Bulan Rabiul Awal sudah berakhir. Maka, segalanya sudah berakhir.
Berakhirlah bulan kelahiran Nabi S.A.W. (walaupun ada khilaf tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi S.A.W.), maka berakhirlah segalanya.
Berakhirlah bulan dakwah. Berakhirlah segala bacaan maulid. Berakhirlah perarakan mengingati Nabi S.A.W. Berakhirlah juga ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah yang membicarakan tentang sejarah Nabi S.A.W. dan pengamalan sunnhanya.
Begitulah keadaan umat akhir zaman. Islam diamalkan mengikut musim. Nabi S.A.W. diingati dan diikuti mengikut musim.
Kini tiba giliran musim ِِِAkademi Fantasia dan Pesta Jom Heboh.
Adakah Islam hanya perlu diamalkan mengikut musim-musim tertentu sahaja??
Islam adalah satu agama yang lengkap dan merupakan cara hidup bagi manusia. Ia bukanlah bermusim atau mengikut sesuatu tempat dan ketika sahaja. Ia merangkumi keseluruhan cara hidup. Dari bangun pagi, hingga masuk tidur. Dari dilahirkan hingga ke liang lahad. Semuanya harus berlandaskan dan mengikut acuan Islam.
Manusia kini tidak ubah seperti Abu Lahab.
Dialah manusia yang paling gembira dengan kelahiran Nabi S.A.W. 100 ekor unta disembelihnya dan beberapa orang hamba dimerdekakannya sebagai tanda gembira dengan kelahiran Nabi S.A.W. Apabila Nabi S.A.W. mengumpulkan penduduk Mekah untuk menyampaikan Islam, dia jugalah orang pertama yang berpaling ingkar dengan ajaran Nabi S.A.W.
Tidakkah watak Abu Lahab kembali dimainkan kini. Merekalah golongan yang paling bersemangat ketika menyambut hari kelahiran Nabi S.A.W. Habis sepanduk dinaikkan dan semua jalanan dipenuhi dengan perarakan dan laungan selawat yang penuh bersemangat. Apabila tamat tempoh tersebut, merekalah yang pertama berpaling dari ayat-ayat Allah dan petunjuk Nabi S.A.W. Konsert dan majlis maksiat dianjurkan dan dihadiri, aurat dibuka, syariat Allah dipandang sepi dan kerja-kerja dakwah dihalang dan diremehkan.
Tidakkah ada persamaan antara kelakuan masyarakat kini dengan kelakuan Abu Lahab pada masa dahulu?? Bezanya, ia mungkin sudah di'moden'kan.
Marilah merenung kembali sirah nabawiyah dan mentadabbur ayat-ayat dalam surah Al-Lahab, ayat 1-5. Di sana dengan jelas ALLAh S.W.T menceritakan bagaimana akibat dari kelakuan Abu Lahab yang menentang ajaran Nabi S.A.W.
Semoga Abu Lahab tidak akan lahir kembali ke muka bumi ini.
-Allah S.W.T. mengetahui segalanya-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan