Ahad, 28 Ogos 2011

Artikel Pilihan: Ramadhan & Berbilang Solat Witir


Agak ramai yang tertanya-tanya berkenaan solat witir khususnya di bulan Ramadan yang mulia ini. Disebabkan solat witir kerap dijadikan penutup kepada solat sunat tarawih. Sifat solat witir yang disebut oleh nabi Muhammad s.a.w adalah penutup kepada segala solat sunat pada sesuatu malam, Justeru timbul persoalan sama ada boleh untuk mendirikan solat sunat yang lain selepas solat witir dan adakah boleh ditunaikan witir sekali lagi selepas itu?

Persoalan yang wajar dijelas dengan terang dan jelas oleh para ulama Islam. Terutamanya di bulan Ramadhan ini, ramai yang bangun sahur dan beberapa waktu yang ada sebelum sahur dan selepasnya, sementara menanti azan subuh, adakah boleh didirikan solat witir? Adakah perlu solat witir yang telah didirikan sebelum ini digenapkan terlebih dahulu ? atau di batalkan? Atau dibuka semula?. Melalui tulisan ini saya cuba menjelaskannya dengan ringkas.
Saya tidak akan mengulas latar belakang solat witir, dari sudut hukum sunat atau wajib, jumlah ra'akatnya. Saya akan terus mengulas sama persoalan larangan Nabi s.a.w untuk menunaikan dua solat witir dalam satu malam.
SOLAT SUNAT SELEPAS WITIR
Asa pertama adalah sama ada boleh mendirikan solat sunat dengan rakaat genap selepas solat witir. Majoriti ulama berpendapat hal tersebut DIBENARKAN berdasarkan hadis sohih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, At-Tirmidzi dan Ibn Majah yang menyebut nabi mendirikan solat sunat dua rakaat selepas solat witir dan dibaca dalam solat itu surah Al-Zalzalah dan Al-Kafirun. Riwayat Ibn Majah mengatakan nabi solat sambil duduk.
Pun begitu, ulama berbeza ijtihad dalam menanggapi hukum mereka yang telah berniat dari awal untuk solat suat lain selepas witir seperti berikut :-
  • 1- Sesiapa yang solat witir tetapi berniat untuk solat sunat lagi selepas itu, sebahagian ulama Maliki berijtihad ia sebagai makruh. Berdalilkan kepada hadis nabi :
اجعلوا آخر صلاتكم بالليل وتراً
Ertinya : Hendaklah kamu jadikan witir sebagai solat terakhir kamu di setiap malam. (Hadith sohih Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
  • 2- Seseorang mendirikan solat witir tetapi tiada sebarang niat untuk solat sunat lain selepasnya. Namun atas apa jua sebab, dia mendirikan solat witir selepas itu. Itu HARUS TANPA SEBARANG MAKRUH. Ulama menyatakan keharusannya namun mereka berbeza pandangan sama ada :
· Hanya solat dengan rakaat genap tanpa witir sekali lagi
· Dimulakan dengan satu rakaat bagi menggenapkan witir yang telah dilakukan, diikuti solat sunat dua rakaat biasa dan disudahi dengan solat sunat dengan witir (rakaat ganjil) sebagai penutup.
WITIR DI AWAL DAN DIHUJUNG MALAM
Berdasarkan maklumat di atas, sedikit perinciannya adalah seperti berikut :-
Pandangan Pertama : Tidak boleh digenapkan witir awal & tiada lagi witir selepas itu.
