Rabu, 4 Julai 2012

Euro 2012


Berlabuh sudah tirai kejohanan EURO 2012. Pasukan Sepanyol berjaya mengekalkan kejuaraan yang dimenangi mereka pada tahun 2008 selepas menewaskan Itali dalam perlawanan akhir yang berlansung di Kiev, Ukraine.

Beberapa rekod pasukan, kejohanan dan individu telah tercipta dalam kejohanan EURO edisi kali ini. Sepanyol menjadi pasukan pertama yang berjaya memenangi kejohanan EURO berturut-turut (mempertahankan kejuaraan pada tahun 2008) dan memenangi 3 kejuaraan dalam masa lima tahun (2 kejuaraan EURO dan 1 kejuaraan World Cup). Kemenangan 4-0 Sepanyol ke atas Itali dalam perlawanan akhir adalah kemenangan terbesar dalam perlawanan akhir sejak EURO diperkenalkan.

Iker Casillas menjadi pemain pertama yang memenangi 100 perlawanan antarabangsa dan menjadi ketua pasukan pertama yang menjulang 2 kejohanan EURO (berserta 1 kejuaraan World Cup dalam masa 5 tahun). Fernando Torres menjadi pemain pertama yang menjaringkan gol dalam 2 perlawanan akhir EURO. Iker Casillas, Raul Albiol, Andreas Iniesta, Xavi Hernandez, Fernando Torres, Cesc Fabregas, Santi Cazorla, Sergio Ramos, Xabi Alonso, David Silva, Pepe Reina dan Alvaro Albeloa adalah 12 pemain pertama yang menjulang kejuaraan EURO berturut-turut (2008 dan 2012). Semua pemain tersebut kecuali Santi Cazorla turut membantu Sepanyol memenangi kejohanan World Cup 2010. Vincente Del Bosque menjadi satu-satunya jurulatih yang memenangi kejuaraan World Cup, Euro, UEFA Champions League dan beberapa kejuaraan La Liga.

Kejohanan EURO sudah berlalu. Amat rugi jika hanya melihat dan menonton kejohanan tersebut tanpa mengambil hikmah dan iktibar untuk aplikasi kehidupan kita. Terdapat beberapa ibrah yang boleh dikutip daripada kejohanan EURO edisi kali ini.

1) Pasukan Sepanyol merupakan pasukan yang paling banyak membuat hantaran (passing) bola berbanding pasukan lain. Ini menunjukkan mereka bermain dan bergerak dalam satu pasukan bukannya bermain secara individu. Begitulah juga dalam gerak kerja seharian. Kerja berkumpulan / berjemaah akan menghasilkan impak yang lebih besar dan lebih berkesan berbanding bekerja secara sendirian. Bermula dari kerja-kerja kecil seperti membersihkan rumah secara gotong-royong sehinggalah melaksanakan kewajipan setiap muslim seperti berdakwah, amar makruf dan nahi mungkar, serta tuntutan yang lebih besar seperti menegakkan negara Islam, semuanya memerlukan gerak kerja secara berkunpulan. Walau sehebat manapun seseorang itu, kudratnya tetap terbatas untuk mencapai impak seperti bekerja secara berkumpulan. Contoh untuk kejohanan ini adalah pasukan Belanda. Mereka mempunyai pasukan yang sangat kuat terutama di barisan hadapan, namun tidak bergerak sebagai satu unit. Natijahnya, mereka kalah semua tiga perlawanan peringkat kumpulan.


2) Sepanyol berada di zaman emasnya dengan kehadiran sekelompok pemain yang sama (11 orang pemain) yang bermain pada EURO 2008, World Cup 2010 dan EURO 2012. Sebahagian besar daripada mereka juga bermain di kelab yang sama, iaitu Barcelona dan Real Madrid. Sebahagian daripada mereka juga telah lama bermain bersama ketika dalam skuad remaja Sepanyol. Begitu juga dengan pasukan Jerman. Jerman mula menarik perhatian dunia dengan gaya permainan tersendiri ketika aksi World Cup 2010 dan berterusan pada edisi EURO kali ini walaupun mereka terkandas di peringkat separuh akhir. Sebenarnya, Jerman dan Sepanyol telah menuai hasil daripada perancangan masa panjang mereka yang bermula daripada zaman remaja pemain-pemain tersebut. Dua perkara yang boleh diiambil iktibar. Pertamanya, untuk membina satu pasukan yang kuat, pembinaan bukannya memakan masa sehari dua. Ia memerlukan satu tempoh masa tertentu yang memerlukan pengorbanan. Perkara yang perlu dibuat adalah merancang dan membina sebaiknya. Perkara kedua yang boleh diambil iktibar adalah orang muda atau pemuda merupakan generasi yang boleh melakukan perubahan. Perubahan yang dilakukan oleh golongan muda jika dipandu dan diacu sebaiknya, ia akan membawa imbak yang sangat positif.

3) Vincente Del Bosque adalah satu-satunya jurulatih yang pernah memenangi kejuaraan World Cup, Euro, UEFA Champions League dan beberapa kejuaraan La Liga. Namun, dia merupakan seorang yang sangat merendah diri. Inilah sikap sepatutnya yang ada dalam diri setiap Muslim. Walaupun sudah banyak mengecapi banyak kejayaan duniawi, kita kena tetap merendah diri kerana ia hanya pinjaman dari Ilahi.


4) Dalam satu organisasi, perlunya ada ketua yang menunjukkan contoh dan tauladan yang baik kepada anak-anak buah. Iker Casillas, Gianluigi Buffon, Cristiano Ronaldo, Phillip Lahm, Steven Gerrard dan Andriy Shevchenko adalah antara kapten pasukan yang telah menunjukkan contoh dengan memberikan persembahan yang terpuji ketika pasukan mereka beraksi. Persembahan ketua pasukan selalunya akan mempengaruhi persembahan keseluruhan pasukan. Ia telah dibuktikn oleh persembahan ketua pasukan Belanda, Mark Van Bommel. Persembahan di bawah kemampuan sebenar beliau telah mempengaruhi persembahan pasukan Belanda. Andrea Pirlo dan Indreas Iniesta telah memberikan contoh yang baik bahawa pengaruh dapat dibina walaupun seseoran itu tidak mempunyai apa-apa jawatan. Kedua pemain-pemain tersebut telah memberikan pengaruh yang besar kepada persembahan pasukan Itali dan Sepanyol walaupun mereka bukanlah ketua pasukan. Ketiadaan ketua pasukan atau orang yang berpengaruh dalam pasukan /organisasi akan menyebabkan pasukan tersebut hilang arah. Ia telah ditunjukkan oleh pasukan Perancis yang masih mencari pemain yang berpengaruh untuk mengetuai pasukan mereka selepas persaraan Zinedine Zidane, Didier Deschamps, Patrick Vieira, Marcel Desailly, Lilian Thuram dan Laurent Blanc. 

5) Antara kunci untuk membina pengaruh dalam pasukan / organisasi adalah ketenangan. Pengaruh Andrea Pirlo dalam pasukan Itali banyak terbentuk daripada ketenangan beliau mengawal dan menghantar bola kepada rakan-rakan. Ketenangan beliau telah memberikan ketenangan kepada pasukan Itali.

6) Nasib seseorang boleh berubah jika ia berusaha keras untuk membaikinya. Fernando Torres melalui musim yang sukar di Chelsea, namun berubah menjadi wira Sepanyol seterusnya memenangi anugerah kasut emas EURO 2012. Cristiano Ronaldo dan Mario Balotelli dikritik hebat ketika aksi perlawanan pertama dan kedua peringkat kumpulan EURO 2012. Namun mereka berdua telah menunjukkan aksi yang memberansangkan selepas dua perlawanan pertama sehingga mendapat pujian media.


7) Strategi dan perancangan adalah perkara yang penting dalam kehidupan. Perancangan dan strategi yang tepat bakal membuahkan hasil yang baik. Apatah lagi jika ia membabitkan perkara-perkara besar yang membabitkan pertembungan dua pihak seperti di medan perang, medan dakwah, medan politik dan medan pertarungan. Rasullulah S.A.W. adalah pakar strategi yang paling unggul. Ia telah diwarisi oleh sahabat baginda seperti Khalid al-Walid, Usamah Bin Zaid dan generasi-generasi seterusnya seperti Salehuddin al-Ayubi dan Sultan Muhammad al-Fateh. Dalam kejohanan ini, beberapa contoh strategi yang berkesan dan membuahkan hasil yang positif adalah seperti yang dilakukan oleh Vincente Del Bosque dalam perlawanan akhir bertemu Itali, Roy Hodgson pada pertemuan England bertemu Sweden, Joachim Loew ketika pertemuan Jerman menentang Greece dan Slaven Bilic ketika pertemuan Crotia menentang Itali. Antara contoh strategi yang kurang tepat dan memberikan kerugian adalah seperti yang dilakukan oleh Cesare Prandelli dalam perlawanan akhir bertemu Sepanyol, Laurent Blanc ketika Perancis bertemu Sepanyol dan Bert Van Marwijk ketika Belanda bertemu Portugal.

8) Muka-muka baru / junior / golongan muda haruslah diberikan kepercayaan untuk menunjukkan kemampuan mereka walaupun mereka mungkin mempunyai pengalaman yang kurang. Jordi Alba, Mario Balotelli dan Alan Dzagoev adalah antara beberapa nama pemain muda yang telah mencuri tumpuan walaupun beraksi buat pertama kalinya dalam kejohanan besar.

9) Semangat juang yang tinggi dapat membantu melonjakkan prestasi pasukan / organisasi. Walaupun Greece bukanlah pasukan yang kuat dan dibarisi oleh pemain-pemain bintang, namun mereka terkenal sebagai pasukan yang mempunyai semangat juang yang tinggi. Semangat mereka ditunjukkan dalam kejohanan ini apabila bangkit untuk melayakkan diri ke suku akhir walaupun pada mulanya mereka berada di kedudukan tercorot dalam kumpulan A. Semangat mereka juga telah menghasilkan 2 gol dalam pertemuan menentang Jerman walaupun mereka tewas 2-4. Greece bukan pasukan yang setanding dengan Jerman untuk edisi Euro kali ini. Semangat juang ini jugalah yang sebenarnya telah membawa mereka membuat kejutan dengan menjuarai kejohanan EURO 2004.

10) Seperti biasa, kita dapat melihat betapa fanatiknya penyokong pasukan masing-masing. Apabila pasukan mereka menang, mereka bersorak gembira. Apabila pasukan mereka tewas, mereka menangis, namun tetap teguh berdiri bersama pasukan mereka. Alangkah baiknya jika umat Islam seluruhnya mempunyai perasaan yang sama terhadap saudara-saudara mereka yang seakidah. Umat Islam seharusnya gembira seluruhnya apabila sinar Islam terpancar di Mesir dan negara-negara Arab lainya. Umat Islam seharusnya bersedih, merasai kepedihan dan kesengseraan serta membantu setakat yang termampu akan saudara kita yang berada di Palestin, Syria, Myanmar dan di negara-negara lain yang bergolak. Namun ini semua tidak berlaku. Mengapa wahai umat Islam sekalian?

الحكمة ضالة المؤمن فحيث وجدها  فهو  أحق  بها  (رواه  الترمذي)
"Hikmah adalah barang yang hilang dari orang mukmin, maka di mana saja ia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya." (Riwayat Tirmizi).

10 perkara di atas hanyalah sebahagian kecil daripada hikmah yang boleh kita kutip dari putaran kehidupan kita seharian.

Allahu'alam.

Selasa, 26 Jun 2012

Transformasi Pendidikan Negara


Kementerian Pelajaran Malaysia menggagaskan satu strategi baru untuk masa depan akademik negara, iaitu MBMMBI bagi menggantikan PPSMI yang mendapat tentangan hebat, malah memberikan ouput yang kurang memuaskan sejak ia diperkenalkan beberapa tahun sebelum ini. Gagasan ini dikatakan merupakan jawapan kepada segala masalah PPSMI terdahulu dengan membawa pendekatan memartabatkan bahasa Melayu & memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). 

Melihat kepada pakej baru ini, tiada harapan besar yang diletakkan untuk melihat hasil yang positif daripada gagasan ini dalam membentuk anak-anak muda yang cemerlang dari segi akademik dan sakhsiahnya. Ini kerana fokus kepada gagasan ini hanya tertumpu kepada kejayaan akademik semata seperti jumlah bilangan A, peratusan markah dan nilaian pointer. 

Pelbagai sistem pendidikan telah dibentuk dan diubah sejak negara kita mencapai kemerdekaan zahiri daripada penjajah pada tahun 1957. Kita berjaya menghasilkan ribuan cerdik pandai melalui sistem pendidikan yang dibentuk, namun kita juga berjaya menghasilkan pelbagai masalah lain yang berpunca daripada graduan sistem pendidikan kita. Bermula dengan jenayah kolar putih seperti rasuah dan penipuan, sehinggalah kepada masalah sosial seperti penzinaan, lumba haram, ponteng sekolah dan pergaulan bebas, semuanya berkait rapat dengan sistem pendidikan di negara kita.

Pemergian penjajah daripada negara kita sangat memberi kesan kepada kita sehingga ke hari ini. Mereka pergi dengan meninggalkan  budaya, sistem dan pelapis-pelapis mereka yang sanggup melaksanakan segala peninggalan mereka. Agama berjaya dicabut daripada pendidikan. Sekolah kebangsaan dan sekolah agama  diasingkan. Ibu bapa dan para pelajar diberikan fokus untuk memburu kejayaan dalam bidang akademik. Bilangan A, Peratus markah dan jumlah pointer menjadi buruan dan kebanggaan. Tiada perkaitan agama dalam setiap ilmu-ilmu lain yang dipelajari.

Kita sering mengubah sistem pendidikan dengan pelbagai pakej yang menarik apabila formula terdahulu tidak menjadi. Kita juga sering mengeluh mengapa masyarakat kini terutamanya anak muda semakin rosak. Namun, kita tidak pernah berusaha untuk memberi 'roh' kepada sistem pendidikan di negara kita.

Sistem pendidikan di negara kita sudah lama kehilangan 'roh'. Ia hilang sejak kita mengguna pakai sistem pendidikan barat sepenuhnya. Sistem yang mencabut agama daripada proses mendidik. 

Benda paling asas yang perlu dikembalikan dalam sistem pendidikan di negara kita adalah pengenalan atau pengajaran ilmu agama yang telah lama dipinggirkan oleh sistem sedia ada. Ilmu agama adalah untuk semua, bukan hanya untu mereka yang bersekolah agama. Ilmu agama bukanlah subjek pilihan untuk diambil oleh para pelajar, yang tarafnya setara seperti subjek muzik. Ia seharusnya diletakkan sebagai subjek wajib untuk diambil dan mesti lulus dengan cemerlang secara teori dan praktikal sebelum dibenarkan untuk melangkah ke tingkat pelajaran seterusunya. 


Ilmu-ilmu Islam seperti aqidah, feqah, akhlak, tafsir, hadith dan sirah haruslah didedahkan seawal mungkin kepada anak-anak Islam. Ia perlu diajar dan terus dipraktikkan di sekolah dan kehidupan, tanpa perlu dipisahkan sekolah agama dan sekolah kebangsaan seperti yang diamalkan di kebanyakan sekolah rendah di Malaysia. Kesannya, sekolah agama terpaksa di bawa ke masa tengah hari / petang yang lebih kurang masa pembelajarannya dan kurang efektif untuk menuntut ilmu berbanding pada masa pagi. Ilmu agama seharusnya diajar pada waktu awal pagi terutamanya subjek yang memerlukan hafazan dan pemahaman seperti ilmu quran dan hadith kerana waktu pagi adalah waktu yang sangat baik untuk penerimaan ilmu atau perkara-perkara baru.

Kesan dikotomi antara pengajaran ilmu agama dan ilmu sains atau sastera telah melahirkan generasi yang merasakan tiada perkaitan di antara ilmu agama serta kebesaran Ilahi dengan ilmu sains atau sastera. Mereka merasakan ilmu sains dan sastera perlu diamalkan berasingan dengan ajaran agama. Hasilnya, lahirlah generasi baru rakyat Malaysia bermula daripada pemimpin sehingga rakyat marhaen yang merasakan agama hanya untuk amalan ibadah, bukan sebagai cara hidup yang merangkumi segenap aspek kehidupan. Inilah hasil yang diimpikan oleh penjajah untuk melihat negara jajahan mereka terus mengikut jejak langkah mereka walaupun mereka sudah meninggalkan negara tersebut secara zahirnya.


Mungkin ada yang tidak begitu yakin dengan cadangan ini. Mungkin mereka merasakan umat Islam akan ketinggalan jika memberi keutamaan dan lebih fokus kepada ilmu agama sebelum bidang-bidang lain. Mereka mungkin terlupa melihat kembali kegemilangan umat Islam di masa lepas. Satu ketika dahulu dunia Islam adalah pusat ilmu pengetahuan yang telah melahirkan ramai ilmuwan yang menjadi rujukan sehingga generasi seterusnya seperti al-Farabi, al-Khawarizmi dan lain-lain. Mereka telah mengukuhkan tapak agama terlebih dahulu sebelum melangkah ke bidang sains, sastera dan sebagainya. Formula ini telah melahirkan ilmuan Islam yang sangat hebat malah faqih dalam bidang agama. Formula ini masih diamalkan di beberapa negara walaupun tidak meluas seperti di Mesir yang mana kita dapat lihat ramai ulama' dan pemimpin gerakan Islam yang faqih dalam bidang agama, dalam masa yang sama mereka juga merupakan ahli dalam bidang sains, sastrea dan sebagainya.

Bagaimana dengan Non-Muslim jika formula ini diaplikasi dalam sistem pendidikan negara? Apabila Islam memerintah, Islam tidak akan menindas agama lain. Jika umat Islam diberi penekanan berkenaan ilmu-ilmu agama pada peringkat permulaan menuntut ilmu, Non-Muslim sebenarnya boleh diberi penekanan  berkenaan nilai-nilai murni kehidupan dan pendidikan moral yang selari dengan ajaran Islam. Akhirnya, akan lahir masyarakat yang harmoni, baik daripada kalangan Muslim mahupun Non-Muslim.

Islam itu indah. Islam adalah cara hidup. Jika kita mencari kemuliaan selain Islam, pasti kita akan dihinakan.

Allahu'alam.

Selasa, 19 Jun 2012

Anjakan Paradigma Huffaz



“Sungguh merisaukan apabila ada huffaz yang tidak tahu hendak ke mana” saya meluahkan pandangan.
“Itu sering berlaku, ustaz. Perasaan itulah yang banyak membelenggu pelajar semester akhir” jawab salah seorang sahabat.
Beliau turut gusar dengan perkara yang sama di kalangan rakannya.
Sudah lama saya menanti peluang ini.
Peluang untuk berwacana bersama pada Huffaz al-Quran.
Kelompok insan terpilih yang berpotensi tinggi, tetapi sebahagiannya dibelenggu oleh batasan-batasan yang dibina oleh persepsi massa.

