Isnin, 27 Julai 2015

Cara Mudah Untuk Mengenali Beberapa Kumpulan Syiah



Cara mudah mengenali kumpulan-kumpulan Syiah berdasarkan permasalahan susunan keutamaaan para Sahabat (khulafa' ar-Rasyidin) dan sikap mereka terhadap para Sahabat رضي الله عنهم:

1. Syiah secara umumnya, mengutamakan Ali daripada Uthman sahaja (Abu Bakar > Umar > Ali > Uthman) atau mengutamakan Ali daripada Abu Bakar, Umar dan Uthman  (Ali > Abu Bakar > Umar > Uthman) رضي الله عنهم dalam turutan keutamaan para Sahabat.

2. Syiah Rafidhah ialah mereka yang mengutamakan Ali daripada Abu Bakar dan Umar, serta mencaci kedua-duanya. (Ali > Abu Bakar > Umar + Cacian kepada Abu Bakar dan Umar)

3. Syiah Zaidiyah ialah mereka yang mengutamakan Ali daripada Abu Bakar dan Umar tanpa mencaci kedua-duanya. (Ali > Abu Bakar > Umar + Tanpa Cacian kepada Abu Bakar dan Umar)

4. Syiah Rafidhah yang melampau ialah mereka yang mengkafirkan Abu Bakar, Umar, Uthman dan sebahagian besar para Sahabat lain. (Ali > Abu Bakar > Umar  + Mengkafirkan Abu Bakar, Umar dan kenbanyakan para Sahabat yang lain)

*Ahli Sunnah wal Jamaah berbeza pendapat dalam turutan keutamaan para Sahabat, antara Uthman dan Ali. Pendapat yang lebih kuat dan tepat adalah Uthman lebih utama daripada Ali berdasarkan hadith-hadith Nabi serta pemilihan Uthman berbanding Ali sebagai khalifah menggantikan Umar oleh Ahli Syura di kalangan para Sahabat selepas kewafatan Umar.

Sumber: 
1.Sheikh Soleh Fauzan al-Fauzan Hafizahullah
2. Sheikh Abu Bakar Salim Hafizahullah.

Sabtu, 25 Julai 2015

Sa'id bin Zaid رضي الله عنه

(Tapak Peperangan Yarmouk di Jordan)

Sa'id bin Zaid رضي الله عنه adalah salah seorang daripada 10 orang sahabat yang dijanjikan syurga oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم  melalui satu hadith yang diriwiyatkan oleh Tirmidzi dan Abu Daud, tetapi beliau mungkin merupakan sahabat yang paling kurang dikenali di kalangan 9 orang sahabat yang lain.

Sedikit latar belakang beliau secara ringkas:
Beliau merupakan suami kepada Fatimah binti al-Khattab dan adik ipar kepada Umar bin Al-Khattab رضي الله عنه. Umar Al-Khattab telah memeluk Islam di rumah beliau. Beliau antara sahabat yang awal memeluk Islam (sebelum Rasulullah memulakan perjumpaan rahsia bersama sahabat-sahabat Baginda di rumah Arqam bin Abi Arqam رضي الله عنه).

Beliau telah terlibat dalam semua peperangan kecuali peperangan Badar kerana ketika itu beliau berada di Syam. Beliau turut terlibat dalam peperangan Yarmouk dan pembukaan kota Dimasyq. 


Antara kisah yang masyhur mengenai beliau adalah mengeni keberkatan doa beliau yang dizalimi dan difitnah oleh Urwa binti Uwais. Kisah ini menjadi salah satu asas kepada mustajabnya doa orang yang dizalimi, apatah lagi jika ia didoakan oleh seorang yang alim dan soleh. 

Beliau telah wafat pada usia 50 tahun. Semoga kita dapat mengikut jejak langkah para sahabat yang telah pergi menunaikan janji-janji mereka untuk hidup dan mati dalam menegakkan agama Islam.

Sumber:
1. منحة العلام في شرح بلوغ المرام لشيخ عبد الله بن صالح الفوزان حفظه الله
2. الشيخ الدكتور محمد آل معدي حفظه الله، عضو هيئة التدريس بجامعة الإمام محمد بن سعود الإسلامية.

