Rabu, 24 Jun 2009

Selamat Datang Bulan Rejab



Alhamdulillah, kita sekali lagi berpeluang menjejaki bulan Rejab dengan Iman dan Islam. Masih lagi diberi pinjaman umur oleh Allah S.W.T. untuk meningkatkan bekal bagi menghadapi kehidupan sebenar kelak.
"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, ( yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati (Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah). Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul dan lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laraganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa" (Surah Taubah: 36)
Ramai umat Islam yang menambahkan amalan mereka pada bulan Rejab. Antara amalan yang sering dilipatgandakan pada bulan Rejab ialah amalan berpuasa sunat.

Mengapa kamu melipatgandakan amalan pada bulan ini?? Apakah ada fadhilat khusus di sebaliknya??

"Puasa pada bulan Rejab, bukanlah ada padanya fadhilat yang berlebih-lebihan dari bulan-bulan yang lain, melainkan sesungguhnya ia dari bulan-bulan yang haram" (Sheikh Sayyid Sabiq)

"Fadhilat bulan Rejab adalah sama seperti yang terdapat di dalam 3 bulan Haram yang lain "(Dr. Yusof al-Qaradhawi, Sheikh Atiyah al-Saqr; Mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar)

Jadi, adakah tiada amalan sunat dibolehkan di bulan Rejab ini??

Jawapannya, ada. Tiada masalah untuk beribadat pada bulan ini, terutamanya berpuasa, tetapi janganlah dikhaskan bahawa amalan dan fadhilatnya hanya pada bulan Rejab sahaja.

Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah S.A.W., "Bulan mana kamu perintahkanku berpuasa selepas bulan Ramadhan?. Rasulullah S.A.W. bersabda: "Jika aku berpuasa selepas Ramadhan, maka berpuasalah di bulan Haram, maka sesungguhnya di dalamnya dari taubat (keampunan) Allah ke atas suatu kaum dean terdapat taubat (keampunan) di dalamnya untuk satu kaum yang lain" (Hadith riwayat Ahmad)

Sebenarnya, di dalam bulan Rejab telah berlaku pelbagai peristiwa penting dalam lipatan sejarah Islam. Seharusnya umat Islam mengingati peristiwa-peristiwa penting tersebut sebagai iktibar untuk generasi masa kini. Di antara peristiwa-peristiwa penting yang telah berlaku pada bulan Rejab ialah peperangan Tabuk (Rejab 9 Hijrah, Oktober 630M), pembebasan Al-Quds dari tentera Salib oleh tentera Islam pimpinan Salehuddin Al-Ayubi (27 Rejab 583Hijrah), kelahiran Imam Syafi'e (Rejab 150 Hijrah, 767 M) dan peristiwa Isra' dan Mi'raj pada 27 Rejab (pendapat sebahagaian ulama').

Peristiwa-peristiwa ini adalah peristiwa besar dalam Islam. Ingatlah sejarah amat penting dalam kejayaan hari ini. Sejauh mana kejayaan hari ini, bergantung kepada peristiwa semalam. Kehidupan ini ibarat seperti memandu kereta. Kita memandu sentiasa ke hadapan. Namun, kita amat memerlukan cermin sisi untuk melihat keadaan di belakang, adakah selamat ataupun tidak.

Bayangkan jika kereta tanpa cermin sisi untuk melihat keadaan belakang. Pemandu itu mungkin tidak akan selamat untuk terus memandu. Jika selamat pun, pemandu tersebut pasti tidak mampu memotong atau meningkatkan kelajuan kenderaan kerana ketiadaan cermin belakang yang boleh memastikan keadaan selamat untuk memecut dan memintas kenderaan lain. Cermin sisi itu adalah sejarah silam. Kita mungkin boleh terus melangkah tanpa melihat sejarah, tapi kita pasti tidak akan dapat melangkah jauh tanpa melihat kepada sejarah kejayaan dan kegagalan umat silam untuk dijadikan pengajaran.

Sempena bulan Rejab ini, beramallah dengan sebaiknya tanpa meminggirkan nas. Amat rugi jika melakukan amalan-amalan yang tiada di dalamnya nas-nas yang sahih. Ingatlah, amaran keras Rasulullah S.A.W.:

“Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).

-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-

Selasa, 23 Jun 2009

Kawasan Perkuburan Islam di Singapura





Sungguh cantik kubur-kubur di atas. Penuh dengan hiasan.

Namun, maaf untuk dikatakan bahawa kubur-kubur di atas adalah Haram di sisi Islam.


Mengapa?


Dari Jabir radhiyallahu ‘anhu, dia berkata,

“Rasulullah S.A.W. telah melarang kuburan dikapur (di simen), dijadikan tempat duduk, dan juga didirikan bangunan diatasnya.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)
Hukumnya adalah Haram jika kubur dibina menggunakan marmar (marble) dan seumpamanya, kerana amat berlawanan dengan ajaran Rasulullah S.A.W. (berdasarkan hadith di atas). Ia juga kerana terdapat pembaziran harta yang ditegah oleh syarak serta terdapat sifat bermegah dan menunjuk yang amat dimurkai Allah S.W.T.

Perhatian!

Membawa bunga-bungaan/jambak-jambak bunga dan seumpamanya bersama jenazah adalah juga diharamkan. Trend ini telah menular dikalangan orang-orang Islam kerana mengikuti adat-adat orang kafir dan Melayu kuno dalam upacara-upacara jenazah mereka. 

Perbuatan tersebut boleh mensia-siakan harta tanpa faedah dan memberi makna bermegah-megah dan berbangga, sedangkan kematian adalah suatu peringatan daripada Allah kepada manusia-manusia yang masih hidup.
" Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarannya ialah manusia dan batu..." (Surah At-Tahrim: 6)


-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-

Isnin, 22 Jun 2009

Pembangunan Negeri Akan Mantap Dengan Penglibatan Para Huffaz


SHAH ALAM, 23 Jun (Hrkh) - Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Dato' Dr. Hassan Ali menegaskan bahawa pembangunan negeri Selangor akan dimantapkan dengan penglibatan golongan huffaz dan huffazah yang telah disemai selama ini dengan pelbagai kemudahan yang disediakan.

Katanya, Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Pakatan Rakyat ingin melihat benih-benih yang disemai ini dapat tumbuh dan membesar bagi membantu dalam pembangunan dan menguruskan negeri Selangor terutamanya dengan kehendak Allah taala.

"Ini merupaka satu aktiviti utama bagi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Kerajaan Negeri harapkan program ini dapat dilihat hasilnya dengan mata.

"Orang yang menghafaz al Quran dapat dlihat kesan mereka dalam pembangunan masyarakat," katanya.

-YB Dato' Dr. Hasan Ali-

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Program Ijtimak Huffaz peringkat negeri Selangor 2009 dan Penyampaian Isbat Huffaz yang diadakan di Dewan Seminar, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dekat sini, semalam.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah Jais, Khusrin Munawi; Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah, Ahmad Zaki Arshad; Timbalan Mufti, Datuk Abdul Majid Omar.

Majlis yang diadakan buat julung-julung kali ini dianjurkan bersama Bahagian Dakwah dan Bahagian Pendidikan Jais, Persatuan Institusi Tahfiz al Quran Selangor (Pitas) dan Masjid Negeri.

Katanya, di Selangor mempunyai pelbagai kemudahan masjid negeri dan asjid daerah dengan masing-masing sepatutnya digunakan secara keseluruhan.

"Ia adalah untuk memantapkan lagi usaha menghafazkan al-Quran terutamanya dikalangan anak-anak muda, anak muda dan remaja termasuklah semua pihak kerana menghafaz al-Quran ini tidak mengira umur," katanya.

Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor berkata, kerja mentelaah dan menghafaz al-Quran merupakan kerja yang mulia dan program tahunan hari ini adalah untuk meraikan mereka yang mengabdikan diri sebagai Huffaz.

"Hafazan mereka itu digunakan dalam kehidupan keluarga, kehidupan bermaysrakat termasuk mengimarahkan masjid dan sebagainya semuanya diambilkira bagi kita sebagai huffaz. Hasilnya akan memberikan faedah kepada kemajuan-kemajuan Islam di negeri selangor," katanya.

Dalam pada itu, seramai 65 orang huffaz dan huffazah menerima elaun bulanan yang telah dipilih berdasarkan kepada hafazan-hafazan mereka, kefasihan yang meliputi kategori satu hingga 10 juzuk, seramai 30 orang menerima RM 1,200 setiap enam bulan.

Manakala seramai sembilan orang dari kategori 1 hingga 20 juzuk pula menerima elaun selama enam bulan sebanyak RM 1,800 dan kategori satu hingga 30 juzuk seramai 26 orang menerima RM 3,000 yang disumbangkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Semua elaun ini diperolehi setelah dipanggil untuk menghadiri perkampungan huffaz selama tiga hari dua malam untuk mengikuti program yang disusun dan temuduga akan dijalankan ketika di perkampungan itu yang diadakan setahun sekali.

Manakala kelayakan untuk mendapatkan elaun untuk akan diputuskan oleh satu jawatankuasa Penyemak Keputusan Temuduga yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Sumber: HarakahDaily.Net

Ahad, 21 Jun 2009

Kembara 19 & 20 Mei 2009


- Majlis Akad Nikah dan Kenduri Kahwin Syahid & Amalina di Kemasik, Kemamaman-



19 Mei 2009


4.30 petang - Bertolak dari Shah Alam bersama Hasan

5.23 petang - Mengambil Barra' di Selayang. Terus menuju ke Masjid Jamek Kemasik, Kemaman untuk menghadiri majlis akad nikah.

-Masjid Jamek Kemasik, Kemaman-


9.54 malam - Kami tidak bernasib baik. Tiba agak lewat ke Majid Jamek Kemasik. Majlis akad nikah baru sahaja selesai. Sempat bergambar sahaja.

10.30 malam - Menjamu selera di rumah Amalina. Menu: Nasi dagang Terengganu+akok+air teh.


-Rumah yang kami duduki. Sungguh luas-


11.15 malam - Menuju ke rumah sewa yang disediakan oleh pengantin dan Asyikin. Bermalam di sana bersama-sama dengan Hasan, Barra', Haziq, Aizuddin, Syed Faris dan Sarmizi.


20 Mei 2009

-Bergambar sebelum pergi ke kenduri kahwin-

-Pantai Kemasik-


11.30 pagi - Singgah di Pantai Kemasik. Menikmati keropok lekor + air 100 plus bersama-sama dengan Syazwan, Mustaqim, Hasan dan Barra'.

12.45 tgh hari - Berkumpul di Masjid Jamek Kemasik dan akan menyertai rombongan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan selepas solat Zohor

1.30-1.50 tgh hari - Solat Zohor dan bergerak ke rumah pengantin perempuan

-Sebahagian daripada warga UIA yang hadir-



-Aluan kompang yang menyerikan keadaan-


- Pengantin diiringi oleh 'orang yang lebih berpengalaman'-


3.30 petang - Berangkat pulang. Iman Saiful Suhardi dan Saupi menyertai kami.

3.45 petang - Singgah di kedai keropok lekor.


-Kedai yang kami singgah-


5.35 petang - Tiba di UIA Kuantan. Saupi turun di UIA. Singgah di rumah sewa Hasan. Bertemu dengan Ridha.

6.05 petang - Meneruskan perjalanan.

8.23 malam - Tiba di UIA Gombak. Menghantar Aiman dan melawat sahabat-sahabat di UIA Gombak.

11 malam - Bergerak pulang daripada di UIA Gombak

12.05 malam - Tiba di rumah.

Rabu, 17 Jun 2009

Sirah Khulafa' Ar-Rasyidin



Tarikh: 17 Jun 2009
Masa : 20.05-20.50
Tempat: Surau Al-Islah, Seksyen 7
Penceramah: Ustaz Fauzi
Tajuk : Sirah Khulafa' Ar-Rasyidin


Khulafa' Ar-Rasyidin:

*Tempoh masa: 30 tahun (berdasarkan hadith Nabi S.A.W.)

*Zaman Abu Bakr R.A., Umar R.A., Uthman R.A., dan Ali R.A.

* Ada ulama' menambah termasuk zaman Saidina Hasan R.A ( Kerana tempoh masa 4 khalifah sebelumnya + zaman Hasan R.A. = 30 tahun). Ada juga ulama' yang menambah Umar Abdul Aziz sebagai salah seorang Khulafa' Ar-Rasyidin.

* Ada sesetengah ulama' mengatakan bilangan Khulafa' Ar-Rasyidin ialah 12 orang (4 khalifah terawal+ 8 orang khalifah zaman Bani Umayyah), berdasarkan hadith, "Umat Islam akan sentiasa baik selama mana diperintah oleh 12 imam Quraisy"...aw kama kol..

* Jika mahu mencontohi bagaimana model pemerintahan negara Islam, contohilah zaman pemerintahan Umar Al-Khattab R.A., bukannya zaman pembinaan negara Madinah (merupakan model tapak pembinaan negara Islam sahaja, bukan model pemerintahan negara Islam kerana ketika itu Islam hanya di Madinah sahaja) -Ulama'-

* Jika mahu mencontohi model tamadun Islam, contohilah tamadun di zaman pemerintahan Bani Abasiyyah, iaitu pada pembentukan pusat pemerintahan Baghdad.m -Ulama'-

* Siapakah yang berperanan mengIslamkan penduduk Madinah sebelum penghijrahan Nabi S.A.W.?
- Jawapannya Mus'ab Bin Umair. Beliau telah mengIslamkan paling kurang 1 rumah, seorang yang memeluk Islam sebelum kedatangan Nabi S.A.W.. Beliau tiba di Madinah 1 tahun sebelum kedatangan Nabi S.A.W. Sungguh besar pengorbanan beliau dalam kejayaan pembentukan negara Islam Madinah.

* Abu Ayyub Al-Ansari, seorang sahabat Nabi S.A.W. yang dipanjangkan umurnya. Beliau sempat bersama-sama dengan tentera Islam dalam usaha membebaskan kota Kontantinopal pada zaman pemerintahan Yazid Bin Muawiyah.

* Tempoh pemerintahan Abu Bakr R.A.: 2 tahun, 3 bulan
* Tempoh pemerintahan Umar R.A.: kira-kira 6 tahun
* Tempoh pemerintahan Uthman R.A.: 12 tahun ( 6 tahun aman, 6 tahun kacau bilau)
* Tempoh pemerintahan Ali R.A: 9 tahun

* 10 sahabat yang dijamin masuk syurga (Abu Bakr As-Siddiq R.A., Umar Al-Khattab R.A., Uthman Bin Affan R.A., Ali Bin Abu Talib R.A, Talhah Bin Ubaidillah R.A., Zubair Al-Awwam R.A., Abdul Rahman Bin 'Auf R.A., Saad Bin Abi Waqqas R.A, Abu Ubaidah Bin Jarrah R.A., Sa'id Bin Zaid R.A) telah memeluk agama Islam pada 3 tahun terawal kedatangan Islam kecuali Umar Al-Khattab R.A. (tahun ke-5 kedatangan Islam).

* Tempoh pemerintahan Bani Umayyah: 41H-142H

* Muawiyah menjadi khalifah selama 20 tahun

* Muawiyah Bin Abu Sufyan R.A. t menjadi telah gabenor Damsyik & Syria selama 40 tahun. Beliau mula dilantik sebagai gabenor oleh Saidina Umar Al-Khattab R.A. untuk menggantikan saudaranya, Yazid Bin Abu Sufyan.

* Muawiyah telah bepandangan jauh dan berwawasan tentang pembukaan Islam di Eropah berdasarkan sabda Nabi S.A.W. (ketika menggembirakan sahabat-sahabat yang dalam keadaan ditekan), " Kota Kontantinopal akan dibuka oleh tentera Islam. Sebaik-sebaik panglima, ada lah panglima ketika itu, dan sebaik-sebaik tentera, adalah tentera ketika itu"..aw kama kol..

Muawiyah pun mencadangkan kepada Amirul Mukminin ketika itu, Saidina Umar Al-Khattab agar ditubuhkan satu pasukan tentera laut Islam. Namun, cadangan itu ditolak oleh khalifah kerana tidak pernah lagi tentera Islam menggunakan laut untuk berperang. Pada zaman pemerintahan Uthman R.A., sekali lagi Muawiyah mencadangkan idea ini agar penaklukan kota Konstantinopal dipercepat. Cadangan ini kemudiannya diterima oleh khalifah.

* "Mana-mana tenteraku yang mula-mula menyeberangi laut, mereka masuk syurga. Mana-mana tenteraku yang menyerang ibu negara Kaisar, mereka akan diampunkan" -Hadith-..aw kama kol..

Tentera Islam pada zaman Yazid Bin Muawiyah (hasil gesaan Muawiyah) adalah tentera Islam pertama yang cuba membuka kota Konstantinopal. Namun, tidak berjaya.

* Cubaan Sultan Muhammad Al-Fatih dan tentera-tenteranya adalah percubaan ke-9 tentera Islam untuk menakluk kota Konstantinopal (6-7 daripada cubaan adalah berlaku pada zaman Bani Umayyah)

Mengapa boleh menang akhirnya?

Sultan Muhammad Al-Fatih telah mengambil masa 2 tahun untuk mengkaji sebab kekalahan-kekalahan tentera-tentera Islam terdulu, mengkaji struktur binaan istana Konstantinopal, mengkaji sampel batu & pasir di situ dan menggunakan bom yang tercanggih yang dibuat oleh seorang saintis Islam yang diselamatkan daripada dalam penjara.


-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-

Ketaqwaan



Tarikh: 16 Jun 2009
Masa : 20.01-20.35
Tempat: Surau Al-Islah, Seksyen 7
Penceramah: Ustaz Ismail Kamus
Tajuk : Taqwa


"Ketaqwaan itu bukanlah hanya pada bangun beribadat pada malam hari atau berpuasa pada saing hari, tetapi ketaqwaan adalah pada meninggalkan perkara-perkara yang dilarang" -Saidina Umar Abdul Aziz.

Ada seorang sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, ada seorang jiran ni, dia sangat kuat beribadat dan dalam masa yang sama dia menyakiti hati jirannya." Jawab Rasulullah S.A.W.: "Dia akan masuk neraka"- aw kama kol (hadith)

Perkara-perkara yang boleh menjadikan seseorang itu bertaqwa:
1) Menziarahi kubur
2) Selalu mengingati mati
3) Selalu ingatkan azab Allah
3) Selalu mengingati bahawa Allah Maha Melihat


Sebab-sebab seseorang itu tidak bertaqwa:
1) Lalai
2) Hati sudah mati
3) Berlebih-lebihan mengejar dunia
4) Membuang masa


Info:
* Haram menggali kembali kubur tanpa alasan dan sebab yang munasabah.

* Jika pasangan suami isteri memeluk agama Islam bersama, mereka tidak perlu lagi akad nikah kembali. Cukup syahadah pengislaman mereka sebagai akad pernikahan mereka.

* Jika suami masuk Islam sebelum isteri & isteri masuk Islam dalam tempoh 'iddah, tidak perlu akad nikah yang baru. Jika isteri masuk Islam selepas tempoh 'iddah, barulah perlu kepada akad nikah yang baru.

* Orang Islam yang mati membunuh diri, wajib diuruskan dan dikebumikan mayatnya dengan cara Islam selama mana si mati tersebut percaya bahawa perbuatan membunuh diri ini adalah haram.

* Orang yang paling awal menziarahi orang sakit dan orang yang meninggal dunia adalah Saidina Abu Bakr As-Siddiq.

* Haram (bagi lelaki) mengucapkan takziah kepada perempuan muda yang kematian suaminya (bagi mengelakkan fitnah).


-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-

Selasa, 16 Jun 2009

Baca Dulu, Baru Tulis!!


Menulis.

Satu seni yang tidak semua orang dapat kuasai.

Ramai yang mampu menurunkan tulisan ke atas kertas kosong atau skrin kosong, tetapi tidak ramai yang benar-benar mampu 'menulis' sehingga meninggalkan bekas kepada si pembaca. Ramai yang boleh menulis, tetapi tidak ramai yang boleh kuasainya.

"Dah tak ada idea la nak tulis dalam blog" keluh seorang rakan.

"Aku kena cari artikel yang best-best dulu, baru boleh letak dalam blog. Nak harapkan aku menulis, aku mana ada ilmu" tambah rakan lain.

Aku bersetuju bahawa kebolehan menulis ini adalah satu kebolehan yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambanya yang tertentu. Kebolehan untuk menterjemahkan idea ke dalam bentuk tulisan adalah satu kelebihan, sama dengan kelebihan untuk menterjemahkan idea ke dalam bentuk lisan (pidato, ceramah dll) serta dalam bentuk audio (pementasan, pembikinan video dll).

Namun, aku kurang bersetuju bahawa kebolehan ini boleh muncul secara tiba-tiba. Ramai yang ingin menulis dan mengharapkan ideanya terus mencurah-curah untuk menulis, tetapi telah mengabaikan aspek yang lebih penting darinya, yang perlu datang sebelumnya, iaitu MEMBACA.

Mereka ingin menulis di dalam blog, tetapi mereka kurang membaca.
Mereka ingin menghasilkan artikel yang ilmiah dan menarik, tetapi mereka kurang membaca.
Mereka ingin menyampaikan idea yang tajam dan bernas, tetapi mereka kurang membaca.
Hatta, jika ingin menulis jawapan di dalam peperiksaan, kita harus membacanya (mengulangkaji) terlebih dahulu.

Hasil tulisan seseorang (tidak termasuk yang copy & paste) itu boleh dibezakan dengan berapa banyaknya seseorang itu membaca sebelum menulis.

Ada hikmahnya mengapa ayat pertama yang Allah turunkan buat Nabi junjungan, adalah Iqra' (bacalah), bukannya uktub (tulislah).

Membaca adalah kunci bagi segala pintu ilmu. Dari ilmu itulah kita boleh sebarkan ke dalam bentuk tulisan, lisan atau audio sebagai salah satu bentuk dakwah.

Amat sedih apabila mengenangkan satu kajian yang telah dibuat baru-baru ini, meletakkan pelajar-pelajar Malaysia berada di antara ranking terakhir dari sudut bilangan buku ilmiah (selain buku akademik) yang habis dibaca dalam masa setahun. Jauh ditinggalkan negara-negara jiran seperti Indonesia, mahupun Singapura. Apatah lagi negara-negara maju seperti Jepun dan Korea.

Jika golongan pelajar yang rutin hariannya menuntut ilmu dan bergelumang dengan buku-buku pun sudah berada di ranking bawahan, apatah lagi bagi golongan dewasa dan tua yang memang disibukkan dengan pelbagai kewajipan. Bagaimana pula dengan golongan remaja yang 'tersasar'?
Jauh panggang dari api.

Kembalikanlah budaya membaca. Kerana itulah jalan untuk mengenal Sang Pencipta.

MEMBACAlah dahulu sebelum MENULIS.

Ahad, 14 Jun 2009

Dalam Kenangan: Ustaz Fathi Yakan (1933-2009)


Dunia Islam kehilangan seorang lagi permata pejuangnya yang begitu digeruni oleh pihak Kuffar. Beliau pergi meniggalkan telampau banyak jasa dalam Islam terutamanya kepada gerakan-gerakan Islam serta tulisan-tulisannya yang begitu tinggi nilai ilmiahnya dan sangat berguna sebagai pedoman umat Islam seluruhnya. Semoga segala pengorbanan beliau yang telah menggelumang di dalam medan dakwah ini akan menjadi bekal untuk almarhum apabila bertemu Ilahi kelak.

Sedikit biodata ringkas Ustaz Fathi Yakan:

Beliau telah dilahirkan pada 9 Februari 1933 di Tarablas, Lubnan. Beliau telah mendapat ijazah kedoktoran dalam pengajian Islam dan Bahasa Arab walaupun pada peringkat B.A. dan M.A. beliau belajar di dalam bidang kejuruteraan. Beliau telah terlibat dengan kerja-kerja Islam sejak tahun 50an dan telah menubuhkan Jamaah Islam pada awal 60an. Beliau merupakan anatara pelopor dan pengasas Ikhwanul Muslimin Lubnan dan telah menjawat jawatan ketua umum di dalam Ikwanul Muslimin Lubnan sehinggalah pada tahun 1992.

Pada tahun tersebut beliau telah bertanding dan telah memenangi kerusi parlimen. Beliau kekal sehinggalah pada tahun 1996. Di tahun-tahun kebelakangan ini beliau telah mengetuai Jabhah Islami. Beliau telah mengambil peranan penting untuk menghentikan peperangan Mukhayyam Nahrul Barid di utara Lubnan diantara Tentera Lubnan dan Jamaah Fathul Islami pd tahun 2007.
Beliau telah banyak mengarang buku diantaranya maza ya'ni intiami lil Islam, (apa ertinya saya menganut agama Islam), al-Mutasiqituna 'ala toriq Da'wah (golongan yang tercicir di sepanjang jalan dakwah) dan lain-lain yang melebihi 35 buah buku.
Pada 21 Jamadil Akhir, 1430 Hijrah (waktu Lubnan), bersamaan dengan hari Ahad, 14 Jun 2009 (waktu Lubnan), beliau telah pulang menemui ilahi. Beliau meninggalkan seorang balu, Dr. Mona Haddad Yakan dan 4 orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.
Antara buku-buku beliau yang telah dialih bahasa ke Bahasa Melayu (Malaysia & Indonesia) dan menjadi sumber rujukan bagi gerakan-gerakan Islam di Nusantara:


-Buku Apa Ertinya Saya Menganut Agama Islam-


-Buku Generasi Muda & Perubahan-


- Buku Isti'ab-


-Buku Golongan Yang Tercicir di Sepanjang Jalan Dakwah-


-Buku Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah-


-Buku Komitmen Muslim Sejati-


-Buku Membentuk Fikrah dan Visi Gerakan Islam-


Sedikit petikan daripada tulisan beliau untuk pemuda, sebagai sedikit renungan:

"Islam, apabila ia menekankan supaya para pemuda melaksanakan matlamatnya yang menginginkan perubahan, bererti bukanlah diserahkan tugas itu kepada mana-mana generasi sahaja yang tidak mempunyai ciri-ciri tertentu, tetapi terlebih dahulu dimestikan atau dituntut supaya generasi itu mempuntyai sifat-sifat Islam dan berpegang teguh dengan prinsip-prinsip Islam iaitu berkehendakan generasi Islam yang tulen.

