Sabtu, 26 Januari 2008

Berfikir Dahulu Sebelum Memulakan Langkah


Jodoh pertemuan di tangan Tuhan, hanya belum sampai masanya.

Ia bagai menanti jambatan untuk ke seberang. Kalau panjang jambatannya jauhlah perjalanan kita. Ada orang yang jodohnya cepat sebab jambatannya singkat. Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum apa-apa kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan dan berbakti kepada masyarakat ataupun sibuk berada di atas medan dakwah.

Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda itu dalam doa-doa lewat sembahyang. Allah Maha Mendengar. Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. itu janji tuhan yang telah termaktub di dalam surah An-Nuur. Biar lambat bertemu jodoh asalkan mendapat Mr Right dan biar seorang diri daripada menjadi mangsa lelaki atau wanita yang tidak beriman kemudian nanti.

Kita mudah tersilap menafsir kehidupan ini. Kita selalu menyangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini dan ini. Hakikatnya, apabila kita benar-benar memperoleh apa yang kita inginkan itu, ia juga datang bersama masalah.

Kita selalu melihat orang yang memandu kereta mewah dan terdetiklah di hati kita, bahagianya orang itu. Hakikatnya apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah kita ditimpa pelbagai kerenah.

Tidak mustahil pula org yang memandu kereta mewah (walaupun sebenarnya tak mewah) terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan. Orang lain membeli dengan harga biasa, dia terpaksa membayar berlipat ganda.

Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh di hadapan. Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang sebuah motosikal seperti itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal mungkin sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta ditengah-tengah bandar raya.

Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda, pasti ada baik buruknya. Demikian juga perkahwinan.

Ia baik sebab ia dibenarkan oleh agama, sunnah Nabi, sebagai saluran yang betul untuk melepaskan syahwat disamping membina sahsiah dan sebagainya, tapi ia juga boleh menjadi suatuyang buruk. Buktinya, ramai orang yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus. Ramai orang menempah neraka sebaik sahaja melangkahkan kaki ke alam berumahtangga.

Bukankah dengan Ijab dan Kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut datang bersama? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka? Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan masing-masing padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan segala impian menjadi nyata.

Jika tidak sanggup untuk bergelar isteri atau suami, tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk bergelar ibu ataupun ayah, belajarlah dulu. Jika rasa-rasa belum bersedia untuk bersabar dengan kerenah pasangan dan anak-anak, carilah dulu kesabaran itu. Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi telah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti tuntutan-tuntutannya. Berkahwin itu menjanjikan pahala yang tidak putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman, mencintai Tuhan dan menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan - bagi yang mengetahui rahsia2nya.

Berkahwinlah anda demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan berkahwin kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong2nya agar jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang.

Kadang2 Allah sembunyikan matahari. Dia datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya, ke mana hilangnya sinar. Rupa-rupanya, Allah nak hadiahkan kita pelangi yang lebih berseri.

Berfikirlah dulu sebelum mengorak langkah. Apabila anda sudah yakin dengan langkahan yang dibuat, teruskan melangkah..Usah berlengah.

Tiada ulasan: