Khamis, 23 Julai 2015

Mengapa Rumah al-Arqam bin Arqam Yang Dipilih?


Sheikh Muhammad Munir al-Ghatban rahimahullah
dalam kitabnya yang berjudul, Manhaj Haraki dalam Sirah Nabawiyah, telah menyenaraikan beberapa hikmah dan sebab mengapa rumah al-Arqam bin Abi Arqam رضي الله عنه dipilih sebagai markas dan tempat pertemuan umat Islam pada peringkat awal perkembangan agama Islam, iaitu:

1. al-Arqam berasal daripada Bani Makhzum. Bani Makhzum merupakan musuh kepada Bani Hasyim. Jika pengislaman Al-Arqam diketahui, pergaduhan antara dua kabilah akan berlaku dan al-Arqam pasti akan dibela.

2. al-Arqam memeluk agama Islam ketika usia remaja, iaitu ketika baru berusia 16 tahun. Ketika para pembesar Quraisy berbincang untuk mencari pusat pertemuan umat Islam, mereka lansung tidak terfikir untuk memasukkan rumah al-Arqam sebagai salah satu tempat sasaran kerana Al-Arqam masih dianggap sebagai pemuda mentah.

3. Keislaman Al-Arqam tidak diketahui oleh puak Quraisy. Ini menjadikan rumah beliau selamat untuk diadakan pertemuan kerana tidak disyaki oleh pihak musuh.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan para sahabat telah memanfaatkan segala keadaan dan kedudukan yang strategik seperti kekuatan asobiyah di kalangan kabilah Arab, pandangan umum masyarakat Quraisy terhadap golongan remaja dan tempat yang strategik demi survival tertegaknya agama Islam. 

Ini adalah salah satu daripada cebisan contoh dan teladan buat pedoman generasi terkemudian seperti kita dalam menyusun langkah dan gerak demi menegakkan agama Islam di muka bumi.

Strategi dalam berdakwah adalah amat penting, apatah lagi jika usaha-usaha dakwah dan menegakkan agama Islam dihalang dan tidak disukai oleh mereka yang bencikannya, yang terdiri daripada umat Islam sendiri atau orang-orang Kafir.

Para pendakwah dan pejuang Islam juga perlu memahami segala tabiat masyarakat setempat agar ia boleh dimanfaatkan sebaiknya dan diubah menjadi kekuatan serta peluang dalam segala usaha dakwah dan menegakkan agama Islam.

Tiada ulasan: