Jumaat, 6 Mac 2009

Multaqa Institusi Tahfiz Kebangsaan 2009


Multaqa Institusi Tahfiz Kebangsaan 2009
3-5 Mac 2009

Kompleks Yayasan Pahang


Alhamdulillah, dengan izin-Nya yang memilih diri ini, aku berkesempatan menghadiri satu majlis yang dihadiri oleh ramai ulama', iaitu Multaqa Institusi Kebangsaan 2009.

Ramai ulama' dan cendiakawan telah menghadiri Multaqa ini. Antaranya ialah Prof. Dr. Muhammad Tawfeeq Ramadhan al-Bouti (anak kepada Dr Said Ramadhan al-Bouti) dari Universiti Damsyik, Syria, Dr Danial Zainal Abidin, Dr Sidek Baba, dan Kiyai Hj Abdullah Syukri Zarkasyi (dari Pondok Gontor, Indonesia)

Perkongsian pengalaman tentang institusi tahfiz pelbagai aliran di Malaysia turut disampaikan oleh wakil dari Imtiaz Terengganu, Maahad Sains Tahfiz Kelantan dan Darul Qur'an JAKIM.

Diri ini dirasakan amat kecil berbanding dengan firur-figur lain, apatah lagi dilabel sebagai wakil UIA Kuantan a.k.a ex-DQ. Sungguh bukan diri ini yang patut berada di majlis tersebut. Mujurlah kehadiran rakan-rakanku (Syazwan, Hasan, Nurudin, al-Barra') dan dua orang senior yang amat dikagumi (Abg Ridzwan & Abg Azreen) menghilangkan rasa kekokku dalam majlis tersebut.

Kami juga berkesempatan melawat Maahad Tahfiz Qur'an Negeri Pahang yang terletak berhampiran dengan Kompleks Yayasan Negeri Pahang. Sungguh indah persekitaran dan landskap di sekitar kawasan MTQN Pahang. Suasana begini memang diperlukan untuk memudahkan proses penghafalan Al-Qur'an.

Sesi terakhir di dalam program ini ialah sesi bengkel. Sesi yang paling memberi kesan kepadaku. Kami, wakil UIA, telah diletakkan di dalam bengkel 1, di bawah tajuk, "Isu semasa dan cadangan penyelesaiannya." Pengerusi bagi bengkel 1 ialah, Dr Danial Zainal Abidin. Pelbagai isu telah dibangkitkan dan suasana amat hangat sekali dengan pelbagai isu yang berkaitan dengan halatuju dan kurikulum untuk menghasilkan PROTAZ yang berjaya dalam kerjayanya di samping menguasai ilmu Al-Qur'an.

Kami semua amat bertuah kerana Prof Dr Tawfeeq Ramadhan Al-Bouti telah hadir bersama-sama di dalam perbincangan ini. Satu ungkapan kata yang amat terkesan di hatiku apabila beliau diajukan soalan tentang suasana di Syria yang ramai antara para professionalnya yang menghafaz Al-Qur'an, bahkan mengajar ilmu Al-Qur'an, bagaimana mereka membahagikan masa untuk mengimbangi semuanya. Apa kata beliau;

"Semuanya berkait dengan rasa cinta dengan Al-Qur'an. Jika anda rasa cinta, pastinya ada ruang untuk Al-Qur'an"

Begitulah lebih kurang kata-katanya. Begitu mendalam, dan kelihatan seperti tidak menjawab soalan. Sebenarnya, itulah jawapan yang ringkas tetapi tepat jawapanya. Pokok pangkalnya, semua berkaitan dengan rasa cinta. Rasa yang tidak dapat dijual beli. Apabila anda sudah jatuh hati dengan Kalamullah, walau sesibuk mana pun anda, pasti ada masa jua untuk cinta anda itu.

"Ya Allah, kurniakanku rasa cinta yang tidak berbelah bahagi terhadap KalamMu itu.."


Aku sebenarnya ingin juga bersuara menyatakan pendapat pada petang itu..melihatkan orang-orang lain yang begitu bersemangat memberikan pandangan, aku mematikan niatku itu. Di kesempatan ini, aku ingin menyatakan apa yang ingin aku suarakan pada petang itu.

Melalui pengalamanku dan rakan-rakanku, kami melihat kebanyakan sekolah dan institusi yang mengintegrasikan antara akademik dan penghafalan Al-Qur'an, kurang menitikberatkan soal menjaga hafalan Al-Qur'an. Para pelajar mungkin mampu menghafal Al-Qur'an pada masa yang ditetapkan di samping mencapai kejayaan akademik terutamanya dalam peperiksaan besar (UPSR, PMR, SPM), tetapi tidak ramai yang mampu mengekalkan hafalan mereka, terutamanaya setelah terjun ke Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta.

Hasilnya, lahirlah ramai orang yang berjaya menamatkan hafazan Al-Qur'an tetapi tidak ingat apa yang dihafaz. Kesannya, mereka akan malu dan segan untuk ke hadapan di dalam masyarakat dan mengakui bahwa mereka adalah penghafaz Al-Qur'an, sedangkan masyarakat amat memerlukan mereka.

Amatlah besar kesannya apabila tidak terus menjaga apa yang telah dihafaz. Terutamanya Al-Qur'an. Nabi S.A.W. telah sifatkan Al-Qur'an ini ibarat unta yang sangat liar dan mudah melarikan diri jika tidak diawasi. Apabila Al-Qur'an tidak terus dijaga dan diulangi secara intensif, peratusannya untuk hilang amatlah tinggi. Lebih-lebih lagi kepada pelajar-pelajar aliran sains yang perlu banyak memfokuskan akademik. Jika Al-Qur'an tidak di'pegang' dari awalnya, kelak ia akan menjadi beban yang amat menyiksa, seterusnya, ia akan menimbulkan rasa bosan dan kemuncaknya, akan melahirkan rasa sesal kerana pernah menghafal Kalamullah. Semuanya berbalik kepada kesan pengabaian untuk menjaga Al-Qur'an pada peringkat awal.

Kepada yang telah mengalami keadaan ini, jangan menyesal. Teruskan usaha untuk mengingati balik apa yang telah kamu hafal walaupun memakan masa yang sangat lama. Letakkan sasaran. Biar sikit, yang penting istiqamah. Jangan terus banyak, kerana dikhuatiri kamu akan cepat letih untuk mengingatinya kembali.

Kepada yang belum mengalaminya lagi, 'jaga' dan 'pegang'lah Al-Qur'an betul-betul. Pasakkan ia sedalam-dalamnya di dada anda kerana apabila ia telah hilang, amat sukar untuk mengembalikannya.

Kepada pihak yang berkenaan, pindalah kurikulum sekolah/institusi yang mengrintegrasikan akademik dan penghafalan Al-Qur'an. Usahlah dikejar matlamat pencapaian akademik dan khatamnya hafalan Al-Qur'an sahaja, tetapi penjagaan, pengamalan dan penghayatanlah yang patut lebih dititik beratkan untuk melahirkan kembali "Jiilul Qur'an"


"Walaupun menghafaz Al-Qur'an itu penting, tetapi memahami dan menghayatinya lebih penting, dan mengamalkannya adalah terlalu penting" - Dr Yusof Al-Qaradhawi-


-Allah s.w.t. lebih mengetahui segalanya-

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

apa pendapat penulis ttg isu yg penulis tulis ini?maksud sy, kurikulum yg mcamna yg harus di gunakan utk melahirkan hafiz yg betul-betul dapat ingt alqur'an, or at least most of it..kot2 lah ada yg nk jadi pengasas institusi tahfiz nnti.

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum,saya seorang ibu ,ingin menghantar anak lelaki saya ke maahad tahfiz-minta tolong forwardkan alamat2 maahad yg sesuai-(modul menghafaz disamping itu memahami dan berakhlak al quran) --dari puan siti .

عبد الرحمن بن العزمي berkata...

Puan Siti, boleh tinggalkan alamat emel untuk saya kongsikan maklumat2 yg diperlukan..