Selasa, 16 Jun 2009

Baca Dulu, Baru Tulis!!


Menulis.

Satu seni yang tidak semua orang dapat kuasai.

Ramai yang mampu menurunkan tulisan ke atas kertas kosong atau skrin kosong, tetapi tidak ramai yang benar-benar mampu 'menulis' sehingga meninggalkan bekas kepada si pembaca. Ramai yang boleh menulis, tetapi tidak ramai yang boleh kuasainya.

"Dah tak ada idea la nak tulis dalam blog" keluh seorang rakan.

"Aku kena cari artikel yang best-best dulu, baru boleh letak dalam blog. Nak harapkan aku menulis, aku mana ada ilmu" tambah rakan lain.

Aku bersetuju bahawa kebolehan menulis ini adalah satu kebolehan yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambanya yang tertentu. Kebolehan untuk menterjemahkan idea ke dalam bentuk tulisan adalah satu kelebihan, sama dengan kelebihan untuk menterjemahkan idea ke dalam bentuk lisan (pidato, ceramah dll) serta dalam bentuk audio (pementasan, pembikinan video dll).

Namun, aku kurang bersetuju bahawa kebolehan ini boleh muncul secara tiba-tiba. Ramai yang ingin menulis dan mengharapkan ideanya terus mencurah-curah untuk menulis, tetapi telah mengabaikan aspek yang lebih penting darinya, yang perlu datang sebelumnya, iaitu MEMBACA.

Mereka ingin menulis di dalam blog, tetapi mereka kurang membaca.
Mereka ingin menghasilkan artikel yang ilmiah dan menarik, tetapi mereka kurang membaca.
Mereka ingin menyampaikan idea yang tajam dan bernas, tetapi mereka kurang membaca.
Hatta, jika ingin menulis jawapan di dalam peperiksaan, kita harus membacanya (mengulangkaji) terlebih dahulu.

Hasil tulisan seseorang (tidak termasuk yang copy & paste) itu boleh dibezakan dengan berapa banyaknya seseorang itu membaca sebelum menulis.

Ada hikmahnya mengapa ayat pertama yang Allah turunkan buat Nabi junjungan, adalah Iqra' (bacalah), bukannya uktub (tulislah).

Membaca adalah kunci bagi segala pintu ilmu. Dari ilmu itulah kita boleh sebarkan ke dalam bentuk tulisan, lisan atau audio sebagai salah satu bentuk dakwah.

Amat sedih apabila mengenangkan satu kajian yang telah dibuat baru-baru ini, meletakkan pelajar-pelajar Malaysia berada di antara ranking terakhir dari sudut bilangan buku ilmiah (selain buku akademik) yang habis dibaca dalam masa setahun. Jauh ditinggalkan negara-negara jiran seperti Indonesia, mahupun Singapura. Apatah lagi negara-negara maju seperti Jepun dan Korea.

Jika golongan pelajar yang rutin hariannya menuntut ilmu dan bergelumang dengan buku-buku pun sudah berada di ranking bawahan, apatah lagi bagi golongan dewasa dan tua yang memang disibukkan dengan pelbagai kewajipan. Bagaimana pula dengan golongan remaja yang 'tersasar'?
Jauh panggang dari api.

Kembalikanlah budaya membaca. Kerana itulah jalan untuk mengenal Sang Pencipta.

MEMBACAlah dahulu sebelum MENULIS.

1 ulasan:

faizalMS berkata...

betol,me..ambo skong pendapat demo..