Pemuda ialah suatu tenaga yang digunakan oleh Islam untuk membangunkan dan memakmurkan alam tetapi orang lain mempergunakan mereka untuk meruntuhkan umat manusia.

Sesungguhnya masyarakat manusia hari ini penuh sesak dengan pemuda-pemuda, tetapi pemuda-pemuda ini hanyalah yang kosong, hanyut dan terbiar; Pemuda yang tiada peribadi, bersikap seperti kera; Pemuda yang tiada mempunyai akhlak, yang lebih dekat dengan binatang; Pemuda yang dijadikan tentera oleh kuasa-kuasa jahat dan zalim, disusun oleh parti-parti kufur dan syaitan; Pemuda pondan yang tiada kebaikan pada mereka; tetapi keberkatan datang bersama pemuda yang tinggi cita-citanya"

Semoga Allah S.W.T. memberkati beliau dan menempatkan roh beliau di kalangan orang-orang yang Soleh. Ameen.

Hilang sudah sebuah permata dan pejuang Islam. Diharapkan ada lagi permata dan pejuang yang akan lahir bagi menerusakan perjuangan beliau.

Sumber maklumat: al-jazeera, AFP, Islamtoday, daawa.net dan buku 'Tokoh-Tokoh Gerakan Islam Abad Moden', karangan Ustaz Ridhuan Mohd Noor dan Zainudin Hashim.


-Allah S.W.T lebih mengetahui segalanya-

Khamis, 11 Jun 2009

Semoga Berbahagia Disana Ammar Zulkifli


Pagi tadi aku dikejutkan dengan berita kehilangan seorang sahabat yang pulang menemui ilahi. Akh Ammar Zulkifli telah mengalami satu kemalangan di Mesir yang meragut nyawanya pada usia muda.

Beliau adalah juniorku di DQ dahulu. Selepas satu semester di DQ, beliau melanjutkan pelajaran ke Mesir dalam bidang perubatan. Sebelum masuk DQ, beliau adalah pelajar sekolah MATRI, Perlis.

Diharapkan kepada anda yang membaca entry ini, semoga dapat menghadiahkan bacaan surah Al-Fatihah kepada Allahyarham Ammar dan kepada diri sendiri sebagai muhasabah kepada diri bahawasanya ajal kematian boleh datang pada bila-bila masa

Semoga ruhnya dicucuri rahmat dan berada bersama-sama dengan ruh orang-orang yang Soleh. Ameen Ya Rabbal 'Alamin.
" Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Hanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya. (Ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya), tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan" ( Surah Ali 'Imran: 185)

Kembara 10 Jun 2009



-Menziarahi Nabil Marwan di Hospital Telok Intan, Perak-
-Kampung Kuantan, Kuala Selangor-

2.40 petang - Bertolak dari Shah Alam. Sharif, Adli dan Hayyul daripada Kuantan. Azrol daripada Gua Musang. Firdaus (Che Mud) daripada Gombak. Semua berkumpul di rumahku.


-Masjid Jami' Sultan Ibrahim-


3.50 petang - Tiba di Masjid Jami' Sultan Ibrahim, Kuala Selangor. Menunaikan solat jamak+qasar Zohor & Asar. Fareez menyertai kami di sini.



6.15 petang - Tiba di Hospital Telok Intan. Kami terus ke wad 2C, katil no.27.

Nabil kelihatan semakin baik keadaannya berbanding seperti yang digambarkan di dalam mesej-mesej sahabat sebelum ini. Badanya kelihatan agak kurus berbanding dulu dan kulitnya agak kepucatan akibat daripada kekurangan darah.

Nabil sudah boleh tersenyum dan bergurau senda. Namun, matanya masih lagi belum pulih seperti keadaan asal. Dia sudah boleh mengecam tetamu yang hadir, tetapi masih lagi tidak boleh membaca tulisan-tulisan yang kecil seperti tulisan di dalam buku, surat khabar dan mesej di dalam handset. Kaki kirinya masih belum boleh bergerak.

Hari Isnin lepas (kalau tak silap), doktor telah mengambil air sumsum tulangnya untuk mengesan penyakit Nabil. Hasil keputusan awal, doktor mendapati keadaan Nabil ada kaitannya dengan aplastic anemia.

Apakah dia aplastic anemia??

Rujuk di sini dan di sini


Tapi harus diingat, keputusan ini (sehingga semalam), MASIH LAGI BELUM MERUPAKAN KEPUTUSAN RASMI DARIPADA DOKTOR.


-Pek darah yang dibekalkan untuk Nabil-


-Nabil sedang diperiksa oleh seorang jururawat-

-Dr. Sharif & Nabil-

-Rakan-rakan yang memberi semangat-


7.10 malam - Bertolak pulang daripada Hospital Telok Intan.


-Jeti Kampung Kuantan-

10.30 malam - Tiba di Kampung Kuantan. Terus ke tempat perlancongan yang terkenal di Kuala Selangor, iaitu tempat melihat kelip-kelip. Sungguh indah ciptaan Allah. Aku sungguh terpegun dan takjub melihat bagaimana binatang sekecil kelip-kelip boleh mengeluarkan cahaya tanpa menggunakan apa-apa tenaga. Tentunya, tidak lain tidak bukan, ada Pencipta Yang Maha Agung yang mampu menjadikan segalanya. Subhanallah!

