Jumaat, 26 Ogos 2011

Catatan Des Moines 9


Sudah hampir 2 minggu tidak menulis catatan kami di sini. Pelbagai faktor yang menyebabkan diriku tidak menulis, antaranya adalah masa yang sentiasa berubah, pertambahan tugasan, perasaan malas, jaringan internet yang sering teputus dan kami memasuki fasa juzuk-juzuk yang memerlukan kami memberi lebih perhatian (baca: mengulang).

Alhamdulillah, insyAllah malam ini kami akan menamatkan bacaan al-Quran 30 juzuk sepanjang Solat Sunat Terawih di bulan Ramadhan. Kami akan bermula dengan surah 'Abasa pada malam ini dan akan diakhiri dengan doa khatam yang akan dipimpin oleh Imam Afrah. Semoga segala perancangan ini dimudahkanNya. Kita mampu merancang, namun Dia adalah sebaik-baik perancang.

Pelbagai aktiviti yang dilakukan dan telah berlaku sepanjang 2 minggu tidak mencatat di sini. Sepanjang tempoh ini, kami sudah sekurang-kurangnya (jika tidak silap) 3 kali pergi ke Walmart untuk window shopping, menghabiskan masa lapang dan membeli barang keperluan. Kami juga sudah 3 kali pergi ke JC Penny. Yang awalnya kami pergi bersama Uncle Muhammad Wahid Khan dan Aunty Betty, yang keduanya kami pergi bersama Ajmal dan Islam (dua beradik daripada Aghafanistan, berusia 16 dan 13 tahun) dan yang terakhirnya kami pergi bersama Ibrahim dan Nabil (Warga Somalia, berusia 16 dan 15 tahun)

Kami juga dibawa pergi bersiar-siar oleh Ajmal dan Islam ke sekolah Ajmal, Theodore Roosevelt High School, JC Penny, Hilal Groceries (kedai runcit yang menjual makanan halal yang dimiliki oleh Uncle Muhammad Wahid Khan dan adik-beradik Abdul Rizak) dan akhirnya kami dibawa ke rumah mereka. Di sana kami bermain kriket. Satu pengalaman baru bagi kami!

Sepanjang tempoh 2 minggu ini, hampir tiap-tiap malam kami tidak melelapkan mata kerana kebiasaanya malam-malam kami di sini akan ditemani oleh kanak-kanak dan remaja yang beriktikaf di Masjid Noor. Aktiviti wajib yang akan dilakukan pada malam hari adalah bermain bola sepak. Istilah yang digunakan untuk bermain bola sepak pada malam hari adalah 'tahajjud'. Afrah, Ibrahim, Nabil, Nadhir, Abdi Nasir, Mustafa dan Najib adalah antara pemain-pemain yang hampir pasti beraksi pada malam hari. Ajmal, Islam dan Abdullahi juga kadang-kadang beraksi bersama kami.

Pelbagai cara permainan bola sepak telah dimainkan, antaranya ialah in the middle (seorang pemain akan berada di tengah dan pemain tersebut perlu mendapatkan bola daripada pemain-pemain lain yang berada di sekelilingnya. Di Malaysia, ia popular dengan nama 'main ayam'), dua pasukan dengan dua gol (pagar masjid akan menjadi pintu gol), one touch in the middle (sama seperti in the middle, cumanya pemain-pemain hanya boleh membuat satu sentuhan untuk menghantar bola kepada pemain lain. Jika mana-mana pemain membuat lebih daripada satu sentuhan, pemain tersebut dikira kalah dan dikeluarkan daripada kelompok pemain lain. Pemain yang terakhir yang berada dalam permainan adalah pemenang) dan world cup (bermain dengan 1 gol dan seorang penjaga gol. Pemain lain akan berpasangan dan akan cuba menjaringkan gol. Mana-mana pasangan yang berjaya menjaringkan gol, akan berhenti bermain. Pasangan yang terakhir keluar daripada permainan adalah pasangan yang tewas).

Kami tidak hanya bermain bola sepak pada malam hari. Kami juga turut bermain bola sepak selepas solat Asar, hampir setiap hari. Kami akan bermain di padang latihan Akademi Bola Sepak Menace bersama-sama dengan rakan lain daripada Mesir, Somalia dan lain-lain sehinggalah pada satu hari kami dihalang untuk bermain di situ kerana dikatakan boleh merosakkan padang akademik bola sepak tersebut. Selepas kejadian itu, kami merubah tempat kami bermain bola sepak pada petang hari ke padang Perkins Elementary School. Begitulah aktiviti fizikal kami di sini. Kami tidak menjangkakan akan bermain bola sepak sebanyak ini. Dikelilingi oleh kanak-kanak yang gilakan bola sepak, menjadikan kami turut sama menjadi 'mabuk bola'. 2 seliparku telah terputus sepanjang berada di sini dek penangan bola sepak.

Bermula 10 malam terkakhir, qiammulail jamai'e diadakan di sini untuk mengalakkan umat Islam di Des Moines bersama-sama menghidupkan malam-malam akhir Ramadhan. Qiammulail bermula jam 3 pagi dan sebiasaanya akan tamat dalam jam 4.10 pagi. 8 rakaat Solat Sunat Tahajjud berserta 3 rakaat Solat Sunat Witir akan dilakukan secara berjemaah sepanjang tempoh 1 jam lebih tersebut. Pendekatan ketika Qiammulail berbeza dengan pendekatan ketika Solat Sunat Terawih. Bacaan al-Quran di baca dengan kadar yang lebih perlahan dan lebih banyak ketika Qiyammulail berbanding ketika Solat Sunat Terawih. Antara sebabnya adalah Qiammulail adalah masa yang terbaik untuk berdiri lama di dalam solat dan mendengarkan bacaan al-Quran.

Selesai melaksanakan solat sunat secara berjemaah, semua jemaah akan ke tingkat bawah masjid untuk bersahur bersama-sama. Alhamdulillah, setakat hari ini, suasana qiyammulail dan sahur sangat 'hidup' dan meriah walaupun bilangan yang hadir tidaklah seramai ketika Solat Sunat Terawih (8 rakaat yang awal).

Hari Raya Eidul Fitri kian hampir. Pastinya sambutan yang berbeza di sini berbanding di tanah air. Tiada jualan baju raya, tiada ketupat dan rendang. Itu semua adat. Sinaran syariat tetap bersinar di sini.

Genap seminggu dari sekarang kami akan terbang meningglkan bumi Des Moines (jika dipanjangkan umur). Terlalu cepat masa berlalu dan pergi. Adakah kami mendapat mutiara hikmah sepanjang berada di permusafiran ini?

5.53 pm (26/8/2011),
Masjid Noor,
117 42nd Street,
Des Moines, Iowa, U.S.A.

Tiada ulasan: