Rabu, 27 Julai 2011

Catatan Des Moines 2



-Kedai yang menjual makanan halal. Hanya bersebelahan dengan Masjid Noor, tempat kami menginap-

Hari kedua kami berada di sini, kami masih lagi dalam proses menyesuaikan diri dengan perubahan masa dan waktu di sini. Perbezaan masa antara Des Moines dan Malaysia adalah 13 jam. Ini bermakna, waktu siang di Malaysia adalah waktu malam di Des Moines. Begitulah sebaliknya. Kami dalam keadaan mengantuk yang amat sangat pada siang hari di sini kerana jika di Malaysia ia adalah masa tidur dan asyik terjaga apabila tidur malam di sini kerana ia adalah masa berjaga (siang hari) di Malaysia.

Di Amerika Syarikat, khususnya di Des Moines, sekarang ini adalah musim panas (summer) yang mana siangnya adalah panjang berbanding waktu malam. Waktu Subuh masuk dalam jam 4.18 pagi, Zohor dalam jam 1.30 tgh hari, Asar dalam 6.30 petang, Maghrib dalam jam 8. 30 malam, Isyak dalam pukul 10 malam. Siang yang panjang, malam yang pendek. Apabila masuknya bulan Ramadhan kelak, tempoh berpuasa adalah kira-kira 16 jam setiap hari!



-Selalunya kita jumpa drive thru untuk fast food sahaja di Malaysia. Di sini farmasi pun menyediakan perkhidmatan drive thru-


-Kedai yang menjual barang mentah dan makanan yang sihat-

-Kedai Kek-


-Mesin untuk meminjam CD dan DVD. Tiada lagi di Malaysia setakat ni-


-Kedai menjual makanan dan peralatan untuk haiwan ternakan-


-Semua gambar di atas: Antara kedai yang berada berhampiran dengan tempat kami menginap-


Kami sempat bersiar-siar di kawasan berdekatan dengan Masjid, tempat kami menginap. Rupa-rupanya terdapat pekan yang berhampiran dengan tempat kami menginap. Kami sempat pergi 'window shopping' di Mediterranean Shop yang menjual barang makanan halal untuk Muslim dan Kosher untuk orang Yahudi, Hygee Supermarket, Campbell Market yang menjual makanan-makanan sihat terutamanya untuk makanan vegetarian, vegan dan free-gluten diet. Yang terakhir, kami pergi ke kedai Radioshack yang menjual alat-alat elektronik. Harga laptop, handset seperti blackberry ternyata lebih murah berbanding dengan harga di Malaysia.


-Klinik di Des Moines, Iowa. Semuanya memerlukan insurans kerana servis yang ditawarkan sangat mahal-


Setakat ini dahulu catatan untuk hari ini. Diharapkan kami dapat membetulkan putaran 'masa' kami di sini.


11.45 am (27/7/2011)
Masjid Noor,
1117 42nd Street,
Des Moines, Iowa, U.S.A

Selasa, 26 Julai 2011

Catatan di Des Moines 1



Alhamdulillah, sudah selamat tiba di Des Moines, Iowa, United Sates pada 25/7/2011, jam 3.40 petang. (waktu Malaysia: 4.40 pagi 26/7/2011) selepas perjalanan yang panjang termasuk 13 jam lebih daripada KLIA ke Heatrow, London + 2 jam transit, 8 jam lebih daripada Heatrow ke Chicago, United States + lebih kurang 4 jam transit (termasuk ditahan sebentar di pejabat kastam di Chicago Airport) dan 1 jam lebih perjalanan daripada Chicago ke Des Moines.


-Terminal 3 of Heatrow Airport, London, England-




Layanan yang baik di atas pesawat MAS termasuk makanan yang disediakan sangat mengenyangkan. Sebaik tiba di Heatrow Airport, London, kira-kira jam 5.30 pagi waktu London, pemeriksaan dan soal selidik daripada pihak kastam United Kingdom telah dilakukan, namun tidaklah seketat seperti yang dijangkakan. Masa transit yang singkat telah digunakan oleh kami untuk membeli sedikit cenderahati London sebagai kenang-kenangan. Nilai matawang Pound Sterling adalah lebih kurang dua kali ganda daripada nilai USD.

-Suasana di Heatrow Airport, London-

Perjalanan daripada Heatrow ke Chicago menggunakan pesawat American Airlines. Kami dihidangkan dengan Muslim Food yang telah ditempah awal ketika membuat tempahan tiket perjalanan. Makan pagi kami dihidangkan dengan fish fillet, tomato, cendawan bulat dan sawi serta buah. Sungguh menyelerakan. Hidangan snek kami dihidangkan dengan ayam, muffin , sayuran-sayuran dan buah anggur tanpa biji. Satu pengalaman baru merasai makanan Muslim Food yang disediakan mengikut citarasa Amerika.


-O'hare International Airport, Chicago, U.S.A.-

Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa O'hare, Chicago, semua penumpang terus menuju ke tempat pemeriksaan imigresen dan kastam. Ternyata pelawat yang bukan merupakan rakyat Amerika Syarikat lebih ramai memasuki Amerika Syarikat melalui pintu Chicago berbanding rakyat Amerika Syarikat sendiri. Kami turut beratur seperti pelawat lain. Namun, apabila tiba di hadapan kaunter, ternyata kami tidak mengisi satu 'form' selain daripada decleration form untuk memasuki Amerika Syarikat.. Selepas siap mengisi setiap maklumat yang diperlukan, kami kembali beratur dan terus pergi ke kaunter bila tiba giliran kami.

Apabila pemeriksaan dilakukan, ada sedkit masalah berlaku apabila passport Abdul Halim tidak dapat di'baca' oleh sistem IT Amerika Syarikat. Akibatnya, kami berdua telah diminta untuk pergi ke pejabat kastam untuk soal selidik dengan lebih lanjut. Kami terpaksa menunggu untuk beberapa ketika sehingga kami terlepas penerbangan ke Des Moines yang sepatutnya dijadualkan berlepas jam 11.55 pagi (waktu U.S.A) sedangkan pada jam 11.50 pagi, kami masih lagi berada di pejabat kastam tersebut. Tiada soal jawab/selidik yang berlaku di pejabat tersebut. Pihak kastam hanya membuat lanjutan pemeriksaan pada passport tersebut dengan menggunakan sistem IT mereka dan hanya ada sedikt soalan-soalan biasa yang diajukan kepada kami.
Setelah selesai urusan di pejabat kastam, kami terus bergegas ke kaunter American Airlines untuk bertanyakan keadaan kami kerana sudah terlepas penerbangan. Alhamdulillah, penerbangan kami dapat diganti dan kami hanya perlu tunggu beberapa jam sahaja untuk menaiki penerbangan seterusnya.

Setelah selesai urusan penggantian tiket, kami terus bergegas untuk memasuki terminal 3 Chicago Airport untuk penerbangan seterusnya. Di sini sekali lagi pemeriksaan kastam dilakukan. Semua barang perlu dikeluarkan termasuklah laptop perlu dibuka daripada begnya, kasut, tali pinggang, jaket, jam tangan juga perlu dibuka. Alhamdulillah, kami selamat melepasi pemeriksaan ini
Seterusnya, misi kami adalah untuk memaklumkan kepada Mr Wahid Khan bahawa penerbangan kami sudah bertukar waktu. Memandangkan duit USD yang berada di tangan kami semuanya pada nilai yang besar, kami perlu untuk menukarkannya ke duit syiling untuk digunakan untuk menghubungi Mr. Wahid. Kami membuat keputusan untuk membeli cenderahati Chicago (hanya 1) untuk dipecahkan duit USD yang berada di tangan kami.
Selepas selesai uruasan membeli, kami terus mendapatkan pondok telefon di lapangan terbang tersebut. Namun, cubaan pertama kami untuk menghubungi Mr Wahid berdasarkan nombor yang diberikan tidak berjaya. Bagaikan ada sesuatu yang tertinggal pada nombor tersebut. Setelah itu, kami terus ke kedai berdekatan untuk bertanyakan tentang sistem dan cara yang digunakan untuk menghubungi nombor telefon di U.S.A. Rupa-rupanya kami tertinggal no.1 dihadapan. No. 1 perlu ditambah untuk pada talian antara bandar/negeri di dalam U.S.A. dan alhamdulillah pemilik kedai tersebut memberikan telefonnya untuk digunakan tanpa mengenakan apa-apa bayaran.


- Gambar dari dalam pesawat American Eagles-

Kami berlepas ke Des Moines daripada Chicago Airport kira-kira jam 2.25 petang (waktu U.S.A) menaiki pesawat American Eagles. Sebuah pesawat yang kecil, seakan-akan menaiki bas ekspres apabila berada di dalamnya. Alhamdulillah kami tiba di lapangan terbang Des Moines pada jam 3.40 petang dan disambut oleh Mr. Wahid.

Kami dibawa ke rumah Mr Wahid yang kira-kira 15 minit daripada lapangan terbang Des Moines. Sungguh tenang Des Moines yang dihiasi dengan tumbuhan-tumbuhan hijau. Di rumah Mr. Wahid, kami berjumpa dan berkenalan dengan isterinya, Mrs Betty, anak perempuannya serta cucu-cucunya yang comel, daud dan adam. Sungguh kemas rumah Mr Wahid sehinggakan satu sampah pun tidak kelihatan. Rumah di U.S.A hanya kelihatan kecil dan bersahaja pada luarannya, namun sangat luas dan tersusun di dalamnya. Kami dihidangkan makan tengah hari di rumah Mr Wahid dan selepas bersiap, kami terus ke Islamic Centre/ Masjid, tempat di mana kami akan menetap sepanjang permusafiran kami di sini.

Tempat yang cantik dan tersusun. Kami menginap di dalam perpustakaan yang juga merupakan bilik tetamu. Alhamdulillah, kami sudah bertemu dengan beberapa komuniti Muslim di sini termasuklah Imam Afrah yang berasal daripada Somalia, yang bacaannya sungguh memukau, Amirul, pelajar Malaysia di Drake University, En Razak, Bro Muhammad (orang Mexico) dan beberapa orang lagi.

Terima Kasih Allah kerana memudahkan dan melindungi perjalanan kami.

Terima kasih Mr Wahid dan Mrs Betty yang sangat baik dan menghilangkan kekekokan kami berda di sini.

Diharapkan segalanya berjalan lancar untuk hari-hari yang mendatang..

*Jika ingin bertemu Islam tetapi bukan Muslim, bolehlah ke U.S.A.*


10.13 pagi (26 Julai 2011),
Masjid Noor,
1117 42nd Street
Des Moines, Iowa, U.S.A.

Rabu, 20 Julai 2011

Kisah Khalifah Harun Ar-Rasyid dan Fudhail Bin 'Iyadh


Suatu hari, Khalifah Harun ar-Rasyid pergi melawat Fudhail Bin 'Iyadh di rumahnya.

Ketika tiba di rumah Fudhail, beliau memadamkan lampu/pelita di rumahnya dan bersalaman dengan Khalifah Harun ar-Rasyid. Ketika bersalaman, lantas Fudhail Bin Iyadh pun berbisik kepada Khalifah Harun,

"Alangkah malangnya jika tangan yang lembut ini dibakar oleh api neraka"

Mendengar bisikan Fudhail itu, Harun ar-Rasyid terus menangis sehingga disedari oleh pembantu-pembantunya yang mengiringinya ke rumah Fudhail.

Lantas mereka bertanya kepada Fudhail, "Apa yang kamu katakan kepada Amirul Mukminin sehingga beliau menangis sebegini?"

Lalu Fudhail berbisik kepada Khalifah Harun, "Berwaspadalah dengan orang-orang di sekelilingmu (pembantu-pembantumu) kerana mereka boleh merosakkan dirimu"

Ibrah:

1) Kata-kata orang yang Soleh lagi ikhlas bisa mengetuk pintu hati. Nasihat dan teguran harus dilakukan walaupun beliau adalah pemimpin tertinggi negara.

2) Nasihat Fudhail yang begitu mendalam. Walaupun seseorang itu adalah pemerintah, orang kenamaan, orang yang berkuasa, bahkan mempunyai fizikal yang sempurna, namun jika ia dihumban ke dalam api neraka, tiada nilainya semua kelebihan-kelebihannya di dunia.

"Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan itu hanyalah permainan dan hiburan (yang melalaikan), perhiasan dan saling bermegah-megah diantara kamu serta berlumba-lumba dalam kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanam-tanamannya membanggakan para petani; kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari ALLAH serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu." (Surah Al-Hadid: 20)

3) Berwaspada dengan orang di sekeliling kita. Mereka mungkin membantu kita untuk mendekatkan diri dengan Allah, mereka juga mungkin membantu kita menjauhiNya. Terutamanya para pemimpin yang sentiasa ada pengampu disekelilingnya. Termasuk juga ahli keluarga terdekat dan sahabat-sahabat.


"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar". (Surah at-Thaghabun:14-15)

Ralat: Kesilapan watak dalam entri sebelum ini. Selepas dirujuk, ternyata peristiwa ini berlaku antara Khalifah Harun ar-Rasyid dan Fudhail Bin 'Iyadh. Fudhail dilahirkan pada 105 Hijrah di Samarqand dan hidup sezaman dengan Imam Malik dan Abdullah Bin Mubarak.

* Cerita ini dipetik dan diolah daripada Tarikh ad-Dimasyq karangan Imam Ibn Asakir dan Tarikh al-Baghdad nukilan Imam Khatib al-Baghdadi. Boleh rujuk dua kitab tarikh (sirah) tersebut untuk cerita yang lebih lengkap dan terperinci. Wallahua'lam.

Khamis, 19 Mei 2011

Hari Guru: Sambutan dan Pandangan Yang Berbeza Mengikut Perubahan Usia

Hari Guru adalah hari yang disambut pada setiap tahun di negara kita sebagai mengingati dan menghargai jasa guru-guru.

Langkah kerajaan untuk memberi sedikit 'saguhati' sempena hari guru tahun ini adalah satu langkah yang haris dipuji. Diharapkan lebih banyak 'saguhati' diberikan pada masa mendatang.

Lazimnya, sambutan hari guru begitu meriah pada peringkat rendah seperti sekolah rendah dan menjadi semakin kurang meriah apabila meningkat ke peringkat menengah seterusnya ke pengajian tinggi. Pola ini bukanya pola yang sama bagi setiap tempat dan individu, namun kebanyakannya begitu.

Peringkat rendahku, tidak diingati bagaimana diriku menyambut hari guru. Pada peringkat menengah, sambutan hari guru adalah saat yang dinanti-nantikan. Bukan menanti saatnya untuk menyambut hari guru, sebaliknya menanti untuk mengambil kesempatan untuk pulang bercuti ke rumah memandangkan sambutan hari guru lazimnya diadakan pada hari Khamis.

Bagi kami yang menetap di asrama, 'event' begini begitu dinantikan kerana kami boleh 'caw' dari sekolah seawal petang hari Rabu dan pulang kembali ke asrama pada pagi hari Ahad. Cuti 4 hari begitu berharga untuk pulang ke rumah berbanding menyambut hari guru yang hanya dianggap sebagai acara tahunan. Begitulah zaman-zaman nakalku ketika di usia remaja.

Di peringkat institusi pengajian tinggi, hari guru mungkin hampir dilupakan oleh setiap mahasiswa kerana tiada lagi sambutan khusus untuk meraikan hari guru. Mungkin penekanan cara belajar yang lebih berorientasikan mobile, liberal dan self-study telah menjadikan sambutan khusus hari guru hampir pupus di peringkat institusi pengajian tinggi di negara kita.

Diriku juga mengalami sedikit perubahan dalam melihat hari guru ini. Pada pendapat peribadiku, hari guru mungkin penting, namun melunaskan hak-hak guru adalah lebih penting. Sambutan hari guru mungkin hanyalah salah satu daripada hak-hak guru. Hak-hak guru yang lebih utama untuk dilunaskan ialah menghormati, memuliakan, mendoakan dan tidak memburukkan mereka, berkhidmat dan membantu mereka, melaksanakan segala tugasan dan tanggungjawab yang mereka berikan sebaiknya, amanah dan beramal dengan ilmu yang mereka berikan sebaiknya (jika tidak bertentangan dengan hukum syara').

Cukup kita melunaskan segala hak guru, kita sebenarnya sudah menyambut hari guru pada setiap hari, bahkan pada setiap ketika. Mungkin tidak perlu sehingga menjadi hamba/khadam kepada guru seperti yang Sahabat Nabi S.A.W. ingin lakukan kerana kemampuan kita cukup terbatas.

Setiap perkara ada haknya. Begitulah dengan guru. Kenal pasti apakah hak mereka dan berusahalah sedaya upaya untuk melunaskan. InsyaAllah 'keberkatan' (satu perkara yang tidak mampu digambarkan secara tepat oleh akal manusia yang terbatas) pasti menyusul untuk kita.

