Khamis, 1 Mei 2008

Projek Penternakan Babi di Selangor



Baru-baru ni kecoh tentang isu penternakan babi di negeri Selangor yang didakwa menelan belanja ratusan juta ringgit Malaysia. Ramai sahabat yang bertanya tentang isu panas ini. Tidak kurang juga yang meminta pendapat penulis tentang isu yang hangat di negeri kelahiran penulis ini. Pertamanya, ribuan kemaafan kerana kelambatan respon dan komen penulis. Bukan ingin mengelak, tetapi kesibukan duniawi yang merencat segalanya.

Artikel ini bukanlah satu komen berbaur politik yang ingin digarap, tetapi kebenaran dan kenyataan yang harus ditegakkan kerana jika ia tidak didedahkan, dikhuatiri boleh membawa fitnah kepada keadilan dan ketelusan, bahkan boleh merosakkan nama Islam itu sendiri. Menjadi tanggungjawab dan kewajipan kepada yang mengetahui untuk menyampaikan kepada yang tidak mengatahui.

Banyak persoalan yang masih berlegar-legar di kepala penduduk Selangor khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Di sini terdapat beberapa soalan popular yang telah berjaya dikelirukan oleh pihak-pihak tertentu.

Apa rasionalnya projek penternakan babi di Selangor?

Projek ini sebenarnya telah diluluskan oleh kerajaan negeri Selangor yang lepas di bawah pimpinan Dato' Seri Khir Toyo. Mesyuarat Exco kerajaan terdahulu telah meluluskan proses pengambilan tanah pada 9 Februari yang lepas (PRU pada 8 Mac). Sungguh memeranjatkan apabila bekas Menteri Besar Selangor mengatakan beliau tidak tahu menahu tentang projek ini sedangkan segalanya telah termaktub dalam dokumen rahsia rasmi kerajaan negeri Selangor. Kerajaan baru negeri Selangor telah meneruskan projek penternakan secara moden di Ladang Tumbuk, Sepang. Projek ini dapat mengawal penternakan babi secara setempat. Natijahnya, wabak penyakit dapat dikawal dan pencemaran alam juga dapat dikawal. Seperkara lagi yang amat penting, malangnya tidak pernah disiarkan oleh media perdana ialah tidak akan ada lagi lesen penternakan babi yang akan dikeluarkan oleh kerajaan negeri Selangor selepas ini. Penternakan babi secara haram juga dapat dibanteras.

Kenapa kerajaan negeri Selangor sanggup mengeluarkan ratusan juta ringgit untuk projek penternakan babi sedangkan banyak lagi keperluan yang perlu diutamakan?

Sebenarnya, kerajaan negeri Selangor tidak akan mengeluarkan satu sen pun untuk membiayai projek penternakan babi bahkan pelabur-pelabur yang terbabit yang perlu membayar bon kepada kerajaan negeri Selangor sebanyak RM40 juta untuk kos pengambilan tanah. Tanah tersebut dipajakkan kepada pelabur selama 60 tahun.

Kenapa di Ladang Tumbuk? Kenapa tidak di Pulau Ketam?

Buat pengetahuan semua, Ladang Tumbuk di Sepang merupakan tempat pengumpulan babi terbanyak di negeri Selangor buat masa sekarang. Ladangnya seluas 119 ekar. Walaubagaimanapun, ladang tersebut sungguh tercemar. Projek ini hanya memodenkan ladang yang telah sedia ada. Kawasan ini juga dimiliki sepenuhnya oleh pengusaha ternakan babi dan terletak di kawasan hiliran, yang mana airnya tidak digunakan sebagai sumber minuman. Kenapa tidak dilaksanakan di penempatan yang sememangnya ramai penduduk Cina seperti di Pulau Ketam? Pulau Ketam tidak sesuai dan tidak praktikal kerana air di sana pasang surut dan tidak mempunyai kawasan yang mencukupi untuk melaksanakan projek ini.



Hasil kumbahan yang tidak diselenggara dengan baik


Apa yang modennya dalam projek ini?

Projek ini akan menggunakan teknologi biogas. Najis babi akan dimasukkan ke dalam tong yang telah dicampurkan dengan rumput. Campuran ini akan menghasilkan biogas. Biogas ini seterusnya akan digunakan untuk menghasilkan tenaga elektrik. Tenaga elektrik ini akan digunakan untuk projek penternakan babi ini. Seluruh kawasan tersebut akan menggunakan tenaga elektrik biogas. Natijahnya, pencemaran dapat dielakkan kerana najis babi tidak akan sekali-kali keluar dari ladang. Najis akan dimasukkan ke dalam tangki biogas dan ia akan bertukar menjadi gas. Sisa karbon itu akan menjadi baja dan tiada lebihan yang dikeluarkan. Semuanya dalam sistem yang tertutup. Tidak akan ada pencemaran bau.

Kenapa mesti penternakan babi yang dimodenkan? Kenapa tidak binatang ternakan lain?

Sebenarnya, kerajaan negeri Selangor juga akan melaksanakan projek 'modern cattle village' iaitu projek penternakan yang hampir sama dengan konsep projek penternakan babi, tetapi untuk lembu tenusu. Penternak-penternak lembu tenusu akan dikumpulkan di sebuah kawasan yang moden dan teratur. Selain itu, penternakan ayam juga akan dimodenkan dengan diletakkan di tempat berhawa dingin. Tidak akan ada lansung sebarang pencemaran. Malangnya, hanya projek penternakan babi yang digembar-gemburkan, seolah-olah hanya projek tersebut yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri Selangor.

Sungguh malang apabila isu ini ditimbulkan oleh sesetengah pihak, padahal mereka lebih mengetahui segalanya. Merekalah yang meluluskan, merekalah yang membuat lawatan ke Jerman, namun akhirnya merekalah yang tidak mengetahui apa-apa!!..Sungguh ganjil!!..mungkin mereka mempunyai penyakit seperti firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah, ayat ke-10:

"Dalam hati mereka terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), lalu Allah menambahkan lagi penyakit mereka dan mereka pula akan beroleh azab yang pedih (lagi menyakitkan) disebabkan mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran)"

Diharapkan maklumat yang sedikit ini dapat membantu menghilangkan dan menjawab segala kekusutan, kekeliruan dan tanda tanya ke atas isu ini.

-Allah s.w.t. lebih mengetahui segalanya-


Isnin, 21 April 2008

Halal Inn


Siapa kata Islam itu menyekat kebebasan hidup. Malah, Islam sangat fleksibel dan relevan dalam setiap masa dan keadaan. Buktinya, di London telah dibuka pub pertama untuk orang Islam di Britain. Pub tersebut diberi nama Halal Inn. Persekitarannya sama seperti pub biasa dengan adanya snek, meja snuker dan muzik dimainkan sebagai latar belakang, tetapi yang membezakannya ialah ia tidak menghidangkan bir atau sebarang alkohol lain.
Lebih menarik, Halal Inn dibuka hanya untuk pengunjung yang tidak menggemari minuman beralkohol. Ia dibuka Disember lalu di Oldham dan walaupun perniagaannya tidak begitu laris, ia tetap mendapat sambutan. Di belakang bar ada minuman ringan dan jus buah-buahan. Sebagai tambahan kepada teh dan kopi, pelbagai snek Asia juga tersedia, manakala lagu bercorak Islam dimainkan menerusi pembesar suara. Pengunjung masih boleh bermain snuker, membaling damak atau karom, permainan papan India yang hampir sama dengan permainan billiard. Malah kuiz bertemakan Islam turut dianjurkan. Tiada bezanya dengan pub biasa, bahkan lebih menarik.
Pemilik pub yang unik itu, Azizur Rahman dan rakan perniagaannya, Muzahid Khan melihat potensi di tapak bekas kelab malam Westwood Inn itu yang terbiar kosong di pinggir pusat bandar."Penduduk Islam adalah antara kumpulan pengguna terbesar dan mereka memerlukan tempat berehat dan bersosial seperti juga orang lain. Namun, kehadiran alkohol bermakna kelab malam biasa tidak akan dikunjungi oleh mereka yang mengikut ajaran Islam, jadi ini adalah tempat yang sesuai untuk mereka." Semakin banyak kelab malam ditutup di seluruh negara dan kami percaya menukar ia kepada kelab malam berunsurkan Islam akan berjaya di mana saja yang mempunyai komuniti Islam yang besar," kata Muzahid.
Walaupun kelab malam itu, seperti banyak versi tradisional Britain lain, jelas dikuasai lelaki, tiada larangan untuk pengunjung wanita. Pelayan bar, Ali Yaris, 44, berkata: "Penduduk tempatan menyokong penubuhan kelab ini, walaupun kadangkala ia menyebabkan kekeliruan. Sebagai contoh, seorang lelaki datang pada satu malam dan terus memesan alkohol." Kemudian dia menyedari di sini tidak akan mesin mengepam bir malah botol alkohol pun tidak ada. Kami cuma ketawa. Saya pasti dia akan ke kelab malam lain."


Kelab itu turut memiliki liga snuker sendiri dengan kira-kira 20 peserta berentap merebut kejuaraan pertama. Seorang pekerja pejabat, Mohammed Ali, 27, berkata beliau menikmati permainan yang menyenangkan selepas kerja. "Selalunya ia adalah gabungan ramai orang, tidak semuanya Islam. Ia memang tempat yang begitu sosial. Ia berbeza dengan kelab malam biasa kerana anda tidak mabuk dan tidak bertindak liar. Saya berasa ia idea yang bijak," katanya.
Seorang pelanggan tetap kelab itu, Abdus Shahid, 29, berkata ia seperti kelab malam lain cuma tidak menjual alkohol." Kami ke sini untuk berehat, bermain snuker dan bertemu dengan rakan selepas seharian bekerja. Saya rasa tujuan utama mengunjungi kelab malam biasa ialah untuk minum, tetapi di sini cuma untuk bertemu rakan dan berehat," katanya.
Jika negara Barat yang hanya didiami oleh minoriti umat Islam boleh melakukan reformasi untuk menyediakan ruang alternatif kepada umat Islam untuk berehat, berhibur dan bersosial, bagaimana pula dengan negara yang memperjuangkan Islam dengan jenama Islam Hadhari

Rabu, 16 April 2008

Kebangkitan Islam di Akhir Zaman


Mereka telah bangkit
Dari buku yang dibacanya
Dari tembok yang melindunginya
Dengan bendera dan lilit kepala.

Mereka telah bersuara
Dari bumi tanahair yang subur
Demi Islam yang mengajar hidup berani
Demi janji yang kini telah dimungkiri.

Mereka sekarang telah bangkit
Ditengah-tengah gelombang zaman
Dari keperibadian yang telah ditindas
Untuk masa depan warisan keturunan.

Dari bahasa lidah zaman hidup kita
Kebangkitan ini dipancang detik batu-tanda
Untuk pelaksanaan satu bahasa
Yang berdaulat menyinar mutiara.

-Allahyarham Usman Awang, 1967-

Khamis, 3 April 2008

Tawaran Belajar Al-Qur'an Aliran Tahfiz Secara Percuma!!!

Maahad Tahfiz Al-Qur'an Al-Islah Seksyen 7, Shah Alam sedang mencari pelajar lelaki, berusia 9 tahun -12 tahun dan merupakan anak yatim untuk menuntut ilmu di sini. Pembiayaan ditanggung sepenuhnya.

Pihak pengurusan menghadapi masalah untuk mencari anak-anak yatim yang berminat untuk menghafal Al-Qur'an pada usia kanak-kanak. Kini seramai 6 orang anak yatim sedang menuntut di maahad Tahfiz Al-Islah, tetapi memerlukan ramai lagi anak yatim untuk dibantu kerana dana yang diterima oleh pihak pengurusan Maahad Tahfiz untuk kegunaan khas anak-anak yatim masih lagi tidak digunakan sepenuhnya.

Diharapkan para pembaca yang mempunyai adik, saudara, kawan, sahabat atau kenalan yang memenuhi syarat-syarat di atas, dapat menghubungi pihak pengurusan Maahad Tahfiz secepat mungkin. Jika memenuhi syarat-syarat di atas, pelajar tersebut boleh memulakan sesi pembalajaran pada bila-bila masa. Tidak perlu tunggu awal tahun atau penggal.

Info Ringkas Maahad Tahfiz Al-Islah:
  • dikelola sepenuhnya oleh ahli jemaah surau Al-Islah, Seksyen 7, Shah Alam.
  • makan 5kali sehari
  • perkhidmatan dobi
  • Pakej= hafazan sepenuh masa+akademik+dinniyah
  • aktiviti ko-kurikulum= taekwando
  • asrama sepenuhnya
  • Pencapaian setakat ini:-
>15orang pelajar telah berjaya mendapat Syahadah Tahfiz Al-Qur'an.
>9 orang pelajar telah berjaya terus melanjutkan pelajaran ke Mesir.

Untuk maklumat terperinci tentang Maahad Tahfiz Al-Qur'an Al-Islah, boleh lihat di: http://www.iklaneka.net.my/tahfiz/ atau boleh terus menghubungi Haji Al-Azmi di talian: 0192703370.
.
"Pengislahan Ummah Berpandukan Al-Qur'an dan As-Sunnah"

Filem Fitna; Apa Pendirian Anda??


Dunia Islam dikejutkan dengan sebuah filem yang telah dihasilkan oleh pakar perundangan dan ahli parlimen negara Belanda, Geert Wilders yang bertajuk FITNA. Filem yang secara jelasnya menghina Islam dengan pelbagai tuduhan seperti menggambarkan Islam ini sangat zalim dan ganas. Lebih memburukkan keadaan, Geert Wilders telah menggunakan ayat-ayat Al-Quran yang telah ditafsir secara zahirnya sahaja untuk membuktikan dakwaan-dakwaan tersebut.
Apa yang telah berlaku ini bagaikan mengulangi peristiwa kalikatur Rasullulah S.A.W. yang telah diterbitkan oleh sebuah akhbar Denmark. Akibatnya, bantahan, demonstarasi dan pemboikotan besar-besaran oleh seluruh kaum Muslimin di seluruh dunia ke atas barang keluaran Denmark yang telah berjaya memberi kesan kepada ekonomi Denmark.
Kini, telah mula bertebaran sistem pesanan ringkas dan mesej-mesj melalui telefon bimbit, e-mail, friendster, myspace dan sebagainya yang menyeru umat Islam agar memboikot barangan-barangan utama keluaran negara Belanda seperti Dutchlady, Shell, Phillips dan lain-lain. Sebelum kita memulakan langkah untuk momboikot barangan keluaran Belanda dan berdemostrasi, adakah kita sudah berfikir, apa natijahnya kelak? Wajar atau tidak tindakan kita? Di sini, terdapat 2 pendapat yang dapat dikongsikan. Terpulang kepada masing-masing untuk membuat penilaian, tetapi yang penting, kita harus menimbang sesuatu perkara dengan neraca iman, bukanya neraca emosi semata-mata.
Pendapat pertama datangnya daripada Ustaz Hasrizal (Saiful Islam) seperti di dalam blog beliau, http://www.saifulislam.com/. Beliau menerangkan sikap yang seharusnya ada pada diri seorang yang cintakan Islam apabila menghadapi masalah sebegini. Untuk membaca artikel penuh Ustaz Hasrizal, boleh klik: http://saifulislam.com/?p=1678#more-1678
Pendapat kedua datangnya daripada Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman (UZAR) seperti yang terdapat di dalam blog beliau, http://www.zaharuddin.net/. Beliau menegaskan harus memboikot sebahagian barangan tertentu keluaran negara Belanda sebagai mesej kepada masyarakat dunia agar jangan mudah mempelekehkan dunia Islam. Untuk membaca artikel penuh Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, boleh klik: http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=692&Itemid=72
Walaupun mungkin terdapat 2 pendapat yang agak berbeza daripada 2 orang tokoh agama yang terkemuka, tetapi di sana terdapat satu persaman daripada mesej yang ingin disampaikan, iaitu kita harus faham apa tindakan yang akan kita ambil. Bukannya bertindak melulu tanpa mengetahui dan memahami kenapa kita bertindak sedemikian. Amat penting untuk kita mengatahui di mana kedudukan sesuatu tindakan kita agar ia tidak menjadi sia-sia, bahkan boleh membawa fitnah kepada Islam itu sendiri. Terpulang kepada individu untuk menerima pakai mana-mana pendapat, tetapi harus diingat, setiap perbuatan kamu pasti dipersoalkan di hari Pengadilan kelak.
Islam itu bukanlah agama yang liberal, bukan juga jumud. Ekstrim jauh sama sekali. Ia berada di pertengahan.

Rabu, 2 April 2008

Perhimpunan Rakyat di Stadium Melawati







Tanggal 31Mac 2008,satu Perhimpunan Rakyat & Munajat Perdana telah diadakan di Stadimu Melawati, Shah Alam. Program anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor ini telah bermula kira-kira pukul 8 malam yang mana dihadiri oleh rakyat dari seluruh pelosok Malaysia, yang dianggarkan seramai 25,000 orang. Subhanallah.

Ini jelas menunjukkan sokongan rakyat yang tidak berbelah bahagi dalam menyokong Barisan Rakyat untuk menerajui Negeri Selangor dan Malaysia bagi memacu arus perubahan dalam sistem pemerintahan negara yang semakin tenat.




Buat julung-julung kalinya Stadium Melawati yang terkenal di kalangan para peminat setia sukan badminton tanah air, telah berkumandang laungan azan yang amat syahdu. Selepas itu, Stadium Melawati sekali lagi menjadi saksi bilamana beribu-ribu manusia berhimpun dan menghadap kiblat, sujud kepada yang Maha Esa bagi menunaikan kewajipan solat Isyak seterusnya menunaikan solat hajat 2 rakaat bagi melahirkan kesyukuran kepada Pemberi Segala Nikmat. Peristiwa ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negeri Selangor walaupun negeri ini telah lebih 50 tahun diperintah oleh orang Islam.

Majlis telah dimulakan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Selepas itu, semua hadirin termasuk tetamu kehormat berdiri untuk menyanyikan lagu kebangsaan, NEGARAKU dan lagu tema PAS yang dipopularkan oleh kumpulan Shoutul Amal, BERJIHADLAH. Kehangatan majlis diteruskan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan Islamic Boyz dan In-Team. Setelah majlis sudah terasa bahangnya, barulah tetamu-tetamu kehormat memulakan ucapan mereka. Ronnie Liu, exco kerajaan negeri Selangor, telah memulakan ucapan pada malam tersebut, seterusnya diikuti oleh Dato' Dr. Hasan Ali, exco kerajaan negeri Selangor yang merangkap Pesuruhjaya PAS negeri Selangor. Ucapan beliau yang begitu bersemangat telah disambut dengan laungan takbir yang tidak putus-putus bersahutan kedengaran di segenap sudut stadium.

Setelah itu, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS, mengambil tempat untuk berucap, diikuti oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan orang yang terakhir berucap pada malam tersebut. Ucapan semua tetamu kehormat pada malam itu (kecuali Ronnie Liu) telah disambut dengan laungan takbir yang begitu bersemangat daripada para hadirin.

Perhimpunan pada malam tersebut tamat kira-kira pada pukul 12 tengah malam.

Ini adalah langkah permulaan kepada arus perubahan negara. Diharapkan ia bukan la hanya 'hangat-hangat taik ayam' daripada pemimpin dan rakyat.

Terasa bagaikan berada di negeri Kelantan pada malam tersebut.Cumanya terdapat beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki pada masa-masa hadapan seperti masalah PA system , pengasingan tempat antara muslimin dan muslimat, dan kutipan derma yang tidak menyuluruh pada malam tersebut.

Untuk mendengar lagu tema PAS pada malam tersebut, boleh klik:
http://www.youtube.com/watch?v=Y1greNkdy-o

Untuk mendengar dan menonton ucapan tetamu-tetamu kehormat, boleh klik:
http://www.youtube.com/watch?v=9gtCvmdHMJc
http://www.youtube.com/watch?v=TiodTxAD8-E

"Islam Pasti Gemilang"

Jumaat, 21 Mac 2008

A Great Analogy About Al-Qur'an


Why do we read Quran, even if we can't understand a single Arabic word??

This is a beautiful story.

An old man lived on a farm in the mountains of western Morocco with his young grandson. Each morning, grandpa was up early sitting at the kitchen table reading his Qur'an. His grandson wanted to be just like him and tried to imitate him in every way he could. One day the grandson asked, "Grandpa!I try to read the Qur'an just like you but I don't understand it, and what I do understand I forget as soon as I close the book. What good does reading the Qur'an do?"

The Grandfather quietly turned from putting coal in the stove and replied, "Take this coal basket down to the river and bring me back abasket of water." The boy did as he was told, but all the water leaked out before he got back to the house. The grandfather laughed and said, "You'll have to move a little faster next time," and sent him back to the river with the basket to try again. This time the boy ran faster, but again the basket was empty before he returned home. Out of breath, he told his grandfather that it was impossible to carry water in a basket, and he went to get a bucket instead.

The old man said, "I don't want a bucket of water; I want a basket of water. You're just not trying hard enough," and he went out the door to watch the boy try again.At this point, the boy knew it was impossible, but he wanted to show his grandfather that even if he ran as fast as he could, the water would leak out before he got back to the house. The boy again dipped the basket into river and ran hard, but when he reached his grandfather the basket was again empty. Out of breath, he said, "See Grandpa, it's useless!" "So you think it is useless?" The old man said, "Look at the basket."

The boy looked at the basket and for the first time realized that the basket was different. It had been transformed from a dirty old coal basket and was now clean, inside and out. "Son, that's what happens when you read the Qur'an.


You might not understand or remember everything, but when you read it, you will be changed, inside and out. That is the work of Allah S.W.T. in our lives."


Rabu, 19 Mac 2008

Seloka Zaman Kini


Di dalam hidup manusia, yang penting ialah BERKAT.
Bila hidup kita berkat, diri ini akan selamat.
Apabila diri selamat, rumahtangga jadi sepakat.
Apabila rumahtangga jadi sepakat, masyarakat jadi muafakat.
Apabila masyarakat jadi muafakat, negara kita menjadi kuat.
Apabila negara menjadi kuat, negara luar jadi hormat.
Apabila negara luar jadi hormat, permusuhan pun tersekat.
Apabila permusuhan tersekat, pembangunan pun meningkat.
Apabila pembangunan pun meningkat, kemajuan menjadi pesat.


TETAPI AWAS,
Apabila pembangunan meningkat.
Kemajuan menjadi pesat.
Kita lihat bangunan naik bertingkat-tingkat.
Ditengah-tengah itu, tempat maksiat tumbuh macam kulat.
Apabila tempat-tempat maksiat tumbuh macam kulat,

KETIKA ITU manusia mula mengubah tabiat.
Apabila manusia telah mengubah tabiat,
ada yang jadi lalat ada yang jadi ulat.
Apabila manusia dah jadi ulat,
sembahyang makin hari makin liat.
Apabila sembahyang jadi liat,
orang baik ada yang bertukar jadi jahat.
Apabila orang baik bertukar jahat,
orang miskin pula nak kaya cepat.
Apabila orang miskin nak kaya cepat,
orang tua pula nak mati lambat.
Apabila orang tua nak mati lambat,
tak dapat minum madu telan jerla minyak gamat.


Yang lelaki, budak budak muda pakai seluar ketat.
Semua nak tunjuk kuat.
Bila berjudi, percaya unsur kurafat.
Tapi hidup pula yang melarat. Tali kasut dah tak berikat.
Rambut pun jarang sikat.
Yang perempuan, pakai mini sekerat.
Suka pakai baju ketat.
Suka sangat menunjukkan pusat.
Hingga tak pedulikan lagi batasan aurat.
Pakai pulak yang singkat-singkat.
Kadang-kadang ternampak benda 'bulat'.
Bila jadi macam ini, siapa lihat pasti tercegat.
Silap gaya jadi gawat, bohsia bohjan lagi hebat.
Duduk jauh berkirim surat .
Bila berjumpa, tangan berjabat.
Kemudian pakat lawan peluk siapa erat.
Masa tu, nafas naik sampai tersekat-sekat.
Usah peduli agama dan adat.
Usah takut Allah dan malaikat.
Yang penting apa kita nak buat.
Kita 'bukti' lah kita buat.

Akhirnya perut kempis dah jadi bulat.
Apabila perut kempis dah jadi bulat,
maka lahirlah pula anak-anak yang tak cukup sifat.
Bila anak-anak tak cukup sifat,
jam tu kita tengok bayi dibuang di merata tempat.
MAKNANYA KETIKA ITU, IBLIS MULA MELOMPAT.
Dia kata apa? Habis manusia dah masuk jerat.
Habis manusia telah tersesat.
Inilah dia fenomena masyarakat.

Oleh itu wahai saudaraku dan para sahabat,
Marilah kita pakat mengingat,
Bahawa dunia hari ini makin singkat,
Esok atau lusa mungkin kiamat,
Sampai masa kita semua akan berangkat!!
Berangkat menuju ke negeri akhirat.
Di sana kita akan ditanya apa yang kita buat.
Masa tu, sindri mau ingat.
Umur mu banyak mana mu buat ibadat...?
Zaman muda mu, apa yang telah mu buat...?
Harta benda anta, dari mana anta dapat...?
Ilmu anta, adakah anta manafaat...?

Semoga ianya dapat mengingatkan kita supaya segera meninggalkan maksiat dan memperbanyakkan ibadat kepada ilahi.

