Jumaat, 30 April 2010

150 vs 4050


Jika diberi pilihan untuk bergaji besar atau bergaji kecil, sudah semestinya 99.99% akan memilih untuk memiliki gaji yang besar. Tiada sebab untuk memilih memiliki gaji yang kecil di kala terbentang peluang untuk memiliki gaji yang besar.

Apatah lagi seseorng itu mampu memperoleh gaji yang besar dengan hanya melakukan kerja yang sama seperti untuk memperoleh gaji yang kecil. Tiada sebab untuk memilih yang sedikit.

Apatah lagi apabila seseorang itu membuat kerja itu secara beramai-ramai, ia akan memperoleh upah yang jauh lebih banyak dan lumayan daripada melaksanakan tugasan tersebut secara sendirian. Sudah pasti kerja tersebut akan dilaksanakan secara beramai-ramai. Boleh buat secara beramai-ramai, ganjaran pun lumayan. Hanya orang yang bodoh sahaja yang akan menolak tawaran yang sangat berat sebelah ini.

Namun, pada hakikatnya, terlalu ramai yang menolak tawaran ini sedangkan tawaran ini telah sedia termaktub dalam 'warta' agung:

"Solat berjemaah adalah 27 kali lebih tinggi kedudukannya daripada solat yang didirikan bersendirian" - ( Maksud hadith daripada Abdullah Bin Umar R.A, diriwiyatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim)

Hadith di atas dengan jelas menyatakan kelebihan solat berjemaah ke atas solat sendirian dengan angka khusus, 27. 27 kali lebih tinggi kedudukan itu tidaklah sama seperti apa-apa nilai di dunia ini. Allah jua Yang Maha Mengetahui hakikat sebenar, tetapi yang pasti, ia jauh lebih bernilai dengan apa-apa jua nilai material di dunia ini.


Manusia yang gilakan kemewahan dunia ni jarang sekali mampu menilai 'kemewahan' sebenar yang sepatutnya dikejar. Kelebihan solat berjemaah ke atas solat sendirian bolehlah dianalogikan sebegini:

Sekali solat sendirian:1 x 5 (5x waktu solat sehari semalam) x 30 (jumlah hari dalam sebulan) = 150
Sekali solat berjemaah: 27 x 5 (5x waktu solat sehari semalam) x 30 (jumlah hari dalam sebulan) = 4050

Bayangkan jika ia dinilai dengan nilaian dunia.

Gaji RM150 sebulan adalah terlalu sedikit. Tidak cukup untuk menanggung kos kehidupan. Orang tersebut pasti dikategorikan sebagai miskin/fakir dan layak diberi bantuan.

Gaji RM 4050 adalah gaji seorang pegawai yang mampu hidup senang dengan rumah, kereta sendiri. Mampu menyara keluarga.

Sungguh besar bezanya jika dinilai dengan nilaian dunia. Bagaimana dengan nilaian sebenar? Sudah pastinya lebih besar jurangnya. Alangkah ruginya bagi mereka yang melepaskan peluang untuk menjadi 'kaya' di akhirat.

Sebenarnya, tiada sebab untuk tidak berjemaah. Tidak perlu kepada penambahan rukun, rakaat atau waktu solat. Hanya perlu kepada teman untuk bersolat bersama-sama. Hanya perlu ada imam dan makmum. Begitu mudah, namun amat payah untuk diamalkan.

Sungguh sedih apabila melihatkan suasana surau dan masjid yang suasananya menggambarkan hari Kiamat sudah kian hampir. Muungkin mereka setiap waktu berjemaah di rumah bersama keluarga masing-masing (husnuzon).

Bertambah sedih apabila melihatkan gelagat saudara-saudaraku seAqidah yang solat pada waktu yang sama dan di kawasan yang sama, namun solat sendirian. Suasana ini mungkin dapat dilihat di RnR, surau di pusat membeli-belah,pejabat-pejabat dan pelbagai tempat lagi. Ia juga dapat dilihat di masjid/surau apabila ada individu yang tiba lewat. Mereka lebih selesa solat sendirian di belakang daripada mengikuti jemaah lain yang masbuq. Amat rugi apabila melepaskan peluang untuk 'menaikkan kedudukan' masing-masing di kala ruang dan peluang terbuka luas.

Mengapa terjadi begini?

Mungkin mereka jahil. Mungkin juga mereka tidak merasai besarnya nilai '27' berbanding nilai '1'. Mungkin juga berasa ego.

Bayangkan jika Allah S.W.T. membayar tunai solat berjemaah kita setiap kali selesai solat. Selepas selesai solat di masjid, ada RM27 tersedia di tepi pintu masuk masjid. Pastinya tiada orang yang bersolat sendirian di rumah/bilik. Pastinya bilangan jemaah solat fardhu sama ramainya dengan jemaah solat Jumaat dan solat sunat hari Raya. Allah bermampuan untuk melakukannya. Namun, sengaja dihijabkan ganjaranNya agar dapat diketahui siapakah yang sebenar-benarnya bertaqwa di kalangan hamba-hamabaNya.


-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-

Ahad, 25 April 2010

Abdullah Bin Abbas R.A.





Tarikh: 25 April 2010
Masa: 20:01- 21:05
Tempat : Surau Al-Islah, Seksyen 7, Shah Alam
Penceramah: Ustaz Nazmi Abdul Karim
Tajuk: Hadith ke-19 (Perihal Perawi Hadith ke-19: Abdullah Bin Abbas)


Abdullah Bin Abbas R.A

- Dilahirkan 3 tahun sebelum peristiwa Hijrah Nabi S.A.W. ke Madinah

- Selepas dilahirkan, ibunya membawanya berjumpa dengan Nabi S.A.W. dan telah diazankan serta diiqamahkan di kedua belah telinganya oleh Baginda S.A.W.

- Setelah itu, Baginda bersabda kepada ibunya, "Pulanglah membawa bapa kepada khulafa'-khulafa'" - berkat kata-kata Nabi S.A.W., keturunan beliau adalah merupakan keturunan yang paling ramai mewarisi kerajaan Islam (kerajaan 'Abassiyyah)

- Merupakan anak sulung

- Diberi gelaran 'terjemahan al-Qur'an' kerana luas dan mendalam ilmunya dalam bidang al-Qur'an dan 'lautan' kerana banyaknya ilmunya.

- Ketika di zaman kanak-kanak, Rasullulah S.A.W. pernah mendoakannya (dengan doa yang masyhur) supaya menjadi faqih dalam agama dan mengetahui dengan mendalam/berilmu dengan ilmu ta'wil (spt al-Quran) - hasilnya, apabila dewasa, Ibn Abbas sangat faqih dalam bidang agama dan sangat mengetahui tentang al-Quran (ayat, asbabun nuzul, qasasul Quran, balaghah dll)

- Orang ramai akan bersesak-sesak di jalanraya kerana ingin menuntut ilmu dengannya. Mempunyai sangat ramai anak murid.

- Meninggal dunia di Taif pada 68 Hijrah pada usia 71 tahun. Ketika hendak mengebumikan jenazahnya, ada seekor burung putih tiba-tiba datang menyelinap masuk ke dalam kain kapannya. Apabila dibuka kain kapan tersebut, burung tersebut sudah hilang dan tidak dapat dikesan. Setelah itu, jenazahnya ingin dikebumikan, tiba-tiba terdengar suara yang entah datang dari mana, membacakan ayat 27 dan 28 surah al-Fajr:

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ
ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً

"Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) !"

- Setelah kematiannya, Abdullah Bin Jabir R.A berkata, "Telah meninggal dunia seorang yang paling 'Alim dan paling lembut akhlaknya daripada kalangan para sahabat"


Abbas Bin Abdul Mutalib R.A

- Ayah kepada Abdullah Bin Abbas R.A

- Bapa saudara Nabi S.A.W. yang paling bongsu/muda (2 tahun lebih muda daripada Nabi S.A.W.)

- Antara ahli keluarga Nabi S.A.W. yang berperang menentang Nabi S.A.W. di dalam peperangan Badar Kubra & ditawan sebagai tawanan (selain daripada suami Zainab). Memeluk Islam ketika menjadi tawanan.

- Menjadi S.B Nabi S.A.W. di Mekah dan menyembunyikan keIslamannya untuk sekian lama.

- Orang yang terakhir berhijrah ke Madinah

- Meninggal dunia pada tahun 34 Hijrah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Baqi'

- "Sesiapa yang menyakiti Abbas, samalah seperti ia menyakitiku kerana ia seperti bapaku sendiri"- Rasulullah S.A.W.

* Abu Darda' = Sahabat yang paling lewat memeluk Islam (setelah di'provoke' oleh Abdullah Bin Rawahah) di Madinah, namun menjadi orang yang paling 'Alim di Madinah.

* Ada seorang lelaki berjaya membunuh sehingga 7 orang pihak musuh dalam satu peperangan. Para sahabat memuji kehebatannya ketika dia mendapatkan rawatan. Ada sahabat berkata, "Hebat sungguh kamu mempertahankan Islam/Nabi S.A.W., sehingga mampu membunuh ramai pihak musuh." Lelaki tersebut menjawab, "Aku berperang bukan kerana mempertahankan Islam/Rasulullah, tetapi aku berperang kerana mahu mempertahankan Madinah daripada diceroboh/diduduki oleh pihak Quraisy." Para sahabat semuanya terkejut dan menceritakan peristiwa ini kepada Rasulullah S.A.W.. Nabi S.A.W bersabda, " Dia (lelaki tersebut) ke Neraka"... Para sahabat pun bergegas ke tempat lelaki tersebut. Malangnya, lelaki tersebut telah meninggal dunia.

p/s: Ancaman yang jelas daripada Nabi S.A.W. kepada orang yang menyeru kepada semangat Asabiyyah/perkauman.

* Umar Bin Abdul Aziz R.A. meninggal dunia pada umur 39 tahun (ada setengah riwayat, 40 tahun) kerana diracun oleh seorang hambanya yang diupah oleh sanak saudara Khalifah Umar sendiri yang tidak berpuas hati dengannya kerana tidak memberi hak keistimewaan keluargaan di dalam pemerintahannya. Setelah Umar Abdul Aziz mengetahui yang hambanya telah meracuninya, ia memanggil hambanya dan berkata," Aku bebaskan kamu. Pergilah ke tempat yang jauh supaya tiada siapa yang menjumpaimu agar kamu tidak dibunuh".. Subhanallah.. Sungguh hebat peribadi Umar Abdul Aziz R.A.

* Kisah Imam Malik dengan Sultan al- Mansur:
Sultan al-Mansur menjemput Imam Malik ke istananya untuk mengajarkan anaknya ilmu agama. Imam Malik menolak dan berkata, " Ilmu itu dicari, bukan ia datang kepadamu.." Setelah itu, Sultan al-Mansur bersetuju dan meminta untuk Imam Malik memperuntukkan masa khusus untuk mengajar anaknya. Imam Malik menolak dan berkata, "Jika ia mahu mendapatkan ilmu, hadirlah ke majlisku. Kalau tidak, ia tidak akan dapat apa-apa" Akhirnya Sultan al-Mansur terpaksa akur dan menghantar anaknya untuk belajar ilmu agama di dalam majlis bersama-sama dengan rakyat jelata.

p/s: Inilah contoh ulama dan pemerintah yang sebenar. Ulama' yang tegas dan berprinsip dengan prinsip Islam,  serta pemerintah yang boleh menerima pendapat dan teguran Ulama'.

-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-

Khamis, 8 April 2010

Review Filem: Laskar Pelangi


Filem ini adalah filem yang diadaptasi daripada novel bestseller Indonesia, Laskar Pelangi, buah tangan sulung Andrea Hirata. Novel yang telah terjual sebanyak 500 000 naskhah di Indonesia ini pada mulanya hanyalah catatan peribadi Andrea Hirata yang ditulis khas untuk gurunya, Ibu Muslimah.

Pada mulanya, ada seorang rakannya meminjam laptopnya dan meminta agar diterbitkan karya ini. Namun, Andrea menolak. Sehinggalah dalam senyap-senyap, rakannya menghantar karya ini ke sebuah syarikat penerbitan. Begitulah asal usul penerbitan karya Laskar Pelangi.

Laskar Pelangi mengisahkan tentang 10 orang anak kampung di Desa Gantong, Pulau Belitong, Sumatera. Mereka bersekolah di SD Muhammadiyah yang bangunannya hampir roboh dan di malam harinya menjadi kandang ternakan. Sekolah itu akan ditutup jika muridnya tidak mencapai bilangan 10 orang. Pada saat-saat akhir, mujurlah munculnya Harun, seorang kanak-kanak 'istimewa'. Maka segalanya bermula apabila bilangan pelajar sudah mencukupi 10 orang. 10 murid tersebut diberi nama Laskar pelangi oleh guru kesayangan mereka, Bu Mus.


Bu Mus dan Pak Harfan adalah dua orang insan yang berusaha bersungguh-sungguh untuk meneruskan perjuangan sekolah tersebut. Mereka menginginkan anak-anak miskin berhak untuk menggapai cita-cita. Pelbagai rintangan yang mereka hadapi.
Lima tahun berlalu, Bu Mus, Pak Harfan dan 10 oarng murid dengan keunikan dan keistimewaan masing-masing, berjuang untuk meneruskan pesekolahan. Di antara mereka, Ikal, Lintang dan Mahar adalah yang paling menyerlah dengan bakat dan kecerdasan mereka.

Pelbagai suka dan duka dikongsi mereka bersama seperti kejayaan di dalam karnival 17 Augustus yang dipimpin oleh Mahar dan pada pertandingan Lomba Cerdas Cermat yang diterajui oleh kepintaran menghitung Lintang, pemergian Pak Harfan yang memetuskan semangat dan harapan seketika buat Bu Mus, namun tidak bagi geng Laskar Pelangi.

Penghujungnya sangat mengusik perasaan apabila kanak-kanak pintar, Lintang, tidak dapat meneruskan persekolahan apabila terpaksa menyara hidup adik-adiknya akibat daripada kematian ayahnya. Seterusnya pertemuan semula Ikal dan Lintang selepas bertahun-tahun berpisah. Ikal akan melanjutkan pelajaran ke Perancis, sedangkan Lintang hanya melakukan kerja-kerja kampung, namun menurunkan cita-cita dan semangatnya kepada anak perempuannya.

Filem ini dipenuhi kisah tentang kehidupan orang pinggiran yang berlatarbelakangkan tahun 1970'an, kisah perjuangan hidup menggapai mimpi yang mengharukan, serta keindahan persahabatan yang menyelamatkan hidup manusia.

Sangat sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat, mereka yang merasa 'lemah' dan lelah dalam menuntut ilmu dan mereka yang sering merasa berada di dalam kesusahan atau merasa senang dengan hidup.



-Laskar Pelangi-

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Mimpi adalah kunci
Untuk kita menakhlukkan dunia
Berlarilah tanpa lelah
Sampai engkau meraihnya

Laskar pelangi
Tak kan terikat waktu
Bebaskan mimpimu di angkasa
Warnai bintang di jiwa
Menarilah dan terus tertawa
Walau dunia tak seindah surga
Bersyukurlah pada Yang Kuasa
Cinta kita di dunia
Selamanya…
Cinta kepada hidup
Memberikan senyuman abadi
Walau hidup kadang tak adil
Tapi cinta lengkapi kita
Laskar pelangi
Tak kan terikat waktu
Jangan berhenti mewarnai
Jutaan mimpi di bumi
Menarilah dan terus tertawa
Walau dunia tak seindah surga
Bersyukurlah pada Yang Kuasa
Cinta kita di dunia
Menarilah dan terus tertawa
Walau dunia tak seindah surga
Bersyukurlah pada Yang Kuasa
Cinta kita di dunia
Selamanya..

Laskar Pelangi
Tak kan terikat waktu..
-Nidji-

Rabu, 7 April 2010

Facebook.. Mengapa aku masih lagi tidak ke sana?


Facebook..

Satu fenomena baru kepada masyarakat kini.

Satu laman sosial yang berjaya mengetepikan saingan laman sosial lain seperti friendster, twitter, Hi5 dan lain-lain.

Satu laman sosial yang mempunyai 'multi-function' seperti perkongsian gambar, video, chatting, kuiz, games dan pelbagai lagi.

Jika dahulu laman web pertama yang akan dibuka apabila mengakses internet adalah laman friendster atau yahoo!, namun kini facebook sudah berjaya mendepani mereka (terutamanya golongan remaja dan belia).

Jika friendster, Hi5 dan laman sosial lain hanya kelihatan seperti tempat untuk bersoronok dan berkenal-kenalan sahaja, namun facebook ternyata berbeza.

Buktinya, ramai tokoh-tokoh masyarakat dari pelbagai bidang seperti tokoh politik, tokoh hiburan, tokoh agama dan tokoh pemikir menggunakan facebook sebagai salah satu medium untuk mereka menyebarkan dan menyampaikan komen, pendapat, pendirian, meluaskan pengaruh dan mungkin mempromosikan diri atau aktiviti-aktiviti mereka.

Contohnya, Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak dengan facebook 1 Malaysia, dan hampir semua artis yang menggunakan jalan ini untuk tujuan masing-masing, sesuai dengan bidang dan kepakaran masing-masing.

Di kala rakan-rakan semua berlumba-lumba untuk log in dan menaip komen di dalam facebook, aku ternyata mengambil langkah yang menongkah arus, iaitu tidak menyertai alam facebook.

"Eh, Dome.. Bakpo mu x wat facebook??.. Nak contact pun payoh..", terdengar suara sahabatku di Jordan yang menghubungiku melalui telefon.

"Kenapa tak buat facebook?.. Banyak benda dalam ni.. Kau sorang je bro yang takde facebook", pujuk seorang sahabat untuk memintaku membuka akaun facebook.

Ramai lagi sahabat yang bertanya mengapa aku tidak menyertai facebook.

Pertamanya, aku ingin menegaskan ini adalah pegangan a.k.a prinsip a.k.a ijtihad a.k.a fatwa (tak pasti nak guna perkataan yang mana) untuk diriku SAHAJA dan sehingga saat ini SAHAJA. Bukan untuk orang lain dan mungkin boleh berubah mengikut keadaan dan keperluan. Mungkin sesuai untuk dituruti, mungkin tidak.

Mengambil daripada iktibar laman sosial friendster yang pernah disertai satu ketika dahulu, aku merasakan aku tidak cukup kuat untuk menjaga diriku dari pelbagai perkara. Antaranya, menjaga pandanganku memandangkan facebook adalah antara medan utama untuk 'muslimah-muslimah' memperlihatkan kecantikan mereka, menjaga tutur kataku yang akan dilepaskan dalam bentuk bertaip di dalam komen, menjaga sedikit masaku daripada membaca benda-benda yang tidak sepatutnya, melihat yang tidak sepatutnya dan bermain games (cukuplah duk main games lain yang dah tersedia banyak membuang masa).

Tidak dinafikan facebook adalah ruang yang terbaik untuk berdakwah dan menerangkan Islam seperti yang telah dilakukan oleh para asatizah, namun aku merasakan aku tidak cukup kuat untuk mengggunakan jalan facebook sebagai jalan dakwah melebihi kerosakan-kerosakan (seperti di atas) yang akan dilakukan oleh diriku. Adalah lebih untuk diriku ber'puasa' buat masa ini daripada terjun ke dalam lembah yang aku tidak yakin mampu memberi banyak manfaat daripada kerosakan kepada diriku (sahaja).

Aku sudah mempunyai telefon bimbit, e-mail, YM, blog dan akaun friendster yang tidak aktif. Maka, tiada alasan yang kukuh untuk diriku membuka akaun facebook atas nama untuk berhubung dengan rakan-rakanku buat masa terdekat ini. Cukuplah mengoptimumkan medium lain yang telah tersedia ada. Berbalik kepada kaedah Feqah, "Apabila bertembung antara dua kerosakan, pilihlah kerosakan yang lebih kecil". Tidak dapat berhubung dengan sahabat-sahabat melalui jalan facebook mungkin adalah satu kerosakan, namun membuat perkara-perkara yang tidak sepatutnya (seperti di atas) sudah semestinya merupakan kerosakan yang lebih besar (bagi diriku).

Harapannya, sahabat-sahabat dan sesiapa sahaja yang telah menjadi pengguna facebook, optimumkanlah penggunaannya ke arah kebaikan kerana terdapat ruang yang sangat laus di dalamnya. Usahlah digunakan pada jalan yang tidak sepatutnya. Tinggalkan komen yang tidak membina, upload gambar yang tidak sepatutnya ditatap oleh masyarakat umum, men'cuci' mata pada tempat yang tidak sepatutnya dan lain-lain kerosakan.

Diharapkan tulisan ringkas ini sedikit sebanyak mampu menjawab persoalan sahabat-sahabat mengapa aku masih lagi tidak menyertai facebook. Sekali lagi ditegaskan ini hanyalah pegangan a.k.a prinsip a.k.a ijtihad a.k.a fatwa (tak pasti nak guna perkataan yang mana) untuk diriku SAHAJA dan sehingga saat ini SAHAJA. Bukan untuk orang lain dan mungkin boleh berubah mengikut keadaan dan keperluan.


"Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman" (Surah Adz- Dzariyat:56)

-Allah s.w.t. lebih mengetahui segalanya-

Isnin, 5 April 2010

Kematian = Pintu ke Arah Alam Seterusnya



Selepas pemergian Yanie Mentor, dunia hiburan dikejutkan dengan pemergian penghibur dan pelawak terkenal, Din Beramboi atau nama sebenarnya Mior Ahmad Fuad Mior Badri.

Din Beramboi menghembuskan nafas yang terakhir di hospital Selayang pada sekitar pukul 12.35 malam 1 April selepas dimasukkan ke wad rapatan rapi (ICU) sehari sebelumnya.

Punca kematiannya secara rasmi adalah disebabkan oleh wabak denggi walaupun sebelumnya hangat diperkatakan puncanya adalah disebabkan oleh air kencing tikus.

Bukanlah mencari punca kematiannya yang perlu dijadikan topik utama untuk didebatkan atau digosipkan (istilah yang sinonim di dalam dunia hiburan) oleh kita yang masih diberi secebis peluang untuk meminjam dan merasai nikmat-Nya ini.

Apa yang penting untuk kita lihat adalah pengajaran disebalik pemergian salah seorang daripada hamba-Nya ini. Jika punca sebenar kematiannya adalah disebabkan denggi, sudah semestinya dalang utama yang menjadi asbab kepada kematian tersebut adalah binatang kecil yang membunuh, si nyamuk.

Teringat kepada kisah kematian pemerintah zalim di zaman Nabi Ibrahim a.s, Raja Namrud yang begitu gah di zaman pemerintahannya, namun akhirnya tumpas di tangan tentera Allah yang kecil. Begitu sekali Allah menghina Namrud. Di sini bukanya dimaksudkan Arwah Din Beramboi adalah persis Namrud, tetapi yang inginku tekankan adalah kekuasaan Allah S.W.T..

DIA adalah pemilik segalanya. DIA memiliki segalanya. DIA berhak atas segalanya.

Walau segah mane pun seseorang itu di zaman hidupnya, jika takdir penghujungnya adalah disebabkan binatang sekecil nyamuk, maka itulah takdir penghujungnya. Pilihan kita, bagaimana kita memilih untuk bagaimana jalan penghujung itu. Asbabnya mungkin tetap sama. Seseorang itu mungkin boleh meninggal dunia disebabkan nyamuk dalam keadaan terhina seperti yang berlaku kepada Namrud. Seseorang itu mungkin juga boleh meninggal dunia disebabkan nyamuk, namun dalam keadaan yang terpuji. Asbab yang sama, tetapi penghujung yang berbeza. Semuanya berkait dengan jalan hidup seseorang.

Bagaimana cara dan keadaan kematian kita adalah manifestasi awal bagaimana keadaan kita di alam sana. Kita yang memilih jalan untuk diri kita dan kita pasti akan dipertanggungjwab atas segala pilihan kita.

Jika pada pilihanraya dunia pun slogan bijak memilih sering dilaung-laungkan, apatah lagi di dalam membuat pilihan ke arah kehidupan di sana. Sudah semestinya pilihan yang bijak harus dilakukan..

-Allah s.w.t. lebih mengetahui segalanya-