Ini merupakan ijtihad majoriti Sahabat Nabi, Tabi'en dan ulama mujtahid termasuk mazhab Syafie. Berdasarkan ijtihad ini, tidak boleh witir digenapkan (orang Melayu namakan sebagai ‘buka' witir). Hanya perlu solat sunat dengan rakaat genap sehingga habis malam TANPA BOLEH MELAKUKAN WITIR SEKALI LAGI. Nabi menyebut :-
لا وتران في ليلة
Ertinya : Tiada dua solat witir dalam satu malam. ( Riwayat Al-Tirmidzi & Ahmad)
Berdasarkan hadis tersebut, Al-Hafidz Al-Iraqi menyatakan majoriti ulama menolak pandangan yang mengatakan boleh DIGENAPKAN witir atau dibatalkan bagi membuka ruang solat sunat lain dilaksanakan. Beliau berkata :-
إن من أوتر وأراد الصلاة بعد ذلك لا ينقض وتره ، ويصلي شفعا شفعا حتى يصبح
Ertinya : Sesiapa yang TELAH mendirikan solat witir ( pada satu malam) dan kemudiannya ingin mendirikan solat yang lain ( sunat) tidak boleh dibatalkan witirnya *yang telah dilakukan), justeru hendaklah dia mendirikan solat sunat dua rakaat , dua rakaat sehingga Subuh ( tiada witir).
Menurut nukilan Ibn Abi Syaibah, antara sahabat nabi yang berpandangan demikian adalah Abu Bakar Al-Siddiq, Ammar B Yasir, Aisyah, Abu Hurairah dan ramai lagi. Manakala dari kalngan ulama besar tabien adalah Sa'id Ibn Musayyab, As-Sya'bi, Ibrahim al-Nakhi'e, Sa'id Ibn Jubair Pandangan itu juga dipegang oleh Sufyan Al-Thawry, Imam Malik, Imam Ahmad, Abu Thawr, Imam Shafi'e dan Qadhi Iyadh dan ramai lagi.[1]
Menurut kumpulan ulama ini, pandangan yang membolehkan menggenapkan witir (buka) dan didirikan sekali lagi di akhir malam adalah lemah, selain alasan kekuatan dalil yang disandarkan, mereka juga mengutarakan pertikaian jika witir dilakukan di awal malam, kemudian tidur dan apabila bangun di hujung malam lalu dilaksanakan sambungannya, itu sudah dikira dua witir yang berasingan disebabkan wudhu yang telah batal dan pemisahan antara keduanya untuk tempoh yang panjang.
Hasilnya, untuk menganggap witir di awal malam dan yang dilaksanakan di hujung malam sebagai SATU WITIR adalah lemah, malah Imam As-Syawkani mengatakan jika dilakukan satu rakaat terlebih dahulu dengan niat untuk menggenapkan rakaat witir yang ganjil sebelum ini, maka ia sudah dikira witir kedua, dan jika ditutup pula solat sunat pada malam itu dengan witir yang lain, tatkala itu witir itu dianggap witir ketiga. Ia jelas melanggar tegahan nabi.
Selain itu dinaqal dari Abu Bakar As-Siddiq, Ammar bin Yasir dan Aisyah yang mengatakan sesiapa yang membatalkan witir ( dengan solat satu rakaat bagi menggenapkannya) adalah orang yang bermain-main dengan solatnya.
Pandangan Kedua : Boleh digenapkan witir awal dan solat semula di akhirnya.
Pandangan dan ijtihad berbeza ini menyebut keharusan untuk neutralize witir awal dengan menggenapkan jumlah rakaat witir yang telah dilakukan iaitu dengan cara menunaikan satu solat dengan rakaat ganjil. Dengan cara itu, seolah witir yang sebelum ini berubah menjadi solat genap, tidak lagi witir.
Mereka berdalilkan athar dari Ibn Umar r.a yang diriwayatkan berkata :-
أما أنا فلو أوترت قبل أن أنام ، ثم أردت أن أصلي بالليل شفعت بواحدة ما مضى من وتري ، ثم صليت مثنى مثنى ، فإذا قضيت صلاتي أوترت بواحدة ، لأن رسول الله صلى الله عليه وسلم { أمرنا أن نجعل آخر صلاة الليل الوتر
