Selasa, 26 Julai 2011

Catatan di Des Moines 1



Alhamdulillah, sudah selamat tiba di Des Moines, Iowa, United Sates pada 25/7/2011, jam 3.40 petang. (waktu Malaysia: 4.40 pagi 26/7/2011) selepas perjalanan yang panjang termasuk 13 jam lebih daripada KLIA ke Heatrow, London + 2 jam transit, 8 jam lebih daripada Heatrow ke Chicago, United States + lebih kurang 4 jam transit (termasuk ditahan sebentar di pejabat kastam di Chicago Airport) dan 1 jam lebih perjalanan daripada Chicago ke Des Moines.


-Terminal 3 of Heatrow Airport, London, England-




Layanan yang baik di atas pesawat MAS termasuk makanan yang disediakan sangat mengenyangkan. Sebaik tiba di Heatrow Airport, London, kira-kira jam 5.30 pagi waktu London, pemeriksaan dan soal selidik daripada pihak kastam United Kingdom telah dilakukan, namun tidaklah seketat seperti yang dijangkakan. Masa transit yang singkat telah digunakan oleh kami untuk membeli sedikit cenderahati London sebagai kenang-kenangan. Nilai matawang Pound Sterling adalah lebih kurang dua kali ganda daripada nilai USD.

-Suasana di Heatrow Airport, London-

Perjalanan daripada Heatrow ke Chicago menggunakan pesawat American Airlines. Kami dihidangkan dengan Muslim Food yang telah ditempah awal ketika membuat tempahan tiket perjalanan. Makan pagi kami dihidangkan dengan fish fillet, tomato, cendawan bulat dan sawi serta buah. Sungguh menyelerakan. Hidangan snek kami dihidangkan dengan ayam, muffin , sayuran-sayuran dan buah anggur tanpa biji. Satu pengalaman baru merasai makanan Muslim Food yang disediakan mengikut citarasa Amerika.


-O'hare International Airport, Chicago, U.S.A.-

Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa O'hare, Chicago, semua penumpang terus menuju ke tempat pemeriksaan imigresen dan kastam. Ternyata pelawat yang bukan merupakan rakyat Amerika Syarikat lebih ramai memasuki Amerika Syarikat melalui pintu Chicago berbanding rakyat Amerika Syarikat sendiri. Kami turut beratur seperti pelawat lain. Namun, apabila tiba di hadapan kaunter, ternyata kami tidak mengisi satu 'form' selain daripada decleration form untuk memasuki Amerika Syarikat.. Selepas siap mengisi setiap maklumat yang diperlukan, kami kembali beratur dan terus pergi ke kaunter bila tiba giliran kami.

Apabila pemeriksaan dilakukan, ada sedkit masalah berlaku apabila passport Abdul Halim tidak dapat di'baca' oleh sistem IT Amerika Syarikat. Akibatnya, kami berdua telah diminta untuk pergi ke pejabat kastam untuk soal selidik dengan lebih lanjut. Kami terpaksa menunggu untuk beberapa ketika sehingga kami terlepas penerbangan ke Des Moines yang sepatutnya dijadualkan berlepas jam 11.55 pagi (waktu U.S.A) sedangkan pada jam 11.50 pagi, kami masih lagi berada di pejabat kastam tersebut. Tiada soal jawab/selidik yang berlaku di pejabat tersebut. Pihak kastam hanya membuat lanjutan pemeriksaan pada passport tersebut dengan menggunakan sistem IT mereka dan hanya ada sedikt soalan-soalan biasa yang diajukan kepada kami.
Setelah selesai urusan di pejabat kastam, kami terus bergegas ke kaunter American Airlines untuk bertanyakan keadaan kami kerana sudah terlepas penerbangan. Alhamdulillah, penerbangan kami dapat diganti dan kami hanya perlu tunggu beberapa jam sahaja untuk menaiki penerbangan seterusnya.

