Semester baru mengangkat tirainya. Ketika sahabat-sahabat semuanya menyatakan perasaan mereka yang sangat teruja dan optimis, aku cuba memandang sebaliknya.
Begitu banyak berita-berita yang mengejutkan menghinggapi telingaku sejak kebelakangan ini. Bermula daripada pemergian Arwah Amar Zulkifli, Arwah Nabil Marwan dan berterusan kepada pembunuhan tragis Marwa Al-Shebrini.
Semua mereka pergi dalam usia muda. Namun, pemergian mereka adalah pemergian kemenangan.
Mengapa??
Amar pergi dengan keredhaan ibubapanya, Nabil pergi dengan cara yang amat mudah dan direstui ibubapanya, Marwa pergi ketika terus mempertahan syiar Islam daripada diragut. Lalu, bagaimana dengan kita?? Bagaimana pengakhiran kita??
Setiap kali aku membaca entry tentang Arwah Nabil (terutamanya yang ditulis oleh sepupunya dan sahabat-sahabatnya), aku pasti mencemburuinya. Dia menderita dengan kesabaran dan pergi dengan keredhaan orang di sekililingnya.
Aku terus merenung dan termenung mengenangkan nasibku pada semester ini. Permulaan yang baik. Namun, bagaimana pengakhirannya. Adakah lebih baik daripada semester lepas, ataupun tiada perubahan, ataupun semakin mundur ke belakang. Adakah aku mampu berada di penghujung semester kelak. Tiada siapa yang tahu.
Semester ini pastinya aku dibebankan dengan pelbagai taklifat yang begitu mencabar bagi diriku (mungkin tidak buat orang lain). Pelbagai tugasan dan kerja yang memang sudah dijangka dan 'mengejut' sudah mula memanggil-manggil diriku.
Diharapkan permulaan yang baik membuahkan natijah yang baik di pengakhirannya..
-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-