Ertinya : Adapun aku, kiranya aku telah solat witir sebelum aku tidur, kemudian apabila (aku bangun) dan ingin menunaikan solat di malam hari, akan aku mulakan dengan satu rakaat barang yang telah selesai dari witirku sebelum ini ( menambah satu agar digenapkan) kemudian, aku akan solat sunat dua raka'at, dua raka'at, setelah selesai semuanya, akan aku akhirinya dengan solat witir satu rak'at, itu adalah kerana Rasulullah mengarahkan kami agar menjadikan solat sunat terakhir dalam satu malam, adalah solat witir. ( Riwayat Ahmad)
Mereka juga berpegang kepada dalil athar Uthman Affan r.a :-
إني إذا أردت أن أقوم من الليل أوترت بركعة، فإذا قمت ضممت إليها ركعة فما شبهتها إلا بالغريبة من الإبل تضم إلى الإبل
Ertinya : sesungguhnya aku apabila aku ingin tidur di awal malam, aku dirikan solat witir, dan apabila aku bangkit ( di tengah malam) akan ku gabungkan dengannya (witir sebelum ini) dengan satu rakaat, tidaklah ia kecuali seperti seekor unta ganjil yang bergabung dengan kumpulannya. ( Tuhfatul Ahwazi syarah Sunan Tirmidzi)
Diriwayatkan daripada Ali K.W berkata :
الوتر ثلاثة أنواع فمن شاء أن يوتر أول الليل أوتر ، فإن استيقظ فشاء أن يشفعها بركعة ويصلي ركعتين ركعتين حتى يصبح ثم يوتر فعل ، وإن شاء ركعتين حتى يصبح ، وإن شاء آخر الليل أوتر
Ertinya : Witir itu tiga cara, barangsiapa yang ingin witir di awal malam, maka perbuatlah, sekiranya dia bangun di malamnya , mulakan dengan satu rakaat dan diikuti dua rakaat, dua rakaat sehingga subuh diakhiri witir , maka lakukanlah. ( Kedua) Sesiapa yang ingin solat dua rakaat sehingga subuh (tanpa diawali dengan satu rakaat dan diakhiri dengan witir lagi) , maka lakukanlah. (Ketiga), atau barangsiapa yang ingin terus melewatkan solat witirnya di akhir malam sahaja (tidak solat witir) di awal malam. (Riwayat Imam Syafie dalam musnadnya)
KESIMPULAN
Saya tidak berhasrat untuk memanjangkan perbincangan secara terlalu ilmiah. Cukuplah pendedahan info dan dalil ringkas seperti di atas.
Dari pendedahan di atas, jelas hal ini adalah isu khilaf yang diterima, justeru semua pihak diharap tidak memperlekeh mana-mana pandangan yang berbeza. Saya pernah mendapati ada individu yang memperlekehkan tindakan ‘membuka witir' dengan menggenapkannya sebagai lucu. Kini telah disertakan beberapa dalil yang wujud dalam hal tersebut. Walau ia pandangan yang marjuh (kurang kuat), ia tidak wajar sama sekali untuk dilucukan.
Di bulan Ramadhan yang mana witir biasanya didirikan sebagai penamat kepada solat terawih. Jika kita bangkit bersahur dan punyai masa untuk terus menunaikan solat sunat lain, ia DIHARUSKAN tanpa perlu dimulai dengan satu rakaat witir. Tidak perlu pula ditutupi dengan witir lain selepas itu.
Wajar dituruti pandangan majoriti ulama yang MELARANG ditunaikan solat witir sekali lagi di akhir malam. Cukup sekali witir yang telah didirikan di akhir terawih bersama imam berteatan dengan saranan Nabi Muhammad s.a.w.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
18 Ogos 2010
8 Ramadhan 1431

Sabtu, 27 Ogos 2011

Catatan Des Moines 10


Alhamdulillah..

Bacaan 30 juzuk al-Quran di dalam solat Sunat Terawih telah berjaya ditamatkan semalam. Tanpa keizinan-Nya, semuanya tidak akan mampu berlaku. Solat sunat kami semalam di akhiri dengan satu bacaan qunut panjang yang dipimpin oleh Imam Afrah ketika solat Sunat Witir.

Penuh jemaah di masjid malam ini. Lebih ramai bilangannya dari malam-malam lain. Hampir satu kali ganda. Kenapa ya? Adakah kerana semalam adalah malam ke-27 ataupun malam minggu ataupun malam yang akan dikhatamkan al-Quran?...Wallahu'alam.

Orang yang beriktikaf di masjid sehingga waktu qiyammulail jamaie juga ramai dan sangat berbeza dengan malam-malam sebelumnya. Suasana agak meriah. Kanak-kanak pula membaca al-Quran beramai-ramai di tingkat bawah masjid sehingga waktu qiyammulail jamaie bermula.

Kami ditatangi oleh seorang saudara yang agak 'ganjil' semalam. Seorang lelaki berkulit putih, berambut oren. Beliau beriktikaf dan bersolat bersama-sama jemaah lain. Namun, beberapa cara, gaya dan perwatakannya sangat mencurigakan. Mengikut beberapa jemaah di sini, kita kena perlu berhati-hati kerana sudah banyk kejadian yang pengintip a.k.a spy menyusup masuk ke dalam Islamic Center di sini untuk mendapatkan maklumat-maklumat tertentu. Ada yang menyamar saudara baru yang bermusafir, ada dengan cara berkawan. Pada pendapatku, tiada apa yang perlu ditakutkan, cuma hazar (berhati-hati) perlu ada. Bersedia dengan pelbagai kemungkinan. Ingatlah kita kepada janji-janjiNya:
"Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)". (Surah at-Taubah: 32)

"Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)". (Surah as-Saff: 8)
Juga seperti yang Dia ceritakan dalam KitabNya tentang Kaum Yahudi yang ingin membunuh Nabi Isa, namun Dia Maha Bijak melebihi segala-galanya.
"Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya". (Surah Ali 'Imran: 54)
Setakat ini dulu untuk catatan untuk kali ini. Semoga Allah mudahkan segala urusan kami di sini. Ya Allah, janganlah Engkau padamkan sinar Islam di sini. Semoga ia terus mekar dan membunga di sini.

5.34 pm (27/8/2011 a.k.a 27 Ramadhan)
Masjid Noor, 117 42nd Street,
Des Moines, Iowa, U.S.A.

Jumaat, 26 Ogos 2011

Catatan Des Moines 9


Sudah hampir 2 minggu tidak menulis catatan kami di sini. Pelbagai faktor yang menyebabkan diriku tidak menulis, antaranya adalah masa yang sentiasa berubah, pertambahan tugasan, perasaan malas, jaringan internet yang sering teputus dan kami memasuki fasa juzuk-juzuk yang memerlukan kami memberi lebih perhatian (baca: mengulang).

Alhamdulillah, insyAllah malam ini kami akan menamatkan bacaan al-Quran 30 juzuk sepanjang Solat Sunat Terawih di bulan Ramadhan. Kami akan bermula dengan surah 'Abasa pada malam ini dan akan diakhiri dengan doa khatam yang akan dipimpin oleh Imam Afrah. Semoga segala perancangan ini dimudahkanNya. Kita mampu merancang, namun Dia adalah sebaik-baik perancang.

Pelbagai aktiviti yang dilakukan dan telah berlaku sepanjang 2 minggu tidak mencatat di sini. Sepanjang tempoh ini, kami sudah sekurang-kurangnya (jika tidak silap) 3 kali pergi ke Walmart untuk window shopping, menghabiskan masa lapang dan membeli barang keperluan. Kami juga sudah 3 kali pergi ke JC Penny. Yang awalnya kami pergi bersama Uncle Muhammad Wahid Khan dan Aunty Betty, yang keduanya kami pergi bersama Ajmal dan Islam (dua beradik daripada Aghafanistan, berusia 16 dan 13 tahun) dan yang terakhirnya kami pergi bersama Ibrahim dan Nabil (Warga Somalia, berusia 16 dan 15 tahun)

Kami juga dibawa pergi bersiar-siar oleh Ajmal dan Islam ke sekolah Ajmal, Theodore Roosevelt High School, JC Penny, Hilal Groceries (kedai runcit yang menjual makanan halal yang dimiliki oleh Uncle Muhammad Wahid Khan dan adik-beradik Abdul Rizak) dan akhirnya kami dibawa ke rumah mereka. Di sana kami bermain kriket. Satu pengalaman baru bagi kami!

Sepanjang tempoh 2 minggu ini, hampir tiap-tiap malam kami tidak melelapkan mata kerana kebiasaanya malam-malam kami di sini akan ditemani oleh kanak-kanak dan remaja yang beriktikaf di Masjid Noor. Aktiviti wajib yang akan dilakukan pada malam hari adalah bermain bola sepak. Istilah yang digunakan untuk bermain bola sepak pada malam hari adalah 'tahajjud'. Afrah, Ibrahim, Nabil, Nadhir, Abdi Nasir, Mustafa dan Najib adalah antara pemain-pemain yang hampir pasti beraksi pada malam hari. Ajmal, Islam dan Abdullahi juga kadang-kadang beraksi bersama kami.

Pelbagai cara permainan bola sepak telah dimainkan, antaranya ialah in the middle (seorang pemain akan berada di tengah dan pemain tersebut perlu mendapatkan bola daripada pemain-pemain lain yang berada di sekelilingnya. Di Malaysia, ia popular dengan nama 'main ayam'), dua pasukan dengan dua gol (pagar masjid akan menjadi pintu gol), one touch in the middle (sama seperti in the middle, cumanya pemain-pemain hanya boleh membuat satu sentuhan untuk menghantar bola kepada pemain lain. Jika mana-mana pemain membuat lebih daripada satu sentuhan, pemain tersebut dikira kalah dan dikeluarkan daripada kelompok pemain lain. Pemain yang terakhir yang berada dalam permainan adalah pemenang) dan world cup (bermain dengan 1 gol dan seorang penjaga gol. Pemain lain akan berpasangan dan akan cuba menjaringkan gol. Mana-mana pasangan yang berjaya menjaringkan gol, akan berhenti bermain. Pasangan yang terakhir keluar daripada permainan adalah pasangan yang tewas).

Kami tidak hanya bermain bola sepak pada malam hari. Kami juga turut bermain bola sepak selepas solat Asar, hampir setiap hari. Kami akan bermain di padang latihan Akademi Bola Sepak Menace bersama-sama dengan rakan lain daripada Mesir, Somalia dan lain-lain sehinggalah pada satu hari kami dihalang untuk bermain di situ kerana dikatakan boleh merosakkan padang akademik bola sepak tersebut. Selepas kejadian itu, kami merubah tempat kami bermain bola sepak pada petang hari ke padang Perkins Elementary School. Begitulah aktiviti fizikal kami di sini. Kami tidak menjangkakan akan bermain bola sepak sebanyak ini. Dikelilingi oleh kanak-kanak yang gilakan bola sepak, menjadikan kami turut sama menjadi 'mabuk bola'. 2 seliparku telah terputus sepanjang berada di sini dek penangan bola sepak.

Bermula 10 malam terkakhir, qiammulail jamai'e diadakan di sini untuk mengalakkan umat Islam di Des Moines bersama-sama menghidupkan malam-malam akhir Ramadhan. Qiammulail bermula jam 3 pagi dan sebiasaanya akan tamat dalam jam 4.10 pagi. 8 rakaat Solat Sunat Tahajjud berserta 3 rakaat Solat Sunat Witir akan dilakukan secara berjemaah sepanjang tempoh 1 jam lebih tersebut. Pendekatan ketika Qiammulail berbeza dengan pendekatan ketika Solat Sunat Terawih. Bacaan al-Quran di baca dengan kadar yang lebih perlahan dan lebih banyak ketika Qiyammulail berbanding ketika Solat Sunat Terawih. Antara sebabnya adalah Qiammulail adalah masa yang terbaik untuk berdiri lama di dalam solat dan mendengarkan bacaan al-Quran.

Selesai melaksanakan solat sunat secara berjemaah, semua jemaah akan ke tingkat bawah masjid untuk bersahur bersama-sama. Alhamdulillah, setakat hari ini, suasana qiyammulail dan sahur sangat 'hidup' dan meriah walaupun bilangan yang hadir tidaklah seramai ketika Solat Sunat Terawih (8 rakaat yang awal).