Terima Kasih Para Pembimbingku yang telah memberi tunjuk kepada diriku,

-Rasulullah S.A.W.,
-Umi, Umi, Umi, Abah,
-Para Sahabat Rasulullah S.A.W.,
-Para Tabi' dan Tabi'en,
-Para Ulama' terdahulu sehingga ke hari ini,
-Para pendidik di Taski Abim Selayang,
-Para Pendidik di SRI Hira' Kelang,
-Para Pendidik di IQKL TTDI,
-Para Pendidik di SMU (A) Maahad Muhammadi Kota Bharu,
-Para Pendidik di Pusat Asasi UIA Petaling Jaya,
-Para pendidik di UIA Kuantan, khususnya Kuliah Sains Kesihatan Bersekutu dan Jabatan Pemakanan dan Nutrisi Sains,
-dan kepada semua insan yang telah memberi ilmu kepadaku secara lansung atau tidak lansung selama ini..

Semoga ada ganjaran di sisiNya...


Kelebihan Menghafaz Al-Quran


Penghafaz al-Quran (Hamlatul Quran), atau secara umumnya masyarakat lebih mengenali penghafaz al-Quran dengan gelaran “al-Hafiz”, akan mendapat 2 ganjaran :
  • Ganjaran di dunia.
  • Ganjaran di akhirat.
Ganjaran di dunia

  • Penghafaz al-Quran merupakan VVIP Allah S.W.T di dunia.
“Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya: Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W? Jawab baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan orang-orang pilihannya.” (Riwayat Ibnu Majah)

  • Penghafaz al-Quran juga diangkat sebagai pemimpin.
“Yang menjadi imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya.” (Riwayat Muslim)

  • Penghafaz al-Quran mendapat certificate (pengiktirafan) dari Nabi S.A.W.
“Adalah Nabi S.A.W. mengumpulkan di antara dua orang syuhada Uhud kemudian beliau bersabda, “Manakah di antara keduanya yang lebih banyak hafal al-Quran, ketika ditunjuk kepada salah satunya, maka beliau mendahulukan pemakamannya di liang lahat.” (Riwayat Bukhari)

  • Al-Quran menjanjikan kebaikan.
“Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Qur’an dan yang mengajarkannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ganjaran di akhirat

  • Ibu bapa penghafaz al-Quran mendapat kemuliaan.
Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, maka kedua-dua ibu bapanya akan dipakaikan dengan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari, sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini. (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)

  • Penghafaz al-Quran akan mendapat syafaat (penolong)
Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu al-Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafalnya).”(Riwayat Muslim)

  • Penghafaz al-Quran mendapat bonus berlipat kali ganda.
Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya (pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa “alif laam mim” itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf (Riwayat Tarmizi)

~Menghafaz al-Quran itu sukar, lebih sukar menjaganya, lebih lagi sukar memahami isi kandungannya, lebih lebih lagi sukar beramal dengan isi kandungannya. Semuanya memerlukan mujahadah & istiqamah~

Sabtu, 14 Mei 2011

Info Ringkas Mengenai Ekonomi Malaysia Tanah Airku



1. Hutang negara melebihi 50% daripada pendapatan negara (KDNK)

2. Malaysia berada dalam kedudukan ke-32 / ke-33 dalam ranking jumlah pendapatan negara di dunia - sama dengan jumlah pendapatan negara Singapura walaupun Singapura jauh lebih sedikit rakyatnya berbanding Malaysia

3. Malaysia berada dalam kedudukan ke-65 dalam ranking pendapatan per kapita di dunia - berada di bawah purata pendapatan per kapita di dunia

4. 570 bilion hutang seluruh isi rumah di Malaysia

5. 40% daripada rakyat Malaysia dikategorikan sebagai miskin (Pendapatan kurang daripada RM1,500)

6. 60% daripada rakyat Malaysia berpendapatan kurang daripada RM3,000

7. Pada tahun 2010, Malaysia berada di ranking ke-21 tertinggi dalam kos hidup di dunia. Negara-negara yang berada pad ranking hadapan di Malaysia kebanyakannya adalah negara yang bergolak seperti Iraq, Aghfanistan, Angola, Myanmar dan negara-negara lain sedangakn Malaysia adalah negara yang tidak bergolak dan aman damai.

