah ini yang dinamakan cinta atau ‘mahabbah’?

Di peringkat IPT, suasana cinta remaja tidak kurang rancaknya. Bermula dengan sesi suai kenal di dalam kuliah, diikuti sesi membalas sms hingga ke larut malam seterusnya mengikat janji pertemuan di hujung minggu bagi melepaskan rindu yang membara setelah terpisah buat seketika. Tidak hairanlah pada hujung minggu pusat membeli belah menjadi begitu ‘meriah’ dengan kehadiran insan-insan yang sedang asyik mendamba kasih ini. Dunia ini bagaikan mereka yang punya. Mereka bagaikan berada di dunia sendiri sehingga terkadang-kadang mereka tidak menyedari akan kehadiran orang ramai yang memerhatikan gaya ‘sumbang’ mereka. Hebat sungguh panahan cinta.

Fenomena millenium ini turut merasuk golongan yang dikatakan mempunyai ‘basic’ agama. Malahan, dalam setengah kes, golongan ini lebih terkehadapan dalam soal cinta. Mereka dianggap lebih tahu apa itu erti cinta sebenar. Cinta mereka dianggap lebih ‘islamik’ dan sejajar dengan syariah. Dimulai dengan kuliah–kuliah agama yang mana dijadikan tempat mengenali ikhwan-akhwat dan seterusnya diikuti sesi membalas sms yang hanya membabitkan kerja.

Apabila sudah kehabisan kerja hendak dibincangkan, sms ‘forward’ yang mengandungi ayat-ayat Al-Qur’an, Hadith Nabi s.a.w., kata-kata ulama’ menjadi ganti dalam meneruskan perhubungan serta dijadikan alat untuk menjustifikasikan apa yang dilakukan mereka. Apabila sudah lali dengan sms tersebut, bentuk sms mula berubah daripada ustaz-ustazah kepada saya-awak, seterusnya menjadi abang-sayang. Adakah ini yang dinamakan cinta ‘islamik’ yang berlandaskan ajaran Islam yang sebenarnya?

Lebih memburukkan lagi keadaan, dunia kini dilonggokkan dengan lagu-lagu serta nasyid-nasyid cintan-cintun yang menguasai carta-carta muzik setiap minggu. Setiap minggu pasti terdapat lagu cinta yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan yang mengasyikkan serta membangkitkan semangat bercinta muncul di corong-corong radio. Dunia perfileman juga turut tidak ketinggalan dalam perlumbaan ‘mahabbah’ ini. Tidak kira filem Barat, Melayu, Hindustan mahupun Indon, unsur cinta pasti diselitkan bagi menarik minat audiens menonton filem tersebut. Pelbagai bentuk cinta telah digarap dengan cemerlang oleh pengarah-pengarah yang ‘up to date’ seperti cinta 3 segi, cinta terhalang, cinta pandang pertama dan banyak lagi. Adakah ini satu perkembangan yang sihat kepada para remaja?

Sebenarnya, nilai yang mewarnai dunia hari ini banyak dipengaruhi oleh konsep Machiavellianisme yang diasaskan oleh Niccola Machiavelli yang merupakan seorang pemikir barat dari Florence, Itali. Machiavelli, dalam bukunya, The Prince, telah menekankan konsep ‘The End Justifies The Means’ yang bermaksud niat membersihkan cara. Konsep ini membolehkan seseorang itu melakukan apa sahaja asalkan berniat baik. Konsep inilah yang diamalkan oleh mereka yang selama ini bercinta demi kebahagiaan hari kemudian. Konsep ini sangat bertentangan dengan konsep Islam iaitu ‘Matlamat tak menghalalkan cara’.

Sabda Rasulullah s.a.w.: Tiadalah aku tinggalkan setelah aku selain fitnah yang lebih berbahaya bagi lelaki daripada wanita” (Hadith riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi dan Ibnu Majah).



Dari Jabir Bin Samurah r.a., dari Rasulullah s.a.w.: “Janganlah salah seorang dari kalian berdua-duaan dengan wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya” (Hadith riwayat Ahmad dan Tirmidzi).

Dari Ibnu Abbas r.a katanya, saya mendengar Rasulullah s.aw. bersabda: “Janganlah seseorang lelaki berdua-duaan dengan wanita kecuali dengan mahramnya” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim).

Dari Abu Huzaifah r.a, dari Nabi s.a.w.: “Sesungguhnya Allah s.w.t. menetapkan untuk anak Adam bahagiannya dari zina, yang pasti akan mengenainya. Zina mata dengan memandang, zina lisan dengan berbicara, sedangkan jiwa berkeinginan serta berangan-angan, lalu farji yang akan membenarkan atau mendustakan semuanya” (Hadith riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud).