".....Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebagai sebaik-sebaik pencipta" (Surah Al-Mukminun: 14)

"Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi, sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Kaya, lagi sangat terpuji" ( Surah Luqman: 26)

11.15 malam - Bermalam di rumah Fareez

8.20 pagi - Bertolak pulang ke Shah Alam

9.24 pagi - Tiba di Shah Alam

Sahabat-Sahabat.. Marilah kita sama-sama berdoa agar Nabil terus tabah atas ujian ini dan semoga cepat sembuh. Ameen.

"Dan apabila aku sakit, maka Dialah (Allah) yang menyembuhkan penyakitku" (Surah As-Syu'ara:80) -Kata-kata Nabi Ibrahim A.S.-

Isnin, 8 Jun 2009

Kembara 29 Mei - 6 Jun 2009 (2)


-Majlis Walimah Abang Azreen & Kak Asiyah-
-Majlis Walimah Kak Tasnim & Abang Solah-


1 Jun 2009

2.50 petang - Aku berada di rumah Syazwan (Pokwe). Pokwe demam panas. Dia hanya terlantar di atas katil.

4.15 petang - Faiz tiba di rumah Pokwe. Kami pergi bersiar-siar di Pantai Air Tawar.


2 Jun 2009

-Kereta Faiz selepas kemalangan-


2.30 petang - Faiz tiba di rumah Pokwe dan menjemput kami untuk ke Lata Belantan. Keadaan Pokwe masih lemah, tapi sudah semakin baik.

Kami bertiga terus bergerak ke Lata Belantan untuk mandi-manda di sana. Faiz memandu kereta. Aku duduk di sebelahnya. Pokwe duduk di tempat duduk belakang. Perjalanan sangat lancar, sehinggalah...

Di sebatang jalan lurus yang tidak ada apa-apa selekoh atau lopak, satu kemalangan telah berlaku. Kereta yang kami naiki telah terlanggar budak yang menaiki basikal @ lebih tepat lagi budak yang menaiki basikal itu telah melanggar kami. Budak tersebut yang menaiki basikal secara tiba-tiba telah membelok ke arah dalam jalan raya, pada masa yang sama kereta yang kami naiki telah berada betul-betul di hadapan budak tersebut. Kami tidak sempat mengelak.

Selepas dilanggar, budak tersebut terpelanting hingga ke belakang kereta. Kami bergegas turun daripada kereta, mengangkat budak tersebut dan menghantarnya ke Klinik Kesihatan Jabi.

Hasilnya,


-2 jahitan di kaki-

-Kesan luka di belakang badan akibat terseret di atas jalan raya-


Setelah selesai urusan perubatan, kami menghantar budak tersebut ke rumah pakciknya (emaknya tiada di rumah). Pada mulanya kami amat risau jika diapa-apakan oleh ahli keluarganya dan orang kampung. Setelah dijelaskan dengan baik apa sebenarnya yang telah terjadi, mereka dapat menerimanya, bahkan kami telah dihidangi dengan buah salak, pisang goreng dan air sirap pada petang itu. Bagaikan tetamu yang dijemput pula!

Setelah berbual panjang, barulah kami tahu yang sebenarnya Faiz telah melanggar saudaranya sendiri! Budak tersebut bernama Hakimi, berumur 11 tahun. Kecil sungguh dunia ini.

Satu pengajaran dan pengalaman yang amat berguna buat diriku, Faiz dan Pokwe pada petang tersebut.


3 Jun 2009

12.30 tgh hari - Aku dan Pokwe bertolak dari Bukit Keluang ke rumah Syamil di Melor.

1.15 tgh hari - Tiba di Melor

2.30 ptg - Makan tengah hari di Restoran Cikgu bersama Pokwe, Mustaqim, Syamil dan Izhar. Sungguh enak makanan ala kampung di situ.

3.20 ptg - Bermain bowling di Pusat Bowling Perdana. Semua beraksi kecuali aku. Tak reti nak main + sakit tangan.

11.15 malam - Berjalan dan membeli belah di Pasar Malam Wakaf Che Yeh


4 Jun 2009

2.30 petang - Konvoi ke majlis walimah Kak Tasnim

3.15 petang - Tiba di Institut dakwah Islamiah Perkim (IDIP), Pengkalan Chepa (Tempat berlansungnya majlis)

9.20 malam - Diundang ke rumah Mustaqim untuk menikmati makam malam bermenukan nasi air special

10.05 malam - Keluar minum bersama kawan-kawan lama; Hakim Halim, Hakim Azimoha dan Abdul Hanan.


5 Jun 2009

10.20 pagi - Sekali lagi diundang ke rumah Mustaqim untuk menikmati sarapan pagi. Menu: Nasi Kerabu Terengganu dan Kelantan.

2.43 petang - Bergerak ke Rumah Kak Asiyah di Banggu, Binjai

-Rumah Kak Asiyah-


3.30 petang - Tiba di rumah kak Asiyah. Pada masa yang sama, rombongan pengantin lelaki juga tiba. Menyertai rombongan pengantin lelaki ke rumah Kak Asiyah.


