Sabtu, 27 Ogos 2011

Catatan Des Moines 10


Alhamdulillah..

Bacaan 30 juzuk al-Quran di dalam solat Sunat Terawih telah berjaya ditamatkan semalam. Tanpa keizinan-Nya, semuanya tidak akan mampu berlaku. Solat sunat kami semalam di akhiri dengan satu bacaan qunut panjang yang dipimpin oleh Imam Afrah ketika solat Sunat Witir.

Penuh jemaah di masjid malam ini. Lebih ramai bilangannya dari malam-malam lain. Hampir satu kali ganda. Kenapa ya? Adakah kerana semalam adalah malam ke-27 ataupun malam minggu ataupun malam yang akan dikhatamkan al-Quran?...Wallahu'alam.

Orang yang beriktikaf di masjid sehingga waktu qiyammulail jamaie juga ramai dan sangat berbeza dengan malam-malam sebelumnya. Suasana agak meriah. Kanak-kanak pula membaca al-Quran beramai-ramai di tingkat bawah masjid sehingga waktu qiyammulail jamaie bermula.

Kami ditatangi oleh seorang saudara yang agak 'ganjil' semalam. Seorang lelaki berkulit putih, berambut oren. Beliau beriktikaf dan bersolat bersama-sama jemaah lain. Namun, beberapa cara, gaya dan perwatakannya sangat mencurigakan. Mengikut beberapa jemaah di sini, kita kena perlu berhati-hati kerana sudah banyk kejadian yang pengintip a.k.a spy menyusup masuk ke dalam Islamic Center di sini untuk mendapatkan maklumat-maklumat tertentu. Ada yang menyamar saudara baru yang bermusafir, ada dengan cara berkawan. Pada pendapatku, tiada apa yang perlu ditakutkan, cuma hazar (berhati-hati) perlu ada. Bersedia dengan pelbagai kemungkinan. Ingatlah kita kepada janji-janjiNya:
"Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)". (Surah at-Taubah: 32)

"Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)". (Surah as-Saff: 8)
Juga seperti yang Dia ceritakan dalam KitabNya tentang Kaum Yahudi yang ingin membunuh Nabi Isa, namun Dia Maha Bijak melebihi segala-galanya.
"Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya". (Surah Ali 'Imran: 54)
Setakat ini dulu untuk catatan untuk kali ini. Semoga Allah mudahkan segala urusan kami di sini. Ya Allah, janganlah Engkau padamkan sinar Islam di sini. Semoga ia terus mekar dan membunga di sini.

5.34 pm (27/8/2011 a.k.a 27 Ramadhan)
Masjid Noor, 117 42nd Street,
Des Moines, Iowa, U.S.A.

Tiada ulasan: