Sabtu, 12 Januari 2008

Peperangan Khandaq



Peperangan ini juga dinamakan dengan peperangan Al-Ahzab. Peperangan ini telah berlaku pada bulan Syawal, tahun ke-5 Hijrah. Ini adalah mengikut apa yang ditegaskan berdasarkan pendapat yang kuat oleh Ibnu Ishaq, ‘Urwah Bin Al-Zubair, Qatadah, Al-Baihaqi dan Jumhur ‘Ulama’ Sirah, dan dikatakan juga ianya berlaku pada tahun keempat Hijrah. Tarikh ini juga ditegaskan oleh Musa Bin ‘Aqabah dan diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan diikuti oleh Imam Malik.

Dalam peperangan ini, tentera Islam telah berjaya memenanginya dengan menggunakan idea yang telah dicadangkan oleh Salman Al-Farisi r.a. Peperangan ini berpunca (sebagaimana yang diriwayatkan) dari pengkhianatan kaum Yahudi dan tipu muslihat mereka. Mereka yang menyalakan api peperangan itu dan merekalah yang mengumpulkan barisan Musyrikin Mekah. Kerja jahat seperti ini tidak terbatas kepada kaum Bani Nadhir yang telah diusir keluar dari Madinah sahaja, malah kerja-kerja seperti ini turut dilakukan oleh Bani Quraizhah sedangkan mereka masih terikat dengan perjanjian dan perhubungan kaum Muslimin dan tidak ada sesuatu pun kegiatan kaum Muslimin yang mengancam mereka hingga mendesak mereka melanggar perjanjian dan ikatan merela itu.


Di sini dapat kita ambil sejumlah pengajaran dan pedoman untuk dijadikan contoh bagi umat masa kini. Antaranya ialah:-

i) Rasulullah s.a.w. tidak mengarahkan kaum Muslimin sahaja untuk menggali kubu, sebaliknya Baginda s.a.w.sendiri turut bersama-sama telah berhempas pulas memerah tenaga bersama seluruh kaum Muslimin di kalangan para sahabatnya. Badan Baginda s.a.w. yang diselaputi dengan tanah dan debu sehingga tiada perbezaan diantara Baginda s.a.w. dan para sahabatnya. Inilah dia hakikat dalam menegakkan syari’at Islam bagi melaksanakan prinsip persamaan antara pemimpin dan yang dipimpin, di antara kaya dan miskin. Malah kita akan dapati bahawa seluruh cabang Syari’at Islam ditegakkan diatas konsep ini.

ii) Kesetiaan yang teradun dalam peribadi Rasulullah s.a.w. telah membawa kita untuk melihat betapa kecintaan Baginda s.a.w. terhadap para sahabatnya dan perasaan belas kasihan ke atas mereka di samping memberi gambaran lain mengenai perkara-perkara luar biasa dan mu’jizat yang dikurniakan Allah kepada utusanNya.

Dalam kisah perang Khandaq ini, Baginda s.a.w. sanggup mengikat batu-batu ke perutnya bagi menahan pedih kesakitan di perut Baginda s.a.w. kerana terlalu lapar. Baginda s.a.w. sentiasa bersabar menanggung dan menghadapi segala-galanya. Ini tidak lain tidak bukan adalah kerana rasa tanggungjawab Baginda s.a.w. terhadap risalah dan amanah yang ditaklifkan kepadanya.

Gambaran kecintaan Baginda s.a.w. terhadap para sahabatnya tidak dapat dibayangkan dengan bahasa percakapan apabila Baginda s.a.w. mengajak seluruh para sahabatnya menikmati masakan Jabir r.a. yang pada asalanya dimasak khas untuk Baginda s.a.w. dan beberapa sahabat lain sahaja.

Apa yang dikatakan mu’jizat dalam kisah ini ialah berkenaan kambing kecil Jabir r.a telah bertukar menjadi makanan yang berlimpahan, mengenyangkan beratus-ratus para sahabat dan masih banyak lagi berbaki. Justeru, Baginda telah meminta agar makanan tersebut dihidangkan kepada ahli keluarga Jabir r.a. dan disedekahkan kepada yang memerlukan. Sesungguhnya, mu’jizat luar biasa yang menakjubkan ini merupakan penghargaan Ilahi kepada Baginda s.a.w. bagi menggambarkan rasa sayang Baginda s.a.w. terhadap sahabat-sahabatnya.

iii) Bagaimana dan apakah caranya kaum Muslimin sehingga berjaya menetang kaum Musyrikin didalam peperangan ini?

Caranya dengan memohon restu kepada Allah s.w.t., memperbanyakkan doa dan tadarru’, sebagaimana yang diamalkan Baginda s.a.w. sepanjang masa apabila bertembung dengan seteru Allah s.w.t. atau semasa berada di medan jihad. Inilah cara yang sangat berkesan dan mengatasi faktor-faktor kebendaan lain. Cara ini tidak berkesan kecuali apabila telah ditegakkan di atas lunas-lunas yang dijaga dan dipelihara sesempurna yang mungkin.

Bagaimana pula dengan kaum Musyrikan yang kalah meskipun bilangan mereka terlalu ramai?
Ini berlaku lantaran kecekalan golongan Mu’min dan dengan kesabaran mereka serta penyerahan mereka sepenuhnya kepada Allah seperti mana yang telah disifatkan Allah di dalam kitabNya yang berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera lalu kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Ahzab; 9)

Sumber: Kitab Fiqh Sirah II Karangan Dr. Sa'id Ramadan Al-Buti keluaran Dewan Pustaka Fajar (Cetakan 2005)

Tiada ulasan: