Jumaat, 29 Februari 2008

Gurauan di Sebalik Demam Pilihanraya


DUN yg paling sejuk = DUN Batu Berendam
DUN yg paling takde rasa = DUN Air Tawar
DUN yg paling panas = DUN Pedas
DUN yg paling miskin = DUN Sekupang
DUN yg paling muda = DUN Sri Muda
DUN yg paling basah = DUN Sg Besar
DUN yg kuat makan satay = DUN Kajang
DUN yg banyak hantu = DUN Pucong
DUN yg ada istana = DUN Kota Raja
DUN yg banyak ikan = DUN Tg Sepat
DUN yg paling keras = DUN Batu Tiga
DUN paling hulu = DUN Hulu Klang
DUN banyak air = DUN Ampangan
DUN banyak pengganas = DUN Kuala Kubu
DUN paling takde kemajuan = DUN Gurun
DUN paling bahaya = DUN Baling
DUN banyak semut = DUN Kota Sarang Semut
DUN paling pelik = DUN Sg Ada Burung
DUN ada binatang = DUN Kijang
DUN paling wangi = DUN Pokok Sena
DUN paling hodoh = DUN Batu Buruk
DUN paling garang = DUN Senggarang

Sabtu, 23 Februari 2008

Krisis Minyak yang Mengelirukan


Terdapat pihak yang mengatakan bahawa adalah mustahil untuk menurunkan harga minyak kerana harga minyak sedang meningkat naik di peringkat global. Timbalan Perdana Menteri menyatakan negara akan bankrap jika harga minyak diturunkan....

Untuk kenyataan seperti ini kita patut tanyakan terlebih dahulu. Adakah kerajaan sebenarnya tidak mampu menanggung subsidi?

Berdasarkan laporan Belanjawan 2006, muka surat 10 dan 15, jumlah kutipan kerajaan daripada Petronas adalah RM39.924billion. Jika ditolak subsidi yang ketika itu berjumlah RM 12billion, maka lebihan hasil kerajaan daripada Petronas adalah RM27.924b. Ini adalah kenaikan dana RM12.82billion berbanding tahun 2005. Harus diingat, anggaran ini dibuat akhir tahun 2005 sebelum subsidi minyak dikurangkan pada Februari 2006 sebanyak RM4billion dan keuntungan Petronas mencecah RM76billion. Jadi pertambahan dana tersebut pasti lebih tinggi.

Pernah sekali dipersoalkan ke mana RM500billion duit keuntungan Petronas hilang. Buat pengetahuan semua, Audit Petronas tidak perlu dibentangkan di Parlimen dan Petronas hanya bertanggungjawab pada PM. Audit Petronas tidak pernah dibentangkan secara rasmi. Ini menyebabkan Petronas menduduki tangga tercorot daripada 15 syarikat minyak dan gas dunia dalam satu kajian 'World's Most sustainable And Ethical Companies'. Kajian ini dijalankan oleh Management and Excellant, syarikat perunding gas dan minyak di Sepanyol.

Dalam kajian itu, Petronas mendapat 20.15% berbanding Shell 89.01%. Sekitar 1986, terdapat satu Tabung dipanggil Tabung Warisan Petronas. Tujuan tabung ini adalah bagi membantu kerajaan sekiranya kita menjadi pengimport minyak satu hari nanti. Setiap tahun, sebahagian keuntungan Petronas akan dimasukkan ke dalam tabung ini. Soalnya, berapakah jumlah kutipan tabung ini sekarang dan mengapa ianya tidak pernah didedahkan?

Minyak Malaysia antara yang paling berkualiti di dunia. Harga setong minyak Malaysia adalah 1-2 dolar lebih tinggi dari harga pasaran dunia. Katakanlah, harga minyak dunia sekarang USD100 setong. Tapi harga minyak Malaysia yang dijual ke luar negara adalah USD102 setong. Lebihan 2 dollar setong ini sudah menghasilkan keuntungan USD438j @ RM1.49billion setahun. Minyak yang diimport masuk ke Malaysia sebenarnya minyak bermutu rendah. Dengan kata lain, kita ada minyak mahal tetapi pergi jual. Selepas itu, hanya minyak yang kurang berkualiti diberi kepada rakyat. Kitaran penjualan ini menyebabkan peredaran wang USD yang sangat besar. Ini menyebabkan jika sedikit masalah berlaku pada mata wang US, kita turut terjejas sama. Seeloknya, minyak digunakan ke dalam negara dan lebihannya barulah dieksport. Penggunaan NGV sebagai bahan bakar mesti dipertingkatkan bagi mengelakkan penggunaan petrol yang terlalu besar dalam negara. Dengan cara itu, minyak kita tidak akan bergantung pada harga ekonomi dunia lagi.

Penipuan yang kerajaan buat tentang hal kenaikan amat jelas. Kerajaan kata subsidi kena hapus perlahan-lahan sebab nanti tak lama lagi rizab minyak akan habis. Jadi rakyat kena berlatih hidup tanpa subsidi. Tapi berdasarkan jawapan bertulis Perdana Menteri di Dewan Rakyat November 2005, rizab minyak negara adalah 5.29billion tong yang boleh kekal sehingga 2024. Ini belum termasuk penemuan telaga baru seperti telaga Pisagan 1A dan rizab gas lainnya terutama di laut Sabah. Bohong tak bohong. Ingat, jangkaan habis petrol pada 2024 ini dibuat mengambil kira rizab pada tahun 2005 sahaja dan pengeluaran sehari secara purata 750 000 tong. Untuk rekod, pengeluaran sekarang adalah 650 000 tong.

Dan jika diikutkan, kenaikan harga minyak mentah dunia sebenarnya memberikan rahmat besar buat Malaysia. Menurut laporan Asian Development Bank, dalam buku laporan tahun 2007 menyatakan bahawa setiap kenaikan sebanyak USD1 bagi pasaran dunia untuk minyak mentah, kerajaan Malaysia mendapat keuntungan tambahan USD 62juta bersamaan RM210.8 juta. Pada saat minyak kali terakhir dinaikkan RM0.30 satu liter sekitar awal 2006, harga minyak mentah dunia adalah USD70 setong. Kini harganya kira-kira USD96 setong. Bermakna penambahan keuntungan buat kerajaan Malaysia sebanyak USD 1.612

Jadi, mengapakah boleh dikatakan negara akan bankrap jika harga minyak diturunkan?

Sebenarnya, siapakah yang akan bankrap, negara atau individu-individu tertentu??

Ingatlah, kamu akan dipertanggungjawabkan kelak atas segala yang telah dilakukan di atas muka bumi. Allah Maha Mengatahui segala apa yang berlaku tidak kira ia tersembunyi atau tidak.

Artikel ni bukanlah untuk membuka aib mana-mana pihak, tetapi atas dasar kesedaran untuk membuka mata dan minda semua akan hakikat sebenar senario negara Malaysia.

"Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahannam kebanyakanya di antara jin dan manusia. Bagi mereka ada hati, (tetapi) tidak mengerti dengan hatinya, dan bagi mereka ada mata, (tetapi) tidak melihat dengan matanya, dan bagi mereka ada telinga, (tetapi) tidak mendengar dengan telinganya. Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat. Mereka itulah orang yang lengah (rugi)" - (Surah Al-A'raaf:179)

Kelebihan Ummat Terkemudian


Keimanan yang terbaik adalah keimanannya umat Muhammad pada akhir zaman. Sebab mereka beriman dan berIslam hanya dengan bukti yang ghaib, yang tidak dapat dilihat langsung, baik perilaku sempurna Nabi, mahupun Mukjizat yang ditunjukkannya. Walaupun mereka tidak dapat melihat pembuktian langsung akan tetapi mereka tetap beriman dengan sepenuh hati akan keluhuran dan kebesaran ajaran Islam yang telah dibawa oleh Muhammad SAW. Disinilah letak keimanan tersebut, sebagaimana hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahwa Rasulullah bersabda :

“Tahukah kalian siapakah yang imannya menakjubkan Allah? Para SAHABAT menjawab : "Tentu saja para Malaikat, Ya Rasulullah".

"Itu telah jelas, bagaimana para Malaikat tidak akan beriman kepada Allah, sementara mereka tahu benar apa yang diperintahkan oleh Allah," jawab Nabi.

Lalu para SAHABAT melanjutkan lagi, "para Nabi-Nabi Allah, Ya Rasulullah."

"Bagaimana mungkin para Nabi tidak beriman kepada Allah, sedangkan Jibril a.s. selalu datang kepada mereka dengan perintah dari langit," jawab Nabi lagi.

"Tentunya sudah pasti para sahabat yang hebat keimanannya."

"Bagaimana para sahabatku tidak beriman sementara mereka menyaksikan sendiri Mukjizatku, dan Aku selalu memberi khabar tentang Wahyu yang aku terima.”

Dan pada saat itu para SAHABAT terdiam untuk memikirkan jawapannya. Kemudian Nabi S.A.W. melanjutkan kata-katanya: "Orang yang imannya sangat mengagumkan adalah mereka yang datang setelah Aku, mereka beriman kepadaku padahal mereka tidak pernah melihatku dan mereka membenarkannya padahal tidak kenal aku kepada mereka semua. Maka mereka-mereka itulah yang akan menjadi teman-temanku."

Dari hadis tersebut tampaklah dengan jelas, bagaimana kagumnya Rasulullah S.A.W. kepada umatnya yang terbelakang, iaitu umat Islam masa kini. Kekaguman Rasulullah SAW ini sangat beralasan, kerana kita hidup jauh dari zaman Rasulullah, tidak pernah mengenal beliau secara langsung, tidak pernah melihat Mukjizat yang Allah berikan kepadanya, dan juga tidak pernah melihat perjuangan beliau, tetapi kita meyakininya dengan sungguh-sungguh agama yang dibawanya.

Oleh sebab itu, kita sebagai umat Islam yang hidup diakhir zaman ini,  kita harus merasa bangga menjadi seorang yang memiliki iman yang sangat menakjubkan Allah dan RasulNya (jika kita benar-benar beriman). Meskipun tidak pernah merasakan indahnya hidup bersama Rasulullah S.A.W. serta sahabat-sahabatnya, namun keimanan dan keIslaman dapat kita pegang dengan sangat teguh.

Sabda Rasulullah s.a.w : "Sesungguhnya Allah tidaklah memandang kepada rupa paras kamu dan harta benda kamu; akan tetapi Allah memandang kepada hati-hati kamu dan amalan-amalan kamu" (H.R. Muslim)

Sabtu, 2 Februari 2008

Harapan Kepada Ayah & Ibu

Wahai ibuku Wahai ayahku
Didiklah kami semua
Ajarlah kami asuhlah kami
Mengenal tuhan yang Esa
Tuntunlah kami
Hidup akhirat yang lebih utama
Sedarkanlah kami
Akan tipu daya dunia

Didiklah kami asuhlah kami
Dengan penuh kasih sayang
Segala apa kesalahan kami
Dibetulkan dengan bijaksana
Perkataan maki hamun
Jangan digunakan
Kerana ia menyalahi sunnah Rasul mulia

Tunjukkanlah kami
Dengan akhlak mulia
Agar mudah kami menyontohinya
Jangan macam ketam
Yang berjalan bengkok
Ia mengajar anaknya berjalan lurus

Wahai ibuku Wahai ayahku
Kasihanilah kami
Didiklah kami mengikut cara sunnah nabi
Janganlah kami dididik secara yahudi
Kami akan rugi di dunia dan di akhirat

Kenalkanlah kami
Hidup dunia yang menipu
Asuhilah kami
Cinta akhirat yang abadi
Akhirat utama dari dunia yang fana
Dunia menipu merosakkan manusia

Itulah harapan kami kepada ayah dan ibu
Ayah ibu janganlah kau berkecil hati
Kami memohon ribuan ampun dan maaf padamu
Disertakan doa kesejahteraan
Kepadamu ayah dan ibu..

*Harapan kepada ayah dan ibu dendangan kumpulan nasyid Nada Murni dan Hijjaz


Nasyid ini membuatkan diri ini mengimbau kembali kenangan ketika minggu orientasi pelajar tingkatan satu di sekolah Maahad Muhammadi Lelaki, Kota Bharu. Ketika nasyid ini didendangkan dalam majlis penutup minggu orientasi tersebut, banyak ibu bapa dan pelajar-pelajar yang menitiskan air mata. Kini, sudah 8 tahun ia berlalu. Bagaikan baru semalam ia berlaku.

Nasyid ini khas ditujukan kepada semua ibu bapa, bakal ibu bapa dan anak-anak. 


Jumaat, 1 Februari 2008

Memang Kurang Ajar!!!


"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang (redha) akan kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan (ilmu) datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu" (Surah Al-Baqarah: 120)

Gambar diatas ialah koleksi permainan LEGO terbaru yang dilancarkan di Denmark. Kerajaan Denmark melalui syarikat permainan gergasi, LEGO terus menyerang umat Islam dengan penghinaan demi penghinaan yang khususnya menyerang Nabi junjungan mulia, Nabi Muhammad S.A.W.

Sebagai seorang Muslim yang cintakan Rasullulah S.A.W., kita harus memainkan peranan kita, tidak kira siapa kita. Jangan hanya mendiamkan diri.

Jika kita ibu bapa, boikot produk Denmark amnya, LEGO khususnya. Jangan biarkan anak kecil kita dipengaruhi oleh permainan-permainan yang boleh merosakkan akidah.

Jika kita seorang pelajar, berilah kesedaran dan penerangan kepada rakan-rakan yang mungkin masih lagi hanyut. Kamu juga harus belajar bersungguh-sungguh agar suatu hari nanti akan lahir tenaga-tenaga mahir yang boleh mencipta alat permainan yang berkonsepkan Islam dan dalam masa yang sama dapat membina syakhsiah berlandaskan ajaran Islam.

Jika kita seorang pemerintah, kitalah yang paling berkuasa. Kita boleh mengadakan kempen kesedaran,memboikot barangan keluaran kuffar dan memutuskan hubungan antarabangsa dengan golongan-golongan laknatullah ilaihi. Tiada ruginya. Malah, lebih beruntung. Itu pun jika kamu semua sedar dan mahu melakukan.

Sebenarnya, semua perkara terletak pada diri kita. Kita yang merubah keadaan, bukanya keadaan yang merubah kita.

Ingatlah, semua perkara akan disoal kelak di hari pengadilan.
"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya" (Surah Az-Zalzalah: 7 & 8)

Alahai Gula...


Apakah sebenarnya gula?
Gula adalah makanan tanpa khasiat yang paling banyak dimakan dan memudaratkan. Gula cuma menambah kalori dan akan disimpan sebagai lemak di dalam tubuh. Ia tidak langsung berzat malah akan menyingkirkan zat yang sedia ada dalam tubuh. Gula juga adalah penyebab utama kegemukkan!

Adakah badan kita perlukan gula?Tidak perlu langsung! Ini kerana tubuh kita akan menukarkan banyak sumber makanan yang lain kepada glukosa apabila badan perlukan tenaga.