Khamis, 23 Julai 2015

Mengapa Rumah al-Arqam bin Arqam Yang Dipilih?


Sheikh Muhammad Munir al-Ghatban rahimahullah
dalam kitabnya yang berjudul, Manhaj Haraki dalam Sirah Nabawiyah, telah menyenaraikan beberapa hikmah dan sebab mengapa rumah al-Arqam bin Abi Arqam رضي الله عنه dipilih sebagai markas dan tempat pertemuan umat Islam pada peringkat awal perkembangan agama Islam, iaitu:

1. al-Arqam berasal daripada Bani Makhzum. Bani Makhzum merupakan musuh kepada Bani Hasyim. Jika pengislaman Al-Arqam diketahui, pergaduhan antara dua kabilah akan berlaku dan al-Arqam pasti akan dibela.

2. al-Arqam memeluk agama Islam ketika usia remaja, iaitu ketika baru berusia 16 tahun. Ketika para pembesar Quraisy berbincang untuk mencari pusat pertemuan umat Islam, mereka lansung tidak terfikir untuk memasukkan rumah al-Arqam sebagai salah satu tempat sasaran kerana Al-Arqam masih dianggap sebagai pemuda mentah.

3. Keislaman Al-Arqam tidak diketahui oleh puak Quraisy. Ini menjadikan rumah beliau selamat untuk diadakan pertemuan kerana tidak disyaki oleh pihak musuh.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan para sahabat telah memanfaatkan segala keadaan dan kedudukan yang strategik seperti kekuatan asobiyah di kalangan kabilah Arab, pandangan umum masyarakat Quraisy terhadap golongan remaja dan tempat yang strategik demi survival tertegaknya agama Islam. 

Ini adalah salah satu daripada cebisan contoh dan teladan buat pedoman generasi terkemudian seperti kita dalam menyusun langkah dan gerak demi menegakkan agama Islam di muka bumi.

Strategi dalam berdakwah adalah amat penting, apatah lagi jika usaha-usaha dakwah dan menegakkan agama Islam dihalang dan tidak disukai oleh mereka yang bencikannya, yang terdiri daripada umat Islam sendiri atau orang-orang Kafir.

Para pendakwah dan pejuang Islam juga perlu memahami segala tabiat masyarakat setempat agar ia boleh dimanfaatkan sebaiknya dan diubah menjadi kekuatan serta peluang dalam segala usaha dakwah dan menegakkan agama Islam.

Perbezaan Penuntut Ilmu Dahulu dan Sekarang


Ibnu Qutaibah rahimahullah telah berkata:
"Adalah penuntut ilmu di waktu dahulu mendengar untuk belajar, dan belajar untuk beramal, dan mendalami agama Allah untuk dimanfaatkan dan memanfaatkanya.
Sesungguhnya apa yang berlaku sekarang, penuntut ilmu mendengar hanya untuk dikumpul, diingati dan dihafaz ilmu tersebut untuk digunakan dalam perbahasan. Mereka inginkan kemenangan dalam perbahasan malah berbangga dengan kejayaan itu"

Sumber: الشيخ عبد الفتاح أبو غدة رحمه الله، رسائل الأئمة السلف وأدبهم العلمي


Begitulah perbezaaan penuntut ilmu di antara dua zaman seperti yang digambarkan oleh Ibnu Qutaibah rahimahullah. Perbezaan tujuan menuntut ilmu telah memberikan perbezaan kepada hasil yang dikeluarkan daripada proses menuntut ilmu tersebut.

Penuntut ilmu di zaman sekarang sangat kurang yang mempunyai sikap tawadhuk dan merendah diri. Mereka akan cepat merasa cukupnya dengan ilmu yang ada dan merasakan ia mempunyai ilmu yang banyak berbanding orang lain. 

Ia adalah kesan daripada tujuan asal menuntut ilmu yang bukan untuk diamalkan, tetapi untuk dikumpul dan dihafaz serta akhirnya digunakan untuk diperdebatkan. 