Hari Raya Eidul Fitri kian hampir. Pastinya sambutan yang berbeza di sini berbanding di tanah air. Tiada jualan baju raya, tiada ketupat dan rendang. Itu semua adat. Sinaran syariat tetap bersinar di sini.

Genap seminggu dari sekarang kami akan terbang meningglkan bumi Des Moines (jika dipanjangkan umur). Terlalu cepat masa berlalu dan pergi. Adakah kami mendapat mutiara hikmah sepanjang berada di permusafiran ini?

5.53 pm (26/8/2011),
Masjid Noor,
117 42nd Street,
Des Moines, Iowa, U.S.A.

Isnin, 8 Ogos 2011

Catatan Des Moines 8

Sudah 7 hari Ramdhan berlalu dan sudah 2 minggu kami berada di sini. Sudah terlalu lama rasanya kami berada di sini, namun terlalu pantas Ramdhan berlalu. Ini mungkin kerana kami sudah dapat menyesuaikan diri dengan suasana di sini.

Hari-hari kami dihabiskan dengan mengajar Adnan dan Daud membaca al-Quran, bermain bola sepak dengan Ibrahim, Abdul Nasser, Nabil, Nadhir, Afrah dan kanak-kanak Somalia lain. Bermain di tengah panas dengan undang-undang tanpa 'outside' menyebabkan kita perlu berlari dan mengejar bola setiap masa. Satu pengalaman baru kepada kami.

Seorang jemaah daripada India sudah 2 kali memberi kami makanan 'tambahan' selepas solat sunat terawih. Jazakallahu Khairan Jaza'.

Pada hujung minggu lepas, Uncle Muhammad Wahid Khan dan Aunty Betty membawa kami pergi ke pusat membeli belah JC Penny. Ada 'sale' sempena cuti sekolah dibuka. Tiada cukai 6% dikenakan untuk hujung minggu ini. Hanya 2 hari sahaja dalam setahun, cukai 6% dikecualikan, iaitu hari sabtu dan ahad lepas. Kelihatan ramai penduduk Amerika Syarikat keluar pergi membeli belah.

Setakat ini sahaja untuk kali ini. Sekian.

1.05 pm (8/8/2011)
Masjid Noor,
117 42nd Street,
Des Moines, Iowa, U.S.A.


Selasa, 2 Ogos 2011

Catatan Des Moines 7


Hari pertama berpuasa di Des Moines, segalanya berjalan dengan lancar. Tiada aktiviti khusus dilakukan pada hari ini, hanya membantu anak-anak kecil membaca dan mengenal al-Qur'an.

Kami mengajar Adnan dan Daud bermula jam 12.50 tgh hari sehingga waktu Solat Zohor. Selepas Zohor, saya mengajar dua anak kecil yang berasal daripada Mexico, Cathey (9 tahun) dan Jonathan (6 tahun). Mereka merupakan anak kepada Muhammad yang baru memeluk Islam kira-kira 3 tahun yang lepas. Sungguh seronok mengajar Cathey dan Jonathan kerana mereka begitu bersungguh-sungguh dan berminat untuk belajar membaca al-Qur'an. Mereka ibarat kain suci yang perlu dicorakkan secara beterusan agar kelak ia menjadi seperti acuan islam yang sebenar.

Sungguh meriah suasana apabila tibanya waktu berbuka puasa di sini. Semua umat Islam di sini, tidak kira bangsa, negara, warna kulit berkumpul dan berbuka bersama-sama. Juadah berbuka semalam adalah nasi Arab bersama ayam, samosa, roti arab dan air kuning (tidak pasti namanya, rasanya seolah-olah campuran susu dan jus buah-buahan). Makanan tambahan mengikut tradisi masing-masing juga kelihatan dibawa oleh jemaah. Di sini, semua jemaah akan berbuka puasa dengan kurma dan air terlebih dahulu di ruangan dewan makan dan terus bergegas ke bahagian atas, ruangan tempat solat untuk menunaikan solat Maghrib secara berjemaah. Setelah selesai solat berjemaah, semua jemaah akan turun kembali ke dewan makan untuk menikmati makanan yang telah disediakan.

Malam kedua Solat Sunat Terawih di sini semuanya berjalan lancar. Islam dan abangnya, Ajmal (dua beradik yang merupakan pelarian daripada Aghfanistan) meminta kami untuk mengajar mereka mengaji. Kami bersetuju.

Setakat ini dahulu catatan untuk kali ini.

1.05 pm (2/8/2011)
Masjid Noor,
117 42nd Street,
Des Moines, Iowa, U.S.A.

Isnin, 1 Ogos 2011

Catatan Des Moines 6


-Islamic Center of Des Moines-

Hari ini aktiviti berjalan seperti biasa cumanya pada siangnya kami diminta oleh Mr Wahid Khan untuk mengajar cucunya, Adnan dan dan Daud mengajar mengaji dan membaca al-Quran. Mereka menggunakan sistem menghafaz surah-surah 'kecil' di dalam juz 30 tanpa boleh membaca al-Quran. Kami menetapkan untuk merubah sistem ini dengan meggunakan sistem bacaan Iqra' yang terkenal di Malaysia untuk membantu Adnan dan Daud mengenali al-Qur'an bermula daripada 'basic.'


-Ruangan solat di Islamic Center of Des Moines-



-Taman permainan yang merupakan sebahagian daripada kawasan tadika Islam yang terletak di dalam pagar Islamic Center of Des Moines-


-Klinik yang terdapat di Islamic Center of des Moines-

Pada petangnya, kami dibawa oleh Amir (berasal daripada Pakistan, bukannya Amir yang berasal daripada Bosnia dalam entri sebelum ini) ke Islamic Centre of Des Moines yang kira-kira 7 minit perjalanan daripada Majid Noor, tempat kami menginap. Kawasannya lebih luas daripada Masjid Noor dan terdapat sekolah tadika Islam,klinik, perpustakaan, taman permainan dan pejabat. Ia bagaikan 'one stop centre' untuk umat Islam di kawasan itu. Alhamdulillah, umat Islam semakin berkembang di Amerika Syarikat. Diharapkan ia terus berkembang dari semasa ke semasa. Malaysia harus mencontohi umat Islam di Amerika Syarikat yang menjadikan Masjid sebagai pusat aktiviti umat Islam, bukan hanya tertumpu kepada aktiviti ibadah khusus sahaja.

Alhamdulillah, tugas kami sudah bermula. Segalanya berjalan lancar pada malam pertama. Diharapkan ia berulang lagi untuk hari-hari mendatang kami di sini. Solat Sunat Terawih di sini didirikan tanpa diiringi oleh selawat antara dua rakaat Solat Sunat Terawih seperti di Malaysia dan bacaan qunut dibaca pada setiap malam dalam Solat Sunat Witir. Solat Isyak bermula jam 10 malam dan Solat Sunat Witir tamat dalam jam 12 tengah malam. Jam 3.30 pagi kami sudah harus bangun untuk persiapan bersahur kerana jam 4.27 pagi sudah masuknya waktu Solat Subuh. Kami hanya tidur dalam 3 jam sahaja semalam. Sekarang ini adalah masa kemuncak musim panas di sini yang mana malamnya sangat pendek dan siangnya sangat panjang.

Kami bersahur jam 4 pagi bersama-sama dengan Afrah, Imam daripada Somalia dan seorang warga Sudan (tidak ingat nama). Seronok rasanya dapat bersahur dengan mereka yang pernah melalui hidup susah di dalam kehidupan ini namun masih istiqamah dengan agama walaupun berada di negara yang kurang umat Islam.

Menanti untuk berbuka puasa secara beramai-ramai pada petang ini di sini. Ingin melihat wajah sebenar Islam. Bukan hanya 1 Malaysia, tetapi lebih besar daripada itu. 1 Islam! 1 Aqidah! 1 Ummah!


12.42 pm (1/8/2011)
Masjid Noor,
117 42nd Street,
Des Moines, Iowa, U.S.A.