Mencari-cari respon yang terbaik mengenai berita kematian Osama
Ben Laden. Akhirnya, ku temui jawapan yang ringkas namun mencukupi untuk umat
Islam berpegang kepadanya.
Jawapan yang menenangkan jiwa.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
"Jika benarlah Osama bin Laden benar-benar telah dibunuh oleh tentera Amerika Syarikat seperti yang diumumkan oleh Presiden Barrack Obama semalam, maka saya sebagai seorang Islam mendoakan rahmat dan keampunan Allah SWT untuk Osama bin Laden yang merupakan saudara saya di dalam Islam.
Inilah yang dituntut oleh Islam sewaktu menerima berita kematian
saudara seagamanya. Sebesar manapun kesalahan seorang muslim, jika ia mati
dalam keadaan agamanya Islam, keampunan terhadapnya harus dipohon oleh saudara
Muslim yang lain.
Adapun keterlibatan Osama bin Laden dengan keganasan, saya
serahkan kepada Allah SWT kerana ia masih belum terbukti melainkan melalui
propaganda yang dipelopori oleh Amerika Syarikat. Jika benar beliau terlibat
dengan keganasan, sudah tentu saya tidak menyokong keganasan tersebut.
Bagaimanapun keterlibatan Osama dengan keganasan masih lagi
merupakan berita samar yang tidak dapat disahkan, namun keterlibatan Amerika
Syarikat sendiri dalam keganasan sudah terbukti. Ini jelas dengan serangan
terhadap Afghanistan dan Iraq yang menghancurkan kedua-dua negara ini dengan
tujuan mencari senjata pemusnah yang tidak dapat dijumpai sehingga ke hari ini.
Apa pula tindakan Amerika Syarikat terhadap Israel yang
terang-terang melakukan keganasan di bumi Palestin? Bukan sahaja tidak
bertindak, bahkan Amerikalah yang kuat menyokong Israel.
Justeru, jika Osama dianggap sebagai pengganas, maka Israel lebih
patut disebut sebagai ganas dan penyokongnya Amerika Syarikat juga tidak boleh
lari dari digelar sebagai ganas. Inilah yang saya tegaskan kepada Duta Besar
Amerika Syarikat yang datang ke pejabat saya pada 28 April 2011 yang lepas, bahawa
sepasang selipar pun tidak boleh dirampas dari tuannya yang berhak, apatah lagi
sebuah negeri yang berdaulat seperti Palestin, lebih-lebih lagi tidak berhak
untuk dirampas oleh Israel.
Adapun mereka yang berkata bahawa dunia lebih selamat dengan kematian
Osama, saya anggap kenyataan tersebut sebagai tidak cermat dan hanya bertujuan
menampakkan diri sebagai penyokong Amerika. Jika dunia lebih selamat dengan
kematian Osama, adakah dunia juga lebih selamat dengan kewujudan Amerika?"
Sekian, wassalam.
Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji
Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat
Pejabat Menteri Besar Kelantan.
Bertarikh : 30 Jamadil Awal 1432H bersamaan 3 Mei 2011M
Tiada ulasan:
Catat Ulasan