8. Malaysia berada di ranking ke-2 dalam kos hidup tertinggi di Asia Tenggara selepas negara Myanmar

9. 2015, dijangka penghapusan menyeluruh dalam subsidi kerajaan kepada rakyat dan GST (Goods Service Tax) akan dikenakan pada setiap aspek- Dato' Seri Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri

10. Negara-Negara Barat yang berada di ambang muflis/sudah muflis: Portugal, Itali, Ireland, Greece, Sepanyol

Mampukah Malaysia menjadi negara maju pada tahun 2020 yang tidak dibebani hutang yang banyak?

Jika tidak, di mana silapnya semua ini dan apa yang kita boleh lakukan (dalam kapasiti seorang rakyat)?

Respon Terbaik Terhadap Berita Kematian Osama Ben Laden



Mencari-cari respon yang terbaik mengenai berita kematian Osama Ben Laden. Akhirnya, ku temui jawapan yang ringkas namun mencukupi untuk umat Islam berpegang kepadanya. 

Jawapan yang menenangkan jiwa.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

"Jika benarlah Osama bin Laden benar-benar telah dibunuh oleh tentera Amerika Syarikat seperti yang diumumkan oleh Presiden Barrack Obama semalam, maka saya sebagai seorang Islam mendoakan rahmat dan keampunan Allah SWT untuk Osama bin Laden yang merupakan saudara saya di dalam Islam.

Inilah yang dituntut oleh Islam sewaktu menerima berita kematian saudara seagamanya. Sebesar manapun kesalahan seorang muslim, jika ia mati dalam keadaan agamanya Islam, keampunan terhadapnya harus dipohon oleh saudara Muslim yang lain.

Adapun keterlibatan Osama bin Laden dengan keganasan, saya serahkan kepada Allah SWT kerana ia masih belum terbukti melainkan melalui propaganda yang dipelopori oleh Amerika Syarikat. Jika benar beliau terlibat dengan keganasan, sudah tentu saya tidak menyokong keganasan tersebut.

Bagaimanapun keterlibatan Osama dengan keganasan masih lagi merupakan berita samar yang tidak dapat disahkan, namun keterlibatan Amerika Syarikat sendiri dalam keganasan sudah terbukti. Ini jelas dengan serangan terhadap Afghanistan dan Iraq yang menghancurkan kedua-dua negara ini dengan tujuan mencari senjata pemusnah yang tidak dapat dijumpai sehingga ke hari ini.

Apa pula tindakan Amerika Syarikat terhadap Israel yang terang-terang melakukan keganasan di bumi Palestin? Bukan sahaja tidak bertindak, bahkan Amerikalah yang kuat menyokong Israel.

Justeru, jika Osama dianggap sebagai pengganas, maka Israel lebih patut disebut sebagai ganas dan penyokongnya Amerika Syarikat juga tidak boleh lari dari digelar sebagai ganas. Inilah yang saya tegaskan kepada Duta Besar Amerika Syarikat yang datang ke pejabat saya pada 28 April 2011 yang lepas, bahawa sepasang selipar pun tidak boleh dirampas dari tuannya yang berhak, apatah lagi sebuah negeri yang berdaulat seperti Palestin, lebih-lebih lagi tidak berhak untuk dirampas oleh Israel.

Adapun mereka yang berkata bahawa dunia lebih selamat dengan kematian Osama, saya anggap kenyataan tersebut sebagai tidak cermat dan hanya bertujuan menampakkan diri sebagai penyokong Amerika. Jika dunia lebih selamat dengan kematian Osama, adakah dunia juga lebih selamat dengan kewujudan Amerika?"

Sekian, wassalam.

Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat
Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 30 Jamadil Awal 1432H bersamaan 3 Mei 2011M

Isnin, 9 Mei 2011

Anda Adalah Rakyat Negeri Selangor. Apakah Hak dan Keistimewaan Anda?


Negara Berkebajikan
Selangor adalah negeri terkaya di Malaysia menyumbang lebih dari 58% KDNK Malaysia. Bagi memenuhi aspirasi Kerajaan Berkebajikan, maka satu agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) telah dilaksanakan bermula tahun 2008. Tujuan agenda MES ini adalah untuk menyalurkan kekayaan negeri dan hasil yang diperolehi supaya dapat diagihkan kepada seluruh rakyat tanpa mengira agama dan fahaman politik. Agenda ini berkemampuan untuk meringankan beban kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah akibat daripada kadar sara hidup dan inflasi yang tinggi ketika ini. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf kehidupan rakyat di Selangor.