Isnin, 17 Mac 2008

Analisis Ringkas Pilihan Raya ke-12




Keputusan pilihan raya sudah diumumkan. Satu gelombang 'tsunami' yang amat tidak dijangka telah berlaku di mana pihak pembangkang tanpa diberi sebarang harapan telah berjaya menawan 5 buah negeri. Bayangkan dari 1 negeri pada tahun 2004 telah menjadi 5 buah negeri pada tahun 2008. Ini suatu kejayaan yang besar kepada pihak pembangkang yang diterajui oleh PAS, PKR dan DAP.

Pasti ramai rakyat Malaysia yang tidak menduga keputusan pilihan raya yang lepas. Pihak kerajaan menjangkakan mereka akan menang besar kerana tiada isu besar yang bakal menggugat mereka. Malangnya, mereka tidak sedar sebenarnya rakyat tidak lagi buta seperti sebelumnya. Banyak isu 'kecil' yang dianggap tidak mengancam, akhirnya memakan diri.

Isu Hindraf, skandal seks Chua Soi Lek, isu rumah Allahyarham Datuk Zakaria, Perbalahan dalaman MCA dan MIC, isu tanah di Bukit Cherakah, masalah rasuah di Kementerian Belia & Sukan dan banyak lagi isu dan masalah yang menjadi barah seterusnya membuka mata rakyat untuk membuat suatu langkah drastik yang diterjemahkan di atas kertas undian mereka.

Jika dilihat dari keputusan pilihan raya, sebenarnya pihak kerajaan telah kehilangan undi percaya daripada pengundi Cina, India bahkan orang Melayu sendiri. Kadang2 mereka bukanlah mahu mengundi pembangkang, tetapi mereka memang tidak mahu mengundi dengan BN..Jadi, jika bukan BN, jawapannya pastilah pembangkang. Ramai orang Melayu mengundi DAP, orang Cina mengundi PAS pada pilihanraya yang lepas. Mereka tidak mahukan BN, tidak dapat tidak pembangkanglah jawapannya. Para pengundi juga telah melancarkan undi protes secara senyap yang tidak dapat dihidu sama sekali oleh pihak kerajaan. Janji-janji manis pembangunan sama sekali tidak dapat menarik minat para pengundi yang mahukan perubahan dan pembaharuan dalam pentadbiran negeri dan negara.

Seperkara lagi yang harus kita sedar bahawa pengundi-pengundi muda mahupun pengundi yang celik ilmu dan berada di kawasan bandar tidak lagi buta untuk membezakan antara kaca dan permata. Mereka sudah pandai membuat penilaian. Buktinya jika kita lihat hasil daripada keputusan pilihanraya lepas, kebanyakan ibu negeri dan kawasan maju yanag mana terdapat ramai celik pandai, jatuh ke tangan pihak pembangkang seperti di Shah Alam (PAS), Ipoh (DAP), Kuantan (PKR), Lembah Pantai (PKR), Titiwangsa (PAS), Kota Kinabalu (DAP), Kuching (DAP), Alor Setar (PKR) dan Kota Bharu (PAS). Lebih mengejutkan, Selangor dan Kuala Lumpur, dua negeri yang paling maju dan padat di Malaysia tumbang di tangan pembangkang. Mujurlah, hanya kerusi Parlimen ditawarkan di Kuala Lumpur. Jika tidak, ia akan menjadi negeri ke-6 dikuasai pihak pembangkang. Tidak dilupakan juga bagaimana BN buat pertama kalinya tidak dapat membentuk majoriti 2/3 di Negeri Sembilan yang terkenal dengan kubu kuat mereka. PAS juga berjaya mencuri 2 kerusi DUN di Johor. Sesuatu yang mustahil berlaku sebelum ini.

Media massa yang terlampau berat sebelah bukanlah suatu senjata yang ampuh buat BN. Malah, ia membuatkan rakyat meluat dan muak dengan karenah 'orang2 BN'. Sebenarnya, ia menampakkan lagi kepincangan pihak kerajaan yang terdesak meraih undi rakyat. Rakyat kini tidak mudah terpedaya. Mereka lebih percaya dan cenderung untuk mencari maklumat daripada sumber alternatif terutama daripada internet daripada mengikuti arus perdana yang penuh dengan maklumat yang telah diputar-belit.

Nama Anwar Ibrahim turut tidak boleh dilupakan bagi pilihanraya kali ini. Pengaruhnya masih lagi kuat walaupun sudah hampir 9 tahun peristiwa hitam pemecatan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri berlaku. Sebaik sahaja beliau dibebaskan dari penjara, beliau terus berkempen di serata Malaysia dan turut mendedahkan skandal V.K Linggam yang mana mendedahakan penyelewengan dalam sistem kehakiman negara. Ramai pemerhati dan penganalisis politik yang mempersoalkan kemampuan Anwar Ibrahim dalam mempengaruhi keputusan pilihanraya. Mereka menganggap Anwar Ibrahim sudah tidak relevan. Keputusan pilihanraya lepas membuktikan segalanya. Parti Keadilan Rakyat yang hampir berkubur sebelumnya, dibantu dengan pendedahan Dr Mahathir tentang penganiayaan yang telah beliau lakukan terhadap Anwar, telah melonjak dan menjadi parti pembangkang yang berjaya memenangi kerusi parlimen terbanyak, iaitu sebanyak 31 kerusi. Lebih manis, anak dan isteri Anwar Ibrahim turut memenangi kerusi parlimen di Lembah Pantai dan Permatang Pauh menumbangkan lawan mereka yang juga bukan calang-calang orang, iaitu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan bekas imam besar Masjid Negara, Ustaz Pirdaus Ismail.

Parti Islam seMalaysia (PAS) dengan slogan 'negara kebajikan' telah menunjukkan komitmen parti tersebut yang sedia merubah hala tuju parti tersebut agar ia lebih relevan dengan masyarakat Malaysia yang majmuk. Alhasilnya, PAS terus bertapak di Negeri Che Siti Wan Kembang dan melebarkan sayap ke Negeri Jelapang Padi pula. Kejayaan ini sungguh bermakna bagi penduduk Kedah yang rata-ratanya adalah pencinta agama yang mahukan orang mengamalkan dan faham akan agama dalam erti kata sebenar menjadi pemimpin mereka.

Bagi penduduk Selangor, terutamanya penduduk yang cintakan Islam, keputusan pilihanraya kali ini pasti mengembirakan mereka. Tiada lagi kes-kes penutupan surau, penceramah ditangkap ketika memberikan ceramah dan zakat akan dibahagikan dengan saksama.

Kepada semua wakil rakyat dan pemimpin yang telah dipilih, tidak kira dari pihak kerajaan atau pihak pembangkang, bersedialah untuk berkidmat kepada masyarakat. Ketepikan kepentingan diri dan ahli keluarga. Utamakan kebajikan rakyat yang dipimpin. Ingatlah, semua amanah ini akan disoal kelak. Kamu mungkin tidak lama berkuasa. ALLAH S.W.T. jua yang berkuasa menurunkan atau menaikkan martabat kamu semua di dunia ini.

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi Kuasa pemerintahan kepada sesiapa Yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah Yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Ali 'Imraan: 26)

Walau sebijak mana pun kita, ALLAH S.W.T. Maha Bijak dalam merencanakan sesuatu seperti dalam pilihan raya baru2 ini. Pihak kerajaan telah tersalah perancangan dengan menekankan untuk merampas negeri Kelantan daripada PAS dan mengekalkan Terengganu di bawah BN, tetapi mengabaikan negeri-negeri lain. Mereka lupa bahawa ALLAH S.W.T Maha Hebat dan Maha Mengatahui segalanya.

“Dan mereka telah merancangkan (konspirasi), dan Kami pula merancangkan (balasannya), sedang mereka tidak menyedarinya.” (Al-Naml: 50)

"Dan mereka itu pun merancangkan tipu daya, dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya” (Ali 'Imraan: 54)


Kepada wakil rakyat Barisan Alternatif, berusahalah untuk menjadi pemimpin seperti yang telah difirmankan oleh ALLAH S.W.T. :

"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memrintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang dan memberikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan memakukan perkara yang mungkar..." (Al-Hajj: 41)

Akhirnya, suatu hakikat yang kita harus terima, kemenangan golongan yang memperjuangkan Islam ini sebenarnya menandakan kedatangan hari Kiamat yang kian hampir. Kita harus yakin dengan kemenangan Islam akhirnya, cuma jalannya tidak semudah yang disangka. Itulah sunnah perjuangan.

Isnin, 3 Mac 2008

Sukan & Dakwah


Sukan dan dakwah?? Sukan dan Islam??

Pasti ramai yang blur untuk mencari titik persilangan antara keduanya..Sukan yang terkenal dengan suasana yang bising, kekasaran dan penuh dengan maki hamun, mana mungkin akan ada titik persamaan dengan Islam dan dakwah yang lebih sinonim dengan aman, tenang dan tenteram.

Apabila disebut 'orang-orang sukan', pasti gambaran pertama yang terbit ialah seorang yang bengis, kasar, bertubuh sasa dan sukar didekati. Manakala golongan pendakwah pula kebiasaanya seorang yang lemah lembut, mudah tersenyum dan senang didekati. Maka dimanakah titik pertemuan antara keduanya??

Golongan yang 'handal' bersukan amat sinonim dengan gelaran pelajar-pelajar bermasalah di peringkat menengah mahupun IPT. Golongan ini dikenali dengan seluar pendek mereka, rambut cacak, menghisap rokok, lombat pagar dan pelbagai lagi masalah. Mereka juga sering terkandas dalam pelajaran. Tidak hairanlah hampir semua atlit di Malaysia hatta di peringkat antarabangsa, kurang berjaya dalam pelajaran. Tapi bukan semua begitu. Ada juga yang berjaya dalam pelajaran mereka.

Jika kita sedar, sukan sebenarnya adalah satu medium alaf baru yang sangat berpengaruh. Cukup kita mengambil sukan bola sepak sebagai contoh terbaik. Bola sepak merupakan sukan no.1 bagi penduduk di dunia. Kita dapat melihat bagaimana negara Korea Utara dan Korea Selatan yang berperang saban tahun akibat dari pencanggahan dasar politik, dapat disatukan di atas satu padang bola sepak atas platform semangat kesukanan. Kita juga tidak akan melupakan bagaimana pertembungan Amerika Syarikat-Iran pada tahun 1998. Bukan dalam peperangan atau dalam masalah tenaga nuklear, tetapi di dalam Piala Dunia 98 yang diadakan di Perancis. Satu dunia dapat melihat bagaimana pemain-pemain Amerika Syarikat dan Iran berjabat mesra sebelum perlawanan dan penonton kedua-dua negara dapat duduk bersebelahan di dalam satu stadium. Semua perkara ini tidak mungkin akan berlaku jika bukan kerana sukan. Alangkah besarnya pengaruh sukan kepada penduduk dunia. Kita belum lagi membicarakan tentang bagaimana beribu-ribu orang yang sanggup ponteng kerja semata-mata untuk menyaksikan satu perlawanan bola sepak, kisah kematian Andreas Escobar, pertahanan Colombia dan gaya rambut David Beckham, ala mohican, yang digilai ramai walaupun pada dasarnya agak menjelikkan pandangan.

Wahai pendakwah dan penyeru kebaikan, tidakkah kamu nampak titik pertemuan di sini?

Sukan sebenarnya wasilah terbaik untuk berdakwah. Malangnya, ramai yang mengakui dirinya pendakwah sejati, tetapi memandang sebelah mata apabila dikaitkan dengan sukan. Bahkan, apabila diajak untuk turun bersama bersukan, maka ramailah yang menggeleng. Mereka menggagap diri mereka hanya sesuai untuk pergi ke masjid, majlis-majlis ilmu dan usrah. Mereka akan memberikan alasan bahwa mereka tidak reti bersukan, takde masa dan sebagainya. Tidak perlu takut untuk turun bersukan. Orang yang turun bersukan tidak semuanya pandai bersukan. Jika kita lihat kembali sejarah perjuangan Hasan Al-Banna.Bagaimana beliau terjun mencari mad'u hingga ke kelab-kelab malam. Adakah beliau seorang yang pandai menyanyi atau bergelek?

Sukan adalah medan yang luas untuk berdakwah. Di sana terdapat ramai manusia yang memerlukan kamu, penyampai kebaikan. Terjunlah ke dalam masyarakat tidak kira siapa mereka. Mungkin tidak perlu untuk berdakwah secara radikal pada peringkat permulaan. Api yang panas membara tidak akan dapat memadamkan api yang sedang marak. Cukuplah dengan pendekatan dakwah bil hal pada peringkat permulaan. Jika cukup gagah untuk melangkah lebih jauh, tafaddhol. Tunjukkan contoh yang baik apabila bersukan. Berhenti sebelum azan Maghrib atau waktu solat lain, memakai pakaian yang menutup aurat, tidak memaki hamun apabila bersukan, elakkan pergaduhan dan menunjukkan semangat kesukanan. Apabila bercampur dengan mereka yang gilakan sukan seperti ketika menonton perlawanan bola sepak, tunjukkan contoh teladan seperti memakai pakaian yang menutup aurat, tidak merokok dan berhenti menonton dan terus menunaikan solat jika azan berkemundang. Cukup mudah. Tapi sebenarnya kita sudah berdakwah. Seperkara lagi, kita harus juga mengatahui serba sedikit tentang sukan, paling kurang isu semasa tentang sukan. Ia boleh dijadikan modal dan advantange untuk kita tackle mad'u dari kalangan peminat sukan.

Kita boleh menjadikan bekas pemain hoki kebangsaan, Nor Saiful Zaini dan Nor Azlan Bakar sebagai contoh terbaik untuk kita berdakwah. Walaupun mereka berdua merupakan antara flicker dan pertahanan terbaik dalam arena hoki antarabangsa, mereka tetap mengekalkan ciri-ciri seorang Muslim pada diri mereka. Mereka sentiasa menutup aurat dalam apa jua kejohanan yang mereka sertai, malah mengekalkan imej berjanggut yang agak sinonim dengan Islam.

Sebenarnya, terdapat banyak cara untuk kita berdakwah di dalam sukan. Semuanya atas kreativiti kita untuk menjadikan ia berkesan kepada golongan sasaran seperti apa yang telah dilakukan oleh penyerang utama Mesir dari kelab Al-Ahly, Mohamed Abou Tarika.


Perbuatan ini telah dilakukan oleh beliau di dalam kejohanan Piala Afrika pada 28 Januari yang lepas ketika Mesir menentang Sudan. Selepas menjaringkan gol, beliau mengangkat baju dan mempamerkan slogan simpati kepada penduduk Ghaza. Natijahnya, beliau telah dilayangkan kad kuning akibat daripada kesalahan membuka baju yang mana bercanggah dengan undang-undang bola sepak. Mesir menang 3-0 ke atas Sudan dalam perlawanan tersebut dan Abou Tarika, yang sinonim dengan jersi bernombor 22 di kalangan penduduk Mesir, telah menjaringkan 2 gol daripadanya.

Mesir berjaya mempertahankan Piala Afrika yang telah dimenangi pada edisi sebelumnya setelah menewaskan Cameroon dengan jaringan 1-0 yang mana Abou Tarika merupakan penyumbang gol tunggal dalm perlawanan tersebut. Syabas Abou Tarika dan Mesir!