Apa hukumnya apabila lupa akan ayat-ayat al-Quran yang telah dihafal? Adakah kita berdosa kerana tidak mengulang bacaan ayat-ayat tersebut sehingga menyebabkan kita lupa?
Jawapan
Asas hukum di dalam isu ini adalah
hadith-hadith berikut :-
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " ما من امرئ يقرأ
القرآن ثم ينساه إلا لقي الله عز وجل أجذم "
Ertinya : "Tiada siapa pun yang membaca Al-Quran kemudian melupakannya kecuali ia akan bertemu Allah SWT di hari kiamat dalam keadaan kerdil" (Riwayat Abu Daud; Al-Munziri mengatakan ada perawinya Yazid Bin Abi Ziyad, hadithnya tidak dijadikan hujjah; Dhoif menurut Albani ; no 1474, hm 176)
Abu Ubayd
menyebut : "Ajzam" di dalam hadith di atas bermaksud terpotong
tangan, manakala Ibn Qutaybah pula menyebut ianya bermakna kerdil. (Ma'alim
as-Sunan, AL-Khattabi, 1/253 ; Awnul Ma'bud, Ibn Qoyyim)
Terdapat
ulama yang menjadikan hadith di atas sebagai hujjah dalam isu melupakan hafazan
al-Quran. Disebut huraian "yaqra" di atas merangkumi maksud membaca
dengan melihat, membaca secara hafaz dan membaca makna Al-Quran kemudian
meninggalkan pembacaannya secara lupa atau sengaja. Bagaimanapun hadith di atas
telah dihukum sebagai dhoif.
Antara hadith lain adalah :-
"عرضت عليّ ذنوب أمتي فلم أر ذنباً أعظم من سورة من القرآن - أو
أية - أوتيها رجل ثمّ نسيها"
Ertinya :
" Dibentangkan kepadaku dosa-dosa umatku dan tidak aku nampak dosa yang
lebih besar dari satu surah dari Al-Quran atau satu ayat ,yang diberikan kepada
seorang lelaki kemudian ia melupakannya" (Riwayat At-Tirmidzi, bab Fadhail
Quran dari Rasulullah SAW, no 2840 ; At-Tirmidzi: Gharib; Al-Munziri: Dhoif
kerana perawi bernama Abd Majid Bin Abd Aziz; rujuk Tuhfatul Ahwazi)
Para
ulama salaf berbeza pandangan dalam bab melupakan ayat Al-Quran, sebahagian
mereka menjadikannya sebagai dosa besar, antaranya Ulama Syafie seperti Syeikh
Ar-Ruyani, Al-Qurtubi dan lain-lainnya yang mengatakan melalaikan pembacaanya
adalah penyebab kepada lupa ayatnya, lupa ini menunjukkan tidak memberi
perhatian sewajarnya terhadap Al-Quran.
Malah di sebut dalam sebuah riwayat
Mawquf :
" ما من أحد تعلم القرآن ثم نسيه إلا بذنب أحدثه , لأن الله يقول
(( وما أصابكم من مصيبة فبما كسبت أيديكم)) "
Ertinya: Tiada seorang pun yang mempelajari Quran kemudian melupakannya kecuali ditimpa dosa, kerana Allah berfirman: "Tiadalah musibah yang menimpa kamu kecuali dengan sebab tangan-tangan kamu sendiri", mereka menambah : tiada musibah yang lebih besar dari melupakan al-Quran.
Sebuah lagi sambungan hadith di atas tetapi
bertaraf mursal menurut Al-Hafidz Ibn Hajar Al-Asqolani; Ertinya: "..tidak
aku nampak dosa yang lebih besar dari dosa penghafaz al-Quran kemudian
meninggalkannya" (Dikeluarkan oleh Ibn Abi Daud ; Rujuk Fath Al-Bari)
Imam
Al-Qurtubi pula berpendapat bahawa sesiapa yang menghafaz Al-Quran maka telah
tinggi darjatnya sekadar mana yang ia hafaz, apabila rosak kedudukan ini kerana
lupa maka ia akan membawa kepada jahil, maka jahil selepas berilmu adalah amat
buruk. (Rujuk Fath al-Bari, bab: Kelebihan Al-Quran, no 4650)
Bagaimanapun,
sebahagian ulama salaf pula pula menghuraikan maksud lupa di sini adalah
melupakannya dengan meninggalkan beramal degan ayat itu. Ini kerana amaran
jikakalau lupa ini hanya tertakluk kepada lupakan hafazan al-Quran maka akan
berkatalah seseorang, bahawa LEBIH
BAIK TIDAK PERLU MENGAHAFAZ TERUS. Maka ia bertentangan dengan objektif
Shariah.
Kesimpulan
Apapun tafsiran dan kekuatan dan kelemahan rawi hadith,
sememangnya menjadi kewajiban bagi menjaga hafazan Al-Quran demi mengekalkan
ketinggian maqam di sisi Allah, juga amat wajib bagi yang telah mempelajari
ilmu-ilmu dari Al-Quran dan memahaminya kemudian melupakannya. Justeru, amat
perlu bagi kita umat Islam mengingati hafazan dan ilmu dari Al-Quran untuk
dibaca dan diamal. Wallahu ‘alam.
-Ust
Zaharuddin Abdul Rahman-
*dipetik
dari www.zaharuddin.net
Tiada ulasan:
Catat Ulasan