Jumaat, 30 April 2010

150 vs 4050


Jika diberi pilihan untuk bergaji besar atau bergaji kecil, sudah semestinya 99.99% akan memilih untuk memiliki gaji yang besar. Tiada sebab untuk memilih memiliki gaji yang kecil di kala terbentang peluang untuk memiliki gaji yang besar.

Apatah lagi seseorng itu mampu memperoleh gaji yang besar dengan hanya melakukan kerja yang sama seperti untuk memperoleh gaji yang kecil. Tiada sebab untuk memilih yang sedikit.

Apatah lagi apabila seseorang itu membuat kerja itu secara beramai-ramai, ia akan memperoleh upah yang jauh lebih banyak dan lumayan daripada melaksanakan tugasan tersebut secara sendirian. Sudah pasti kerja tersebut akan dilaksanakan secara beramai-ramai. Boleh buat secara beramai-ramai, ganjaran pun lumayan. Hanya orang yang bodoh sahaja yang akan menolak tawaran yang sangat berat sebelah ini.

Namun, pada hakikatnya, terlalu ramai yang menolak tawaran ini sedangkan tawaran ini telah sedia termaktub dalam 'warta' agung:

"Solat berjemaah adalah 27 kali lebih tinggi kedudukannya daripada solat yang didirikan bersendirian" - ( Maksud hadith daripada Abdullah Bin Umar R.A, diriwiyatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim)

Hadith di atas dengan jelas menyatakan kelebihan solat berjemaah ke atas solat sendirian dengan angka khusus, 27. 27 kali lebih tinggi kedudukan itu tidaklah sama seperti apa-apa nilai di dunia ini. Allah jua Yang Maha Mengetahui hakikat sebenar, tetapi yang pasti, ia jauh lebih bernilai dengan apa-apa jua nilai material di dunia ini.


Manusia yang gilakan kemewahan dunia ni jarang sekali mampu menilai 'kemewahan' sebenar yang sepatutnya dikejar. Kelebihan solat berjemaah ke atas solat sendirian bolehlah dianalogikan sebegini:

Sekali solat sendirian:1 x 5 (5x waktu solat sehari semalam) x 30 (jumlah hari dalam sebulan) = 150
Sekali solat berjemaah: 27 x 5 (5x waktu solat sehari semalam) x 30 (jumlah hari dalam sebulan) = 4050

Bayangkan jika ia dinilai dengan nilaian dunia.

Gaji RM150 sebulan adalah terlalu sedikit. Tidak cukup untuk menanggung kos kehidupan. Orang tersebut pasti dikategorikan sebagai miskin/fakir dan layak diberi bantuan.

Gaji RM 4050 adalah gaji seorang pegawai yang mampu hidup senang dengan rumah, kereta sendiri. Mampu menyara keluarga.

Sungguh besar bezanya jika dinilai dengan nilaian dunia. Bagaimana dengan nilaian sebenar? Sudah pastinya lebih besar jurangnya. Alangkah ruginya bagi mereka yang melepaskan peluang untuk menjadi 'kaya' di akhirat.

Sebenarnya, tiada sebab untuk tidak berjemaah. Tidak perlu kepada penambahan rukun, rakaat atau waktu solat. Hanya perlu kepada teman untuk bersolat bersama-sama. Hanya perlu ada imam dan makmum. Begitu mudah, namun amat payah untuk diamalkan.

Sungguh sedih apabila melihatkan suasana surau dan masjid yang suasananya menggambarkan hari Kiamat sudah kian hampir. Muungkin mereka setiap waktu berjemaah di rumah bersama keluarga masing-masing (husnuzon).

Bertambah sedih apabila melihatkan gelagat saudara-saudaraku seAqidah yang solat pada waktu yang sama dan di kawasan yang sama, namun solat sendirian. Suasana ini mungkin dapat dilihat di RnR, surau di pusat membeli-belah,pejabat-pejabat dan pelbagai tempat lagi. Ia juga dapat dilihat di masjid/surau apabila ada individu yang tiba lewat. Mereka lebih selesa solat sendirian di belakang daripada mengikuti jemaah lain yang masbuq. Amat rugi apabila melepaskan peluang untuk 'menaikkan kedudukan' masing-masing di kala ruang dan peluang terbuka luas.

Mengapa terjadi begini?

Mungkin mereka jahil. Mungkin juga mereka tidak merasai besarnya nilai '27' berbanding nilai '1'. Mungkin juga berasa ego.

Bayangkan jika Allah S.W.T. membayar tunai solat berjemaah kita setiap kali selesai solat. Selepas selesai solat di masjid, ada RM27 tersedia di tepi pintu masuk masjid. Pastinya tiada orang yang bersolat sendirian di rumah/bilik. Pastinya bilangan jemaah solat fardhu sama ramainya dengan jemaah solat Jumaat dan solat sunat hari Raya. Allah bermampuan untuk melakukannya. Namun, sengaja dihijabkan ganjaranNya agar dapat diketahui siapakah yang sebenar-benarnya bertaqwa di kalangan hamba-hamabaNya.


-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-

Tiada ulasan: