Isnin, 30 Mac 2009

Aku Menulis Bukan Kerna Nama


"Eh, rajinlah kau menulis dalam blog...ada je idea.."

"Aku tak main blog-blog ni, apa barang..baik cakap terus..lagi efektif.."

"Eh, macam ada je orang nak baca apa yang ditulis tu..ntah-ntah syok sendiri"

Banyak lagi ungkapan-ungkapan lain yang sering terpacul dari mulut rakan-rakanku. Ada berbentuk positif, ada yang berbentuk negatif, tidak kurang juga yang menimbulkan soalan.

Inginku tegaskan di sini, tujuan utamaku menulis di sini adalah untuk memanfaatkan sedikit ruang dakwah dengan menggunakan metodologi penulisan dan ICT. Usaha ini mungkin sangat kecil, tetapi sekurang-kurangnya daku mempunyai sedikit hujah untuk dibawa apabila berhadapan denganNya kelak.

Yang pastinya, aku menulis bukan kerana nama.


Jangan kau pandang bibir yang manis
Kerana dia bisa menghancurkan
Jangan kau pandang wajah yang indah
Kerana dia bisa meracunmu

Dengarlah hai teman
Dengarkan bersama
Aku menulis bukan kerna nama
Kerna sifat kasih
Pada sesama insan
Dan menyatakan kasih sayangmu
Kita sama semuanya sama
Apa yang ada hanyalah kehidupan

Jangan kau dengar puisi dusta
Kerana dia bisa merosakkan jiwamu
Dengarkanlah puisi di pusaka
Yang telah turun temurun hari ini

Jangan kau alas hatimu itu
Dengan secebis warna kehitaman
Dialah seperti anai-anai
Lambat laun hancurlah dirimu

(Ramli Sarip)
-Allah s.w.t. lebih mengetahui segalanya-

Ahad, 29 Mac 2009

Abu Lahab Moden



Bulan Rabiul Awal sudah berakhir. Maka, segalanya sudah berakhir.

Berakhirlah bulan kelahiran Nabi S.A.W. (walaupun ada khilaf tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi S.A.W.), maka berakhirlah segalanya.

Berakhirlah bulan dakwah. Berakhirlah segala bacaan maulid. Berakhirlah perarakan mengingati Nabi S.A.W. Berakhirlah juga ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah yang membicarakan tentang sejarah Nabi S.A.W. dan pengamalan sunnhanya.

Begitulah keadaan umat akhir zaman. Islam diamalkan mengikut musim. Nabi S.A.W. diingati dan diikuti mengikut musim.

Kini tiba giliran musim ِِِAkademi Fantasia dan Pesta Jom Heboh.

Adakah Islam hanya perlu diamalkan mengikut musim-musim tertentu sahaja??

Islam adalah satu agama yang lengkap dan merupakan cara hidup bagi manusia. Ia bukanlah bermusim atau mengikut sesuatu tempat dan ketika sahaja. Ia merangkumi keseluruhan cara hidup. Dari bangun pagi, hingga masuk tidur. Dari dilahirkan hingga ke liang lahad. Semuanya harus berlandaskan dan mengikut acuan Islam.

Manusia kini tidak ubah seperti Abu Lahab.

Dialah manusia yang paling gembira dengan kelahiran Nabi S.A.W. 100 ekor unta disembelihnya dan beberapa orang hamba dimerdekakannya sebagai tanda gembira dengan kelahiran Nabi S.A.W. Apabila Nabi S.A.W. mengumpulkan penduduk Mekah untuk menyampaikan Islam, dia jugalah orang pertama yang berpaling ingkar dengan ajaran Nabi S.A.W.

Tidakkah watak Abu Lahab kembali dimainkan kini. Merekalah golongan yang paling bersemangat ketika menyambut hari kelahiran Nabi S.A.W. Habis sepanduk dinaikkan dan semua jalanan dipenuhi dengan perarakan dan laungan selawat yang penuh bersemangat. Apabila tamat tempoh tersebut, merekalah yang pertama berpaling dari ayat-ayat Allah dan petunjuk Nabi S.A.W. Konsert dan majlis maksiat dianjurkan dan dihadiri, aurat dibuka, syariat Allah dipandang sepi dan kerja-kerja dakwah dihalang dan diremehkan.

Tidakkah ada persamaan antara kelakuan masyarakat kini dengan kelakuan Abu Lahab pada masa dahulu?? Bezanya, ia mungkin sudah di'moden'kan.

Marilah merenung kembali sirah nabawiyah dan mentadabbur ayat-ayat dalam surah Al-Lahab, ayat 1-5. Di sana dengan jelas ALLAh S.W.T menceritakan bagaimana akibat dari kelakuan Abu Lahab yang menentang ajaran Nabi S.A.W.

Semoga Abu Lahab tidak akan lahir kembali ke muka bumi ini.




-Allah S.W.T. mengetahui segalanya-

Sabtu, 7 Mac 2009

Lirik Yang Mensyirikkan


Tidak semua lagu boleh didendangkan.

Tidak semua boleh dihiburkan.

Hiburan atau lagu ini boleh bertukar hukumnya kepada haram apabila berada di dalam keadaan-keadaan tertentu. Antaranya, ialah apabila lirik lagunya bertentangan dengan akidah Islam atau syariat Allah s.w.t..

Antara lagu yang liriknya jelas bertentangan dengan Akidah Islam ialah lagu nyanyian Agnes Monica yang berjudul Allah Peduli. Di bawah ini adalah lirik lagunya yang jelas menyimpang daripada Akidah Islam.


Banyak perkara yang tak dapat ku mengerti
Mengapakah harus terjadi
Di dalam kehidupan ini
Suatu perkara yang
ku simpan dalam hati
Tiada satupun kan terjadi tanpa Allah perduli

Allah mengerti
Allah peduli

Segala persoalan yg kita hadapi
Tak akan pernah di biarkanya ku bergumul sendiri
Sbab Allah mengerti


Allah mengerti
Allah peduli
Segala persoalan yg kita hadapi
Tak akan pernah di biarkanya ku bergumul sendiri
Sbab Allah Yesus ku
mengerti


Jika diperhatikan bait-bait liriknya, kita boleh terkeliru bahawa Allah yang dimaksudkan ialah Allah, tuhan bagi orang Islam. Namun, jika diperhatikan rangkap yang terakhir, ternyata Allah yang dimaksudkan di sini ialah Tuhan Yesus, tuhan orang-orang Kristian.

Mendendangkan lagu ni seumpama mengakui kewujudan dan kekuasaan Yesus sebagai Tuhan. Maka hukumnya, adalah mensyirikkan Tuhan Yang Esa, Allah Subhana wata'ala...

Berhati-berhatilah dengan jarum yang begitu halus ini, yang mampu memporak-perandakan akidah dan kepercayaan umat Islam.

-Allah s.w.t. lebih mengetahui segalanya-

Jumaat, 6 Mac 2009

Multaqa Institusi Tahfiz Kebangsaan 2009


Multaqa Institusi Tahfiz Kebangsaan 2009
3-5 Mac 2009

Kompleks Yayasan Pahang


Alhamdulillah, dengan izin-Nya yang memilih diri ini, aku berkesempatan menghadiri satu majlis yang dihadiri oleh ramai ulama', iaitu Multaqa Institusi Kebangsaan 2009.

Ramai ulama' dan cendiakawan telah menghadiri Multaqa ini. Antaranya ialah Prof. Dr. Muhammad Tawfeeq Ramadhan al-Bouti (anak kepada Dr Said Ramadhan al-Bouti) dari Universiti Damsyik, Syria, Dr Danial Zainal Abidin, Dr Sidek Baba, dan Kiyai Hj Abdullah Syukri Zarkasyi (dari Pondok Gontor, Indonesia)

Perkongsian pengalaman tentang institusi tahfiz pelbagai aliran di Malaysia turut disampaikan oleh wakil dari Imtiaz Terengganu, Maahad Sains Tahfiz Kelantan dan Darul Qur'an JAKIM.

Diri ini dirasakan amat kecil berbanding dengan firur-figur lain, apatah lagi dilabel sebagai wakil UIA Kuantan a.k.a ex-DQ. Sungguh bukan diri ini yang patut berada di majlis tersebut. Mujurlah kehadiran rakan-rakanku (Syazwan, Hasan, Nurudin, al-Barra') dan dua orang senior yang amat dikagumi (Abg Ridzwan & Abg Azreen) menghilangkan rasa kekokku dalam majlis tersebut.

Kami juga berkesempatan melawat Maahad Tahfiz Qur'an Negeri Pahang yang terletak berhampiran dengan Kompleks Yayasan Negeri Pahang. Sungguh indah persekitaran dan landskap di sekitar kawasan MTQN Pahang. Suasana begini memang diperlukan untuk memudahkan proses penghafalan Al-Qur'an.

Sesi terakhir di dalam program ini ialah sesi bengkel. Sesi yang paling memberi kesan kepadaku. Kami, wakil UIA, telah diletakkan di dalam bengkel 1, di bawah tajuk, "Isu semasa dan cadangan penyelesaiannya." Pengerusi bagi bengkel 1 ialah, Dr Danial Zainal Abidin. Pelbagai isu telah dibangkitkan dan suasana amat hangat sekali dengan pelbagai isu yang berkaitan dengan halatuju dan kurikulum untuk menghasilkan PROTAZ yang berjaya dalam kerjayanya di samping menguasai ilmu Al-Qur'an.

Kami semua amat bertuah kerana Prof Dr Tawfeeq Ramadhan Al-Bouti telah hadir bersama-sama di dalam perbincangan ini. Satu ungkapan kata yang amat terkesan di hatiku apabila beliau diajukan soalan tentang suasana di Syria yang ramai antara para professionalnya yang menghafaz Al-Qur'an, bahkan mengajar ilmu Al-Qur'an, bagaimana mereka membahagikan masa untuk mengimbangi semuanya. Apa kata beliau;

"Semuanya berkait dengan rasa cinta dengan Al-Qur'an. Jika anda rasa cinta, pastinya ada ruang untuk Al-Qur'an"

Begitulah lebih kurang kata-katanya. Begitu mendalam, dan kelihatan seperti tidak menjawab soalan. Sebenarnya, itulah jawapan yang ringkas tetapi tepat jawapanya. Pokok pangkalnya, semua berkaitan dengan rasa cinta. Rasa yang tidak dapat dijual beli. Apabila anda sudah jatuh hati dengan Kalamullah, walau sesibuk mana pun anda, pasti ada masa jua untuk cinta anda itu.

"Ya Allah, kurniakanku rasa cinta yang tidak berbelah bahagi terhadap KalamMu itu.."


Aku sebenarnya ingin juga bersuara menyatakan pendapat pada petang itu..melihatkan orang-orang lain yang begitu bersemangat memberikan pandangan, aku mematikan niatku itu. Di kesempatan ini, aku ingin menyatakan apa yang ingin aku suarakan pada petang itu.

Melalui pengalamanku dan rakan-rakanku, kami melihat kebanyakan sekolah dan institusi yang mengintegrasikan antara akademik dan penghafalan Al-Qur'an, kurang menitikberatkan soal menjaga hafalan Al-Qur'an. Para pelajar mungkin mampu menghafal Al-Qur'an pada masa yang ditetapkan di samping mencapai kejayaan akademik terutamanya dalam peperiksaan besar (UPSR, PMR, SPM), tetapi tidak ramai yang mampu mengekalkan hafalan mereka, terutamanaya setelah terjun ke Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta.

Hasilnya, lahirlah ramai orang yang berjaya menamatkan hafazan Al-Qur'an tetapi tidak ingat apa yang dihafaz. Kesannya, mereka akan malu dan segan untuk ke hadapan di dalam masyarakat dan mengakui bahwa mereka adalah penghafaz Al-Qur'an, sedangkan masyarakat amat memerlukan mereka.

Amatlah besar kesannya apabila tidak terus menjaga apa yang telah dihafaz. Terutamanya Al-Qur'an. Nabi S.A.W. telah sifatkan Al-Qur'an ini ibarat unta yang sangat liar dan mudah melarikan diri jika tidak diawasi. Apabila Al-Qur'an tidak terus dijaga dan diulangi secara intensif, peratusannya untuk hilang amatlah tinggi. Lebih-lebih lagi kepada pelajar-pelajar aliran sains yang perlu banyak memfokuskan akademik. Jika Al-Qur'an tidak di'pegang' dari awalnya, kelak ia akan menjadi beban yang amat menyiksa, seterusnya, ia akan menimbulkan rasa bosan dan kemuncaknya, akan melahirkan rasa sesal kerana pernah menghafal Kalamullah. Semuanya berbalik kepada kesan pengabaian untuk menjaga Al-Qur'an pada peringkat awal.

Kepada yang telah mengalami keadaan ini, jangan menyesal. Teruskan usaha untuk mengingati balik apa yang telah kamu hafal walaupun memakan masa yang sangat lama. Letakkan sasaran. Biar sikit, yang penting istiqamah. Jangan terus banyak, kerana dikhuatiri kamu akan cepat letih untuk mengingatinya kembali.

Kepada yang belum mengalaminya lagi, 'jaga' dan 'pegang'lah Al-Qur'an betul-betul. Pasakkan ia sedalam-dalamnya di dada anda kerana apabila ia telah hilang, amat sukar untuk mengembalikannya.

Kepada pihak yang berkenaan, pindalah kurikulum sekolah/institusi yang mengrintegrasikan akademik dan penghafalan Al-Qur'an. Usahlah dikejar matlamat pencapaian akademik dan khatamnya hafalan Al-Qur'an sahaja, tetapi penjagaan, pengamalan dan penghayatanlah yang patut lebih dititik beratkan untuk melahirkan kembali "Jiilul Qur'an"


"Walaupun menghafaz Al-Qur'an itu penting, tetapi memahami dan menghayatinya lebih penting, dan mengamalkannya adalah terlalu penting" - Dr Yusof Al-Qaradhawi-


-Allah s.w.t. lebih mengetahui segalanya-

Khamis, 5 Mac 2009

Otak Kiri vs Otak Kanan


BAITUL MUSLIM COURSE (KURSUS KAHWIN)
VENUE : MAIN AUDITORIUM, KULIYYAH OF SCIENCE (KOS)
DATE : 28/2/2009-1/3/2009
DAY : SATURDAY AND SUNDAY
TIME : 8AM - 5PM


Satu program kursus kahwin telah dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar Mahallah Talhah, UIAM Kampus Kuantan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP). Program ini telah dihadiri oleh kira-kira 110 orang peserta yang terdiri daripada kalangan pelajar UIA sendiri. Bilangan peserta terpaksa dihadkan walaupun mendapat permintaan yang amat tinggi kerana ini merupakan satu program sulung dengan kerjasama daripada JAIP. Selepas ini InsyALLAH akan diadakan lagi program kursus kahwin ataupun program-program lain dengan kerjasama pihak JAIP

Banyak ilmu dan info telah diperoleh di dalam program ini. Aku tertarik dengan satu maklumat yang rasanya boleh dimanfaatkan bersama. Maklumat tersebut diperoleh dari pada salah satu sesi, iaitu berkaitan komunikasi.

Menurut Ustaz Badlishah (personaliti TV yang sering muncul dalam siri motivasi pagi), manusia terbahagi kepada 2 jenis, iaitu manusia yang berotak kiri dan manusia yang berotak kanan.

Manusia yang berotak kiri ini ialah manusia yang mudah tertarik dengan fakta, nombor-nombor dan bukti yang kukuh. Jika mahu berhujah dengannya, fakta dan maklumat mestilah tepat dan jitu. Mereka ini juga sangat jujur dan lurus serta kurang memahami bahasa gurauan. Mereka juga kurang menggemari teka-teki dan agak lambat mememahami bahasa kiasan. Apabila berkomunikasi dengan manusia sebegini, elakkan melakukan gurauan @ lawak bodoh, lebih serius dalam perbualan dan bercakaplah dengan berterus terang.

Manusia yang berotak kanan pula ialah jenis manusia yang mempunyai banyak idea, kuat loyar buruk, suka bergurau, tidak serius dan selalunya mempunyai pendirian yang berubah-ubah mengikut keadaan. Sangat mahir memahami dan menggunakan bahasa gurauan dan kiasan. Pandai menjaga hati orang dan tidak mudah tersinggung. Jika mahu berhujah dengannya, banyakkan menggunakan ilmu mantik dan bahasa kiasan.


Memahami dan mengetahui orang-orang di sekeliling anda, sama ada yang berotak kanan atau pun kiri, adalah amat penting dalam berkomunikasi. Skil berkomunikasi ini amat penting dalam kehidupan seharian agar yang jauh dapat kita dekatkan, yang dekat dapat kita rapatkan, yang rapat dapat kita satukan...

Sebelum itu, kenali diri anda dahulu. Adakah anda tergolong daripda manusia berotak kanan ataupun kiri. Memahami diri adalah langkah penting sebelum memahami orang lain.

Semoga skill yang ringkas ini dapat mengubah hidup anda menjadi lebih ceria dan bermakna.



-Allah s.w.t. lebih mengetahui segalanya-

Aku & Tanggungjawab


Alahamdulillah. Sungguh lega.

Aku baru sahaja melepasi saat-saat kesesakan masa dan waktu yang amat menekan diriku.

Exam mid-term, tugasan book review UNGS 2040, program kursus kahwin, HEALS Sport Day, Wacana Ilmu, D'Communique, urusan jersi Heals, futsal interbatch KAHS sempena HEALS WEEK, jualan keropok segera AMAL, sponsor program BAKSIS, Multaqa Tahfiz Peringkat Kebangsaan, semuanya datang menuntut hak mereka untuk diuruskan dalam masa 2 minggu, antara minggu terakhir bulan Februari dan minggu pertama bulan Mac.

Kini ku sudah berjaya melepasi 2 minggu yang mencabar dan sesak itu. Pelbagai natijah telah diperoleh. Exam mid-term sudah dilalui ( tak tahu la bagaimana resultnya..macam teruk jer), tugasan book review sudah berjaya diselesaikan, program kursus kahwin sudah berjalan dengan jayanya (mendapat pujian dari pihak JAIP), HEALS Sport Day terpaksa ditangguhkan ke semester hadapan ( ramai ada kelas pada tarikh tersebut), Wacana Ilmu juga terpaksa ditangguhkan, Majalah D'Communique sudah hampir disiapkan (tunggu masa nak hantar kepada publisher), jersi HEALS sudah ditempah kepada pihak pembekal, futsal interbatch sudah berjaya dianjurkan (senior-senior mintak buat lagi), jualan keropok sangat memberansangkan (mungkin kena amik stok baru), Multaqa Tahfiz sudah dihadiri.

Kini hanya tinggal kerja-kerja sponsorship untuk program BAKSIS yang belum diselesaikan. Mungkin perlu ditumpukan bermula saat ini.

Di kala kesibukan luaran yang amat membebankan, aku kadang-kadang terleka dan mengabaikan tanggungjawab aku sebagai seorang penghafaz al-Qur'an. dan seorang penuntut ilmu. Di kala kesibukan mendatang, al-Qur'an dan pelajaranku pasti akan menjadi mangsa. Masa aku berkurang untuk bersamanya..

Aku perlu menebus saat-saat aku meninggalkanya agar ia tidak meninggalkan aku buat selama-selamanya.

"Allah tidak membebankan seseorang itu melainkan yang terdaya baginya"
(Surah Al-Baqarah:286)



-Allah s.w.t. lebih mengetahui segalanya-