16 Januari 2010, selepas penangguhan tarikh asal pada Ogos 2009 akibat H1N1, saya berkesempatan meluangkan sehari suntuk masa di Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Kuala Kubu Bharu.
Biar pun himpunan hasrat dan harapan di dada saya terasa dibataskan oleh tajuk yang bakal diperkatakan, namun saya tidak mahu terikat dengan tema program Bengkel Tinta Da’ie, pada hanya memperkatakan tentang teknik penulisan. Apa sahaja teknik yang bakal dibincangkan, ia hanya wasilah untuk ekspresi sesuatu yang lebih bersifat induk iaitu DAKWAH, sebagai subjek utamanya.
BEBANAN PERSEPSI

Mungkin punca kepada kaburnya perjalanan ini berkait dengan persepsi masyarakat yang menyalahi realiti. Ramai yang melihat bahawa menjadi hafiz atau hafizah, adalah satu destinasi. Sedangkan bagi seorang pelajar yang telah berjaya menyertai kelompok huffaz, dia tidak dapat merasakan bahawa dirinya tiba ke destinasi, tetapi seperti baru hendak memulakan perjalanan. Kombinasi di antara sangkaan orang ramai, dan perasaan seorang hafiz dan hafizah, telah mencipta satu beban yang berat untuk ditanggung oleh para huffaz. Mereka diberikan status sosial yang tinggi ketika mana setiap seorang berasa janggal untuk menampung status itu tanpa alat yang mencukupi.

Hakikatnya, menjadi seorang hafiz dan hafizah adalah satu fondisi yang sangat hebat. Tetapi ia bukan kemuncak cita-cita.

Secara peribadi, saya dapat merasakan betapa besarnya impak andaikata saya memulakan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda setelah menjadi seorang hafiz. Ia adalah satu kekurangan yang telah saya hadapi, biar pun ia tidak pernah menjadi halangan untuk meningkatkan penguasaan ilmu Syariatullah.

Di dalam mana-mana subjek, keperluan menghafal dan memahami nas al-Quran, di samping nas al-Hadith dan pendapat-pendapat ulama’ yang lain, adalah perkara asas yang diperlukan oleh seorang pelajar Syariah untuk memahami satu-satu topik yang dipelajari.  Melakukan semuanya dalam keadaan bukan seorang hafiz, terasa ada kekurangan yang memerlukan mujahadah besar bagi mengatasinya. Alangkah baiknya jika saya sudah menghafal al-Quran sepenuhnya semasa kaki melangkah ke bumi Syam dahulu. Malah, tuntutan universiti kepada pelajar Syariah agar menghafal 6 juzuk al-Quran sebagai syarat graduasi yang memerlukan kami untuk melakukannya di celah-celah 46 subjek, sudah cukup memeritkan. Belum lagi pada soal mengekalkan hafalan itu selepas ujian Tasmi’.

Selesai menghafal al-Quran sebelum mula belajar Syariah, adalah satu impian yang dibayang-bayangkan oleh setiap kami, semasa dihimpit kesulitan mengimbangkan hafalan al-Quran dengan proses pembelajaran yang padat.

Tetapi itu lebih baik daripada berjaya menjadi seorang hafiz dan hafizah, namun terus terjun ke gelanggang agamawan tanpa mendapat ilmu yang cukup berkaitan dengan proses memahami nas dan Syariah secara keseluruhannya. Jadi huffaz tapi belum jadi asatizah. Menghafal al-Quran tidak pernah sama sekali sinonim dengan memahami al-Quran. Kedua-duanya memerlukan proses yang tersendiri dan tidak boleh saling menampung secara simplistik.

Di sinilah titik yang menampakkan betapa institusi tahfiz dan status huffaz di negara kita memerlukan satu anjakan paradigma yang besar.

MEMINJAM CERMIN TURKI

Sebagai perbandingan, jika dilihat ke sebuah negara yang kaya dengan huffaz seperti Turki, di negara itu tidak ada sesiapa yang digelar sebagai al-hafiz. Menjadi seorang hafiz atau hafizah bukanlah sesuatu yang dianggap pencapaian dengan status sosial, tetapi ia hanya melunaskan satu tuntutan sebagai seorang Muslim. Justeru, mindset setiap pelajar yang menghafal al-Quran bukan untuk membawa hafazannya sebagai satu aset kerjaya.  Menjadi hafiz bererti telah memiliki sesuatu yang sangat besar untuk diri sendiri, tetapi belum mempunyai apa-apa untuk orang lain. Oleh itu, mereka menjadikan hafazan itu sebagai bekalan untuk meneruskan lagi proses pembelajaran. Dengan pemikiran seperti itu, saya melihat sendiri betapa sejumlah besar mahasiswa dan mahasiswi di Ilahiyat Fakultesi adalah terdiri daripada hafiz dan hafizah. Ia menjadi satu kredit besar buat mereka semasa melunaskan pengajian di peringkat universiti.

“Kamu sudah khatam al-Quran?” itu soalan yang sering ditanya di dalam masyarakat kita.
Terutamanya kepada anak gadis sebelum naik pelamin. Tetapi di Turki jarang sekali kedengaran orang bertanya demikian.
Lazimnya mereka akan bertanya, “kamu sudah menghafal al-Quran?”

PROSES YANG MELENGKAPI

Saya kongsikan diskusi berkenaan dengan hal ini bersama pelajar Darul Quran, agar mereka meletakkan satu azam untuk tidak mudah berpuas hati hanya dengan selesai menghafal al-Quran dan memperolehi Sijil atau Diploma yang ditawarkan, sebaliknya hendaklah disambung lagi dengan peringkat pengajian yang lebih tinggi, hingga sekurang-kurangnya berjaya memperolehi ijazah di dalam mana-mana cabang bidang Pengajian Islam, sebelum benar-benar boleh berperanan dengan baik menanggung kepimpinan Islam di dalam masyarakat.

Begitu juga dengan program pensijilan yang meletakkan sasaran program untuk melahirkan hafiz dan hafizah, yang kemudiannya disalurkan mengambil jurusan profesional (bukan Syariah), sebagai acuan melahirkan golongan Profesional Muslim, atau Profesional yang hafiz! Saya merasakan seperti ada unsur simplistik dalam meletakkan formula sedemikian rupa. Seorang jurutera yang menghafal al-Quran adalah satu kelebihan yang besar pada dirinya untuk menjadi seorang Muslim Profesional atau Profesional Muslim, asalkan hafazan itu dimasak dengan latihan formal atau tidak formal di dalam cabang-cabang disiplin Pengajian Islam yang kita sedia maklum. Tetapi untuk sekadar memiliki 30 juzuk hafalan di dalam diri, dan kemudian beralih pula ke bidang perubatan dan kejuruteraan untuk melahirkan tokoh-tokoh yang berinspirasikan al-Khawarizmi dan yang seumpama dengannya, ia kedengaran seperti satu retorik.