Apakah kesan jika ambil gula berlebihan?1. Melemahkan sistem imunisasi (melawan penyakit)
2. Menganggu imbangan galian dalam tubuh
3. Menyebabkan kanak-kanak menjadi hiperaktif, gelisah dan nakal.
4. Menyebabkan kanak-kanak rasa mengantuk dan mengurangkan kecergasan
5. Menjejaskan pencapaian kanak-kanak dalam pelajaran
6. Meningkatkan paras trigliserid
7. Melemahkan daya tahan tubuh terhadap jangkitan bakteria
8. Merosakkan buah pinggang
9. Mengurangkan kolesterol yang baik (HDLs)
10. Mengalakkan pertumbuhan kolesterol bahaya (LDLs)
11. Mengurangkan kromium dalam badan
12. Mengurangkan kuprum dalam badan
13. Menganggu serapan kalsium dan magnesium oleh sistem badan
14. Menyebabkan kanser payu dara, kanser ovari, kanser prostat dan kanser dubur
15. Menyebabkan kanser kolon (usus besar) dan wanita amat berisiko tinggi
16. Faktor kepada kanser pundi hempedu
17. Meningkatkan pasar glukosa dalam darah dengan cepat
18, Melemahkan penglihatan
19. Meningkatkan paras serotonin yang menyempitkan pembuluh darah
20. Penyebab hipoglisemia
21. Penyebab perut berasid
22. Meningkatkan paras adrenalin dikalangan kanak-kanak
23. Meningkatkan risiko penyakit jantung koronari
24. Mempercepat proses penuaan, kulit berkedut, uban pada rambut
25. Membawa kepada ketagihan alkohol
26. Merosakkan gigi
27. Penyumbang utama kegemukkan
28. Meningkatkan risiko penyakit Crohn dan kolitis berulser
29. Penyebab bengkak saluran usus dikalangan pesakit gastrik
30. Penyebab artritis
31. Penyebab lelah
32. Pembentukan batu dalam ginjal
33. Penyebab jangkitan yis atau kandidiasis
34. Penyebab pembentukan batu karang hempedu
35. Penyebab sakit jantung iskemik
36. Penyebab sakit apendiks
37. Meransang tanda-tanda multiple sclerosis
38. Penyebab pendarahan
39. Penyebab Vena Varikos
40. Meningkatkan tindak balas glukosa dan insulin kepada pengamal pil cegah hamil
41. Penyebab sakit gusi
42. Penyumbang kepada Osteoporosis
43. Penyebab air liur menjadi berasid
44. Penyebab kemerosotan sensitiviti Insulin
45. Penyebab kemerosotan toleransi Glukosa
46. Mengurangkan hormon tumbesaran
47. Meningkatkan kolesterol dalam badan
48. Meningkatkan tekanan darah sistolik
49. Menyebabkan struktur protein bertukar hingga menganggu serapan protein oleh tubuh
50. Penyebab alergi terhadap makanan
51. Penyumbang kepada sakit kencing manis
52. Penyebab keracunan darah semasa hamil
53. Penyebab ekzema kepada kanak-kanak
54. Penyebab penyakit kardiovaskular
55. Melemahkan struktur DNA
56. Penyebab Katarak
57. Penyebab Emfisema
58. Penyebab arteriosclerosis
59. Penyebab pembentukan radikal bebas dalam aliran darah
60. Merendahkan kemampuan enzim
61. Penyebab kehilangan keanjalan tisu serta fungsinya
62. Penyebab sel hati terbahagi dan ini akan meningkatkan saiz hati
63. Meningkatkan lemak dalam Hati
64. Membesarkan saiz buah pinggang
65. Memberikan tekanan tinggi kepada pankreas dan akan merosakkannya
66. Meningkatkan retensi cecair dalam badan
67. Penyebab sembelit
68. Penyebab rabun jauh
69. Penyebab lapisan rerambut
70. Penyebab hipertensi
71. Penyebab sakit kepala
72. Menganggu kemampuan berfikir
73. Penyebab kemurungan
74. Meningkatkan tindak balas insulin
75. Penyebab penapaian bakteria dalam usus
76. Penyebab ketidak seimbangan hormon
77. Meningkatkan risiko darah beku dalam badan
78. Meningkatkan risiko sakit Alzheimer

Kenapa sesetengah makanan yang senarai bahan-bahannya tiada ditulis nama gula tapi masih manis rasanya?Jangan terpedaya! Gula biasanya akan dinamakan dengan nama lain seperti;
>Glukosa
>Fruktosa
>Laktosa
>Maltosa
>Sukrosa
>Sirap Glukosa
>Sirap maple
>Molases
>Sirap hitam
>Sirap kencana
>Dektrosa
>Sorbitol

Berapa banyak gula yang ada dalam makanan dan minuman?1) Minuman bergas 500ml - 14.4 sudu teh
2) Minuman dalam tin tanpa gas 350ml - 9.6 sudu teh
3) Minuman coklat malt dalam tin 125ml - 5.5 sudu teh
4) Kek buah-buahan 40g - 3.5 sudu teh
5) Bijirin sarapan bersalu madu 220g - 10.1 sudu teh
6) Ubat batuk botol kecil di farmasi - 15.8 sudu teh
7) Aiskrim coklat sepotong saiz biasa - 7.7 sudu teh
8) Sundae restoran makanan segera - 10.3 sudu teh
9) Rempah ayam segera satu pek - 4.7 sudu teh
10) Minuman berkultur satu botol kecil - 2.7 sudu teh
11) Susu pekat manis dalam tin kecil - 35.5 sudu teh

Kenapa Malaysia diletakkan sebagai pengguna terbanyak gula di dunia?Ini dikira rekod dunia! Walaupun pasukan bola sepak kita tidak berjaya, namun kita nampaknya masih dikenali di dunia. Negara kita adalah paling gemuk di Asia dan mempunyai pesakit Kencing Manis yang paling ramai di dunia!

Bangga? Kita sebenarnya dalam diam diancam.

Lihatlah orang yang paling kaya di Malaysia! Taukeh gula!

Negara kita seperti darurat apabila gula disorokkan baru-baru ini. Hidup ini bagaikan tidak bermakna jika tanpa gula.

Marilah kita mengamalkan amalan memakan madu. Tidak kurang manisnya, tapi tetap berkhasiat. Nabi S.A.W. menjamin khasiatnya sehingga disebut sebagai salah satu dari penawar bagi segala penyakit selain Al-Quran..Kita mampu merubah keadaan..kurangkan penggunaan gula sedikit demi sedikit..tak semestinya kena berhenti terus..lama kelamaan kita akan biasa dengan kehidupan tanpa gula.

"Kita adalah apa yang kita makan".

Sabtu, 26 Januari 2008

Penyakit yang Menyerang Masyarakat Kampus


“Dan siapakah yang lebih baik perkataanya daripada mereka yang menyeru manusia ke jalan Allah serta beramal soleh seraya berkata, aku dari kalangan orang-orang Muslim” (Surah Fussilat :33)

Usia remaja merupakan suatu tempoh masa yang amat mencabar. Ramai yang tergelincir daripada landasan sebenar akibat terpedaya oleh usia remaja yang kelihatannya amat indah. Bagi yang berjaya melepasi peringkat usia yang mencabar ini, mereka akan melangkah ke alam baru iaitu alam kampus. Di sinilah setiap remaja yang berjaya melepasi halangan tersebut akan membina impian tersendiri untuk mengusai bidang-bidang masing.

Dan berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat untuk orang-orang Mukmin” (Az-Dzariyaat: 55)

Merujuk kepada tajuk di atas, penulis bukanlah orang yang paling layak untuk memberi peringatan apatah lagi kritikan. Tulisan bukanlah untuk ditujukan kepada individu-individu tertentu ataupun mana-mana organisasi. Tulisan ini hanya untuk membuka minda khususnya mahasiswa untuk terus berfikir dan mengkaji baik buruknya fenomena yang kian ‘menjadi’ di kalangan mahasiswa.