-Bergambar dengan Raja Sehari-

5.15 petang - Main futsal dengan kawan-kawan UIA dan ex-Maahad di Pasir Tumboh


-SMU (A) Maahad Muhammadi Lelaki-


9.15 malam - Tiba di Maahad Muhammadi untuk menghadiri program AMAL; Konsert UNIC. Tidak ada x-maahad batch aku (SPM 2004) yang ditemui pada malam tersebut kecuali Syamil. Kebanyakannya hanyalah pelajar-pelajar batch bawah dan pelajar maahad sahaja yang hadir pada malam tersebut.


-Kumpulan UNIC-


6 Jun 2009




-Gulai Kawah-


2.25 petang - Konvoi beramai-ramai ke rumah Abang Azreen

2.45 petang - Tiba di rumah Abang Azreen. Disambut oleh pengantin sendiri.


-Pengantin dan bakal-bakal pengantin-


5.30 petang - Memenuhi jemputan ke rumah Abang Ridzuan Ramli di Kedai Mulong

-Abe Due-


10.05 malam - Bertolak pulang ke rumah dengan menaiki bas Mahligai (tiket sebenarnya pukul 9 malam, tetapi bas tiba lewat hampir sejam)


7 Jun 2009


6.50 pagi - Tiba di stesen bas Seksyen 17, Shah Alam. Hampir-hampir tergadai Subuh pada pagi itu dek kelewatan bas dan surau stesen bas yang berkunci. Surau pun dikunci. Pelik sungguh. Mujurlah sempat solat di surau yang berhampiran setelah Abah bergegas datang menjemputku.


Tamat sudah pengembaraanku selama lebih seminggu. Semoga aku mendapat walau hanya sebutir mutiara kehidupan daripadanya..


* Masa yang dinyatakan di atas hanyalah anggaran kasar penulis

Kembara 29 Mei - 6 Jun 2009 (1)


-Sungai Kelong, Pasir Puteh-
-Bukit Keluang, Besut-

29 Mei 2009


11.30 pagi - Bertolak dari Shah Alam (destinasi: Binjai, Kelantan)

1.05 tgh hari - Berhenti makan dan solat Jumaat di Bentong

8.15 malam - Tiba di Kota Bharu. Singgah di gerai depan Masjid Muhammadi. 1 helai jubah, 2 helai baju kurta dan 3 biji kopiah telah diborong oleh kami sekeluarga.

9.45 malam - Tiba di rumah Mek di Binjai.


30 Mei 2009


10.04 pagi - Singgah di Pameran Buku Kelantan 2009 di Balai Islam Lundang bersama dengan adik-adikku. Abah & Umi pergi mengambil Amin di Maahad Sains Tahfiz Berangan, Tumpat.

Aku yang pantang nampak jualan buku (bacanya x pun), sempat membeli 2 buah buku; buku Tokoh-Tokoh Gerakan Islam Abad Moden, tulisan Ustaz Ridhuan Mohamad Noor & Zainudin Hashim dan buku The Indispensable Qualities of a Leader by John C. Maxwell (edisi Bahasa Melayu).

11.30 pagi - Bertolak ke majlis kahwin Che Mah (mak sepupuku) di Sungai Kelong, Pasir Puteh, Kelantan.

-Barang-barang hantaran-


12.30 tgh hari - Tiba di Sungai Kelong. Menunggu ketibaan pengantin lelaki.

Syukur. Akhirnya, Che Mah bertemu jodoh juga. Melihatkan umurnya yang menghampiri separuh abad, siapa sangka akhirnya dia terbuka hati untuk menerima seorang duda yang mempunyai lima orang anak ini sebagai suaminya. Allah Maha Kaya. Hanya Dia yang mengetahui bilakah jodoh kita akan tiba. Tahniah Che Mah. Walaupun melalui jalan yang agak jauh dan panjang, tetapi aturan Allah adalah yang terbaik untuk hamba-Nya.


31 Mei 2009



11.30 pagi - Bergerak dari Sungai Kelong ke Bukit Keluang, Besut. Abah & Umi telah merancang untuk kami sekeluarga bercuti bersama memandangkan masa untuk kami sekeluarga bersama amat terhad.

-Nombor chalet yang kami diami-


12.30 tgh hari - Tiba di Bukit Keluang. Check-in di Bukit Keluang Beach Resort

4.45 petang - Berkelah di Pantai Bukit Keluang

6.30 petang - Pulang ke chalet

-Pantai Bukit Keluang-


8.40 malam - Makan malam di kedai makan terkenal di Kuala Besut, Zul Ikan Bakar. Sungguh seronok dapat makan bersama-sama keluarga di bawah cahaya yang malap, ditambah dengan ikan, udang dan sotong yang sungguh segar..Sungguh menyelerakan dan menyeronokkan..


1 Mei 2009


-Bukit Keluang-

8.30 pagi - Berkelah di Pantai Bukit Keluang sekali lagi. Cuaca yang baik dan suasana yang damai tanpa kesesakan orang ramai di situ. Antara aktiviti yang dilakukan pada pagi itu ialah menjelajah ke dalam gua, operasi menangkap ketam dan permainan kreatif.


11.15 pagi - Bersiap-siap untuk check-out


12 tgh hari - Check out dari Keluang Beach Resort. Selepas makan tengah hari, aku dihantar ke rumah Syazwan (Pokwe) dan yang lain terus bertolak pulang ke Shah Alam.


Bersambung....


* Masa yang dinyatakan di atas hanyalah anggaran kasar penulis