Mereka yang memenangi perdebatan akan dilihat sebagai orang yang paling berilmu walaupun hilangnya segala akhlak dan adab yang sepatutnya mengiringinya. Bahkan, sesetengah daripada mereka yang kelihatannya hebat di medan perdebatan sebenarnya tidak mempunyai ilmu yang selayaknya untuk berdebat kerana tidak memperoleh maklumat/ilmu melalui disiplin yang sepatutnya dan sangat lemah dalam penguasaan ilmu-ilmu alat untuk mencapai kepada pemahaman sebenar dalam sesuatu ilmu. 

Perbetulkan dan perelokkan kembali niatmu wahai penuntut ilmu agar segala ilmu yang diperoleh mampu diamalkan sebaiknya dan dimanfaatkan untuk agama, ummah, dan masyarakat.

Isnin, 20 Julai 2015

Pertanyaan Yang Tidak Digalakkan



Imam Asy-Syatibi rahimahullah di dalam kitabnya, al-Muwafaqat, telah meletakkan beberapa ciri-ciri soalan yang makruh ditanya. Antaranya ialah:

1. Bertanya akan perkara yang tidak memberi manfaat kepada Islam. Antara tujuannya agar setiap soalan yang ditanya memberi manfaat kepada Islam.

2. Bertanya akan perkara yang sudah diketahui jawapannya.  Tiada keperluan, bahkan membuang masa dan mungkin boleh menyakiti hati orang yang ditanya.

3. Bertanya akan perkara yang tidak diperlukan ketika itu. Contohnya, bertanya akan perkara masa hadapan yang tidak berlaku lagi atau mustahil untuk berlaku.

4. Bertanya dengan bertujuan untuk merendahkan-rendahkan orang yang ditanya (bertanya perkara yang susah dengan niat yang jahat). Perkara ini banyak berlaku dalam perdebatan-perdebatan yang tidak berfaedah dan tidak mempunyai titik temu,

5. Bertanya untuk menimbulkan perbalahan. Perkara ini juga banyak berlaku dalam perdebatan-perdebatan yang tidak berfaedah dan tidak mempunyai titik temu,

6. Bertanya tentang 'illah pada perkara-perkara ta'abbudi. Contohnya, bertanya kenapa solat Subuh sebanyak 2 rakaat, kenapa perlu berpuasa di bulan Ramadhan sahaja, bukan di bulan-bulan lain.

7. Bertanya tentang perkara-perkara mutasyabihat. Tidak bertanya lebih baik dan berhenti setakat apa yang dikhabarkan sahaja.

Bukan sahaja malu bertanya akan sesat, bahkan di sesetengah keadaan, banyak bertanya juga boleh membawa kepada kesesatan dan kerosakan. Bertanyalah mengikut keperluan dan manfaatkan ruang pertanyaan sebaiknya.

Bertanyalah untuk menuju 'cahaya', bukannya menuju 'kegelapan'.

Jumaat, 17 Julai 2015

Lelaki Yang Baik Untuk Perempuan Yang Baik; Fungsi Sebenar Seorang Wali


Sheikh Muhammad bin Soleh Al-‘Uthaimin (Ibn 'Uthaimin) Rahimahullah pernah didatangi oleh seorang pemuda setelah selesai kuliah pengajian di Universiti al-Qassim, Arab Saudi. Pemuda itu bernama Khalid dan merupakan seorang mahasiswa ketika itu.

Setelah selesai sesi kuliah tersebut, beliau menghampiri Sheikh Ibn ‘Uthaimin yang ketika itu hendak pulang ke rumah. Pemuda itu nekad memberanikan diri untuk bertanya, “Sheikh, apakah Tuan Sheikh mempunyai anak perempuan?”

Ketika mendengar pertanyaan pemuda tersebut, berubah mimik muka Sheikh Ibn ‘Uthaimin dan beliau bertanya, “Ada apa akh?”

Pemuda itu menjawab, “Kalau ada, saya berniat untuk meminangnya. Bolehkah saya meminangnya?”

Kemudian, Sheikh Ibn ‘Uthaimin berkata, “Tunggulah khabar dariku, InsyaAllah akanku hubungi dengan telefon…”

Hari terus berlalu tetapi khabar jawapan daripada Sheikh masih belum diketahui. Pemuda tersebut semakin gelisah menanti jawapan daripada Sheikh. Ia bertanya dalam hati, “Adakah Sheikh sudah lupa? Adakah perlu saya mengingatkannya?”