PROAKTIF

Justeru, kepada para hafiz dan hafizah itu sendirilah tanggungjawab bagi mereka bertindak secara proaktif dengan tidak membataskan diri kepada persepsi-persepsi itu tadi. Mereka harus mencabar diri untuk pergi lebih jauh. Jangan tunduk kepada demand yang hanya menghendaki kalian mengimamkan Tarawih. Itu besar, tetapi ada yang lebih besar menanti!
Kuasai ilmu-ilmu alat di dalam Pengajian Islam.
Kuasai juga Bahasa Arab dengan sebaiknya. Itu jika jalan yang dipilih adalah pada mahu menjadi seorang agamawan.
Lebih cantik jika dapat dilengkapkan dengan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, serta kemahiran-kemahiran lain seperti ICT, pengurusan, komunikasi dan lain-lain keperluan dakwah.
Ada pun jika para huffaz mahu meneruskan pengajian di dalam bidang akademik bukan Pengajian Islam seperti kejuruteraan dan perubatan, teruskan cita-cita yang amat bermakna itu. Namun perlu ada kesediaan di minda bahawa hafazan yang telah berjaya diperolehi, masih merupakan bahan separuh masak yang perlu dicanai lagi dengan pelbagai ilmu berkaitan Syariah. Justeru di celah-celah pengajian di universiti di bidang masing-masing, carilah ruang dan peluang untuk meneruskan pembelajaran di bidang agama.

Sesungguhnya saya sangat kagum dengan disiplin dan potensi yang dilihat selama saya berada bersama para huffaz di Darul Quran. Apa yang perlu diberikan secara konsisten adalah semangat untuk mereka terus berjiwa besar dan membawa al-Quran ke massa dengan segala ruang dakwah yang menanti.

“Dan dia (Yaaqub) berkata lagi: “Wahai anak-anakku! janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu itu hanya tertentu bagi Allah. Kepada-Nyalah aku berserah diri, dan kepada-Nyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri” [Yusuf 12: 67]

Selamat maju jaya saya ucapkan kepada para huffaz al-Quran di mana sahaja mereka berada.
Semoga jiwamu sebesar al-Quran yang telah mengisi hatimu.

p/s: artikel lama oleh Ustaz Hasrizal yang sangat baik untuk dikongsi dan direnungkan oleh para huffaz terutamanya yang akan, kini, dan sudah terjun ke masyarakat. 1 artikel yang membuka sudut pandang yang baru.

Rabu, 9 Mei 2012

Mudah. Jangan Susahkan.



"Senangkanlah (permudahkanlah) dan jangan susahkan dan berilah khabar gembira dan jangan berikan khabar buruk (membuatkan orang lari daripadamu)." (HR Bukhari & Muslim).

Mudahkan. Jangan Susahkan.

Satu ungkapan yang bersandarkan hadith Baginda S.A.W. Namun, ia tidak semudah itu untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Alhamdulillah, dengan izin-Nya, diriku berkesempatan membaca sebuah lagi buku daripada ribuan buku yang ditulis untuk membantu kita mengharungi dan memahami erti kehidupan. Bukunya berjudul "Mudahkan Jangan Susahkan", keluaran Galeri Ilmu, di bawah tema Tarbiah Rohani. Buku ini ditulis oleh Syed Alwi Alatas, seorang penulis  yang telah menulis beberapa buah buku termasuk sebuah  buku 'best seller' yang berjudul "Bila Allah Menduga Kita", keluaran Mustread. Beliau berasal daripada Indonesia, namun kini menetap di Malaysia dan sedang mengikuti pengajian Doktor Falsafah dalam bidang Sejarah dan Tamadun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Buku berkulit putih ini mengandungi 270 muka surat dan 10 bab; setiap bab mengandungi beberapa sub-topik yang disusun bersesuaian dengan tema setiap bab.

Adakah buku ini menarik dan harus dibaca?

Membaca beberapa helaian pertama dalam buku ini, saya menjangkakan buku ini adalah seperti buku-buku yang pernah saya baca sebelum ini. Kebiasaannya, saya hanya mampu membaca untuk beberapa ketika sahaja, berhenti sebentar kerana kebosanan atau otak sangat berat dalam menghadam isi kandungan  buku tersebut, dan barulah boleh menyambung semula bacaan. Kadang-kadang tempoh berhenti itu lama, sehingga memakan masa berminggu-minggu.

Saya merasai kelainan apabila terus membelek helaian buku ini. Ayat yang mudah dan contoh yang pelbagai. Ayat yang mudah menjadikan otak tidak berat untuk menghadam, contoh yang pelbagai menghilangkan rasa bosan apabila membaca.

Buku ini secara umumnya, berkisarkan tentang dua perkataan, susah dan senang dalam kehidupan. Susah dan senang dilihat dari pelbagai sudut dan aspek. Jika senang, bagaimana untuk memanfaatkannya. Jika susah, bagaimana juga untuk memanfaatkannya. Penulis membawakan cerita bagi setiap sub-topik yang disentuh. Di akhir cerita, penulis akan memberi komentar  dari sudut pengajaran dan hikmah yang boleh digali dari setiap cerita yang dibawa.

Apa yang membuatkan buku ini sangat menarik adalah dari sudut cerita-cerita yang dibawa. Cerita yang dibawa datangnya dari pelbagai sumber yang menghasilkan perasaan yang berbeza. Adakalanya ketika di tengah-tengah pembacaan, saya rasa amat tersentuh dengan cerita yang dikongsi oleh penulis, adakalanya ceritanya agak lucu, adakalanya diri ini berasa sangat bersyukur atas segala kurniaan-Nya dan  adakalanya saya berasa sangat bersemangat. Semuanya kesan dari cerita-cerita yang dibawa oleh penulis yang bersumberkan pengalaman sendiri, pengalaman sahabat dan kenalan penulis, sirah anbiya', sirah Nabi Muhammad S.A.W., kisah sahabat-sahabat Baginda dan para tabi'en, kisah daripada al-Quran dan hadith Nabi S.A.W., dan kisah berinspirasi daripada tokoh-tokoh terdahulu, baik dari dunia Islam mahupun dunia Barat. Kepelbagaian sumber cerita-cerita yang dibawa sebenarnya  membawa pembaca kepada fokus yang sama, iaitu mudah, jangan susahkan.

Saya sangat terkesan dengan beberapa kisah yang telah dibawa penulis, antaranya kisah lelaki tua yang menjual Gado-Gado, kisah sahabat Nabi S.A.W. bernama Khabbab b. al-Aratt, kisah dari Surah al-Baqarah, ayat 67-71, pengemis Cak To dan kisah 2 penyair.  Kisah Khabbab dan kisah dari surah al-Baqarah adalah antara beberapa kisah yang pernah saya dengar sebelum ini, namun setelah membaca buku ini, ia telah membuka beberapa sudut pandang baru terhadap hikmah 2 peristiwa tersebut.

Buku ini telah membuka minda saya dan memberi sudut pandang yang baru terhadap kehidupan, terutamanya berkaitan dengan susah dan senangnya hidup ini. Buku ini sesuai untuk mereka yang sering diuji dengan kesusahan, sering menikmati kesenangan atau kadang-kadang merasakan diri ini tidak cukup kuat dengan sesetengah ujian yang menimpa. Sesuai untuk dibaca pada semua peringkat umur.

Kita sering terlupa jika berada dalam kesenangan, kita juga sering terlupa bahawa ramai lagi yang susah apabila kita diuji dengan sedikit kesusahan.

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan begitu sahaja, seraya berkata: "kami  telah beriman", sedangakan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui siapa orang-orang yang benar dan mengetahui siapa orang-orang yang dusta" (al-Ankabut;2-3)

Rasullulah S.A.W. pernah berdoa: " Ya Allah!  Tidak ada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikan mudah, sedangkan yang susah juga dapat Engkau jadikan mudah apabila Engkau menghendakinya" (HR Ibn Hibban).

Mudahkan. Jangan Susahkan.

Semoga mampu menjadikan budaya Iqra' sebagai rutin hidup kita yang utama.


Wallahu'alam.

Isnin, 23 April 2012

Kemenangan Itu Pasti



عَن‏ ‏النُّعْمَانِ بْنِ بَشِير‏ ‏قَالَ: ‏ 
كُنَّا قُعُودًا فِي الْمَسْجِدِ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏وَكَانَ ‏ ‏بَشِيرٌ ‏ ‏رَجُلًا ‏ ‏يَكُفُّ ‏ ‏حَدِيثَهُ فَجَاءَ ‏ ‏أَبُو ثَعْلَبَةَ الْخُشَنِيُّ ‏ ‏فَقَالَ يَا ‏ ‏بَشِيرُ بْنَ سَعْدٍ ‏ ‏أَتَحْفَظُ حَدِيثَ رَسُولِ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏فِي الْأُمَرَاءِ فَقَالَ ‏ ‏حُذَيْفَةُ ‏ ‏أَنَا أَحْفَظُ خُطْبَتَهُ فَجَلَسَ ‏ ‏أَبُو ثَعْلَبَةَ ‏ ‏فَقَالَ ‏ ‏حُذَيْفَةُ ‏ ‏قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏تَكُونُ النُّبُوَّةُ فِيكُمْ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةٌ عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ مُلْكًا ‏عَاضًّا ‏ ‏فَيَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ مُلْكًا ‏ ‏جَبْرِيَّةً ‏ ‏فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ ثُمَّ سَكَتَ

Daripada an-Nu’man bin Basyir, beliau berkata, suatu hari kami duduk di masjid Rasulullah S.A.W. Basyir (bin Saad) adalah seorang yang tidak banyak bercakap. Lalu datang Abu Tsa’labah dan beliau berkata, wahai Basyir bin Saad, apakah kamu menghafal Hadith Rasulullah S.A.W tentang kepimpinan (al-Umara’)? Lalu Hudzaifah berkata, aku menghafal khutbah Baginda S.A.W. Lantas Abu Tsa’labah al-Khashniyy duduk dan Huzaifah berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:

Kenabian akan berada bersamamu selama mana ia dikehendaki oleh Allah, kemudian Dia mengangkatnya ketika mana Dia mahu mengangkatnya.

Kemudian akan tiba pula zaman Khilafah di atas Manhaj Kenabian selama mana ia dikehendaki oleh Allah, kemudian Dia mengangkatnya ketika mana Dia mahu mengangkatnya.

Kemudian datang pula zaman raja yang menggigit (MalikunAadhun) selama mana ia dikehendaki oleh Allah, kemudian Dia mengangkatnya ketika mana Dia mahu mengangkatnya.

Selepas itu muncul pula zaman raja yang diktator (Malikun Jabriyyah) selama mana ia dikehendaki oleh Allah, kemudian Dia mengangkatnya ketika mana Dia mahu mengangkatnya.

Kemudian akan hadir pula zaman Khilafah di atas manhaj Kenabian…”

(HADITH RIWAYAT AHMAD 4/275, ABU DAUD 4/211, AT-TIRMIDHI 4/503)



Hadith di atas adalah satu hadith futuristik yang dituturkan oleh Baginda Rasullulah S.A.W. mengenai bentuk pemerintahan yang akan dilalui oleh umat Baginda sehingga hari Kiamat.

Ia bermula dengan zaman pemerintahan Baginda sehingga baginda wafat dan diteruskan oleh zaman khilafah di atas jalan kenabian. Ia merujuk kepada zaman pemerintahan Abu Bakar R.A., Umar R.A., Uthman R.A., Ali R.A. (ulama' bersepakat dalam perkara ini).

Selepas itu bermulalah zaman yang dimaksudkan oleh Nabi S.A.W. sebagai zaman pemerintahan Maalikun 'Aadhun (raja yang menggigit). Ia bermula dengan bermulanya pemerintahan Bani Umayyah (661M-750M/ 41H-133H), apabila Muawiyah R.A mewariskan pemerintahan Islam kepada anaknya, Yazid. Pemerintahan Islam beralih tangan kepada Bani 'Abasiyyah (750M-1258M/ 133H-656H), seterusnya pusat pemerintahan Islam berubah ke Konstatinopal di bawah pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah (1299M-1924M).

Walaupun terdapat beberapa Khalifah Islam yang soleh dan beriman ketika tiga zaman pemerintahan ini seperti Umar Bin Abdul Aziz, Sulaiman al-Qanuni dan Muhammad al-Fatih, namun bilangan mereka terlalu kecil dan tempoh pemerintahan mereka tidak terlalu lama berbanding khalifah-khalifah lain yang bersifat 'mengigit'.

Selepas kejatuhan Khilafah Islamiyyah pada tahun 1924M, maka bermulalah zaman yang digambarkan oleh Rasullulah S.A.W. sebagai Maalikun Jibriyyah (raja yang diktator). Perkara ini dapat dilihat dengan corak pemerintahan di zaman sekarang seperti di Mesir, Tunisia, Algeria (sehingga tumbangnya negara tersebut) dan beberapa negara lain yang mana pemerintahan diktator mereka masih berkekalan seperti di Syria dan beberapa negara lain (semoga Allah S.W.T. membantu kemenangan Islam).

Selepas zaman pemerintahan para diktator, maka akan tiba zaman pemerintahan khilafah di atas jalan kenabian dan akhirnya akan berlakunya Hari Kiamat. Ia adalah suatu perkara yang masih sukar digambarkan untuk masa depan kerana ia masih belum berlaku, namun yakinlah, ia pasti akan berlaku.

Jika kita melihat Islam ditekan dan dihina saban hari, baca dan yakinilah hadith ini. Ia adalah satu motivasi dari Ilahi tentang kemenangan Islam kelak. Persoalannya, adakah kita hanya ingin memerhatikan kemenangan Islam kelak? Tidakkah terdetik di hati untuk kita bersama-sama menyumbang ke arah kemenangan Islam yang sudah dijanjikan? Jika ada, apakah sumbangan kita ke arah kemenangan Islam?

Ayuh, persiapkan diri dan menyumbanglah ke arah kemenangan Islam. Kita mungkin dapat melihat kemenangan Islam, mungkin juga ia akan berlaku selepas zaman kehidupan kita di dunia ini. Ia pasti berlaku walaupun tidak diketahui masanya. Tidak mahukah kita menjadi sebahagian daripadanya?

Wallahua'lam.

Pendidikan Percuma & PTPTN


Isu Pendidikan Percuma & PTPTN hangat diperkatakan kebelakangan ini.

Pihak kerajaan melalui Perdana Menteri Malaysia dan Akhbar Utusan mendakwa kerajaan akan terbeban malah jatuh bankrap jika hutang PTPTN dimansuhkan. Menteri Pengajian Tinggi pula mendakwa pelajar Melayu akan terjejas jika pinjaman PTPTN dimansuhkan.

Ketua Pembangkang menjanjikan permansuhan hutang PTPTN jika Pakatan Rakyat memerintah Malaysia selepas Pilihan Raya ke-13 kelak. Pengarah Strategik PKR datang bersama teori ekonomi dan pengurusan bagaimana untuk melupuskan beban hutang PTPTN, begitu juga dengan Naib Presiden PAS. Bahkan, Naib Presiden PAS tersebut lebih awal menjanjikan penghapusan hutang PTPTN bagi anak-anak Kelantan jika royalti minyak Kelantan diberikan kepada Kerajaan Negeri Kelantan seperti yang sudah termaktub dalam perjanjian.

Melihat kenyataan yang berbeza dan saling bertentangan ini, maka muncul pula golongan pertengahan yang menggangap ini hanyalah mainan politik dan angan-angan kosong daripada pembangkang/mahupun sogokan yang menakutkan daripada kerajaan.

Sebagai mahasiswa, apakah pendirian kita?

Sebelum berbicara jauh, perkara yang paling penting dan utama adalah kita kena bezakan antara pendidikan percuma dan PTPTN. Dua perkara yang berbeza.

Secara peribadi, saya berpendapat pendidikan di Malaysia harus diberikan secara percuma sehingga ke peringkat ijazah pertama untuk semua rakyat Malaysia. Pendidikan peringkat sarjana dan kedoktoran diberikan percuma jika pelajar tersebut melepasi tahap kecermelangan tertentu.

Secara peribadi, saya berpendapat PTPTN tidaklah harus dimansuhkan tetapi harus diubah beberapa  perkara. Jika sistem pendidikan percuma berjaya dilaksanakan, PTPTN akan menjadi tabung atau 'sumber' kewangan untuk mereka yang tidak berkemampuan bagi menyara kos hidup seperti makan minum dan lain-lain.

Kita harus mengakui bahawa tidak semua keluarga di Malaysia mampu untuk meyara hidup seharian dengan selesa. Masih ramai yang mengikat perut untuk meneruskan hidup. Bantuan PTPTN dilihat mampu untuk menjadi alternatif kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Apa yang perlu diubah daripada PTPTN adalah caj tambahan daripada pinjaman PTPTN tidak perlu dikenakan. Peminjam hanya perlu membayar mengikut jumlah yang dipinjam sahaja. Pinjaman kerajaan negeri seperti Negeri Selangor dan Kelantan boleh melaksanakannya, kenapa tidak bagi pengurusan PTPTN?

Saya juga berpendapat cara pembayaran balik PTPTN haruslah diubah. Peminjam hanya perlu membayar apabila sudah mempunyai pekerjaan. Kadar pembayaran pula mestilah pada kadar yang munasabah dan tidak membebankan peminjam.

Hadiah saguhati and intensif haru diwujudkan dan diberikan kepada mana-mana pelajar yang cemerlang, baik buat mereka yang meminjam PTPTN mahupun tidak. Ia akan menggalakkan para pelajar untuk lebih berusaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. 

Saya amat terkejut apabila mendengar dan membaca kenyataan Perdana Menteri Malaysia,Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Pengajian Tinggi. Mereka memberikan sebuah gambaran yang sangat buruk jika hutang PTPTN dimansuhkan.

Memansuhkan secara tiba-tiba hutang PTPTN adalah suatu yang amat mustahil, namun melihat kepada cara kerajaan menguruskan wang dan harta rakyat, sebenarnya ia bukanlah suatu yang mustahil.

Pelepasan hutang sebanyak kira-kira RM589 juta kepada Tan Sri Tajudian Ramli dan pemberian pinjaman sebanyak hampir RM250 juta kepada keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil adalah dua contoh cara pengurusan kerajaan yang membimbangkan. Kronisme, ketirisan dan rasuah yang sekian lama menjadi amalan pelbagai lapisan masyarakat bermula daripada yang atas hingga ke bawah adalah perkara sebenar yang membebankan dan merugikan negara.

Perkara yang paling pokok yang perlu diubah adalah cara pengurusan pemerintahan. Ia tidak akan menjadi satu isu jika kerajaan memang benar-benar melaksanakn good governance, namun masih belum mampu untuk memberikan pendidikan percuma. Ketika itu, menjadi kewajipan keapda rakyat untuk bersama kerajaan dan membantu meringankan beban kerajaan.

Andaikata ditakdirkan Allah S.W.T. bahawa Pakatan Rakyat memerintah Malaysia selepas PRU ke-13 nanti, laksanakanlah good governance terlebih dahulu. Jika mampu untuk melaksanakan pendidikan percuma secara keseluruhannya, maka laksanakanlah. Jika tidak mampu, maka laksanakanlah secara berperingkat dan setakat termampu.

Andaikata kerajaan sekarang ditakdirkan Allah S.W.T. untuk terus memerintah Malaysia, berubahlah dan sedarlah bahawa kuasa adalah amanah. Laksankanlah good governance untuk kebaikan rakyat yang menjadi tanggungjawab anda.

Kepada para penghutang PTPTN, lunaskanlah hutang anda kerana hutang tersebut tetap menjadi tanggungjawab kamu semua yang akan disoal kelak. Berdoalah bahawa pemerintah yang memerintah Malaysia kelak adalah pemerintah yang adil lagi soleh, lantas menghilangkan bunga terhadap hutang atau mengurangkan kadar hutang, bahkan jika bermampuan, memansuhkan hutang kamu.

Allahu'alam.





Selasa, 27 Mac 2012

SMM, Sebuah Harapan..


Solidariti Mahasiswa Malaysia.

Satu gabungan gerakan/front mahasiswa yang mula mencuri tumpuan sejak kebelakangan ini terutamanya dengan siri-siri demostrasi yang bertenaga dan penuh 'kontroversi'. Kepimpinananya baru berubah baton. Kini, ia diterajui oleh Saudara Safwan Anang daripada kampus UM.

Harapan & nasihat saya sebagai mahasiswa yang bakal menamatkan pengajian tidak lama lagi (insyaAllah) serta memerhatikan dan mengikuti rapat perkembangan front ini di sebalik banjaran Titiwangsa kepada kepimpinan baru SMM adalah:

1) Kembali kepada landasan asal tujuan penubuhan front ini jika ada yang sudah tergelincir. Yang mana masih selari, boleh diteruskan. Perbanyakkan perkongsian dengan insan-insan yang menubuhkan front ini agar anda tidak kabur dengan tujuan asal penubuhan front ini.

2) Bukan semua perkara yang relevan untuk gerakan mahasiswa terdahulu, masih lagi relevan untuk gerakan masa kini. Tidak semua perkara harus berdemostrasi. Tidak semua perkara harus menunujukkan penentangan dan protes. Kurangkan membuat kontroversi dan mencari publisiti. Bertindak dengan matang atas sesuatu perkara, bukan sekadar emosi. Apabila berhujah, biarlah datang bersama dengan fakta. Itulah yang membezakan kamu sebagai mahasiswa dengan orang kebanyakan.

3) Pemimpin SMM haruslah menunjukkan contoh yang terbaik sebagai mahasiswa. Akademik yang cemerlang serta akhlak yang terpuji. Bukan hanya sibuk memperjuangkan hak sehingga kelas dan akademik terabai. Selagi mana kamu bergelar mahasiswa, akademik dan pelajaran tidak pernah menjadi perkara yang kedua.

4) Letakkan adab, nilai, akhlak dan hujah sebagai perkara asas dalam setiap pergerakan front mahasiswa ini. Biar semua mahasiswa bangga dengan front ini, bukanya malu untuk mengakui bahawa front ini adalah front mahasiswa.

Pemimpin gerakan mahasiswa adalah cerminan pemimpin negara untuk masa hadapan. Lihat sahaja pemimpin negara sekarang. Kebanyakan daripada mereka adalah bekas pimpinan mahasiswa.

Jika pemimpin mahasiswa kini rendah tahap akademik dan intelektualnya serta bermasalah dalam adab dan akhlaknya, usahlah kita mengimpikan pemimpin yang lebih baik daripada kebanyakan pemimpin negara sekrang ini!

Ahad, 25 Mac 2012

Sekilas Pandang Setelah Menyepi


Sudah lama tidak menulis.

Perubahan gaya hidup sejak memasuki fatrah praktikal ini membuatkan diriku melupakan sebentar mengenai laman blog ini. Ianya penting untuk menghidupkan salah satu daripada ruang dakwah ini, namun ada beberapa perkara yang lebih penting dan harus didahulukan atau dengan istilah yang popular, urgent and important.

Semakin maju dan tinggi tahap IQ manusia, semakin jauh mereka daripada Ilahi. Kenapa menjadi begitu?

Ini kerana nilaian maju adalah mengikut neraca materialistik yang tidak bertunjangkan suluhan wahyu. Nilaian tahap IQ pula mengikut apa yang digariskan oleh orang bukan Islam. Semuanya sepi dan kian menjauh daripada nilaian Ilahi mengikut neraca syariat berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.

Keadaan di Syria kian meruncing. Bashar al-Assad dan pengikut-pengikutnya cuba untuk mengikut jejak langkah Firaun dan pembesar-pembesarnya. Mereka lupa apa yang telah diceritakan didalam surah An-Naazi'at.

Keadaan di Malaysia tidak kurangnya. Pemimpin tertinggi negara terkeliru dengan ke'Islam'an yang ingin dibawa, bahkan dikelirukan lagi oleh pengampu-pengampu di sekeliling beliau yang berkelulusan agama. Merasakan diri selari dengan apa yang dibawa Nabi Muhammad S.A.W., namun sebenarnya jauh tersasar..

Isu Yahudi, Zionis dan urusan dengan mereka hangat dibincangkan kebelakangan ini. Alhamdulillah, takdir Allah menentukan isu ini menjadi topik perbincangan di pentas-pentas ceramah, dada-dada akhbar, laman-laman sosial dan alam maya. Alhasilnya, masyarakat mula sedar apakah perbezaan antara Yahudi dan Zionis serta bagaimana sikap kita (umat Islam) terhadap mereka. Ulama' dan para ilmuan yang ikhlas memberi penerangan yang akhirnya membawa kita kepada mengenali siapakah sebenarnya yang telah menkhianati Islam. Sungguh hebat ketentuan Ilahi!

Mutakhir ini kita dikejutkan dengan beberapa kisah menghayat hati tentang pembunuhan kejam terhadap insan-insan yang tidak berdosa dan beberapa kisah lari dari rumah yang membabitkan remaja Islam. Semua masalah ini sebenarnya membawa kesimpulan kepada keperluan yang amat sangat terhadap penguatkuasaan undang-undang Islam di negara yang mengaku sebuah negara 'Islam' ini serta pengislahan terhadap sistem pendidikan bermula daripada akar umbi sehingga membentuk masyarakat yang madani.

Dalam lambakan sisi gelap yang semakin menyelubungi kita, sebenarnya ada fajar yang sedang menyinsing dan diharapkan terus bersinar dan akhirnya menerangi ke seluruh pelusuk alam. Pertamanya apa yang berlaku di Mesir, Tunisia dana beberapa negara Arab. Sinar Islam kembali menyinar dengan kuasa Allah s.w.t. setelah bergelap buat beberapa ketika dahulu. Penghijrahan beberapa artis yang merupakan ikon masyarakat ke arah lebih baik dengan membawa kepada pengenalan bentuk hiburan yang sebenar dalam Islam. Kemunculan beberapa orang pendakwah muda dengan pendekatan baru yang lebih segar dan mesra masyarakat yang telah berjaya mengubah persepsi masyarakat tentang dakwah dan syariat Islam.

Islam pasti menang di akhirnya. Itu adalah janji Ilahi. Sama ada kita terlibat atau berdiam diri, ia pasti terjadi.

Ismail Haniyeh telah berucap dengan yakin dan optimis bahawa pembebasan bumi syria daripada belenggu regim Bashar al-Assad akan membuka pintu kemenangan dan pembebasan bumi Palestin dan Masjidil al-Aqsa. Keyakinan daripada seorang yang telah menginfaqkan diri di jalan Allah serta sangat yakin dengan janji-janjiNya.

Kita bagaimana? Adakah yakin dengan janjiNya?

Jika ya, adakah cukup dengan sekadar yakin?