Tidak dinafikan alam kampus merupakan alam yang amat berbeza berbanding dengan alam persekolahan. Di kampus, anda akan bercampur dengan rakan-rakan yang datangnya dari pelbagai latar belakang, loghat dan adat. Satu yang pasti, semuanya adalah insan-insan yang menjadi harapan untuk menerajui negara sedikit masa nanti. Oleh itu, alam kampus merupakan medan terbaik untuk mengasah bakat terpendam yang bakal di‘letus’kan kelak. Salah satu alat peledak yang terbaik adalah dengan berpersatuan. Berpersatuan amat penting bagi mahasiswa yang bakal menghadapi pelbagai cabaran di masa hadapan. Salah satu kebaikan yang sudah sekian maklum apabila aktif berpersatuan ialah ia boleh melatih seseorang itu untuk menguruskan organisasi. Skil dalam menguruskan organisasi amat penting sebagai persediaan untuk menguruskan pelbagai organisasi dalam sektor awam atau swasta apabila seseorang itu terjun ke dalam masyrakat kelak.

Selain itu, berpersatuan juga dapat melatih mahasiswa untuk menjadi seorang yang lebih berdisiplin dari segenap segi termasuk pengurusan masa, cara berkomunikasi dan cara penampilan. Seseorang yang aktif berpersatuan kebiasaanya lebih bijak menguruskan masa berbanding seseorang yang tidak aktif berpersatuan. Mereka lebih banyak belajar dengan sendirinya untuk menyusun jadual hidup seharian berbanding mahasiswa-mahasiswa yang kurang aktif berpersatuan yanag mana banyak menghabiskan masa yang kosong dengan aktiviti-aktiviti yang kurang berfaedah. Berpersatuan juga dapat membantu meningkatkan teknik komunikasi dan bersosial. Dua teknik ini amat penting bagi mahasiswa kerana ia merupakan satu bonus tambahan untuk mendapatkan kerjaya dan meyakinkan bakal majikan untuk mendapatkan kerjaya yang diidam-idamkan di masa hadapan apatah lagi jika mahasiswa tersebut mengambil bidang-bidang yang ‘kritikal’ yang mana memerlukan banyak interaksi dengan masyarakat. Sebenarnya, banyak lagi faedah dan kelebihan yang diperoleh apabila seseorang itu aktif berpersatuan dan rasanya tidak perlu dipanjangkan lagi perbincangan dan penjelasan yang sudah sedia maklum.

Setiap kelebihan pasti ada kekurangan. Tiada yang sempurna dalam hidup ini. Begitulah juga dengan aktiviti yang dinamakan berpersatuan. Berpersatuan tidak selamanya membawa kebaikan. Malah jika disalahgunakan, ia membawa banyak keburukan dan mudarat kepada mahasiswa itu sendiri. Mungkin kita tidak menyedarinya, tetapi sebenarnya mungkin ia telah berlaku dalam diri kita atau masyarakat di sekililing kita.

Terdapat banyak penyakit yang melanda mahasiswa-mahasiswa yang bergiat aktif dalam persatuan. Antara penyakit yang popular adalah penyakit lewat datang ke kuliah. Kita mungkin boleh ber‘husnuzon’ bahawa mereka ini mungkin terlalu sibuk dengan tugasan, tanggungjawab yang berat dan ‘meeting’, tetapi sekadar bertanya, adakah beradab jika kita memasuki kuliah dikala pensyarah sudah memulakan sesi pembelajaran? Jika hendak dibandingkan dengan adab menuntut ilmu golongan yang terdahulu yang mencari guru, memang jauh perbezaannya dengan trend masa kini. Bukan sahaja guru terpaksa menunggu, malah terpaksa memulakan sesi pembelajaran terlebih dahulu kerana terlampau lama menunggu. Lebih memburukkan keadaan, kadang-kadang gejala ini berlaku hampir setiap hari sehingga pensyarah-pensyarah melabelkan mereka sebagai ‘mat lambat’ dan ‘minah lembap’. Sedarlah wahai bakal pemimpin agama dan negara. Sesibuk mana pun, kita tetap ada tanggungjawab yang lebih utama sebagai seorang pelajar dan penuntut ilmu dimana adab menuntut ilmu haruslah ditekankan sebagai wasilah untuk berjaya di kemudian hari. Kita boleh menghebohkan bahawa kitalah orang yang paling sibuk, tetapi kita tidaklah sesibuk pensyarah-pensyarah yang sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungan, malahan sesetengahnya terpaksa memandu seawal jam 6.30 pagi tetapi tetap mampu tiba tepat pada masanya berbanding dengan kita yang hanya dipikulkan dengan sedikit tanggungjawab dan hanya perlu berlenggang untuk ke tempat kuliah, tetapi masih lagi lewat. Malulah wahai saudara-saudaraku!!

Kesinambungan daripada penyakit di atas bagi insan-insan yang aktif berpersatuan ialah sering tidak ‘berkesempatan’ untuk menyiapkan tugasan dan assignment yang diberikan oleh pensyarah. Alasan yang sama diberikan. Terlau sibuk. Jika ada yang lebih ‘kreatif’, assignment rakan menjadi penyelamat terbaik untuk dicopy bagi mengelakkan nama seorang ‘pemimpin’ tercemar akibat daripada tidak menyiapakan tugasan yang diberikan. Akhirnya, ‘pemimpin’ yang mendapat nama sebagai seorang yang bijak menguruskan masa antara masa study dan kerja. Padahal, assignment yang dicopy sepenuhnya itu merupakan hasil titik peluh rakan-rakan yang dianggap pasif dan tidak berkebolehan. Begitulah corak kehidupan seharian sesetengah ‘pemimpin’ yang dianggap berkaliber dimata orang ramai..

Selain itu, ‘orang-orang yang sibuk’ ini selalunya juga terkenal sebagai kaki-kaki skip kuliah. Mungkin alasan mereka ini lebih bermaruah daripada kaki-kaki game dan kaki-kaki tidur yang juga sering tuang kuliah. Dengan sehelai ‘excuse letter’ yang dibangga-banggakan, mereka ini tanpa segan silu untuk tidak menghadirkan diri ke kuliah walhal adakalanya tugasan itu hanya tugasan kecil dan tidak perlu disegerakan. Oleh kerana tugasan ini hadir pada masa yang sama dengan masa kuliah bagi subjek-subjek yang kurang diminati dan tidak dianggap penting, memberikan sehelai ‘excuse letter’ bagaikan menyorongkan bantal kepada orang yang mengantuk. Hasilnya, kebanyakannya ‘pemimpin-pemimpin’ ini telah menerima ‘surat cinta’ daripada pensyarah-pensyarah yang tidak tahan dengan tabiat buruk mereka. Wahai pembela agama, janganlah membaluti perkara yang suci dengan perkara yang jijik. Tidak hadir ke kuliah secara kerap atas alasan kerja bukanlah suatu budaya yang harus dicontohi. Malah, ia boleh mendatangkan fitnah kepada individu dan persatuan tersebut.

“ Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan..” (Surah Huud: 114)
Hasil daripada penyakit-penyakit yang disebutkan sebelum ini menyebabkan terhasilnya satu natijah baru yang memberi impak yang lebih besar kepada kehidupan dan masa hadapan mahasiswa. Aktif dalam berpesatuan tanpa langkah yang betul boleh menyebabkan penurunan prestasi belajar. Malah, tidak mengejutkan dan sering berlaku kepada ‘pemimpin-pemimpin’ yang begitu disegani dalam organisasi ditendang keluar daripada universiti. Sesetengahnya mungkin agak bernasib baik kerana hanya dihukum dengan hukuman yang agak ringan iaitu repeat paper. Penyakit ini amat berbahaya kerana pemimpin yang diharap untuk membela agama, negara dan bangsa serta menjadi contoh teladan untuk generasi seterusnya telah terkandas di tengah medan pertempuran akibat daripada salah percaturan. Akibatnya, generasi akan datang akan mengambil contoh-contoh ikutan yang kurang baik sebagai idola mereka akibat daripada ketandusan pemimpin yang berkaliber dalam oranisasi dan akademik.

Kita sering mendengar ceramah-ceramah dan motivasi-motivasi yang mengatakan bahawa menyibukkan diri dengan aktiviti berpersatuan ini dapat mengelakkan penyakit hati yang sering menyerang para remaja. Sebenarnya, berpersatuan juga boleh menyebabkan penyakit hati. Kenapa penulis mengatakan begitu? Penyakit hati merupakan penyakit yang sangat halus yang tidak bisa dilihat oleh mata kasar tetapi panahannya sungguh berbisa. Dimulakan dengan meeting pertama sebagai medan untuk saling berkenalan dan dilanjutkan lagi dengan permainan mata di meeting seterusnya. Apabila bidang kerja masing-masing telah diberikan, mesej-mesej kerja mewarnai dan menghalalkan perhubungan melalui ‘sms’. Perhubungan ini berlanjutan walaupun program yang menemukan mereka sudah lama selesai hingga melahirkan bibit-bibit kasih seterusnya menyebabkan ‘cinta murahan’ mula bersemi. Ini mungkin hanyalah contoh khayalan penulis. Ia mungkin pernah terjadi, mungkin juga tidak pernah terjadi. Mungkin juga terdapat peristiwa-peristiwa lain yang lebih advance dan romantis bagi mereka yang aktif berpersatuan. Maka, akhirnya terhasillah sebuah ikatan ‘kasih sayang’ atas nama ukhuwwah fillah yang dianggap lebih ‘islamik’ dan menurut syarak.

Daripada Abdullah Bin Umar R.A, bahawasanya Rasullulah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya Allah memaafkan bagiku dari umatku akan kesilapan dan kelupaan dan apa yang dipaksakan mereka atasnya”
(Hadith Hasan, diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan Ibn Majah, dipetik daripada kitab Hadith 40, syarahan Imam Nawawi)

“Hai Tuhan kami! Janganlah Engkau siksa kami jika kami lupa atau kami tersalah” (Surah Al-Baqarah: 286)

Wahai saudara-saudara yang seaqidah denganku, sesungguhnya sesuatu perkara itu boleh berubah hukumnya mengikut keadaan. Aktiviti berpersatuan pada dasarnya adalah suatu yang harus kepada mahasiswa tetapi ia boleh berubah kepada wajib, makruh atau haram. Diharapkan mahasiswa-mahasiswa yang bijak pandai dapat membezakan mengikut awlawiyyat sesuatu perkara tersebut seperti yang telah digariskan oleh Sheikh Yusuf Abdulah Al-Qaradhawi dalam kitab karangan beliau, Fiqh Awlawiyyat. Semoga tulisan ini memberi sedikit manfaat kepada kita yang sering terleka. Jika ia tidak berlaku kepada diri kita, mungkin ada rakan-rakan lain yang memerlukan kesedaran daripada kita. Marilah kita mengorak langkah ke arah pembaikan diri dan diri rakan-rakan.

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji)…” (Surah Ali ‘Imran:110)

Berfikir Dahulu Sebelum Memulakan Langkah


Jodoh pertemuan di tangan Tuhan, hanya belum sampai masanya.

Ia bagai menanti jambatan untuk ke seberang. Kalau panjang jambatannya jauhlah perjalanan kita. Ada orang yang jodohnya cepat sebab jambatannya singkat. Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum apa-apa kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan dan berbakti kepada masyarakat ataupun sibuk berada di atas medan dakwah.

Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda itu dalam doa-doa lewat sembahyang. Allah Maha Mendengar. Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. itu janji tuhan yang telah termaktub di dalam surah An-Nuur. Biar lambat bertemu jodoh asalkan mendapat Mr Right dan biar seorang diri daripada menjadi mangsa lelaki atau wanita yang tidak beriman kemudian nanti.

Kita mudah tersilap menafsir kehidupan ini. Kita selalu menyangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini dan ini. Hakikatnya, apabila kita benar-benar memperoleh apa yang kita inginkan itu, ia juga datang bersama masalah.

Kita selalu melihat orang yang memandu kereta mewah dan terdetiklah di hati kita, bahagianya orang itu. Hakikatnya apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah kita ditimpa pelbagai kerenah.

Tidak mustahil pula org yang memandu kereta mewah (walaupun sebenarnya tak mewah) terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan. Orang lain membeli dengan harga biasa, dia terpaksa membayar berlipat ganda.

Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh di hadapan. Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang sebuah motosikal seperti itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal mungkin sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta ditengah-tengah bandar raya.

Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda, pasti ada baik buruknya. Demikian juga perkahwinan.

Ia baik sebab ia dibenarkan oleh agama, sunnah Nabi, sebagai saluran yang betul untuk melepaskan syahwat disamping membina sahsiah dan sebagainya, tapi ia juga boleh menjadi suatuyang buruk. Buktinya, ramai orang yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus. Ramai orang menempah neraka sebaik sahaja melangkahkan kaki ke alam berumahtangga.

Bukankah dengan Ijab dan Kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut datang bersama? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka? Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan masing-masing padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan segala impian menjadi nyata.

Jika tidak sanggup untuk bergelar isteri atau suami, tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk bergelar ibu ataupun ayah, belajarlah dulu. Jika rasa-rasa belum bersedia untuk bersabar dengan kerenah pasangan dan anak-anak, carilah dulu kesabaran itu. Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi telah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti tuntutan-tuntutannya. Berkahwin itu menjanjikan pahala yang tidak putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman, mencintai Tuhan dan menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan - bagi yang mengetahui rahsia2nya.

Berkahwinlah anda demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan berkahwin kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong2nya agar jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang.

Kadang2 Allah sembunyikan matahari. Dia datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya, ke mana hilangnya sinar. Rupa-rupanya, Allah nak hadiahkan kita pelangi yang lebih berseri.

Berfikirlah dulu sebelum mengorak langkah. Apabila anda sudah yakin dengan langkahan yang dibuat, teruskan melangkah..Usah berlengah.

Kisah Pendayung Sampan & Professor


Pada suatu hari, seorang Professor yang sedang membuat kajian tentang lautan menumpang sebuah sampan. Pendayung sampan itu seorang tua yang begitu pendiam. Professor memang mencari pendayung sampan yang pendiam agar tidak banyak bertanya ketika dia sedang membuat kajian.

Dengan begitu tekun Professor itu membuat kajian. Diambilnya sedikit air laut dengan tabung uji kemudian digoyang-goyang; selepas itu dia menulis sesuatu di dalam buku. Berjam-jam lamanya Professor itu membuat kajian dengan tekun sekali. Pendayung sampan itu mendongak ke langit.Berdasarkan pengalamannya dia berkata di dalam hati, "Hmm..hari nak hujan."

"OK, semua sudah siap, mari kita balik ke darat" kata Professor itu. Pendayung sampan itu akur dan mula memusingkan sampannya ke arah pantai. Hanya dalam perjalanan pulang itu barulah Professor itu menegur pendayung sampan.

"Kamu dah lama kerja mendayung sampan?" Tanya Professor itu. "Hampir semur hidup saya. " Jawab pendayung sampan itu dengan ringkas. "Seumur hidup kamu?" Tanya Professor itu lagi. "Ya". "Jadi kamu tak tahu perkara-perkara lain selain dari mendayung sampan?" tanya Professor itu. Pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepalanya.

Masih tidak berpuas hati, Professor itu bertanya lagi, "Kamu tahu geografi?." Pendayung sampan itu menggelengkan kepala. "Kalau macam ni, kamu dah kehilangan 25 peratus dari usia kamu." Kata Professor itu lagi, "Kamu tahu biologi?" Pendayung sampan itu menggelengkan kepala."Kasihan". Kamu dah kehilangan 50 peratus usia kamu. "Kamu tahu fizik?" Professor itu masih lagi bertanya. Seperti tadi, pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepala. "Kalau begini, kasihan, kamu sudah kehilangan 75 peratus dari usia kamu.

Malang sungguh nasib kamu, semuanya tak tahu. Seluruh usia kamu dihabiskan sebagai pendayung sampan." Kata Professor itu dengan nada mengejek dan angkuh. Pendayung sampan itu hanya berdiam diri.

Selang beberapa minit kemudian, tiba-tiba hujan turun. Tiba-tiba saja datang ombak besar. Sampan itu dilambung ombak besar dan terbalik. Professor dan pendayung sampan terpelanting. Sempat pula pendayung sampan itu bertanya, "Kamu tahu berenang?" Professor itu menggelengkan kepala.

"Kalau macam ini, kamu dah kehilangan 100 peratus nyawa kamu." Kata pendayung sampan itu sambil berenang menuju ke pantai.

Moral cerita:
Dalam hidup ini IQ yang tinggi belum tentu boleh menjamin kebahagiaan kehidupan. Tiada gunanya kita pandai dan tahu banyak perkara jika tidak mengetahui perkara-perkara penting dalam kehidupan. Adakalanya orang yang kita sangka bodoh itu rupanya lebih berjaya daripada kita. Dia mungkin bodoh dalam bidang yang tidak ada kena mengena dengan kerjayanya, tetapi "MASTER" dalam bidang yang diceburi. Jadi, carilah ilmu sebanyak mungkin dari semua bidang dan yang paling penting, mengamalkan ilmu yang ada dan tawadhuk dengannya.

Sabtu, 12 Januari 2008

Peperangan Khandaq



Peperangan ini juga dinamakan dengan peperangan Al-Ahzab. Peperangan ini telah berlaku pada bulan Syawal, tahun ke-5 Hijrah. Ini adalah mengikut apa yang ditegaskan berdasarkan pendapat yang kuat oleh Ibnu Ishaq, ‘Urwah Bin Al-Zubair, Qatadah, Al-Baihaqi dan Jumhur ‘Ulama’ Sirah, dan dikatakan juga ianya berlaku pada tahun keempat Hijrah. Tarikh ini juga ditegaskan oleh Musa Bin ‘Aqabah dan diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan diikuti oleh Imam Malik.

Dalam peperangan ini, tentera Islam telah berjaya memenanginya dengan menggunakan idea yang telah dicadangkan oleh Salman Al-Farisi r.a. Peperangan ini berpunca (sebagaimana yang diriwayatkan) dari pengkhianatan kaum Yahudi dan tipu muslihat mereka. Mereka yang menyalakan api peperangan itu dan merekalah yang mengumpulkan barisan Musyrikin Mekah. Kerja jahat seperti ini tidak terbatas kepada kaum Bani Nadhir yang telah diusir keluar dari Madinah sahaja, malah kerja-kerja seperti ini turut dilakukan oleh Bani Quraizhah sedangkan mereka masih terikat dengan perjanjian dan perhubungan kaum Muslimin dan tidak ada sesuatu pun kegiatan kaum Muslimin yang mengancam mereka hingga mendesak mereka melanggar perjanjian dan ikatan merela itu.


Di sini dapat kita ambil sejumlah pengajaran dan pedoman untuk dijadikan contoh bagi umat masa kini. Antaranya ialah:-

i) Rasulullah s.a.w. tidak mengarahkan kaum Muslimin sahaja untuk menggali kubu, sebaliknya Baginda s.a.w.sendiri turut bersama-sama telah berhempas pulas memerah tenaga bersama seluruh kaum Muslimin di kalangan para sahabatnya. Badan Baginda s.a.w. yang diselaputi dengan tanah dan debu sehingga tiada perbezaan diantara Baginda s.a.w. dan para sahabatnya. Inilah dia hakikat dalam menegakkan syari’at Islam bagi melaksanakan prinsip persamaan antara pemimpin dan yang dipimpin, di antara kaya dan miskin. Malah kita akan dapati bahawa seluruh cabang Syari’at Islam ditegakkan diatas konsep ini.

ii) Kesetiaan yang teradun dalam peribadi Rasulullah s.a.w. telah membawa kita untuk melihat betapa kecintaan Baginda s.a.w. terhadap para sahabatnya dan perasaan belas kasihan ke atas mereka di samping memberi gambaran lain mengenai perkara-perkara luar biasa dan mu’jizat yang dikurniakan Allah kepada utusanNya.

Dalam kisah perang Khandaq ini, Baginda s.a.w. sanggup mengikat batu-batu ke perutnya bagi menahan pedih kesakitan di perut Baginda s.a.w. kerana terlalu lapar. Baginda s.a.w. sentiasa bersabar menanggung dan menghadapi segala-galanya. Ini tidak lain tidak bukan adalah kerana rasa tanggungjawab Baginda s.a.w. terhadap risalah dan amanah yang ditaklifkan kepadanya.

Gambaran kecintaan Baginda s.a.w. terhadap para sahabatnya tidak dapat dibayangkan dengan bahasa percakapan apabila Baginda s.a.w. mengajak seluruh para sahabatnya menikmati masakan Jabir r.a. yang pada asalanya dimasak khas untuk Baginda s.a.w. dan beberapa sahabat lain sahaja.

Apa yang dikatakan mu’jizat dalam kisah ini ialah berkenaan kambing kecil Jabir r.a telah bertukar menjadi makanan yang berlimpahan, mengenyangkan beratus-ratus para sahabat dan masih banyak lagi berbaki. Justeru, Baginda telah meminta agar makanan tersebut dihidangkan kepada ahli keluarga Jabir r.a. dan disedekahkan kepada yang memerlukan. Sesungguhnya, mu’jizat luar biasa yang menakjubkan ini merupakan penghargaan Ilahi kepada Baginda s.a.w. bagi menggambarkan rasa sayang Baginda s.a.w. terhadap sahabat-sahabatnya.

iii) Bagaimana dan apakah caranya kaum Muslimin sehingga berjaya menetang kaum Musyrikin didalam peperangan ini?

Caranya dengan memohon restu kepada Allah s.w.t., memperbanyakkan doa dan tadarru’, sebagaimana yang diamalkan Baginda s.a.w. sepanjang masa apabila bertembung dengan seteru Allah s.w.t. atau semasa berada di medan jihad. Inilah cara yang sangat berkesan dan mengatasi faktor-faktor kebendaan lain. Cara ini tidak berkesan kecuali apabila telah ditegakkan di atas lunas-lunas yang dijaga dan dipelihara sesempurna yang mungkin.

Bagaimana pula dengan kaum Musyrikan yang kalah meskipun bilangan mereka terlalu ramai?
Ini berlaku lantaran kecekalan golongan Mu’min dan dengan kesabaran mereka serta penyerahan mereka sepenuhnya kepada Allah seperti mana yang telah disifatkan Allah di dalam kitabNya yang berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera lalu kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Ahzab; 9)

Sumber: Kitab Fiqh Sirah II Karangan Dr. Sa'id Ramadan Al-Buti keluaran Dewan Pustaka Fajar (Cetakan 2005)