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh. Kedua kaki juga berzina dan zinanya adalah menuju ke tempat pertemuan. Mulut juga berzina dan zinanya adalah ciuman” (Hadith riwayat Muslim dan Abu Daud).

“Dan janganlah kamu dekati zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk” (Al-Isra’:32).

Firman Allah s.w.t. dalam surah Yusuf, ayat ke-53: “Sesungguhnya nafsu itu sentiasa mengarah kepada kejahatan.”

Dalil-dalil naqli di atas sudah cukup jelas memberi gambaran di mana letaknya cinta pada pandangan Islam. Islam bukan datang untuk membunuh naluri fitrah manusia seperti yang dilakukan oleh para paderi dan sami. Tidak sama sekali. Bukan salah atau berdosa jika perasaan itu hadir tanpa diundang. Itu adalah fitrah. Cuma tundukkan naluri itu untuk patuh pada perintah Allah. Tentu ada cinta sesama insani secara Islam. Cinta secara Islam hanya satu, tiada dua, iaitu melalui PERKAHWINAN.

Cinta yang berlaku setelah ijab kabul, akad yang menghalalkan apa jua hubungan bagi dua insan yang berlainan jantina. Inilah cinta sebenar. Cinta yang bermaruah. Inilah kemuliaan Islam. Apabila Islam menegah sesuatu perkara, digantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Jika ia menegah cinta antara lelaki dan perempuan sebelum kahwin, ia membawa perkahwinan sebagai ganti yang lebih sempurna. Ingatlah, bercinta selepas berkahwin adalah sunnah Rasulullah s.a.w.

Sabda baginda: “Tidak ada yang lebih patut bagi dua oarng yang saling mencintai kecuali nikah” (Hadith riwayat Ibnu Majah).

Jadi, bagaimana dengan kami yang belum bersedia untuk hidup ‘berdua’? Penulis tertarik dengan kenyataan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, “Janganlah berjinak-jinak untuk berkawan (bercinta) antara lelaki dan perempuan semasa di matrikulasi (atau masih belajar), jika kita sedia maklum yang ibu bapa tidak akan membenarkan perkahwinan, kecuali selepas tamat pengajian. Komitmen ‘atas angin’ yang tidak disegerakan kepada sebuah perkahwinan, sering berakhir hanya disebabkan oleh emosi yang saya terjemahkan ia sebagai jemu.”

Tambah beliau lagi: “Seorang lelaki dan seorang perempuan yang terlalu lama kenal tetapi tidak menyegerakan perkahwinan, akan dengan sendirinya berubah menjadi musuh akibat fitrah perhubungan itu sendiri.”


Penyelesaian Terbaik

Setiap permasalahan pasti ada penyelesaiannya. Bagi masalah ini, carilah cinta Allah dan Rasul-Nya dahulu sebelum mencari cinta sesama insan. Kamu tidak akan rugi.

“Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah Aku, nescaya Allah akan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu" (Ali ‘Imran:31).

Timbalah ilmu sebanyak mungkin di kala usia mudamu. Sibukkan dirimu dengan ilmu duniawi dan ukhrawi, kerja-kerja persatuan, dan ibadah. Ini semua adalah ubat paling mujarab bagi merawat penyakit cinta. Kelak kamu akan menjadi seorang yang soleh dan solehah. Ingatlah janji Allah dalam surah An-Nuur, ayat ke-26:

“Perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik….”

“Dan lelaki-lelaki yang memelihara kehormatannya serta perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya (yang memelihara dirinya daripada melakukan zina), Allah telah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar” (Al-Ahzab:35).

Oleh itu, kata-kata bidalan, “Berkawan Biar Seribu, Bercinta Biar Satu” tidak begitu tepat dalam konteks Islam dan patut diubah kepada “Berkawan Biar Seribu, Bercinta Biarlah Untuk Teman yang Dihalalkan Oleh Islam.”

Jadikanlah kisah percintaan Rasullulah s.a.w. dan Siti Khadijah sebagai contoh terbaik untuk diteladani.

“Cintailah Yang Mencipta lebih daripada yang dicipta kerana Yang Mencipta itulah mencipta yang dicipta dan mencipta cinta untuk yang dicipta mencinta Yang Mencipta dan yang dicipta.”“Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu dan cinta orang yang cinta kepada-Mu dan cinta orang yang cinta kepada orang yang boleh hampir kepada-Mu…”.

-Allah lebih mengetahui segalanya-

2 ulasan:

nadhirah nashit berkata...

assalamualaiku...mantop entry nih. tapi memang tak de pun cintan cintun sblm kahwin ni..benda tu sume haram..semoga kita sume bisa menjaga hati..

Farhan Baharin berkata...

salam. this is more than menarik actually. alhamdulillah, objektifnya sampai malah jelas lagi. nice blog entry. banyak ilmu boleh dapat and thank you for that, thanks for sharing :)