Namun, pemuda tersebut teringat akan pesanan daripada Sheikh untuk menunggu panggilan daripadanya. Sebulan setelah peristiwa itu, Sheikh Ibn ‘Uthaimin cuba untuk menghubungi pemuda tersebut, tetapi pada ketika itu pemuda tersebut berada dalam kuliah pengajian. 

Pemuda tersebut menghubungi kembali Sheikh Ibn ‘Utsaimin setelah dimaklumkan yang Sheikh ada menghubunginya ketika dia berada dalam kuliah. Pemuda tersebut pun bertanya kepada Sheikh, “Ada apa wahai Sheikh?”

“Aku ingin melanjutkan perbincangan kita sebelum ini, akhi.”

“Perbincangan yang mana, Sheikh?”. Pemuda tersebut hampir-hampir terlupa tentang pertanyaannya terhadap Sheikh mengenai anak perempuannya kerana tidak meletakkan harapan yang tinggi dan Sheikh hanya berdiam diri dalam tempoh yang lama.

“Perbincangan ketika kamu mengekori aku di suatu jalan. Akhi, silakan untuk meneruskan prosesnya..”

Pemuda tersebut sangat terkejut apabila mendengar jawapan daripada Sheikh. Ternyata Sheikh Ibn ‘Uthaimin masih mengingatinya dan beliau pun akhirnya berkata kepada Sheikh Ibn 'Uthaimin, “Sheikh, saya memohon untuk memaklumkan kepada orang tua saya terlebih dahulu untuk proses selanjutnya…”

“Silakan akhi, saya tunggu kedatangan kalian…” Jawab Sheikh Ibn ‘Uthaimin.

Apakah yang dilakukan oleh Sheikh Ibn ‘Uthaimin selama tempoh sebulan tersebut?
Sheikh Ibn ‘Uthaimin sebenarnya menyelidiki dan menyiasat sendiri tentang pemuda ini dari segi pergaulannya, bagaimana beliau dari kaca mata teman-temannya, dari perspektif guru-gurunya, bagaimana kesungguhannya dalam menuntut ilmu, bagaimana prestasinya di kampus, dan bagaimana latar belakang keluarganya.

Beliau melakukannya semua perkara tersebut secara sendiri walaupun Sheikh Ibn 'Uthaimin adalah seorang ulama' besar pada ketika itu!

Beliau tidak terus bertanya pemuda tersebut mengenai maklumat peribadinya mahupun menggunakan bantuan orang lain. Beliau menyelidikinya sendiri melalui maklumat-maklumat orang-orang di sekeliling pemuda tersebut. Setelah berpuas hati, barulah Sheikh Ibn 'Uthaimin bermusyawarah dengan ahli keluarga beliau sebelum memberi jawapan kepada pemuda tersebut.

Inilah adab dan cara seorang ‘ulama yang bernama Sheikh Muhammad bin Soleh Al-‘Uthaimin Rahimahullah yang harus dicontohi oleh setiap ayah/ abang/ bapa saudara/ datuk yang bertanggungjawab menjadi wali kepada seorang perempuan. Urusan dilakukan sendiri dengan sangat berhati-hati agar anak yang dijodohkan kelak akan bersuamikan seorang yang soleh dan bertaqwa. Soalan dan neraca timbangan seseorang pemuda yang datang meminang juga harus dicontohi. Bukan hanya fokus kepada perkara duniawi, tetapi aspek akhlak, adab, hubungan sosial, pengamalan agama yang dititikberatkan dan menjadi kayu ukur sama ada seseorang itu layak atau tidak untuk menjadi suami, ayah dan ketua keluarga kelak.

Pemuda tersebut yang akhirnya menjadi menantu kepada Sheikh Ibn 'Uthaimin itu adalah Sheikh Dr. Khalid Al-Mushlih yang ketika ini merupakan salah seorang ulama besar di Arab Saudi.

Permulaan yang baik, dengan cara baik, ke atas orang baik, hasilnya pasti menghasilkan yang terbaik.

Khamis, 16 Julai 2015

Perisian Al-Quran Elektronik yang Lengkap


Universiti King Saud Riyadh telah mengeluarkan satu perisian al-Quran Elektronik yang lengkap dengan tulisan mushaf, bacaan dari pelbagai Imam dan Qurra', terjemahan al-Quran dan pilihan tafsir yang pelbagai seperti tafsir Ibn Kathir, at-Tabari, al-Qartubi, as-Sa'adi dan lain-lain.

Ia juga mempunyai pelbagai pilihan bahasa dan boleh digunakan menggunakan sistem Android, iOS dan Windows.
Sangat bermanfaat kepada Umat Islam.

Boleh klik di sini:

http://quran.ksu.edu.sa/

Rohingya yang Dipinggirkan


(Kredit foto: wearehelp.org)

Penderitaan etnik Rohingya adalah antara kesan kejayaan projek jangka panjang yang telah memisahkan negara dan umat Islam menjadi serpihan-serpihan kecil yang lemah.

Projek yang telah berjalan lebih daripada 100 tahun ini telah menjadikan langkahan umat Islam terhenti di garisan-garisan sempadan yang telah digarap oleh orang lain.

Hubungan persaudaraan umat Islam terhenti di garisan-garisan sempadan tersebut. Sesiapa yang berada di luar sempadan tersebut, maka terputuslah persaudaraan, perasaan belas kasihan dan kasih sayang.

Garisan sempadan ini terus menjadi tembok tebal yang sukar dipecahkan oleh umat Islam sendiri walaupun saban hari umat Islam diratah, dirobek dan diperlakukan sesuka hati seperti yang telah berlaku di Palestin, Mesir, Syria, Iraq, Bosnia, Afghanistan Burma dan tempat-tempat lain.

Sungguh, bukan ini yang diajar dalam agama kita.

إنما المؤمنون إخوة فأصلحوا بين أخويكم واتقوا الله لعلكم ترحمون 

Jarak, sempadan, bangsa dan keturunan tidak pernah menjadi pemisah dalam persaudaraan Islam!

Tidak selama-lamanya.

Jangan Malu untuk Mengatakan Tidak Tahu



Ibnu Abbas radhiyallahu 'anhuma telah bertanya sahabat-sahabatnya:
"Adakah kamu semua mahu agar aku tunjukkan sesuatu ilmu yang besar?"

Mereka menjawab:
"Sudah tentu"

Ibnu Abbas radhiyallahu 'anhuma berkata:
"Apabila seseorang ditanya akan perkara yang dia tidak tahu, maka dia berkata: Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui"

(as-Suyuthi rahimahullah, Adab al-Fatya)

Perkara ini nampak mudah untuk diungkapkan, tetapi pada hakikatnya amat kurang yang mengatakan tidak tahu pada zaman ini. Berapa ramai yang mengeluarkan fatwa, sedangkan diri masih lagi dalam keadaan jahil mahupun tidak pasti akan kedudukan sesuatu keadaan tersebut.

Gejala ini semakin kelihatan jelas bagi para pelajar aliran agama yang baru setahun jagung terjun ke lautan perbahasan ilmu yang sangat luas. Mulut mahupun tangan (melalui penulisan) sangat mudah berfatwa sedangkan diri masih lagi merangkak dalam memahami ilmu alat dan asas seperti bahasa Arab dan ilmu-ilmu alat yang lain. Apabila golongan yang bukan ahlinya mengeluarkan fatwa, maka rosaklah masyarakat.

Tidak kurang juga pendakwah-pendakwah terkenal yang sering muncul di kaca televisyen mahupun corong radio yang sering mengeluarkan fatwa atau pendapat, sedangkan mereka tiada keahlian tentang bidang tersebut. Demi menjaga imej yang baik, banyak perkara 'aneh' yang diutarakan kepada masyarakat. Perkara ini sangat berbahaya kerana mereka sangat berpengaruh dan memberikan impak yang besar kepada pegangan agama masyarakat awam.

Apabila kita berkata-kata akan sesuatu perkara yang kita tidak tahu, sebenarnya ilmu kita sangat kecil, walaupun kelihatan besar di mata manusia. Sebaliknya jika kita mengatakan tidak tahu dan mengembalikannya kepada Allah dan RasulNya akan perkara yang kita benar-benar tidak tahu, ilmu kita kelihatan kecil di mata manusia, tetapi sebenarnya kitalah yang mempunyai ilmu yang besar.

Jangan malu pada tempatnya!