Setelah selesai urusan penggantian tiket, kami terus bergegas untuk memasuki terminal 3 Chicago Airport untuk penerbangan seterusnya. Di sini sekali lagi pemeriksaan kastam dilakukan. Semua barang perlu dikeluarkan termasuklah laptop perlu dibuka daripada begnya, kasut, tali pinggang, jaket, jam tangan juga perlu dibuka. Alhamdulillah, kami selamat melepasi pemeriksaan ini
Seterusnya, misi kami adalah untuk memaklumkan kepada Mr Wahid Khan bahawa penerbangan kami sudah bertukar waktu. Memandangkan duit USD yang berada di tangan kami semuanya pada nilai yang besar, kami perlu untuk menukarkannya ke duit syiling untuk digunakan untuk menghubungi Mr. Wahid. Kami membuat keputusan untuk membeli cenderahati Chicago (hanya 1) untuk dipecahkan duit USD yang berada di tangan kami.
Selepas selesai uruasan membeli, kami terus mendapatkan pondok telefon di lapangan terbang tersebut. Namun, cubaan pertama kami untuk menghubungi Mr Wahid berdasarkan nombor yang diberikan tidak berjaya. Bagaikan ada sesuatu yang tertinggal pada nombor tersebut. Setelah itu, kami terus ke kedai berdekatan untuk bertanyakan tentang sistem dan cara yang digunakan untuk menghubungi nombor telefon di U.S.A. Rupa-rupanya kami tertinggal no.1 dihadapan. No. 1 perlu ditambah untuk pada talian antara bandar/negeri di dalam U.S.A. dan alhamdulillah pemilik kedai tersebut memberikan telefonnya untuk digunakan tanpa mengenakan apa-apa bayaran.


- Gambar dari dalam pesawat American Eagles-

Kami berlepas ke Des Moines daripada Chicago Airport kira-kira jam 2.25 petang (waktu U.S.A) menaiki pesawat American Eagles. Sebuah pesawat yang kecil, seakan-akan menaiki bas ekspres apabila berada di dalamnya. Alhamdulillah kami tiba di lapangan terbang Des Moines pada jam 3.40 petang dan disambut oleh Mr. Wahid.

Kami dibawa ke rumah Mr Wahid yang kira-kira 15 minit daripada lapangan terbang Des Moines. Sungguh tenang Des Moines yang dihiasi dengan tumbuhan-tumbuhan hijau. Di rumah Mr. Wahid, kami berjumpa dan berkenalan dengan isterinya, Mrs Betty, anak perempuannya serta cucu-cucunya yang comel, daud dan adam. Sungguh kemas rumah Mr Wahid sehinggakan satu sampah pun tidak kelihatan. Rumah di U.S.A hanya kelihatan kecil dan bersahaja pada luarannya, namun sangat luas dan tersusun di dalamnya. Kami dihidangkan makan tengah hari di rumah Mr Wahid dan selepas bersiap, kami terus ke Islamic Centre/ Masjid, tempat di mana kami akan menetap sepanjang permusafiran kami di sini.

Tempat yang cantik dan tersusun. Kami menginap di dalam perpustakaan yang juga merupakan bilik tetamu. Alhamdulillah, kami sudah bertemu dengan beberapa komuniti Muslim di sini termasuklah Imam Afrah yang berasal daripada Somalia, yang bacaannya sungguh memukau, Amirul, pelajar Malaysia di Drake University, En Razak, Bro Muhammad (orang Mexico) dan beberapa orang lagi.

Terima Kasih Allah kerana memudahkan dan melindungi perjalanan kami.

Terima kasih Mr Wahid dan Mrs Betty yang sangat baik dan menghilangkan kekekokan kami berda di sini.

Diharapkan segalanya berjalan lancar untuk hari-hari yang mendatang..

*Jika ingin bertemu Islam tetapi bukan Muslim, bolehlah ke U.S.A.*


10.13 pagi (26 Julai 2011),
Masjid Noor,
1117 42nd Street
Des Moines, Iowa, U.S.A.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Seronok dapat pengalaman ke US. Apa tujuan datang ke sana?

.:dyla lokman:. berkata...

Oh, nak tanya soalan yg sama. untuk apa ke Des Moines? :) dah dekat dgn kawasan sy, Lincoln, Nebraska. Negeri sebelah je dgn Iowa tu.