Fasa I:
2. Bekalan air percuma bagi 20 meter padu
3. Hadiah anak masuk Universiti
4. Skim Mesra Usia Emas (SMUE)
5. Mewujudkan Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC)
6. Tabung Anak Pekerja Ladang

Fasa II:
1. Kemudahan Cuti Bersalin (90 hari)
2. Kemudahan cuti untuk suami yang isterinya bersalin (14 hari)
3. Cuti kematian suami (30 hari)
4. Caruman takaful (OKU dan anak yatim)
5. Tuisyen rakyat

Fasa III:
1. Skim kesihatan wanita (Mamogram)
2. Bantuan kepada peniaga muda (Graduan yang tidak dapat pekerjaan)
3. Bimbingan perniagaan kepada belia
4. Bantuan anak ke taska
5. Bantuan anak tadika
6. Bantuan mendirikan rumah tangga
7. Elaun ibu tunggal
8. Elaun khas suri rumah
9. Bantuan memiliki rumah tangga

Bekalan Air 20 Meter Padu Percuma
Membekalkan air percuma bagi 20 meter padu pertama kepada pengguna domestik bermeter individu

Hadiah IPTA / IPTS
RM 1,000 diberikan kepada anak Selangor yang melanjutkan pengajian ke IPTA / IPTS yang diiktiraf kerajaan dengan mengikuti pengajian peringkat diploma atau ijazah sarjana muda dari keluarga berpendapatan rendah.

Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS)
Pemberian simpanan permulaan oleh kerajaan negeri sebanyak RM100 bagi setiap pendaftaran yang berjaya. Pada usia 18 tahun, anak-anak ini akan menerima RM1,500 seorang hasil daripada pelaburan TAWAS.

Skim Mesra Usia Emas
Khairat Kematian bernilai RM 2,500 termasuk bayaran RM 1,000 dalam tempoh 24 jam selepas warga emas berdaftar meniggal dunia.

Tuisyen Rakyat Percuma (PTRS)
Menyedari bahawa pendidikan yang sempurna dapat mengubah dan mempertingkatkan taraf hidup seseorang, maka kerajaan Selangor memberi tuisyen secara percuma untuk subjek teras seperti Bahasa Melayu, Sejarah, Matematik, dan Bahasa Inggeris. Pelajar PTRS juga diberi peluang mengikuti Kem Motivasi SPIES, Seminar Teknik Dan Strategi Menjawab SPM, Pecutan Akhir SPM serta Solat Hajat Perdana secara PERCUMA

Skim Mikro Kredit
Skim ini bertujuan membantu golongan miskin berpendapatan memperoleh dana bagi memulakan atau melebar luas perniagaan sedia ada sebagai salah satu usaha membebaskan daripada kepompong kemiskinan.

Ketahui dan tuntutlah hak anda jika anda adalah rakyat Selangor. Anda berhak menikmati keistimewaan yang ditawarkan ini!

Konvesyen Mahasiswa Selangor 2011

Jawatan Kosong Imam Sepenuh Masa


Jawatan Kosong sebagai Imam Sepenuh Masa di Surau al-Islah, Seksyen 7 Worldwide, Shah Alam.

  TUGASAN UMUM

- Imam waktu solat harian dan Jumaat
- Mengajar Kelas Al-Quran
- Memberi Kuliah
- Tugasan2 lain yang berkaitan

  SYARAT-SYARAT ASAS

- Mempunyai latarbelakang pendidikan Islam (Sijil, ijazah)
- Berdisiplin dan bertanggungjawab
- Berumur 20 tahun ke atas
- Sihat tubuh badan
- Motivasi tinggi untuk tugas-tugas dakwah

   TERMA

- Sepenuh masa
- Pakej Gaji yang menarik
- Elaun perumahan


Kepada yang berminat, sila hubungi setiausaha/ pengerusi surau untuk sesi temuduga melalui cara berikut:

Email:setiausaha.alislah@gmail.com / mrahimi313@salam.uitm.edu.my
Tel :019-318 9062 / 019-357 2561

Tarikh Tutup : 31hb Mei 2011